Sepatah Dua Kata

Isnin, Julai 05, 2010

Semanis Epal - Bab 15




MALAM sebelum hari pertunangan, Irdina mengajak Ekhmal berbicara di tepi kolam renang. Banyak perkara yang mahu dia bualkan bersama-sama lelaki itu. Mari kita ikuti perbincangan mereka.

*  *  *  *  *

“Ada apa kau bawa aku ke sini?” soal Ekhmal sekaligus menghadirkan perasaan geram dalam hati Irdina.
“Awak tahu esok hari apa kan?” Irdina bertanya pada Ekhmal, membiarkan pertanyaan lelaki tadi dibawa angin lalu.
“Tahu, hari Jumaat. Kenapa?” Ekhmal cuba berseloroh.
“Hahaha... kelakarnya. Hello, saya serius ni Ekhmal,” tegas nada suara Irdina.
Ekhmal mengukir senyum. Dia mengambil tempat duduk di atas sebuah kerusi kecil yang disediakan di tepi kolam renang itu. Kerusi tempat bersantai berbumbungkan langit yang hitam pekat. Ekhmal menepuk-nepuk kerusi di sebelahnya, mengisyaratkan agar Irdina duduk di situ namun dibalas dengan jelingan oleh gadis itu.
“Tak penat ke berdiri lama-lama cik kak oi...” ujar Ekhmal.
“Kaki saya bukannya lemah macam kaki awak tu. Tulang kayu urat daun,” sindir Irdina.
Terkulat-kulat Ekhmal menerima kata-kata gadis yang rambutnya ditocang ekor kuda itu. Dia tersengih. Ada sahaja yang keluar dari mulut Irdina yang mengusik hatinya. Malam itu, Irdina hanya berpakaian ringkas.
Inai di jari sudah ditanggalkan. Jingga kemerahan setiap hujung jari gadis itu. Entah mengapa ada perasaan aneh yang melingkar di hati Ekhmal tatkala memandang jari-jemari tersebut. Ada debar, gelisah dan gundah.
“Hah, cakaplah... Tadi bukan main beriya ajak aku ke sini,” ujar Ekhmal.
Irdina menarik nafas panjang dan melepaskannya sekaligus. Mahu atau tidak, malam ini dia harus mendapat kata putus. Dia harus mendapat persetujuan dan kesefahaman dari Ekhmal.
“Pertamanya, terima kasih,” Irdina memulakan perbincangan sementara Ekhmal memandang wajah gadis itu, menanti bicara seterusnya.
“Saya ucapkan terima kasih pada awak atas lakonan yang dipersembahkan. Tentang hantaran, tentang abang, tentang mak saya, kalau tak ada awak, agaknya saya tak akan terfikir langsung tentang tu,” Irdina berjeda seketika.
“Kedua, tentang majlis esok. Jadi, selepas bertunang esok, ini bermakna perjanjian kita telah berkuatkuasa dan kita mesti mematuhi segala peraturan sepertimana yang telah kita janjikan,” Irdina menyambung kata.
“Ketiga, jangan lupa depositkan RM 25 000 dalam akaun bank saya. Saya pegang janji awak tu,”
“Keempat, mulai hari ini, kalau nak buat sesuatu yang berkaitan dengan pertunangan kita, bincang dengan saya dulu. Jangan nak ikut sedap otak awak saja merancang, saya yang terpinga-pinga tahu tak?” soal Irdina lagak seperti seorang ibu memarahi anaknya.
Ekhmal mengangguk faham. Ya, seperti kata Irdina, mulai esok, perjanjian mereka akan mula berkuatkuasa. Selepas tiga bulan, mereka akan berpisah secara baik dan dia akan terlepas dari mengahwini Balkhis. Dia boleh memberi alasan kononnya yang dia perlukan masa selepas berpisah dengan Irdina nanti. Pasti mamanya tidak akan memaksa dia berkahwin dengan Balkhis buat sementara waktu.
Apatah lagi Balkhis bukanlah gadis pilihan hatinya. Sehingga kini, dia masih belum merasa masam dan manisnya cinta, pahit dan masinnya rindu. Belum ada gadis yang dapat mengetuk pintu hatinya lagi. Jika mahu melangsungkan perkahwinan, biarlah dengan gadis yang dicintai sepenuh hati.
“Oh ya, tentang abang awak...”
“Abang? Maksud kau?” tanya Ekhmal, sedikit terkejut apabila Irdina menyuarakan sesuatu tentang abangnya.
“Mama awak dah ceritakan segalanya tentang abang awak. Kenapa awak nak rahsiakan dari mama awak yang abang awak dah balik ke Malaysia?”
Ekhmal mengeluh. Ah, mamanya itu sudah mula menganggap Irdina sebagai salah seorang ahli keluarganya. Tahukah mama yang gadis itu tidak akan selamanya berada di dalam keluarga Tan Sri Zulkafli? Sepatutnya perkara begini masih terlalu awal untuk Irdina ketahui. Gadis itu adalah orang asing, dan akan kekal begitu.
“Itu bukan urusan kau. Mama tak sepatutnya cakap dengan kau perkara macam ni,” balas Ekhmal.
“Ya, saya faham... Tapi dah terlanjur saya tahu, maknanya saya tak boleh tidak harus masuk campur,”
Ekhmal tergelak kecil. Kata-kata Irdina kedengaran lucu pada pendengarannya.
“Masuk campur? Kau jangan lupa kau tu bukannya ada apa-apa hubungan dengan aku. Selepas tiga bulan kau secara rasmi terputus hubungan dengan kami sekeluarga,” Ekhmal berkata, mengingatkan Irdina akan batasannya.
Irdina terpana. Sungguh kata-kata Ekhmal menusuk tepat ke dadanya. Dia terlupa sebentar. Bukankah di dalam perjanjian telah terang-terang mengatakan bahawa mereka tidak boleh ambil tahu akan kehidupan peribadi masing-masing? Ah, dia memang sengaja mencari penyakit.
“Maaf, saya terlupa...” ucap Irdina perlahan seraya menundukkan wajah.
Ekhmal pula yang kaget melihat perubahan pada Irdina. Terasa hatikah gadis itu dengan kata-katanya tadi? Biarlah, gadis itu tidak harus dibiarkan terlalu rapat dengan keluarganya. Lantas Ekhmal sedar yang tindakan Irdina keluar dari Vila Karisma itu ternyata suatu tindakan yang tepat.
“Ekhmal...” suara Irdina.
Ekhmal kaku apabila mendengar namanya meniti di bibir Irdina. Terasa seram sejuk. Seperti ada sesuatu yang sedang menumbuk-numbuk jantungnya, bergetar.
“Ekhmal!” Irdina meninggikan suara apabila tiada tindak balas dari lelaki di hadapannya.
“Hah, kenapa?”
“Sempat awak mengelamun ya? Awak dengar tak apa saya cakap tadi? “
Ekhmal mengangkat kening. Fahamlah Irdina yang lelaki itu langsung tidak tahu butir bicaranya sebentar tadi.
“Selepas berpisah, apa yang awak nak buat? Saya rasa awak tetap kena berkahwin dengan Balkhis bukan?”
“Tak, aku tak akan berkahwin dengan dia,” jawab Ekhmal, menghadirkan suatu kelegaan dalam hati Irdina.
Eh? Kenapa pula dia rasa lega apabila mendengar Ekhmal berkata begitu? Ah, merepek saja perasan ini.
“Tapi kalau mama awak tanya, apa yang kita nak jawab?”
“Hai, kau kan bijak dalam putar-belit kata ni. Takkan tak boleh reka alasan yang munasabah sikit,” balas Ekhmal.
Munasabah ke, munasarawak ke, yang kenanya nanti dia. Ekhmal senang saja melepaskan diri sebab yang putus tunangnya dia. Pasti nanti ada suara yang cakap-cakap di belakang. Hai, susahnya jadi orang perempuan ni. Tak bebas macam lelaki.
Yalah, contohnya macam dah jadi janda. Semua memandang serong. Ada yang kata tak pandai jaga suamilah, tak tahu layan suamilah, yang lelakinya, tak ada pun orang nak salahkan. Eh, yang dia terlebih emosional sampai ke situ kenapa? Fokus Irdina, fokus!
Fine, itu kita akan fikirkan kemudian. Jadi, untuk tiga bulan ni, diharap kita dapat bekerjasama dengan baik ya Ekhmal,” ujar Irdina.
Ekmal bangun dari duduknya, menghampiri Irdina. Desah nafas lelaki itu kedengaran amat hampir. Irdina kelu, gelisah. Ekhmal kini berdiri sangat rapat dengannya. Meroyan apa mamat ni? Lantas dipijak kaki Ekhmal membuatkan lelaki itu mengaduh sakit.
“Hei, yang kau pijak kaki aku tu kenapa?”
Hello, awak tu yang dekat sangat dengan saya tiba-tiba tu kenapa?”
“Oh, kau takut ya? Kenapa? Dah jatuh hati dengan aku?”
Irdina membuntangkan matanya tatkala mendengar kata-kata Ekhmal itu. Memang sah gila meroyan!
“Ha’ah, saya dah jatuh hati sangat dengan awak Ekhmal. Tak payah bertunanglah, kita kahwin terus,” Irdina memerli.
Ekhmal berhenti menggosok kakinya. Dia kembali berjalan merapati Irdina.
Really? Aku tak ada masalah. Betul nak kahwin ni?”
“Jangan beranganlah Ekhmal! Sapa nak kahwin dengan awak! Dahlah panas baran, perahsia, suka membebel pula tu,” jawab Irdina lalu melangkah pergi.
Belum sempat dia meneruskan langkah, tangannya dicapai. Bagai terkena renjatan arus elektrik, hati Irdina libang-libu. Serasa seperti sedang melompat-lompat hatinya ingin keluar dari dalam dada.
Spontan, Irdina merentap pergelangan tangannya dan memijak kaki Ekhmal sekali lagi. Jika tadi di sebelah kiri, kali ini sebelah kanan pula. Lalu dia pantas berlari dalam tawa kecil. Ekhmal hanya memerhati dengan rasa geram. Namun seketika kemudian, dia turut ketawa kecil.

*  *  *  *  *

Oh, babak-babak romantis begini selalunya tidak berpanjangan. Sama ada Ekhmal atau Irdina, masing-masing tidak dapat menafsirkan rasa hati. Biarlah, kita lihat nanti sampai bila mereka akan memahami hasrat hati mereka yang sebenarnya.
::bersambung::

8 ulasan :

epy elina berkata...

hohohooh....
dua2 dah trjtuh cnta ni...
tp msing2 x nak mngaku....

zarah berkata...

pura-pura tak mengaku pula budak 2 org ni. hai, macam lama lagi nak habis je ni rizai..

Leya berkata...

apa nak jadilah bila diaorang ni b'tunang nanti kan. kehidupan, mmang susah nak teka.

lonely gurlz berkata...

amboi, ekhmal tu berlagak cool. dina pula lurus. ai, bila diaorg nak bcinta ni?

Tanpa Nama berkata...

semakin best! next pliz!

akira_bita berkata...

makin best... dn bibit cinta rasanya sudah semakin berputik kan?? hahahahaha!!!

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih semua sudi singgah membaca... :D

kucun tella berkata...

hati kata cinta..tapi rasional otak cuba menafi..