Sepatah Dua Kata

Selasa, Julai 20, 2010

Semanis Epal - Bab 26




KITA tidak boleh memaksa orang yang kita cintai untuk menyintai diri kita kerana cinta bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa. Tiada gunannya hidup di sisi dia yang langsung tiada sekelumit perasaan cinta dalam hati untuk kita kerana cinta itu adalah kebahagiaan yang harus dinikmati oleh dua hati, bukannya dikaut seorang diri.

*  *  *  *  *

Langit malam direnung. Gelap dan pekat. Tiada sebutir bintang pun yang bergemerlapan bagi menemani rembulan yang memancar malap. Seringkali awan hitam menutup wajah rembulan, seakan tidak mahu rembulan bersinar menerangi alam dengan cahayanya yang penuh pesona. Ah, mungkin rembulan dan bintang-bintang memahami hatinya yang sedang rawan tika ini.
Kejadian yang berlaku siang tadi benar-benar menghadirkan resah pada Irdina. Entah dari mana datangnya kekuatan untuk dia membalas setiap patah kata yang Balkhis tuturkan. Lancang sangat mulutnya melafaz kata walhal dia baru sedar, ugutan Balkhis tidak boleh dipandang remeh. Jika Balkhis menyampaikan perihal perjanjian pertunangan itu pada Puan Sri Hasmiza, silap-silap dirinya akan dibunuh.
Eiii... memikirkannya saja sudah buat badan terasa seram-sejuk. Mustahil Puan Sri Hasmiza tergamak untuk membunuhnya atas kesalahan kecil itu. Kesalahan kecil? Ini melibatkan nama baik keluarga! Ah, mengapa dia baru perasan akan hal ini? Mengapa majlis pertunangannya dibuat dengan meriah bagai hendak sambut menantu? Sepatutnya mereka hanya bertunang ala kadar saja supaya apabila putus tunang nanti, tidaklah terlalu besar impaknya.
Sebuah keluhan dilepaskan. Deru angin malam yang menampar-nampar wajah sedikit pun tidak mampu membawa pergi walang yang bersarang di hati. Bunyi keriuk tingkap kadang-kala menimbulkan keseraman juga. Pantas Irdina menarik daun tingkap dan menguncinya. Dia melangkah perlahan ke arah katil lalu merebahkan tubuhnya di situ.
Dia menelentang, memandang siling kayu rumah papan dua tingkat itu. Siang tadi, selepas dia masuk semula ke ruang dapur, Balkhis tidak ikut sama. Mungkin gadis itu sudah pulang mengikut jalan belakang. Dan seperti diduga, Hasmir terus menerpanya.
“Apa yang Qis cakapkan?”
Irdina memandang Hasmir dengan rasa yang berbaur. Ada curiga, ada ragu-ragu, meluat pun ada. Begitu mudah lelaki itu melafazkan kata cinta dan kemudian mengatakan yang dia tidak boleh bahagia dengan menyintai Ekhmal. Siapa Hasmir untuk menilai perasaannya? Mereka bukan kawan rapat yang sudah lama kenal. Usia persahabatan mereka belum pun menginjak setengah tahun. Suku tahun pun belum.
“Rasanya kalau awak tak terlepas cakap tadi, sampai bila awak nak rahsiakan dari saya yang awak dah tahu tentang perjanjian tu?” soal Irdina.
Hasmir diam, tidak menyangka akan soalan Irdina itu. Memang pada mulanya Balkhis meminta agar dia merahsiakan perkara tersebut kerana sepupunya itu sudah ada perancangan sendiri. Balkhis berjanji, Irdina akan menjadi miliknya sementara Ekhmal adalah hak milik gadis itu. Dan dia, hanya bersetuju memandangkan dia sememangnya menyintai Irdina.
“Kenapa diam?” soal Irdina apabila tiada tindak-balas dari lelaki yang memakai topi panjang rona putih di kepalanya itu.
“Sebab saya tak mahu sakitkan hati awak. Saya akan tunggu dengan senyap selama tiga bulan nanti. Kemudian baru saya akan luahkan perasaan saya,”
Irdina tersengih. Dia tahu Hasmir seorang lelaki yang penyayang dan romantis. Tidak seperti tunangnya yang kasar dan panas baran itu. Namun Hasmir perlu tahu, di dalam hatinya sudah terukir sebaris nama lain, bukannya Hasmir.
“Apa yang Qis cakapkan dengan awak?” Hasmir bertanya semula soalan yang tidak dijawab Irdina mula-mula tadi.
“Dia suruh saya putuskan pertunangan dalam masa dua minggu. Kalau tak, dia ugut untuk beritahu Auntie Hasmiza tentang perjanjian tu,” jawab Irdina, tidak sedikit pun melihat ke wajah Hasmir.
“Saya setuju dengan Qis. Bukan sebab dia sepupu saya tapi sebab saya tak mahu awak terluka. Kalau awak ada perasaan pada Ekhmal, lebih baik awak lupakan saja. Ekhmal hanya gunakan awak untuk melepaskan diri dari galerinya ditutup dan dikahwinkan dengan Qis. Awak patut tahu tentang tu,” ujar Hasmir.
Irdina terkedu. Ya, kata-kata Hasmir ada benarnya. Memang Ekhmal bertunang dengannya sebab mahu melepaskan diri dari ugutan Puan Sri Hasmiza. Lelaki itu tidak akan memandangnya dengan perasaan selain dari orang asing. Tapi, bagaimana dengan perasaan yang mula berputik dalam hatinya untuk Ekhmal?
Bunyi ketukan pintu menyentakkan Irdina dari lamunan lalu dia mengantung lamunannya tadI tidak bertali. Seketika kemudian pintu biliknya ditolak dan wajah nenek terjengul di balik pintu.
“Belum tidur lagi?”
“Dah nak tidurlah ni nek. Tadi Irdina siapkan kerja sikit,” Irdina berdalih.
“Sebelum tidur, basuh kaki dulu. Selamat malam. Assalammualaikum,” ucap neneknya.
Irdina mengangguk lalu menjawab salam yang diberi. Pintu bilik dikatup semula. Sekali lagi Irdina mengeluh. Kata-kata Balkhis dan Hasmir bersilih-ganti menerjah fikirannya.
Putuskan pertunangan tu dan kembali semula dengan hidup you yang biasa
Kalau awak ada perasaan pada Ekhmal, lebih baik awak lupakan saja. Ekhmal hanya gunakan awak untuk melepaskan diri
Seketika berperang dengan perasaan sendiri, Irdina bingkas bangun dari katil lalu membuka pintu, keluar menuju ke ruang tamu.
Dia mencapai gagang telefon lalu mula mendail. Beberapa saat menunggu, panggilannya berjawab.
“Saya ikut rancangan awak. Pertunangan akan diputuskan dalam masa dua minggu,” ujar Irdina pada Balkhis yang mendengar di talian sebelah sana dengan hati yang berbunga, ceria!

*  *  *  *  *

Irdina sudah membuat keputusan. Keputusan yang dia sendiri tidak tahu akan mendatangkan kebaikan atau keburukan pada dirinya. Dia hanya bertindak mengikut akal yang rasional dan bukannya ikutkan rasa hati. Mungkin lebih baik jika dia memutuskan perhubungan dengan Ekhmal secepatnya supaya rasa cinta dalam hati, tidak menjadi racun yang membunuh diri.
::bersambung::

6 ulasan :

Leya berkata...

eh, janganlah dina! janganlah!

epy elina berkata...

yea....
ptuskan sja prtunangn 2...
nnt smin lma cnta kat ekhmal ssh nak ilngkan...
br msa yg tntukan...

♥ HanNa ♥ berkata...

knape nk putus..]
tp kalu putus pon
hrp2 ekmal sedar akn dina..

izzati berkata...

hasmir tu nak hasut2 kenapa? emo ni..

shikin berkata...

no dina! kenapa cepat mengalah ni? x suke, x suke..

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih semua sudi singgah membaca... :)