Sepatah Dua Kata

Khamis, Julai 15, 2010

Semanis Epal - Bab 23




DUA hari berlalu sejak pembedahan nenek Irdina berjaya dilakukan.  Kini wanita berusia hampir tujuh puluh tahun itu sudah kembali semula ke rumahnya dan berada dalam jagaan ketat Irdina. Cucunya itu pula kini sudah seperti orang angau dilamun cinta. Ya, Irdina sudah jatuh cinta.

*  *  *  *  *

“Nek, Dina nak pergi petik buah rambutan kat dusun belakang tu ya,” beritahu Irdina pada neneknya yang sedang menanak nasi di dalam periuk nasi untuk makan malam di dapur.
“Hah, jangan lupa tengok-tengok kalau ada durian yang gugur,” sempat neneknya berpesan.
“Okey!” jerit Irdina lalu membuka pintu dapur dan menyarung selipar Jepun dan melangkah ke dusun kecil di belakang rumah.
Mentari kelihatan semakin condong ke arah barat. Cahaya jingga mula terserak di langit biru. Sejak dua hari lepas di sudah melihat tiga batang pokok rambutan di dusun itu sudah mula merah buahnya. Buah rambutan memang kesukaannya. Rasa manis dan lemak. Apatah lagi pokok rambutan yang ditanam oleh arwah datuknya dulu jenis rambutan “budak sekolah”.
Hah, mesti ada yang tertanya-tanya apa benda rambutan “budak sekolah” tu? Tak pernah dengar pun. Huh, orang bandar memang tak pernah dengar nama pokok rambutan jenis itu. Dia ni anak jati kampung tau. Mari sini, orang kampung nak terangkan apa yang dimaksudkan dengan pokok rambutan jenis “budak sekolah”. Cewah...
Pokok rambutan “budak sekolah” ni warnanya merah tetapi tidak terlalu terang dan tidak terlalu gelap. Sederhana warna kulitnya. Saiz buahnya juga tidak besar seperti rambutan biasa dan yang paling penting, oleh sebab saiznya kecil sedikit, maka bijinya juga kecil. Rasanya? Tentulah manis! Oh, terlupa, bulunya juga tidak banyak seperti rambutan biasa. Halus-halus sahaja bulunya. Oleh sebab itu ia dipanggil “budak sekolah”. Sesuailah dengan saiznya yang kecil macam budak sekolah.
Jadi sekarang dah tahu apa tu rambutan jenis “budak sekolah”? Bagus... Eh, tiba-tiba jadi pakar pertanian pula ya. Tak apa, berkongsi ilmu.
“Apa yang Kak Dina cakap sorang-sorang tu?” tegur seorang gadis tembam yang memakai seluar track-bottom dan T-shirt bercorak gambar kartun popular, Upin dan Ipin.
“Hah, kau rupanya Debot. Buat terkejut akak saja,” ujar Irdina cuba mengawal rasa malunya tertangkap berkhayal sebentar tadi.
Gadis berumur sembilan tahun yang dipanggil Debot itu tergelak kecil melihat wajah Irdina yang sedikit kemerahan. Irdina hanya menggeleng. Kadangkala dia sebra-salah pula memanggil Debot atau nama sebenarnya Hidayatul Akhma Safiyyah. Sekali nafas saja sebut okey. Em, mungkin sebab namanya yang terlalu panjang itu, maka ramai menggelarnya Debot dek kerana susuk badannya yang agak berisi itu. Debot pula sudah lali dan tidak kisah dipanggil begitu oleh penduduk kampung tetapi jika di sekolah atau bersama-sama kawan sebayanya, mereka memanggilnya Akhma.
“Kau gelakkan akak ya. Dah, jom ikut akak petik buah rambutan ni. Nanti boleh bawa balik rumah kau sikit. Kakau kau si Dila tu hantu rambutan,” ujar Irdina.
Debot hanya mengikut langkah Irdina, jiran sekampungnya itu. Dia memang suka menghabiskan masa bersama-sama dengan kakak yang berumur hampir 26 tahun itu andai dia punya kelapangan kerana Irdina seorang yang ceria dan selalu membantunya membuat kerja sekolah.
“Akak nak panjat pokok ni, Debot sambut buah nanti ya,” arah Irdina.
Debot mengangguk. Irdina mula memanjat pokok rambutan yang sederhana tinggi tetapi batangnya saja sudah hampir dua pemeluk tangan lelaki dewasa. Berhati-hati Irdina memijak dari dahan ke dahan. Satu yang Irdina suka dengan pokok rambutan yang ditanam arwah datuk ini ialah pokok tersebut tiada kerengga yang membuat sarang. Jadi dia tidak perlu risau akan sakit digigit kerengga.
Irdina mengutil tangkai demi tangkai yang mengandungi gugusan buah rambutan yang berbuah lebat. Sudah ranum semuanya. Dia dan neneknya tidak menjual buah-buah berkenaan sebaliknya akan bersedekah kepada jiran tetangga atau ke masjid. Insyaallah, pahala sedekah itu milik arwah datuk yang menanam pokok-pokok buah ini.
“Aku tak tahu kau ada kepakaran bab panjat-memanjat ni,” tegur seseorang.
Irdina yang terkejut dengan teguran itu tidak dapat mengawal imbangan badan sewaktu hendak memijak dahan yang lain lalu dia hanya berserah apa yang bakal terjadi pada dirinya saat dia jatuh ke tanah.
‘Eh, apasal rasa seperti di awang-awangan ni?’ detik hati Irdina lalu membuka mata perlahan-lahan.
“Ekhmal!!!” jerit Irdina apabila perasan yang dia berada dalam rangkulan Ekhmal.
“Hei, turunkan saya! Turunkan!” amuk Irdina.
Ekhmal tergelak besar dengan telatah Irdina lantas melepaskan Irdina dari rangkulannya. Terduduk gadis itu ke tanah. Aduh! Kurang asam punya tunang!
“Ops! Sorry, kau yang suruh lepaskan tadi kan?” sindir Ekhmal.
“Awak ni kan! Eiii... geramnya saya!!!” Irdina meluahkan kegeraman hatinya sambil bangun perlahan-lahan.
Ekhmal selalu begitu. Muncul tiba-tiba macam magis. Sekurang-kurangnya bagilah salam dulu. Ini tak main terjah saja.
“Hebat kau ya. Tak sangka pakar panjat-memanjat,” ujar Ekhmal.
“Hello, untuk pengetahuan awak Ekhmal, orang kampung panggil saya spiderwoman okey,” balas Irdina.
Debot yang mendengar ketawa kecil. Di tangannya ada segugus rambutan. Irdina mengutip gugusan buah rambutan yang jatuh ke tanah. Ekhmal hanya memerhati.
“Ada apa awak datang ke sini? Eh, sekejap! Macam mana awak tahu rumah saya kat sini?” Irdina bertanya sambil tangannya ligat mengumpul buah-buha rambutan tersebut di satu tempat.
“Bukannya susah mana nak cari rumah kau Irdina. Google Maps kan ada,” jawab Ekhmal.
‘Banyaklah dia punya Google Maps. Ingat dia tak tahu, tunangnya itu pasti menyuruh orang bawahannya mencari lokasi rumah ini. Bila banyak duit, arah saja orang buat, habis cerita,’ getus Irdina.
“Jadi atas tujuan apa datang ni? Nak beli rambutan?”
Ekhmal tersengih. Kalau berlawan cakap dengan Irdina, ada sahaja idea untuk memerlinya. Ekhmal mengutill sebiji rambutan dari tangkai lalu mengopek kulit dan memasukkan ke dalam mulut.
“Hei, sapa benarkan awak ambil ni? Sebiji RM 1 ya,”
“Kalau macam tu, aku beli dengan pokok-pokoknya sekali boleh?”
“Huh, berlagak!”
“Manis... macam kau...” usik Ekhmal lagi.
“Tolonglah!” balas Irdina walau dalam hati berbunga-bunga apabila dikata begitu.
“Terima kasih,” ucap Ekhmal.
Irdina mengerutkan kening, tidak faham akan kata-kata Ekhmal tadi.
“Terima kasih sebab tolong ketemukan abang dengan mama,” sambung Ekhmal, menyedari ketidak-fahaman gadis yang memakai T-shirt lengan panjang dengan seluar track-bottom rona hitam itu.
“Hmm... Perkara kecil saja awak. Tanggungjawab saya membantu sebab tak lama saya tak akan bersama dengan keluarga awak lagi. Sekurang-kurangnya bila abang awak dah balik, mama awak tak akan sunyi,” ujar Irdina, sedikit sayu.
Ekhmal diam, tidak membalas kata-kata Irdina. Dia mengutil sebiji lagi buah rambutan.
“Okey, dah RM 2 ya,” Irdina pula mengusik.
Ekhmal tersengih, menampakkan barisan giginya yang memutih.

*  *  *  *  *

“Encik Ekhmal tak ada di pejabat cik,” beritahu setiausaha Ekhmal pada Balkhis yang mahu masuk ke dalam bilik pejabat Ekhmal.
“Tahu, dia suruh saya letakkan dokumen ni atas meja dia,” balas Balkhis lalu segera menolak pintu dan melangkah masuk.
Sebenarnya itu hanyalah alasan yang dicipta agar dia boleh masuk ke pejabat Ekhmal untuk mencari sesuatu yang sangat diinginkan. Terlebih dahulu sebentar tadi dia menyamar, menelefon ke pejabat Ekhmal untuk mengetahui lelaki itu ada di pejabat atau tidak.
Sejurus mengetahui Ekhmal tiada di pejabat, dia bergegas masuk kerana ada sesuatu yang perlu dicari di dalam bilik lelaki itu. Sesuatu yang akan menyempurnakan rancangannya. Sesuatu yang akan mengembalikan semula impiannya.
Laci demi laci ditarik sambil menyelongkar dengan berhati-hati dan Balkhis mengukir senyum sinis apabila benda yang dicari kini berada di depan mata.
‘Perjanjian Pertunangan’
Sudah lama dia menanti dan kini, penantiannya akan berakhir. Ekhmal akan tetap menjadi miliknya. Hanya dia!

*  *  *  *  *

Benarlah kita tidak boleh menilai seseorang itu hanya dari rupa paras atau luarannya kerana isi hati, dalaman seseorang itu lebih penting untuk diterokai. Siapa sangka persahabatan yang terjalin antara Balkhis dan Irdina hanya satu kepura-puraan. Sedang Irdina dan Ekhmal bergelak-ketawa bersama, ada niat jahat seperti syaitan yang mahu memusnahkan mereka berdua!
::bersambung::

12 ulasan :

mama_ariana09 berkata...

aduyaiii,,balkis dah jumpa kontrak tuh,,

epy elina berkata...

hohohohho....
eeeee...
liciknya pmpuan ni...
obses sngt ngn cnta kat ekhmal...

Tanpa Nama berkata...

salam...
xnk balqis tu...
nk irdina dgn ekhmal gak...
suka diorg...

Tanpa Nama berkata...

sangatlah sterotiap, make it different, actually dah ok tapi masuk bab 3rd person mcm tak best

Leya berkata...

aisey, jahat rupanya si balkhis tu. harap2 keluarda ekhmal boleh terima dina. aduhai...

datul berkata...

konflik dah nak mula ni! x sabar nak tunggu episod seterusnya!

siti berkata...

b'debar2 pula. mcam telenovela. ha3... sambung ya!

Tanpa Nama berkata...

urm..
jhat btul balkis
harp2 ekmal n dina tetp bersama..

hehe..

firda berkata...

tidak!!! ish, part ni yg x suke ni. apalah rancangan si qis tu. ish, sambung cepat rizai!

izzati berkata...

excited nak tunggu sambungannya! terima kasih banyaklah rizai sudi upload stiap hari. tak adalah kitaorg ni t'tunggu2.

Rizai Reeani berkata...

Sungguh saya sangat terharu melihat ulasan-ulasan yang diberikan. Gembira kerana anda meluangkan sedikit masa memberi pandangan tentang e-novel ini. Saya amat-amat hargainya... :)

Insyaallah, saya cuba yang terbaik dalam setiap bab. Mana tahu, ia boleh jadi versi cetak nanti kan? Tapi kalau nak jadi versi cetak, harus lebih panjang. Akan usahakan, Insyaallah...

kucun tella berkata...

kontrak hanya kertas...perjanjian hati lagi bermakna...chewahh..hahahahaha