Sepatah Dua Kata

Isnin, Julai 19, 2010

Semanis Epal - Bab 25



BALKHIS sudah pun memulakan rancangan untuk memisahkan Irdina dan Ekhmal. Hasmir juga telah terlibat sama dalam konflik cinta ini. Sekarang, hanya Irdina yang menanggung beban sementara Ekhmal masih tidak tahu apa-apa.

*  *  *  *  *

I rasa you masih ada kerja yang perlu dibuat, leave us alone,” ujar Balkhis pada Hasmir sambil memandang lelaki itu, meminta agar dia beredar segera.
Hasmir kelihatan seperti agak berat mahu melangkah namun dia tahu, seboleh mungkin Balkhis tidak akan benarkan dia berada di situ. Pasti ada sesuatu yang penting mahu dibincangkan dengan Irdina. Tidak mengapa, di yakin Balkhis pasti akan memberitahu apa yang dibincangkan nanti sama seperti dia memberitahu tentang perjanjian pertunangan antara Ekhmal dan Irdina semalam.
Sejurus Hasmir menghilang, Balkhis merenung tajam gadis yang memakai seragam putih dengan apron yang dililit di pinggang itu. Irdina membalas renungan Balkhis, tidak mahu kalah.
“Bacalah,” ujar Balkhis seraya melempar sebuah dokumen di hadapan Irdina persis seorang ketua yang tidak menyenangi laporan bertulis yang dihasilkan oleh pekerjanya.
“Apa ni?” soal Irdina, tidak terus mengambil dokumen tersebut.
“Just read it!” arah Balkhis, angkuh.
Irdina mencapai dokumen yang diletakkan di dalam fail lutcahaya bersaiz A4 itu lalu mula membaca muka surat pertama. Darah merah terasa menyerbu laju naik ke muka. Dadanya berombak kencang. Tangannya sedikit menggigil.
“Da... Dari mana awak dapat perjanjian ni?” Irdina bertanya, gusar.
“Itu you tak perlu. Yang penting sekarang adalah perjanjian ni. You tahu akibatnya kalau ia jatuh ke tangan Auntie Hasmiza?”
Berderau darah Irdina apabila nama Puan Sri Hasmiza disebut. Sungguh dia tidak dapat menjangka apa akibat yang menanti jika Puan Sri Hasmiza tahu akan perjanjian ini. Tetapi, yang dia lebih fikirkan, dari mana Balkish mendapat dokumen tersebut? Ekhmal? Ah, tak mungkin. Masakan lelaki itu akan membocorkan rahsia di mana dirinya juga turut terlibat. Jadi dari mana? Siapa? Bagaimana?
“Apa yang awak nak Balkhis?” Irdina terus bertanya tanpa berkias lagi.
“Tinggalkan Ekhmal,”
Irdina tersengih. Apakah Balkhis rabun sehingga tidak nampak dengan jelas perkataan tiga bulan yang tertera pada perjanjian tersebut?
“Saya memang akan berpisah dengan Ekhmal tidak lama lagi. Apa yang awak risaukan?”
Balkhis ketawa kecil. Dia tahu pasti Irdina menganggap yang dia tidak mengerti akan tempoh tiga bulan yang diberi. Dia bukannya tidak nampak, tetapi baginya, dalam tempoh tiga bulan itu, banyak perkara boleh berlaku.
Balkhis masih ingat sewaktu dia terdengar perbualan antara Ekhmal dan Irdina di hospital beberapa hari yang lepas. Hari itu dia sudah boleh pulang ke rumah. Selepas mengemas barang, dia melangkah keluar dari wad VIP yang didiami selama tiga hari dan menuju ke arah lif. Sampai ke tingkat bawah, dia duduk di sofa yang terdapat di lobi hospital, menanti kedatangan Ekhmal.
Beberapa ketika menunggu, dia ternampak kelibat lelaki itu di pintu masuk utama namun belum sempat menegur, dia lihat Ekhmal pantas menaiki lif. Segera dia berlari untuk mendapatkan lelaki itu namun tidak sempat kerana pintu lif sudah tertutup.
Fikirnya, mungkin Ekhmal menyangka dia masih berada di dalam wad tetapi apabila melihat nombor tempat lif berhenti, ada ragu yang menjengah. Lif berhenti di tingkat lima, bukannya di tingkat tiga, wad di mana dia ditempatkan.
Lalu dia pantas menekan butang ‘turun’ dan menanti dengan penuh debaran. Apabila sampai ke tingkat lima, dia mencari kelibat Ekhmal dan melihat lelaki itu sedang berbual mesra dengan seorang wanita bersama Irdina di sisi.
Lalu apabila keduanya mahu beredar, dia segera bersembunyi di balik dinding dan segala perbualan mereka jelas ditangkap oleh pendengarannya. Tanpa disangka, rupanya Ekhmal dan Irdina menyimpan rahsia sebegini besar.
“Sempat awak mengelamun ya,” sindir Irdina, menyentak lamunan gadis berblaus kuning cair di hadapannya.
Balkhis berdehem sebelum menyambung kata.
I tahu tapi I tak mahu ia berlanjutan sampai tiga bulan,”
“Maksud awak?”
“Dua minggu,”
Irdina mengerutkan kening. Apa yang Balkhis cuba sampaikan?
“Dua minggu?” Irdina mengulang semula kata-kata Balkhis tadi.
“Untuk you uruskan perihal pertunangan you dengan Ekhmal. Putuskan pertunangan tu dan kembali semula dengan hidup you yang biasa,”
Tawa Irdina meletus. Entah mengapa dia rasakan Balkhis seperti sedang membuat lawak jenaka dengan kata-katanya tadi. Apakah Balkhis tidak faham maksud perjanjian?
“Saya rasa awak dah baca dengan jelas dalam perjanjian tu ada mengatakan sesiapa yang melanggar tempoh sebelum tiga bulan, dia harus membayar ganti rugi sebanyak RM 50 000,”
“I give you that money,”
“Semudah itu? Apa sebab sebenar awak lakukan semua ni?” Irdina bertanya, curiga.
“Sebabnya mudah saja. Ekhmal milik I,”
“Tapi dia tak cintakan awak. Bukankah awak pernah ditolak olehnya?”
Balkhis terasa seperti ada sembilu tajam yang mencucuk hatinya saat Irdina menuturkan kata-kata tadi. Ya, memang benar Ekhmal pernah menolak dirinya namun dirasakan dia masih ada peluang untuk menambat semula hati lelaki itu. Dia cintakan Ekhmal setulus hatinya. Sejak kecil lagi mereka sudah berhubungan. Hanya lelaki itu yang memahami dirinya dan begitu juga sebaliknya.
I yakin I boleh buat Ekhmal cintakan I,”
“Dari mana datangnya keyakinan tu?” uji Irdina.
You jangan banyak soal boleh tak? I tak ada masa nak layan soalan remeh-temeh you tu. Sekarang apa yang I nak adalah you putuskan pertunangan tu dalam masa dua minggu. Itu saja,” jelas Balkhis.
Irdina menggeleng. Balkhis di hadapannya ini bukan lagi Balkhis yang dikenali dahulu. Balkhis di hadapannya ini sekarang adalah musuh cintanya.
“Kalau saya tolak?”
I tak akan teragak-agak untuk serahkan dokumen ni pada Auntie Hasmiza,”
“Adakah itu satu ugutan?”
“Terpulang bagaimana you tafsirkannya,” balas Balkhis.
“Awak terlalu pentingkan diri. Bukankah awak cintakan Ekhmal? Tindakan awak ni akan menyebabkan Ekhmal disakiti nanti,”
Auntie Hasmiza akan lepaskan Ekhmal sebab Ekhmal tu anaknya. You yang patut risau akan diri you nanti. Auntie Hasmiza boleh buat apa saja termasuklah melenyapkan you terus,” Balkhis cuba membuatkan Irdina berasa gentar.
Sebuah jelingan dihadiahkan pada Irdina. Susah benarkah untuk Irdina bersetuju? Sekejap, jangan-jangan...
“Oho, jangan kata kau ada perasaan pada Ekhmal?” duga Balkhis.
“Kalau saya katakan ya?”
You!
“Buatlah apa awak nak buat Balkhis. Apa yang pasti, tindakan awak nanti akan buat awak menyesal sendiri. Kalau Ekhmal tahu awak yang bocorkan perjanjian ni, dia takkan maafkan awak. Apa pun, kita tunggu sahaja sehingga tempoh tiga bulan tu tamat. Apa pun keputusan Ekhmal, terima saja. Maaf, saya masih ada kerja yang perlu dilakukan. Minta diri dulu,” ujar Irdina lalu bangun dan melangkah pergi, meninggalkan Balkhis dengan perasaan yang berbaur.
Namun, sebelum masuk ke ruang dapur, langkah Irdina berhenti di muka pintu.
“May the best woman win,” ucap Irdina sambil mengenyit mata pada Balkhis yang sedang merona merah wajahnya, marah!

*  *  *  *  *

Irdina sudah membuatkan api yang kecil bertambah marak. Dia kelihatan begitu yakin untuk mempertahankan cintanya. Namun Irdina tidak sedar, seperti yang berlaku pada Hasmir, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Apakah Ekhmal turut mempunyai perasaan yang sama terhadapnya?
::bersambung::

6 ulasan :

Leya berkata...

ha3.. cayalah dina! itu yg kita mahu..

epy elina berkata...

hohohho...
tkytnya ngn pmpuan mcm baiqis 2...
come on dina...
jgn mngalah...

datul berkata...

gedikz beul qis tu. go dina go!

♥ HanNa ♥ berkata...

hehe..
bagus irdina..
kne lawan..
klau x.. nnt smakin mnjadi-jadi balkis
hhehe.. x sbr nal tunggu

shura berkata...

meluatnya ngan qis tu. perasan lebih. bagus dina, jangan layan si qis tu. pertahankan cinta kau. eceh aku..

Rizai Reeani berkata...

Hehehe... Kasihan Balkhis tu sebenarnya. Dia hanya mahu berada di sisi lelaki yang dia cintai. (Eh, back-up pula)

Saya sayang semua watak-watak dalam setiap karya saya walau sejahat mana pun dia. :)

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen. ;)