Sepatah Dua Kata

Selasa, Julai 06, 2010

Semanis Epal - Bab 16




HARI ini majlis pertunangan antara Ekhmal dan Irdina akan berlangsung. Pertunangan yang bukan atas kerelaan hati masing-masing. Pertunangan yang lebih bersifat mementingkan diri. Pertunangan tanpa rasa cinta dan kasih. Benarkah?

*  *  *  *  *

Jantung Irdina terasa bagai mahu melompat keluar sewaktu Puan Sri Hasmiza menyarungkan cincin ke jari manisnya. Kini, dia sudah sah menjadi tunangan kepada lelaki yang langsung tidak pernah terfikir akan ditunangkan dengannya. Apatah lagi lelaki itu bukanlah lelaki yang dicintai dan menyintainya.
Sekarang, semuanya sudah tidak boleh berpatah balik lagi. Perjanjian antara dia dan Ekhmal sudah pun berkuatkuasa hari ini. Dalam tempoh tiga bulan, dia harus berlakon menjadi tunangan kepada Ekhmal, lelaki asing yang dikenali secara kebetulan.
Entah mengapa hati Irdina hiba tatkala menerima dakapan dari Puan Sri Hasmiza. Terasa mahu mengalirkan air mata tapi ditahan. Tidak mahu rosak solekan yang dikenakan pada wajahnya. Sungguh, itulah kali pertama dia bersolek sedemikian rupa. Sudah seperti seorang geisha rasanya. Persalinan yang disarungkan ditubuhnya juga tampak elegan, persis seorang puteri yang hidup mewah di dalam istana. Kebaya putih dengan sulaman kerawang dan selendang. Ah, dia tidak tahu pakaian dan selendang itu diperbuat dari kain jenis apa. Cuma dia rasakan amat selesa memakainya. Pasti mahal harga kebaya tersebut. Silap-silap sebulan gajinya pun belum tentu dapat beli pakaian sebegitu.
Irdina mencari kelibat Ekhmal seusai bacaan doa selamat. Para tetamu yang hadir, dijamu dengan aneka juadah enak di bawah khemah di halaman rumah. Sudah menjadi adat, si teruna tidak dibenarkan turut berada di sisi si dara sewaktu majlis pertunangan dilangsungkan. Rasa Irdina, lelaki itu pasti duduk menunggu di halaman belakang.
Beberapa tetamu mengucapkan tahniah pada Irdina. Dia hanya mampu senyum dan senyum sehingga naik sakit otot-otot mukanya dek terlebih senyum. Bukannya dia kenal pun tetamu-tetamu yang hadir itu. Semuanya dilihat berkot dan berbaju kurung moden. Ala, senang cerita, pakaian Dato’ dan Datin’ kat dalam televisyen. Hah, memang serupa macam tu.
Irdina melangkah mahu ke dapur namun terhenti apabila bertentang mata dengan Hasmir. Lelaki itu mengukir senyum dan Irdina membalasnya juga dengan senyuman tetapi tawar. Perlahan-lahan, lelaki itu merapati Irdina.
“Tahniah! Awak nampak sangat cantik Dina...” ucap Hasmir membuatkan Irdina tersipu malu.
“Awak tak pergi makan ke?” soal Irdina, cuba menepis rasa segan dalam dirinya mendengar pujian Hasmir tadi.
“Tak ada selera. Serius, saya memang terkejut waktu dapat tahu awak tunangan sepupu saya tu. Memang dia ada cakap dia nak bertunang tapi tak sangka dengan awak. Memang kecil betul dunia ni,”  balas Hasmir.
“Mungkin inilah yang dikatakan jodoh...” jawab Irdina, lirih.
“Eh, pergilah makan. Rugi tau! Nampak sedap ayam golek tu,” sambung Irdina apabila dilihat Hasmir tidak membalas kata-katanya tadi.
“Tak apalah Dina, setakat ayam golek, saya boleh masak bila-bila masa saja. Tak kempunan seperti mana pujaan hati menjadi milik orang,” Hasmir berkias, mengharap agar Irdina mengerti maksudnya.
Irdina mengerutkan dahi. Entah apa yang cuba disampaikan oleh lelaki itu, tidak dapat dia fahami. Kedengaran seperti seorang yang patah hati, kecewa, terkilan dan sebagainya.
“Kalau dah jadi milik orang, carilah yang belum berpunya lagi. Yang patah kan tumbuh lagi, yang hilang kan berganti Mir...” Irdina membalas dengan madah pujangga.
“Ya, betul. Tapi yang tumbuh lagi tu takkan sama dengan yang dah patah. Yang diganti tu, takkan sama dengan yang dah hilang,” bidas Hasmir.
“Itulah yang menjadikan seseorang itu unik dan istimewa. Kalau semua orang sama saja sifatnya,  dunia ini takkan indah seperti sekarang,” Irdina menyampaikan hujahnya.
Hasmir diam, berfikir barangkali akan maksud ungkapan gadis di hadapannya ini. Irdina ternyata seorang gadis yang bijak dalam berkata-kata. Tapi sayang, gadis itu tidak sempat menyambut huluran kasihnya. Dan dia, tidak berpeluang untuk mengkhabarkan pada Irdina akan hasrat hatinya. Gadis itu, sudah menjadi milik orang lain.
Pedih, memang ada. Perit, memang terasa. Duka, memang menusuk jiwa. Namun dia tahu, hidup tetap perlu diteruskan. Kata-kata Irdina tadi ada benarnya. Yang patah kan tumbuh lagi, yang hilang kan berganti.
“Oh ya, terima kasih untuk kek yang ditaja. Cantik betul! Rasa sayang nak makan...” ujar Irdina, menggangu lamunan Hasmir.
“Sama-sama. Memang saya buat istimewa untuk Ekhmal dan tunangnya. Mula-mula ngatkan nak buat pulut kuning tapi Puan Sri minta tukar. Tahu-tahu sajalah selera orang korporat ni. Entah ingat entahkan tidak macam mana rupa pulut kuning tu,” sempat Hasmir berseloroh.
Irdina ketawa kecil. Kek dua tingkat berperisa coklat yang dibuat sendiri oleh Hasmir itu dihias amat cantik dengan bunga-bunga rona oren dan jingga, menaikkan seri kek tersebut. Irdina bukanlah penggemar makanan manis maka kek tidaklah termasuk dalam seleranya. Kek yang dijual dikedai, tidak puas dimakan. Lebih banyak krim dari kek. Sekadar nak nampak cantik saja, rasanya belum tentu lagi. Tapi Irdina tahu, kek yang dibuat Hasmir, rasanya sudah tentu sedap.
“Awak nak ke mana?” soal Hasmir.
“Ke dapur sekejap, minum air,” jawab Irdina.
“Oh, kalau macam tu, saya minat diri dululah. Kasihan pula restoran tu Abang Ezwan jaga sorang-sorang,”
“Sekejap Mir!” halang Irdina.
“Mak Timah!” Irdina melaung apabila melihat Mak Timah berada tidak jauh darinya.
 “Ada apa cik?” tanya Mak Timah sejurus dia tiba di hadapan Irdina.
“Nak minta tolong Mak Timah, bungkuskan lauk sikit untuk Hasmir. Boleh ya Mak Timah?” pinta Irdina.
“Eh, tak payahlah susah-susah. Bukannya...”
“Untuk awak dan Encik Ezwan. Harap awak boleh tolong sampaikan,” ujar Irdina, menukas kata-kata Hasmir.
Hasmir terkedu. Dia merenung mata Irdina, seperti meminta penjelasan.
“Saya dah tahu tentang masalah Encik Ezwan,” ujar Irdina, memecah tanda tanya Hasmir sebentar tadi.
“Okeylah, saya ke dapur sekejap,” Irdina meminta diri, meninggalkan Hasmir keseorangan.
Penuh berhati-hati Irdina berjalan. Hujung kain yang dipakainya terasa masih labuh walau sudah dijinjing sedikit. Ternyata telahan Irdina tadi tepat. Ekhmal sedang duduk di halaman belakang, bermain dengan arnab-arnab yang menjadi peliharaan Puan Sri Hasmiza.
“Comel kan arnab-arnab tu?” tegur Irdina.
Ekhmal tersentak sedikit. Agak terkejut disapa begitu. Irdina ketawa kecil. Lucu melihat reaksi lelaki yang kini menjadi tunangnya.
“Kau ni tak reti bagi salam dulu sebelum nak tegur orang ke?” perli Ekhmal.
Amboi, mulut... Memang sah tak ada insurans. Tersentap tau!
“Dah bagi, awak tu aje yang tak dengar,” dalih Irdina.
“Kenapa datang sini?” Ekhmal bertanya sambil tangannya memeluk seekor arnab yang bulunya berwarna coklat.
“Salah ke saya datang sini? Saja nak jumpa dengan tunang saya,” jawab Irdina lalu duduk di atas jubin lantai tidak jauh dari Ekhmal.
Ekhmal tersengih. Dia begitu asyik bermain dengan tiga ekor arnab yang berlainan warna itu. Ada putih, kelabu dan coklat.
“Dah makan?”
“Belum, tunggu awak...”
“Kenapa pula?”
“Sebagai tunang, adalah lebih baik jika kita makan bersama bagi mengelak kecurigaan orang,” Irdina menjawab pertanyaan Ekhmal tadi.
Ekhmal tersengih lagi. Ya, sebagai tunang, mereka kini harus saling berlakon agar tidak nampak janggal di mata orang sekeliling apatah lagi keluarganya. Namun, jauh di sudut hati, ada resah yang menjalar. Ekhmal rasa tidak begitu betah apabila Irdina berada terlalu hampir dengannya. Seperti udara di sekeliling menyusut membuatkan nafasnya terasa sesak.
Tiba-tiba kedengaran deringan telefon bimbit dari saku seluar Ekhmal. Segera lelaki itu menjawab dan sekelip mata, wajahnya berubah. Ekhmal bingkas bangun lalu berlari keluar. Laungan Irdina dibiarkan tanpa berjawab. Irdina turut sama bangun dan bergegas mahu mengejar Ekhmal namun kakinya terpijak lebihan kain baju kebayanya menyebabkan dia hampir terjatuh. Mujur dia sempat memegang kerusi.
Bunyi enjin kereta dihidupkan kedengaran dan dengan pantas, Toyota Vios rona kelabu itu bergerak meninggalkan halaman Vila Karisma. Irdina mendapatkan Puan Sri Hasmiza, bertanya apa yang berlaku.
“Mal ke hospital. Qis kemalangan!” jelas Puan Sri Hasmiza.
Irdina kelu!

*  *  *  *  *

Nampaknya, baru sahaja bertunang, sudah ada dugaan yang menanti. Irdina dengan kekeliruannya, Ekhmal dengan kecelaruannya. Masing-masing cuba berlagak biasa walau ada sesuatu yang luar biasa sedang berlaku di dalam hati. Irdina dan Ekhmal, dalam tempoh tiga bulan ini, mampukah mereka bertahan?
::bersambung::

-Maaf lewat muat naik episod Semanis Epal untuk hari ini. Ada urusan peribadi yang tak boleh dielakkan. Mujur masih sempat. Maaf sekali lagi-

5 ulasan :

epy elina berkata...

alaallala...
ciannya dina n hasmir...
ala...
mgaku je la ekhmal mmg dah jtuh cnta kat dina...

Leya berkata...

bab ni nampak 'matang'. takpe rizai, kitaorng tetap setia menanti. hikhik..

ctgee berkata...

wahhh...tak sabarnya menanti sambungan cerita ni...saya suka sangat cerita nie...

Hananorisa berkata...

kesian hasmir..
huhuhuhu..

Rizai Reeani berkata...

epy elina: itulah, kadangkala kita ni ego, tak mahu mengaku apa yang dirasakan oleh hati :)

leya: terima kasih leya. sangat hargainya. maaf tentang semalam. rasa bersalah pula.

ctgee: gembira awak menyukainya. saya juga turut rasa gembira ada juga pembaca yang menyukai tulisan saya.

hananorisa: kasihan, itu juga satu perasaan yang boleh disalah erti juga. hehehe... :)

terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi sokongan! (^_^)