Sepatah Dua Kata

Isnin, Julai 12, 2010

Semanis Epal - Bab 20




EKHMAL sudah memunculkan diri. Irdina terpaku, tidak menyangka akan kehadiran tunangnya saat itu. Kalau boleh, dia tidak mahu Ekhmal mengenali neneknya. Kalau boleh, dia tidak mahu Ekhmal tahu akan kehidupannya. Tidak boleh...

*  *  *  *  *

Irdina menjengilkan mata apabila melihat Ekhmal mengukir senyum. Bagaimana lelaki itu boleh berada di sini? Oh ya, bukankah Balkhis turut ditempatkan di hospital ini? Jangan-jangan lelaki itu terserempak dengannya semasa di tingkat bawah tadi.
“Siapa ni Dina?” soal neneknya.
“Ah, yang ni Ekhmal, sama tempat kerja dengan Dina. Kenalkan, ini nenek saya,” ujar Irdina dengan wajah kelat.
“Apa khabar nek?” sapa Ekhmal lalu bersalam dengan wanita di hadapannya, sopan.
“Dah tua-tua ni, macam nilah. Sekejap sihat, sekejap sakit,” jawab nenek Irdina.
“Dah lama ke kenal Dina ni?” sambung neneknya lagi.
Sudah... neneknya dah mula. Kalaulah neneknya tahu yang mereka sudah bertunang, agaknya terus pengsan dekat atas katil tu.
“Baru juga nek. Saya pun baru dapat kerja sama tempat dengan Dina,” Ekhmal mereka cerita.
“Oh ya, saya terlupa bos suruh kita jumpa klien kejap lagi. Jomlah, nanti lambat pula. Errr... Dina minta diri dulu ya nek. Esok Dina datang lagi,” ujar Irdina tiba-tiba lalu bersalam dengan neneknya.
“Tak apa Dina, tadi bos dah telefon saya. Cancel katanya,” balas Ekhmal tanpa memandang wajah Irdina.
Gadis itu tersentak. Mamat ni memang dah buang tabiat agaknya! Sengaja mahu menguji dia. Siaplah nanti!
“Dah lama nenek masuk wad ni?” soal Ekhmal, memanjangkan perbualan.
Irdina menjeling. Kenapalah lelaki ni rajin nak berbual pula? Kalau dengannya, sepatah ditanya, sepatahlah dijawab.
“Dah dekat seminggu rasanya. Tapi tak lama lagi keluarlah. Lepas pembedahan esok, duduk dua tiga hari, kemudian bolehlah balik. Tak sabar nenek. Bosan duduk hospital ni,” nenek Irdina meluahkan kelegaannya.
Bibir Ekhmal menguntum senyum. Entah mengapa Irdina yang melihat senyuman itu, seakan turut terpesona namun segera digeleng kepalanya. Merepek saja!
“Ekhmal ni dah kahwin ke?”
“Nenek!” tingkah Irdina.
“Nenek tanya dia, bukan kamu,”
Irdina mati akal. Ekhmal sudah semakin meleret senyumannya. Mengada-ngada!
“Belum lagi nek. Tapi saya dah bertunang,” jawab Ekhmal, jujur.
Wajah nenek Irdina berubah mendengar jawapan Ekhmal tadi. Ada riak hampa di situ.
‘Eh? Takkan nenek nak jodohkan dia dengan Ekhmal pula,’ desis hati Irdina.
“Oh, dah tunang rupanya. Hai, baru nenek ingat nak...”
“Eh, Ekhmal, kalau tak silap saya kawan kita yang dah bersalin tu pun ada kat hospital ni kan? Jom kita tengok dia,” Irdina menyampuk sebelum neneknya sempat meneruskan kata.
“Ish, kamu ni...” marah neneknya apabila kata-kata wanita itu tadi ditukas namun Irdina buat tidak endah.
“Nenek ingat nak apa tadi? Nak jodohkan saya dengan cucu nenek ni?” Ekhmal bertanya, sengaja menduga reaksi Irdina.
Hah? Dapat Irdina rasakan mukanya merona merah. Mamat ni memang dah melampau! Kalaulah neneknya tak ada kat depan sekarang, mahu disepak-sepak mulut lelaki itu. Terlebih ramah pula mulutnya hari ini. Terdengar tawa neneknya meletus. Sudah agak lama dia tidak melihat neneknya ketawa begitu.
“Pandai kamu teka ya Ekhmal. Bukan apa, cucu nenek di dah makin besar. Waktu nenek sebaya dengan dia, dah kahwin dah. Nenek tahu, umur nenek pun tak panjang. Sebelum nenek tutup mata, satu saja harapan nenek. Sekurang-kurangnya, nenek nak lihat Irdina berkahwin dan hidup bahagia. Baru nenek boleh pergi dengan senang hati...”
Irdina tersentuh. Bicara neneknya sangat meruntun hati. Tiba-tiba dapat dirasa air jernih bergenang di pelupuk matanya. Segera diseka, tidak mahu terus dihambat pilu.
“Jangan risau nek. Saya yakin, lambat-laun Irdina pasti bertemu jodohnya juga. Cepat atau lambat, itu urusan DIA. Lagipun, saya boleh tengok-tengokkan dia juga,” ujar Ekhmal.
Kata-kata Ekhmal mengusik kalbu Irdina. Boleh tengok-tengokkan dia? Apa maksud lelaki itu?
“Em, saya minta diri dulu ya nek. Nak melawat kawan sekerja. Ada masa, saya datang lagi ya nek,” kata Ekhmal lalu memandang gadis yang menyarung blaus lengan panjang rona hijau muda itu..
Nenek Irdina mengangguk. Irdina yang faham maksud pandangan Ekhmal tadi lantas bersalam dengan neneknya diikuti dengan Ekhmal. Mereka berdua berjalan bergandingan keluar dari wad perempuan itu. Nenek Irdina hanya memandang mereka dengan rasa yang berbaur. Semakin lama, bayang mereka semakin hilang. Perlahan-lahan, sebuah keluhan dilepaskan.

*  *  *  *  *

“Amboi, amboi, amboi... bukan main lagi awak ya. Sengaja nak kenakan saya!” gerutu Irdina sejurus mereka berada di koridor hospital.
Ekhmal tersengih, sudah dapat menjangka reaksi tunangnya itu.
“Apa aku dah buat? Berbual-bual dengan nenek kau pun salah ke?”
“Hello, berbual-bual memang tak salah. Tapi isi perbualan awak tu satu kesalahan besar!” balas Irdina.
“Iya? Isi perbualan yang mana?” usik Ekhmal.
“A... awak!”
“Jangan nak buat kecoh kat hospital ya. Tak nampak ke orang lalu-lalang ni?”
Irdina bungkam. Dia segera melangkah pergi, malas mahu melayan lelaki itu lagi. Namun  langkahnya terhenti apabila terasa tangannya dipegang. Irdina berpaling dan matanya bertemu dengan mata Ekhmal.
“Jadi, duit RM 25,000 tu untuk kos pembedahan nenek kau?” soal Ekhmal, masih mengenggam erat tangan gadis di hadapannya.
“Ekhmal, tolong lepaskan tangan saya. Tak nampak ke orang lalu-lalang ni?” Irdina sengaja memulangkan paku buah keras.
Serentak dengan itu pegangan tangannya dileraikan. Irdina tidak suka dipegang begitu. Terasa jantungnya melompat-lompat laju ingin keluar.
“Awak tak perlu masuk campur urusan saya. Duit tu saya nak buat apa, itu hak saya,” balas Irdina lalu kembali menyambung langkah.
“Kau tunang aku,” ucap Ekhmal.
Sekali lagi langkah Irdina terhenti.
“Jangan lupa ia hanya lakonan. Dalam surat perjanjian mengatakan bahawa kita tak perlu masuk campur dalam kehidupan masing-masing. Tolong ingat perkara tu,” ujar Irdina tanpa berpaling.
“Kau tak adil,” ujar Ekhmal.
“Maksud awak?”
“Kau dah kenal keluarga aku. Sepatutnya kau tak boleh sembunyikan tentang nenek kau,” Ekhmal menjawab.
“Saya rasa ia bukanlah satu isu yang perlu diperbesarkan. Keluarga saya hanya nenek saya seorang. Awak kenal atau tidak, ia tak bawa apa-apa makna,” balas Irdina.
“Sekurang-kurangnya, aku boleh bantu nenek kau,”
“Terima kasih atas keprihatinan awak tapi maaf, saya tak perlukannya,”
Irdina melangkah, membiarkan Ekhmal dengan telahannya sendiri. Dia tidak mahu terus terhutang budi dengan lelaki itu. Tanpa mereka sedari, ada seseorang yang mendengar setiap patah bicara mereka di sebalik dinding sejak tadi. Seseorang yang hanya menunggu masa untuk memisahkan mereka!

*  *  *  *  *

Susah benar mahu mengaku perasaan hati masing-masing. Adakah kerana ego atau ketidakpastian dalam mentafsir perasaan sendiri. Irdina dan Ekhmal, sampai bila mahu bermain tarik-tali?
::bersambung::

6 ulasan :

epy elina berkata...

hohooho...
sape la yg mndngr prbualan dina n ekhmal 2...
adeh...

Leya berkata...

x habis2 main tarik tali budak 2 org ni. x faham betul

firda berkata...

nakal ekhmal tu. kesian dina. aish, b'debar baca ending bab ni. sapalah agaknya tu

yanti berkata...

dina ni cepat benar perasan. ekhmal pun sama lembap.

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen :)

kucun tella berkata...

dua2 rasa benda sama tp dua2 kepala batu...

org yg nk pisahkan tu mir la tu...sbb mir nak rampas irdina..