Sepatah Dua Kata

Selasa, Julai 13, 2010

Semanis Epal - Bab 21




CINTA, masih tiada definisi yang tepat tentangnya. Ada yang mengatakan cinta itu subjektif. Ada yang beranggapan cinta itu perasaan yang sukar ditafsir. Pada Dina, cinta itu suatu perkongsian. Pada Ekhmal, cinta itu hanya mainan perasaan yang menyusahkan. Hasmir pula menganggap cinta itu paduan dua hati dan pada Balkhis, cinta itu adalah satu kemegahan atau menakluki. Masing-masing dengan tanggapan sendiri. Terpulanglah pada orang lain untuk membuat penilaian akan erti cinta yang sebenar.

*  *  *  *  *

Pintu bilik pembedahan masih belum dibuka sejak setengah jam yang lalu. Irdina resah menunggu. Sekejap dia duduk di kerusi berhampiran bilik pembedahan itu. Sekejap dia berdiri, lalu-lalang di hadapan pintu bilik pembedahan tersebut. Fikirannya tidak tenang. Hatinya diamuk gelisah. Namun, doa tidak lekang dipanjatkan pada Ilahi. Semoga semuanya berjalan lancar.
Irdina mengambil cuti setelah memberitahu urusan yang perlu diselesaikan hari ini pada Encik Ezwan. Sempat dia mengingatkan lelaki itu akan majlis kenduri doa selamat malam nanti dengan harapan agar terbuka pintu hati ketuanya itu untuk pulang ke rumah yang telah lama ditinggalkan. Pada Hasmir pula, tidak diberitahu untuk apa dia mengambil cuti. Entah mengapa, dirasakan kebelakangan ini lelaki itu sedikit jauh darinya.
Jika dahulu, sebelum perihal pertunangannya diketahui, Hasmir melayannya dengan mesra. Selalu bergurau dan bercerita perkara jenaka. Tetapi sejak dia bertunang beberapa hari yang lepas, Hasmir seakan menghadkan perbualan mereka. Mungkin Hasmir menganggap antara mereka sudah punya batas. Ah, kalaulah Hasmir tahu akan pertunangan yang berlaku adalah palsu semata.
Jam di tangan kanan dikerling sekilas. Sudah menjangkau ke angka 10.30 pagi. Sejak pukul lapan pagi lagi dia sudah terpacak di hospital, menemani neneknya yang akan menjalani pembedahan hari ini. Jelas terpancar kegusaran pada wajah neneknya sewaktu masuk ke dalam bilik pembedahan. Diminta neneknya memperbanyakkan isghtifar dan selawat, berdoa agar semuanya berjalan lancar.
“Tak penat ke hulu, ke hilir ni?” tegur seseorang membuatkan Irdina tersentak lantas diangkat wajahnya.
“Awak?”
“Ya, aku... Kenapa?” balas Ekhmal.
“Apa yang awak buat kat sini?”
“Tengah goreng karipap. Tak nampak ke?” sindir Ekhmal.
Irdina membulatkan mata. Orang tanya betul-betul dia buat lawak pula. Namun di dalam hati, entah mengapa kerisauan yang bergelumang sejak tadi mulai lenyap sedikit demi sedikit. Adakah kerana kedatangan Ekhmal membuatkan dia berasa lega? Ah, tak mungkin!
“Tak kerja?” spontan Irdina bertanya lalu melangkah ke kerusi, melabuhkan punggung di situ.
“Kerja tapi lari sekejap. Aku teringat nenek kau ada pembedahan hari ni,” jawab Ekhmal, menghampiri Irdina tetapi tidak duduk sebaliknya berdiri, bersandar pada dinding.
“Awak...” ujar Irdina.
Ekhmal memandang gadis berbaju kurung rona biru laut itu. Wajah gadis itu sugul. Terpancar riak cemas di situ. Pasti hatinya sedang libang-libu. Setahu Ekhmal, Irdina hanya ada neneknya sahaja, satu-satunya ahli keluarga gadis itu yang masih ada di muka bumi ini.
“Kenapa?” tanya Ekhmal apabila Irdina tidak meneruskan kata.
“Err... boleh tolong saya ke kantin?” pinta Irdina, teragak-agak.
Seboleh mungkin dia tidak mahu beredar dari bilik pembedahan itu. Bimbang jika dia tiada sewaktu nenek selesai dibedah.
“Kau belum sarapan lagi?”
Gelengan Irdina sudah cukup sebagai jawapan. Ekhmal mengeluh kecil.
“Tunggu sekejap,” balas Ekhmal lalu melangkah pergi.
“Err... saya nak roti coklat saja!” Irdina melaung namun tiada balasan dari tunangnya itu.
Irdina kembali melihat pintu bilik pembedahan yang masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu dibuka. Entah bagaimanalah keadaan neneknya sekarang. Ya Allah, selamatkanlah nenek dari segala bahaya...
Beberapa minit kemudian, Ekhmal tiba dengan membawa sebungkus plastik merah di tangan kanan. Dia menghulurkan bungkusan plastik itu pada Irdina. Hulurannya dicapai dan Irdina bagai tidak percaya melihat kandungan di dalam plastik merah itu. Ada bekas polistrin putih, sebungkus air teh ‘o’ dan sebiji epal merah. Bekas polistrin itu dibuka dan semerbak bau mee goreng menusuk ke rongga hidungnya sekaligus membuatkan perut Irdina bergelodak.
“Kenapa beli mee? Kan saya pesan roti saja tadi?” soal Irdina,
“Kat kantin tu tak ada roti. Makan sajalah apa yang dah aku beli tu,” jawab Ekhmal lalu duduk di sebelah Irdina.
“Berapa semua ni?” Irdina bertanya.
“Tak payahlah...”
“Saya tanya berapa semua ni?” ulang Irdina.
“Boleh tak kau makan dengan senyap aje?” sedikit tinggi ada suara Ekhmal.
“Huh!” balas Irdina lalu menggigit epal merah, malas mahu melayan kerenah tunangnya itu.
Baru beberapa gigitan, Irdina berpaling pada Ekhmal. Lelaki itu memejamkan mata sambil menyilangkan tangan. Irdina menatap wajah Ekhmal. Rasanya, ini kali pertama dia merenung wajah itu sebegitu dekat.
Ekhmal punya tahi lalat di hujung bibir sebelah kanan. Kata orang, kalau tahi lalat tumbuh di situ, tandanya orang tersebut bermulut manis. Betul agaknya. Yalah, dengan orang lain bukan main peramah lagi. Tapi kalau dengan dia, cakap tak berlapik langsung.
“Kenapa pandang aku macam nak makan orang? Lapar sangat ke?” ujar Ekhmal tiba-tiba, memeranjatkan Irdina lantas membuatkan wajah gadis itu kemerahan.
Irdina kembali menggigit epalnya. Langsung tidak berpaling memandang Ekhmal lagi. Terasa malu apabila tertangkap oleh Ekhmal. Agaknya entah apa yang lelaki itu fikirkan.
“Err... awak... te... terima kasih,” ucap Irdina.
“Hmm...” hanya itu balasan dari Ekhmal.
Usai menghabiskan sarapan, Irdina membuang bungkusan plastik merah itu ke dalam tong sampah yang berhampiran. Perutnya yang lapar sejak pagi tadi sudah diisi sepenuhnya. Ekhmal pula ke tandas sebentar. Sedikit-sebanyak Irdina hargai kedatangan Ekhmal menemaninya kala itu. Mungkin kedatangan lelaki itu adalah semata-mata kerana nenek. Itu saja, tiada niat lain.
Ekhmal kembali seketika kemudian. Irdina masih menundukkan wajah, gementar andai bertentang mata dengan tunangnya.
“Oh ya, Qis kirim salam kat kau. Semalam dia discharge,” ujar Ekhmal.
“Waalaikummusalam. Baguslah jika dia dah sihat semula. Dengarnya awak tengah carikan pejabat untuk buka firma guamannnya, betul?” Irdina sengaja bertanya, bertujuan mengisi kebosanan yang mula menerjah.
“Ha’ah, dah dapat pejabat berhampiran dengan syarikat papa. Mana kau tahu?”
“Dari Hasmir,” jawab Irdina ringkas walaupun dia mengetahui tentang perkara itu dari Puan Sri Hasmiza. Entah mengapa nama Hasmir yang meluncur laju di bibirnya.
“Kau... rapat ke dengan dia?”
“Siapa? Hasmir?”
“Tak adalah, tukang cuci kat hospital ni,” Ekhmal memerli.
Irdina tersengih, tahu Ekhmal sengaja menyindir. Dia sudah biasa.
“Nak kata rapat tu, tak jugalah sebab kami pun baru kenal. Tapi memang saya terkejut waktu tahu yang awak berdua ni sepupu,” jawab Irdina.
Belum sempat Ekhmal meneruskan kata, pintu bilik pembedahan dibuka. Irdina pantas bangun, menunggu kelibat doktor melangkah keluar dari bilik pembedahan tersebut.
“Doktor, bagaimana dengan nenek saya?” terpa Irdina pada doktor wanita yang berpakaian serba hijau itu.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Pembedahan telah selamat dilakukan. Harap selepas ini nenek awak akan jaga kesihatan baik-baik,” ujar doktor tersebut.
Irdina mengucapkan setinggi syukur pada Ilahi. Jelas terpancar riak ceria di wajahnya yang agak mendung sebentar tadi. Dia memandang Ekhmal yang mengukir senyum. Senyuman yang meyakinkan Irdina akan rasa yang mula berputik di hatinya!

*  *  *  *  *

Akhirnya Irdina mengerti akan hasrat hatinya sendiri. Namun, langit tidak selalunya cerah. Sesekali mendung akan tiba menutup sinar mentari. Begitulah dengan alam percintaan. Tanpa dugaan, manisnya cinta tidak mungkin dirasai. Lalu, apakah cinta di hati Irdina akan terus mekar atau layu sebelum sempat berbunga?
::bersambung::

6 ulasan :

epy elina berkata...

hohohoo....
hrp2 dina xbrtpuk sblah tngn...
n bg ekmal jeles ngn hasmir...
x aci klu dina je yg jeles bngtn antr ekhmal ngn qis...

Rizai Reeani berkata...

epy: hehe... tak tahulah dina dengan ekhmal ni macam mana akhirnya. kejap baik, kejap gaduh. macam air laut pula ada pasang surutnya. :)

akira_bita berkata...

dina dh faham hati dia.. ekhmal?

Leya berkata...

baik apa ekhmal cuma dia lembap sikit je. ha3.. apalah agaknya dugaan cinta diaorang ek..

Tanpa Nama berkata...

best:)
keep it up..

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen... :D