Sepatah Dua Kata

Rabu, Julai 14, 2010

Semanis Epal - Bab 22




MALAM ini akan diadakan majlis kenduri doa selamat sempena pertunangan Ekhmal dan Irdina. Hanya kenalan rapat dan jiran tetangga saja yang dijemput hadir. Majlis tersebut bermula selepas Solat Isya’. Sejak pulang dari hospital, bibir Irdina tidak lekang dari senyuman. Dan dia berharap agar malam ini, senyumannya akan bertambah lebar dengan kehadiran seseorang yang telah lama dinanti.

*  *  *  *  *

Sepasang baju kurung moden warna hijau pucuk pisang disarung pada tubuh sederhana tingginya. Rambut yang selalu ditocang ekor kuda dibiar lepas, bebas. Seperti kebiasaannya, dia hanya mengenakan bedak tipis di wajah walau di hadapannya tertera pelbagai jenis alat solek berjenama yang kebanyakannya diimport dari luar negara. Namun, dia bukanlah gadis yang pandai bergaya. Cukuplah sekadar mencalit gincu nipis di bibir agar tidak nampak pucat.
Irdina menolak daun pintu biliknya, melangkah ke tingkat bawah Vila Karisma. Sudah kedengaran suara para tetamu di ruang tamu. Irdina tidak jadi melangkah ke sana sebaliknya berlalu ke dapur. Kelihatan Mak Timah sedang asyik memotong agar-agar sirap buat pencuci mulut.
“Boleh Dina tolong Mak Timah?” pinta Irdina lalu mengambil loyang aluminium berbentuk segi empat tepat yang berisi agar-agar yang masih belum dipotong.
“Ish, tak payahlah Dina. Tinggal sikit saja ni. Pergilah ke ruang tamu tu, berkenalan dengan kawan-kawan Tan Sri dan Ekhmal,” suara Mak Timah.
“Ish, seganlah saya Mak Timah. Saya tak biasa dengan golongan korporat ni. Apa orang kata, tak senada. Seperti saya nyanyi lagu klasik, mereka nyanyi lagu hip-hop, hah, mana nak sama,” ujar Irdina membuat perumpamaan sendiri.
“Tapi kan Dina anak Dato’ juga. Takkan tak biasa,”
Irdina tersentak. Dia terlupa yang dia adalah watak ciptaan Ekhmal apabila berada di Vila Karisma. Dia bukanlah seorang gadis kampung yang sederhana sebaliknya seorang puteri yang dilimpahi kemewahan.
“Saya memang tak biasa Mak Timah. Papa dan mama pun jarang buat majlis begini,” Irdina membuat dalih.
“Hai Dina!” tegur Balkhis, sedikit mengejutkan gadis itu.
“Ha... hai!” balas Irdina, sedikit gementar, mungkin tidak menyangka Balkhis akan ke dapur untuk menyapanya.
“Kenapa duduk kat sini? Awak tu kan watak utama dalam majlis ni, mana boleh sembunyi,” ujat Balkhis.
“Ish, kejap lagi majlis dah nak mula pun. Kita orang perempuan ni, duduk di dapur sajalah,” tolak Irdina.
Balkhis hanya senyum. Seketika kemudian terdengar suara Tok Imam berucap lalu majlis bacaan doa selamat dimulakan. Irdina baru hendak bertanya akan Puan Sri Hasmiza namun wanita itu terlebih dahulu menjengah ke ruang dapur.
“Agar-agar tu masukkan dalam tray sajalah Mak Timah. Lagipun kita bukan buat berdulang,” pesan Puan Sri Hasmiza sebelu melangkah keluar dari ruang dapur entah ke mana tujunya.
“Makan buffet ke Mak Timah?” soal Irdina, hairan.
Mak Timah hanya mengangguk. Patutlah Irdina tidak nampak seorang pun kaun hawa di dapur ni. Rupa-rupanya pakai khidmat katering. Hai, orang ada duit ni, pakai order saja. Sepatutnya, majlis begini seronok jika dibuat beramai-ramai. Ada merewang kata orang. Barulah dapat saling bermesra sesama jiran.
Ah, zaman sekarang, cuba ditanya istilah merewang tu pada anak-anak muda, confirm tak tahu apa bendanya. Entahlah, tidak tahu mahu salahkan siapa. Kemajuan atau tiada sesiapa yang mahu memelihara tradisi nenek moyang dulu. Eh, tiba-tiba bersemangat kekampungan pula. Mestilah, dia kan gadis kampung.
“Pakai katering kan senang, jimat masa, tak penat, rumah pun tak bersepah,” ujar Balkhis bagai mengetahui apa yang bermain di fikiran Irdina.
“Tapi saya lebih suka jika buat ramai-ramai. Nampak meriah,” balas Irdina membuatkan tawa gadis berkebaya jingga di sebelahnya meletus.
“Nak meriah apanya kalau jiran tetangga duduk jauh-jauh. Tahu sajalah vila ni dengan vila yang lain, jaraknya bukan dekat. Lagipun Auntie Hasmiza kan tak suka ramai-ramai orang. Setakat kawan-kawan yang dia kenal, tak apalah,”
Dalam hati Irdina tidak menafikan kebenaran kata-kata Balkhis itu. dia hampir terlupa yang Puan Sri Hasmiza menghidap Enochlophobia iaitu fobia apabila berada di tempat yang ramai orang. Patutlah masa majlis pertunangannya dahulu, tetamu yang hadir boleh dibilang dengan jari saja.
Loyang yang berisi agar-agar masih belum dipotong. Irdina mencari andai ada pisau lagi dan berjaya menemuinya di dalam bekas berhampiran sinki. Mak Timah tidak berkata apa melihat Irdina sudah mula memotong agar-agar tersebut kepada saiz yang lebih kecil. Balkhis pula hanya memerhati.
Hampir lima belas minit, akhirnya majlis kenduri doa selamat menemui penghujungnya. Irdina membantu Mak Timah membawa tray berisi agar-agar sirap ke ruang tamu. Sempat matanya meliar mencari kelibat seseorang namun tidak kelihatan. Mungkin, pintu hati lelaki itu masih belum terbuka lagi.
Usai kenduri doa selamat, Irdina duduk berehat di ruang tamu bersama-sama Balkhis dan Puan Sri Hasmiza. Ekhmal dan Tan Sri Zulkafli berada di luar rumah, berbual-bual dengan beberapa tetamu yang masih belum mahu pulang.
“Oh ya Qis, dengar kata dah dapat pejabat untuk buka firma Qis tu. Sebelah pejabat uncle kan?” Puan Sri Hasmiza memulakan perbualan setelah keadaan agak hening seketika.
“Ha’ah, Mal yang tolong carikan. Nasib baik dekat, boleh selalu jumpa,” jawab Balkhis.
‘Boleh selalu jumpa? Lain macam aje bunyinya tu,” desis hati Irdina.
“Kenapa tak kerja dengan papa Qis?”
Balkhis tersengih, entah apa yang lucunya pada kata-kata Puan Sri Hasmiza tadi, tidak pula Irdina perasan.
“Qis nak berjaya atas usaha Qis sendiri. Qis tak mahu dikata menumpang kesenangan papa. Lagipun memang cita-cita Qis selama ni untuk menjadi peguam, bukannya businesswoman,” jawab Balkhis, kedengaran yakin sekali.
Puan Sri Hasmiza terangguk-angguk mendengar bicara Balkhis. Sedikit-sebanyak, timbul rasa kagum di hati Irdina. Ternyata Balkhis bukanlah gadis berada yang tidak tahu berdikari atas kaki sendiri.
“Kedai buku Dina tu dah siap ke?” soal Balkhis tiba-tiba membuatkan Irdina terasa lehernya bagai mahu dipancung.
Habislah! Apa mahu dijawab?
“Eh, bukan ke dulu Dina cakap kedai buku tu dah lama buka?” Puan Sri Hasmiza pula bersuara, curiga.
Irdina lagaknya seperti cacing kepanasan. Ini semua Ekhmal punya pasal! Tak rancang elok-elok terlebih dahulu. Kesudahannya, dia yang terkena.
“Oh, tu kedai buku baru. Kedai lama ada lagi,” hanya jawapan tersebut yang dapat Irdina fikirkan saat itu.
“Lah, tak beritahu mama pun Dina nak buka cawangan lain,” ujar Puan Sri Hasmiza, berkecil hati.
Irdina terpana sebentar apabila perkataan ‘mama’ keluar dari mulur Puan Sri Hasmiza. Sungguh ini kali pertama telinga Irdina mendengar Puan Sri Hasmiza berkata demikian. Apakah Puan Sri Hasmiza sudah mula menganggap dia sebagai menantu wanita itu?
“Err... err... tak sempat nak beritau mama, eh, auntie, eh, mama...” balas Irdina, gugup.
“Assalammualaikum,”
Ya Allah! Terima kasih! Kau telah menghantar penyelamat di saat-saat begini.
Kesemua pasang mata yang berada di ruang tamu itu menoleh pada empunya suara yang memberi salam tadi. Mata Irdina membulat. Balkhis juga kelu. Puan Sri Hasmiza apatah lagi, serasa mahu pengsan.
“Ez....Ezwan?” ujar Puan Sri Hasmiza.
Ya, di hadapan mereka adalah Ezwan, anak sulung Puan Sri Hasmiza. Irdina mengukir senyum gembira. Nampaknya hari ini kegembiraan sentiasa menyelubungi dirinya. Irdina mengucapkan syukur pada Ilahi. Semoga kegembiraan ini, tidak akan terhenti untuk beberapa ketika lagi.

*  *  *  *  *

Boleh dikatakan, rancangan Irdina untuk menyatukan Ezwan dengan keluarga ketuanya itu sudah berjaya. Sekarang, hanya tinggal perihal pertunangannya sahaja. Setakat ini, semuanya tampak berjalan lancar seperti yang dirancang. Tanpa Irdina tahu, tidak lama lagi, kegembiraan akan sirna pergi diganti dengan duka yang menghambat hati.
::bersambung::

3 ulasan :

epy elina berkata...

hohoho...
wah lembut jg ati ezwan untk mlwt kuarga dia...

Leya berkata...

hohoho... dina dah jatuh cinta tinggal si ekmal je lg. next!

izzati berkata...

org sekarang memang selalu wat majlis guna katering or kat hotel je. kat kampung baru bleh jumpa rewang tu