Sepatah Dua Kata

Rabu, Julai 07, 2010

Semanis Epal - Bab 17




KADANG-KADANG, kita sendiri tidak tahu apa yang hati kita inginkan sebenarnya. Seringkali bila ada rasa tidak suka, sebenarnya dalam hari kita sangat sayangkannya. Apa yang terzahir dari bibir, tidak semestinya apa yang hati katakan. Bibir berkata benci namun hati mengungkap rindu. Itulah perasaan namanya. Sesuatu yang sangat sukar untuk ditafsir mahu pun diduga.

*  *  *  *  *

Hospital Tuanku Jaafar Seremban dituju tengah hari Sabtu itu. Irdina melangkah masuk ke dalam lif lalu menekan butang lima. Semalam, seharian dia tidak melawat neneknya kerana urusan pertunangan. Semalam juga dia terpaksa tinggal di Vila Karisma, menemani Puan Sri Hasmiza selain membantu mengemas barang-barang usai majlis pertunangannya.  Ekhmal tidak pulang ke Vila Karisma sejak dia keluar ke hospital selepas majlis berlangsung. Mungkin menemani sepupunya itu di hospital.
Ada juga Irdina menanti andai ada panggilan telefon dari lelaki itu. Memang ada tetapi bukan bertanya tentangnya. Lelaki itu menghubungi telefon bimbit mamanya, memberitahu keadaan Balkhis yang kemalangan. Dari Puan Sri Hasmiza, Irdina mengetahui yang keadaan Balkhis tidaklah parah. Hanya cedera ringan sahaja. Luka dan calar di tangan dan kaki. Sementara kakinya sedikit retak.
Kata Puan Sri Hasmiza, Balkhis bertembung dengan sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki mabuk. Mujurlah gadis itu tidak mengalami kecederaan teruk. Namun, jauh di dasar hati, perasaannya Irdina terusik. Melihat kebimbangan yang terpamer pada riak wajah Ekhmal, dia tahu lelaki itu sangat risaukan Balkhis. Bukankah mereka tiada hubungan yang istimewa? Tapi mengapa Ekhmal begitu gusar? Ah, mereka kan seperti sebuah keluarga, sudah kenal sejak kecil lagi. Lagipun mereka tu sepupu.
Irdina menarik nafas panjang, lalu menghembuskannya dengan sekali nafas. Dia melangkah dengan senyuman, menghala ke deretan katil di dalam wad perempuan tingkat lima itu. Kelihatan neneknya sedang duduk termenung. Tatakala melihat kelibat Irdina, segera wanita tua itu mengukir senyum, tanda gembira dengan kedatangan cucunya itu.
“Assalammualaikum nek,” tegur Irdina.
Salam dijawab dan pantas wanita tua itu mencapai tangan Irdina lalu digenggamnya erat. Irdina sudah biasa begitu. Dia tahu neneknya tidak betah tinggal di hospital lama-lama. Ada sahaja alasan yang diberi supaya ingin keluar dari hospital secepat mungkin. Ayam di reban tak ada orang tengokkanlah, sayur sawi takut dimakan ulatlah, dan pelbagai lagi alasan yang pada Irdina kedengaran tidak munasabah. Neneknya itu hanya mahu segera pulang ke rumah. Namun, selagi kesihatan nenek belum pulih sepenuhnya, Irdina tidak akan sesekali membiarkan neneknya itu pulang ke rumah.
“Eh, bila Dina pakai inai ni? Kelmarin nenek tengok tak ada lagi,”
“Semalam nek. Saja teringin nak pakai,” Irdina mecipta dalih.
“Tapi pekat sangat warnanya ni. Macam orang bertunang saja,”
Irdina tersentak sedikit namun cepat-cepat tersenyum. Orang tua, sekilas ikan di air, sudah tahu jantan atau betina.
“Pekatlah bagus nek, biar menyerlah sikit. Dari jauh dah nampak,” usik Irdina lalu ketawa kecil, menutup gugup.
“Ni, cincin ni?” neneknya bertanya, semakin curiga.
Ops! Macam manalah dia boleh terlupa untuk tanggalkannya? Ah, sudah, apa pula mahu dijawab...
“Kamu dah bertunang ke?” teka neneknya lagi.
Irdina terasa belakang badannya berpeluh walau kipas di siling ligat berputar. Mahu berterus-terang atau menyembunyikannya?
“Dina?” tegur neneknya apabila dilihat Irdina diam tanpa jawapan.
“Cincin ni Dina baru beli nek. Murah aje. Duit gaji pertama Dina...” jawab Irdina.
Ah, dia menipu lagi. Biarlah, nenek tidak perlu tahu perihal pertunangan palsu ini. Kata doktor, fikiran nenek tidak boleh diganggu dengan hal yang menyesakkan. Bimbang tekanan darahnya naik dan risiko diserang sakit jantung akan berulang.
“Betul?”
“Betullah nek, takkan Dina main-main pula. Kalau Dina nak bertunang, tentu nenek orang pertama yang tahu. Lagipun Dina masih baru dapat kerja nek, tak mahu fikir soal kahwin atau cari pasangan lagi. Nak kerja puas-puas dulu,” Irdina memberi alasan walau dia tahu neneknya masih curiga.
“Manalah tahu kalau kamu bertunang senyap-senyap. Yalah, budak-budak sekarang ni selalu ikutkan hati. Semua nak buat keputusan sendiri. Bukannya nak berbincang dengan orang tua dulu,” seakan memerli kata-kata neneknya itu.
Irdina merasakan seperti batang hidungnya dijentik, menusuk ke kalbu sindiran neneknya tadi. Dia hanya mampu tersenyum, mengelakkan neneknya dari terus berprasangka.
“Nenek dah makan belum?” Irdina segera menukar topik perbualan.
“Dah, tadi nurse dah bagi makan. Dina... Lama lagi ke nenek kena duduk kat hospital ni?”
Irdina tergelak kecil. Setiap kali datang melawat, pasti soalan itu yang ditanya oleh neneknya. Nenek, nenek... Duduk di hospital ni bukankah seronok? Tak payah buat apa pun. Hanya berehat. Makanan pun tiga kali sehari diberi. Sedap-sedap pula tu. Ah, makanan hospital, mana ada sedap. Tawar rasanya. Hehehe...
“Sabarlah nek. Kata doktor, pembedahan nenek dijadualkan Selasa depan. Lepas pembedahan tu, nenek kena duduk dua tiga hari lagi. Lepas tu baru boleh balik,” terang Irdina.
Kedengaran keluhan berat dari neneknya. Irdina faham kebosanan yang melanda. Namun, demi kesihatan, nenaknya itu tidak boleh berdegil.
“Janganlah begitu nek. Lepas dah sihat nanti, Dina janji bawa nenek pergi Port Dickson mandi laut, setuju?” ujar Irdina, cuba menceriakan neneknya.
“Hmm....” hanya itu yang keluar dari mulut neneknya.
Irdina masih tersenyum. Agak geli hati melihat neneknya. Yalah, kalau di rumah, ada sahaja yang mahu dibuat. Waktu pagi, nenek akan menguruskan kebun sayur di belakang rumah. Tengah hari dia akan memasak dahulu sebelum menjahit baju atau langsir yang ditempah jiran-jiran. Petang pula dia akan ke reban, memberi ayam dan itiknya makan atau pun ke rumah Makcik Aini, berborak. Kala malam, nenek akan ke surau, berjemaah dan mendengar tazkirah. Pulang dari surau, nenek akan berbual dengannya, sebelum masuk tidur.
Tiba-tiba neneknya merebahkan badan, mahu tidur barangkali. Agaknya kesan ubat yang diberi pada nenek selepas makan tengah hari tadi sudah menunjukkan kesan. Irdina membantu neneknya meluruskan badan dan menyelimutkannya. Dia membelai rambut neneknya lembut. Hanya neneknya sahaja yang ada di dunia ini untuk dia menumpang kasih. Hanya neneknya sahaja yang ada untuk dia mencurahkan sayang.
“Berehatlah nek, nanti esok Dina datang lagi,” ujar Irdina sebelum berlalu pergi.
Irdina menekan butang ‘G’ sejurus masuk ke dalam perut lif. Dia hanya keseorangan di dalam lif tersebut. Lif berhenti di tingkat tiga, menandakan ada orang yang juga mahu turun ke tingkat bawah. Pintu lif terbuka dan seorang wanita bersama-sama seorang budak lelaki melangkah masuk. Mata Irdina sempat menangkap kelibat seseorang yang dikenali melintas di hadapan pintu lif.
Pintu lif tertutup namun segera ditahan oleh Irdina. Dia melangkah keluar. Ya, dia tidak silap lihat tadi. Ekhmal berada di hadapannya sekarang. Perlahan-lahan dia mengekori langkah lelaki itu. Oh, agaknya Balkhis juga ditempatkan di hospital ini.
Ekhmal membelok ke kiri, menuju ke wad VIP. Irdina bersembunyi di sebalik dinding sehinggalah langkah Ekhmal berhenti pada bilik bernombor tujuh. Pintu bilik diketuk lalu ditolak perlahan.
Irdina terjengket-jengket menuju ke bilik tersebut. Lagaknya seperti seorang detektif yang sedang mengekori suspek. Tiba-tiba terdengar iringan musik latar filem James Bond. Ah, dia berangan lagi!
Pintu bilik bernombor tujuh itu tidak ditutup rapat menyebabkan Irdina dapat mengintai apa yang berlaku di dalam. Benar, kelihatan Balkhis sedang duduk bersandar di kepala katil dan Ekhmal meletakkan sejambak bunga mawar kuning yang masih segar ke dalam sebiji pasu..
Dadanya berdebar. Senyuman yang meniti di bibir Balkhis seperti menghiris hatinya. Apatah lagi melihat Ekhmal membelai lembut ubun-ubun gadis itu. Terasa hatinya bagai dipijak-pijak. Mahu saja ditolak pintu itu dan menghempaskan pasu bunga tadi ke lantai. Eh? Kenapa sampai macam tu pula yang terfikir olehnya?
“Buat apa tertinjau-tinjau tu? Mengintip ya?” tegur seseorang sekaligus membuatkan Irdina terlompat ke belakang.
Terdengar tawa kuat meletus. Tak guna punya Hasmir! Malunya! Malunya!
“Kenapa tak masuk?” soal Hasmir masih dalam tawa.
“Err...” Irdina tidak dapat memikirkan apa-apa untuk dijadikan alasan.
“Jomlah!” ujar Hasmir lalu menarik tangan Irdina.
“Hah? Eh... eh...”
“Hai guys!” ucap Hasmir.
Kedua-dua pasang mata yang berada di dalam bilik itu nyata terkejut dengan kehadiran Irdina di samping Hasmir. Ekhmal membulatkan matanya. Apa yang Irdina buat di sini? Bersama-sama Hasmir pula tu?

*  *  *  *  *

Kalau suka, katakan suka. Kalau benci, katakan suka juga. Kenapa? Kerana tidak elok hidup saling membenci. Seharusnya saling memaafkan itu yang terbaik. Tapi bagaimana pula jika sudah mengata suka tetapi dibalas dengan tolakan? Itu tandanya, dia bukanlah yang terbaik untuk kita. Begitulah dengan Irdina dan Ekhmal. Apakah ada suka di dalam hati kedua-duanya atau hanya sekadar satu mainan perasaan?
::bersambung::

5 ulasan :

datul berkata...

kah3... klakar bila part lagu james bond tu. best rizai! next!

akira_bita berkata...

hahaha! dina-dina.. mcm2 kerenahnya.. rse mcm geram plk kat ekhmal.. klo tak nk kahwin dgn qis, npe lyn qis mcm tu lg?? suka bg harapan tau dia ni!! sian dina!!

Leya berkata...

eiii... suka2!!!

rizai, camne boleh tulis citer cinta macam ni? org lelaki slalu tulis citer seram, suspen, sains lebih kuranglah..

izzati berkata...

best! update hari2 pun best! ending dia wat org t'uja nak tau. kipidad bro!

Rizai Reeani berkata...

datul: hehehe... terima kasih. :)

akira: hati ekhmal, kita tak dapat teka kan? :)

leya: mungkin sebab saya banyak dengar masalah cinta dari kawan-kawan agaknya. hahaha... ;)

izzati: terima kasih untuk sokongan.

Terima kasih semua sudi singgah membaca... :D