Sepatah Dua Kata

Jumaat, Julai 09, 2010

Semanis Epal - Bab 19





IRDINA masih keliru tentang perasaan hatinya. Dia yakin apa yang dirasakan dalam hati bukannya rasa suka mahupun sayang. Tetapi mengapa kebelakangan ini bayangan Ekhmal sering mengekorinya?

*  *  *  *  *

“Kalau you tak terima permintaan I, means you seperti menolak Ekhmal pada I,”
Kata-kata Balkhis dua hari lepas masih terngiang-ngiang di telinga sehingga saat ini. Jika tidak salah tafsiran, gadis itu mahukan Ekhmal. Atau lebih tepat lagi, merampas Ekhmal darinya. Sepatutnya dia tidak perlu fikir apa-apa. Kalau Balkhis mahukan Ekhmal, ambil saja. Dia bukannya ada menyimpan apa-apa perasaan pada lelaki itu. Tetapi mengapa hatinya terasa sesak apabila memikirkan perkara tersebut?
“Ekhmal,” ucap Irdina lalu melepaskan keluhan.
Lelaki yang dikenali secara kebetulan kerana insiden buah epal. Hanya mengenali nama lelaki itu, dia kini sudah menjadi tunangan pada lelaki tersebut. Latar belakang Ekhmal, hanya sedikit sahaja yang dia tahu. Lelaki itu seakan tidak mahu Irdina tahu apa-apa tentang dirinya. Irdina faham, pertunangan mereka tidak akan bertahan lama. Tetapi sekurang-kurangnya mereka masih boleh menjalin hubungan persahabatan selepas itu.
Sebulan lebih mengenali lelaki bernama Ekhmal, hanya satu yang dapat Irdina simpulkan. Lelaki itu sangat perahsia dengannya. Semua yang berkaitan tentang diri lelaki itu diketahui dari Puan Sri Hasmiza ataupun Mak Timah. Mahu harapkan Ekhmal membuka mulut berbual mesra dengannya, jauh panggang dari api.
Ekhmal tidak pernah menghadirkan rasa gembira dalam dirinya. Lelaki itu seorang yang panas baran dan suka mengarah. Boleh dikatakan, perjanjian yang dibuat lebih menguntungkan Ekhmal kerana dia dapat melepaskan diri dari ugutan mamanya. Tetapi mengapa diri ini rasa selamat dan dilindungi apabila berada di sisi lelaki itu? Ah, lelaki itu langsung tidak pernah melakukan apa-apa untuknya.
“Jauh mengelamun? Dah terbang sampai ke mana?” tegur Encik Ezwan membuatkan Irdina sedikit tersentak.
Hah, ini lagi satu masalah. Bagaimana dia mahu pulihkan semula hubungan Encik Ezwan dengan keluarganya? Adakah Encik Ezwan tahu akan perihal pertunangannya dengan Ekhmal?
“Dah siap cuci pinggan?” soal Encik Ezwan.
Irdina mengangguk. Kain lap berhampiran dengannya dicapai lalu dikeringkan tangannya yang basah. Sempat matanya meliar mencari kelibat Hasmir tetapi lelaki itu tiada di bahagian dapur. Mungkin keluar menemui pelanggan agaknya.
“Mari, ke pejabat saya,” arah Encik Ezwan.
Irdina hanya mengekori langkah ketuanya itu tanpa berfikir apa-apa. Dia mengerling jam di dinding. Sudah hampir pukul 4.15 petang. Bermakna 45 minit lagi waktu kerjanya akan tamat. Mereka mendaki anak tangga menuju ke pejabat di tingkat dua.
Encik Ezwan menolak daun pintu lalu melangkah masuk diikuti dengan Irdina. Dia mempersilakan gadis itu duduk. Tangan kanannya membuka laci meja. Sebuah kotak panjang bersaiz kecil dikeluarkan dari dalam laci tersebut lalu dihulurkan pada Irdina.
Irdina memandang huluran Encik Ezwan dengan pandangan pelik namun dicapai juga kotak panjang itu.
“Bukalah,” pinta Encik Ezwan.
Perlahan-lahan Irdina menarik reben warna perak yang menjadi pengikat kotak tersebut. Pembukanya ditarik dan seutas gelang tangan kelihatan bergemerlapan membuatkan Irdina terpana seketika.
“Hadiah pertunangan kamu,” ujar Encik Ezwan menjawab segala persoalan yang berlegar-legar di fikiran Irdina.
Ternganga mulut Irdina mendengar kata-kata itu dari ketuanya. Adakah ini bermaksud Encik Ezwan sudah tahu bahawa dia adalah tunangan Ekhmal?
“Err... Err...” lidah Irdina kelu untuk menutur kata.
“Kenapa? Tak suka?”
“Bukan! Errr... Encik Ezwan tahu ke saya bertunang dengan siapa?”
Anggukan ketuanya itu sudah cukup membuatkan Irdina terasa mahu lari dari situ sekarang juga. Eh, sekejap! Bukankah ini akan lebih memudahkan kerjanya?
“Tahniah! Walaupun adik saya tu nakal sikit tapi dia baik orangnya,” ucap Encik Ezwan.
“Terima kasih encik. Err... Kenapa encik tak datang?”
Ops! Alahai mulut ni... memang nak kena cili balik nanti. Kura-kura dalam perahu, buat-buat tak tahu.
“Masih belum masanya saya balik ke rumah tu,” jawab Encik Ezwan.
“Tapi encik, mama encik sangat rindukan encik. Selalu dia sebut tentang encik,” ujar Irdina.
Terdengar sebuah keluhan dilepaskan oleh Encik Ezwan. Pasti berat beban yang ditanggungnya.
“Belum masanya lagi Dina,” hanya itu balasan dari Encik Ezwan.
“Kalau belum, bila lagi encik? Dah lebih dari lima tahun encik. Berapa kali hari raya dah encik terlepas dari meraikan dengan keluarga. Encik tak rasa menyesal?”
Ewah, lebih-lebih pula kau ya Irdina. Entah macam mana pula boleh terkeluar pasal hari raya. Puasa tahun lepas pun tak habis ganti lagi, dah cakap pasal raya.
“Kamu tak faham Dina,”
“Ya, memang saya tak faham tapi saya rasa, sebagai anak, adalah tanggungjawab kita untuk mengikut cakap ibu bapa. Tanggungjawab kita juga untuk memaafkan mereka jika ada melakukan kesilapan. Saya tahu papa encik tak bermaksud demikian sewaktu cakap tentang perkara tersebut. Encik seharusnya berfikiran lebih positif. Waktu tu pasti Tan Sri sedang marah dan encik tahulah, bila orang sedang marah, dia tak sedar apa yang dicakapkannya,” panjang-lebar hujah Irdina.
“Bukankah terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya?”
Eh, Encik Ezwan ni, sempat pula dia berperibahasa masa  tengah serius.
“Betul encik tapi carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga,” balas Irdina sedangkan dia ketawa besar di dalam hati.
Ambil, nak berperibahasa sangat, kan dah kena. Irdina ni skor A1 tau dalam subjek Bahasa Melayu masa SPM.
“Encik Ezwan...” ujar Irdina berjeda seketika.
“Dah lebih dari lima tahun encik. Saya tahu, dalam masa lebih lima tahun ni, encik pasti sangat rindukan mama encik. Encik tak nak jumpa dia? Mendengar suaranya, merasa hangatnya pelukan seorang ibu? Encik sepatutnya bersyukur encik masih punya ayah dan emak. Encik masih bernasib baik. Tak seperti saya. Sejak kecil sudah kehilangan ayah dan emak. Tetapi mereka tidak pernah luput dari ingatan saya. Kasih sayang mereka, walau tiada di sisi, tetap menyelubungi hati saya. Sayangi mereka sementara mereka masih ada, masih bernafas di muka bumi ini encik,”
Tu dia... tazkirah percuma dari Ustazah Irdina. Encik Ezwan menundukkan wajah. Mungkin sedang berfikir akan sesuatu.
“Saya ucapkan berbanyak terima kasih untuk hadiah ini encik. Saya amat hargainya. Saya minta diri dulu ya encik,” ujar Irdina, tidak mahu berlama-lama dalam bilik ketuanya itu.
Selebihnya, Irdina mahu Encik Ezwan fikirkan tentang kata-katanya tadi. Sungguh dia tidak berniat mahu memalukan sesiapa. Dia cuma berkata perkara yang benar. Encik Ezwan perlu sedar, ibu bapa, adalah harta yang amat bernilai yang ada pada seorang anak. Begitu juga sebaliknya.
Irdina bangun lalu mula melangkah keluar namun terhenti di muka pintu. Dipandang Encik Ezwan yang masih menunduk. Dia tersenyum kecil.
“Malam esok ada sedikit kenduri doa selamat. Saya amat berharap encik dapat turut serta. Jika bukan sebab papa dan mama encik, anggaplah ia jemputan dari seorang pekerja pada majikannya,” ucap Irdina lalu menarik dtombol pintu dan menutupnya kembali, rapat-rapat.

*  *  *  *  *

Tidak sabar rasa di hati mahu menatap wajah neneknya. Selepas tamat waktu kerja, Irdina bergegas ke hospital. Pasti neneknya sudah lama menunggu. Sejurus pintu lif terbuka, Irdina melangkah laju menuju ke katil neneknya. Tanpa Irdina sedar, sejak tiba ke hospital, ada seseorang mengekorinya.
Irdina memberi salam lalu dijawab oleh neneknya dengan senyum lebar. Jika Irdina bekerja, gadis itu akan datang waktu petang sehingga Maghrib. Cuma pada setiap hari Jumaat saja cucunya itu akan menemaninya dari pagi kerana pada hari tersebut, Irdina mendapat cuti.
“Macam mana kerja hari ni?” tanya neneknya.
“Macam biasalah nek. Tak ada apa yang menarik pun. Oh ya, tadi tengah hari makan apa nek?”
“Sayur campur dengan ikan kukus masak sup. Tak berselera langsung,” rungut neneknya.
Irdina tergelak. Dia tahu neneknya itu kurang gemar makan ikan. Tapi kalau ayam, memang takkan tolak. Agaknya sebab itu banyak kolestrol yang berkumpul dalam badan.
“Nek, sesekali perlu makan ikan juga. Ikan banyak protein. Hah, ayam tu kurangkan. Tak elok makan makanan berdaging ni banyak sangat,” nasihat Irdina.
Neneknya mencebik. Irdina hanya tersengih. Nasihatnya tadi pasti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
“Assalammualaikum,”
Sapaan dari seseorang membuatkan Irdina terkesima apabila menoleh.
“A... Apa yang awak buat kat sini?”
Ekhmal senyum. Penuh makna!

*  *  *  *  *

Benarlah cinta itu tidak buta. Yang membutakan cinta adalah manusia itu sendiri. Cinta sebenarnya terdiri dari rona-rona yang penuh pesona. Setiap rona-rona itu punya kuasa yang tersendiri. Kuasa untuk menghadirkan rasa bahagia, mahupun derita.
Dan rona-rona cinta antara Ekhmal dan Irdina, menghadirkan rasa apa?
::bersambung::

7 ulasan :

epy elina berkata...

yer btul...
cnta x buta..
cuma mnusia sndri yg mbutakan mata krn cnta...

is berkata...

cedeynya bab ni. huhu... t'ingat kat mak ayah.

akira_bita berkata...

ye ye!!!! ekhmal dtg....hahahaha!!

Leya berkata...

ekhmal dah muncul! hohoho... next pliz!

lonely gurlz berkata...

kembali m'baca stelah agak lama t'tinggal coz gi kursus. rindu dgan dina n ekmal.

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih semua sudi singgah membaca... :D

kucun tella berkata...

suka bab ni!!go ekhmal go!!