Sepatah Dua Kata

Rabu, Julai 21, 2010

Semanis Epal - Bab 27




HATI akan berasa pedih apabila orang yang kita cintai, tidak mempunyai perasaan yang sama dengan apa yang kita rasa. Ya, peritnya mengharap pada yang tidak sudi. Lebih sakit apabila perasaan itu dipendam dan tidak diluahkan. Pada Irdina, dia bukan tidak mahu meluahkan perasaan yang semakin menggebu di hati tetapi di sedar, dia bukanlah seorang yang layak berada di sisi Ekhmal.

*  *  *  *  *

Ekhmal merenung laut biru yang luas tidak berpenghujung. Deru ombak yang menghempas pantai, sedikit mengusik jiwa. Ciak-ciak camar yang terbang berpasangan, menghadirkan rasa aneh dalam hati. Dia melakar sesuatu pada pasir pantai yang memutih menggunakan ranting kayu pokok ru yang tumbuh tegak berjajar di pesisir pantai Port Dickson itu. Tanpa sedar, tangannya menulis nama seseorang. Seseorang yang telah lama mendapat tempat di hati. Seseorang yang membuatkan jiwanya diselubungi bunga-bunga ceria. Seseorang yang muncul dalam mimpinya saban malam.
“Irdina,” ucap Ekhmal seraya mengukir senyum.
Pantai peranginan Port Dickson pagi itu tidak begitu ramai dengan pengunjung. Mungkin kerana dia datang pada hari biasa dan bukannya hujung minggu. Selalunya, pantai peranginan ini akan sesak dengan pelawat dari dalam mahu pun dari luar negeri. Masing-masing mahu mengsirnakan tekanan dengan bermandi-manda dan beriadah di pantai yang sentiasa disepuh bayu laut yang damai.
Sebenarnya, mahu saja dia berterus-terang dengan Irdina akan hakikat sebenar yang disembunyikan sejak sekian lama. Kejadian Irdina memijak epalnya dahulu bukanlah kali pertama dia bertentang mata dengan gadis itu. Dalam erti kata yang lain, dia sudah lama mengenali Irdina. Dan kalaulah gadis itu tahu bahawa kejadian dirinya terpijak epal itu adalah satu rancangan, pasti Irdina akan terkejut.
Ya, dia yang merancang agar Irdina masuk ke dalam jerat yang dipasang. Memang jika diikutkan hati, dia mahu terus berkahwin dengan Irdina namun gadis itu seperti jinak-jinak merpati. Mudah didekati tapi bila hendak ditangkap pantas melarikan diri.
Perlahan-lahan, Ekhmal menyelak semula lembaran kenangan semasa dia menuntut di Universiti Teknologi MARA Shah Alam, lima tahun dahulu.

*  *  *  *  *

“Awak tahu tak kajian menunjukkan, dengan menghidu epal hijau boleh menurunkan nafsu makan?” ujar seorang gadis dengan rambut yang ditocang ekor kuda pada seorang rakannya yang sedang menikmati jus epal di kafeteria Fakulti Pengurusan Perniagaan itu.
“So?” rakannya yang bercermin mata itu bertanya.
“Cik Aqilah, Bukan ke hari tu awak kata awak nak berdiet sebab berat awak dah naik tiga kilo?” gadis bertocang ekor kuda itu bertanya pada rakannya lagi.
“Saya tahulah Cik Irdina oi... Sebab tu saya minum jus epal ni,” jawab rakannya yang dipanggil Aqilah itu.
“Ya, memang saya nampak awak minum jus epal tapi saya juga nampak sebentar tadi, sepinggan nasi dengan dua ketul ayam yang dicurah sambal tanpa secubit sayur. Dan sekarang semangkuk bubur kacang hijau sebagai pencuci mulut. Itu yang dikatakan berdiet?” perli Irdina.
Rakannya itu ketawa besar. Irdina pula hanya mencemik.
“Okey, okey... Saya faham. Memang saya nak berdiet tapi esok baru mula. Sebab tu kena makan puas-puas dulu sebelum mula berdiet,” jawab Aqilah.
Tiba-tiba Irdina bangun dari duduk lalu menuju ke kaunter makanan. Dia mengambil tiga biji epal merah lalu membuat pembayaran dan melangkah semula ke mejanya.
“Ehem, sebagai langkah permulaan, apa kata kita tukar bubur kacang hijau tu dengan epal ni,” ujar Irdina lalu mengambil bubur kacang hijau di hadapannya dan diganti dengan dua biji epal merah yang dibeli tadi.
“Eh, eh... Apa ni? Ala Dina, janganlah macam ni. Bukan awak tak tahu bubur kacang hijau tu favourite saya. Ala, please...” Aqilah merayu pada Irdina namun rakannya itu buat endah tak endah.
“Okey, okey, saya janji mulai esok saya akan guna diet plan yang awak bagi semalam. Hari ni saja, please... Dah lama saya mengidam nak makan bubur kacang hijau tau,” pujuk Aqilah lagi.
Irdina masih buat-buat tidak dengar. Dia menggigit epal merah di tangan lalu mengunyah sambil berpura-pura membaca majalah, sengaja mahu mengusik Aqilah sebenarnya.
“Batu belah, batu bertangkup. Tangkuplah saya, makanlah saya. Saya kempunan nak makan bubur kacang...” Aqilah berkata tiba-tiba membuatkan Irdina menghambur tawa.
“Awak ni... Yalah, yalah, ambil balik bubur awak ni. Nanti kempunan pula,” ujar Irdina dalam tawa yang masih bersisa.
Thanks a lot!!! Sayang awak!” ucap Aqilah.
“Hah, epal tu jangan lupa makan,” Irdina mengingatkan.
“Eh, kenapa sampai dua?”
“Saja beli supaya awak tak mengunyah benda lain yang tak berfaedah masa kat bilik nanti,”
“Ish, tak naklah, satu pun dah cukup. Nanti busuk pula epal ni kalau tak makan cepat,” balas Aqilah.
“Ala, makan saja dua biji sekaligus,” saran Irdina.
“Hello, awak ingat saya ni hantu epal ke? Awak tahu saya bukannya suka makan buah, kan?”
Irdina tergelak kecil. Ada-ada sahaja rakan baiknya yang seorang ini.
“Dah tu, nak buat apa dengan sebiji lagi epal tu?” soal Irdina.
“Awak yang beli, awaklah yang makan,”
“Kat tangan ni pun tak habis lagi, awak nak suruh saya makan yang baru? Okey, tak apa, bagi sini epal tu,” pinta Irdina lalu menoleh ke belakang.
Kebetulan, ada seorang pemuda sedang membaca akhbar di tempat duduk di belakang meja mereka. Irdina menyapa pemuda tersebut.
“Awak nak epal ni? Saya bagi percuma,” ujar Irdina dalam senyuman.
“Hah?” pemuda bercermin mata itu sedikit kaget.
“Ambillah, buat pencuci mulut, elok untuk kesihatan tau,”
“Err... thanks,” ucap pemuda tersebut.
“Welcome,” balas Irdina lalu berpaling semula menghadap Aqilah.
Epal di tangan direnung seketika. Dari tadi dia asyik mendengar perbualan dua orang gadis yang duduk di meja di belakangnya. Entah mengapa ada debar di hati saat memandang wajah gadis yang memberikannya epal tadi. Apatah lagi senyuman yang terukir di bibir gadis itu, tambah mencairkan hati.
Bunyi loceng penjual aiskrim mengembalikan semula Ekhmal ke alam realiti. Dia tersenyum apabila mengingati semula kenangan yang disimpan jauh dalam lipatan memorinya. Itulah kali pertama dia bertentang mata dengan Irdina, gadis ceria yang memberinya sebiji epal merah sebagai pencuci mulut. Ekhmal ketawa kecil apabila mengingati peristiwa tersebut.
Waktu itu, dia dan Irdina sedang berada di dalam tahun akhir pengajian ijazah sarjana muda di universiti. Mereka berbeza jurusan tetapi berada di dalam fakulti yang sama. Dia mengambil jurusan pengurusan sumber manusia sementara Irdina mengambil jurusan pengurusan perniagaan.
Ekhmal cuba mengenali Irdina sebelum mereka menamatkan pengajian tetapi entah mengapa lidahnya kelu untuk melafaz kata. Sehinggalah masing-masing menyambung pengajian ke peringkat sarjana, perasaan yang bergelumang di dalam hati hanya mampu dipendam.
Mereka terpisah apabila Irdina mengambil keputusan untuk menyambung pengajian secara jarak jauh, mungkin kerana masalah kewangan. Dan apabila dia terserempak dengan Irdina dua bulan yang lalu sewaktu gadis itu sedang merayau-rayau mencari pekerjaan, timbul satu rancangan dalam fikirannya. Kali ini, dia tidak akan lepaskan Irdina lagi. Setelah menyiasat latar-belakang gadis itu dan yakin dia masih belum berpunya, Ekhmal mula merancang kejadian pertembungannya dengan Irdina berikutan perihal epal yang dipijak. Sengaja dia mengupah seorang budak untuk berlakon sebagai pencuri dan hasilnya, gadis itu kini berada di sisi walau belum menjadi miliknya lagi.
Bunyi isyarat mesej kedengaran membuatkan Ekhmal sedikit tersentak. Dia menyeluk poket seluar dan melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbit tersebut. Mesej dari Irdina.

‘Jumpa malam ni pukul 08.30 malam di restoran tempat kita jumpa pertama kali dulu. Ada perkara yang saya nak bincang dengan awak’

Dahi Ekhmal berkerut. Entah apa yang mahu dibincangkan oleh Irdina dengannya nanti. Sepertinya sangat penting sehingga gadis itu mahu berjumpa dengannya di luar, bukan di vila. Adakah sesuatu yang buruk telah menimpa gadis itu?

*  *  *  *  *

Cinta pandang pertama. Pasti semua pernah merasainya. Kata orang, cinta pandang pertama sukar dilupakan dan seringkali juga cinta pandang pertama tidak menjadi kenyataan. Oleh sebab itu, apabila cinta datang mengetuk pintu hati untuk kali kedua, janganlah terus menutupnya erat kerana cinta itu anugerah, buat mereka yang tahu menghargai...
::bersambung::

9 ulasan :

mama_ariana09 berkata...

cepat smbung yer,,sya suka sgt citer nih

Rizai Reeani berkata...

mama_ariana09: Insyaallah, saya cuba upload sehari satu bab. Terima kasih sudi mengikuti cerita ini. Sangat hargainya... (^_^)

Leya berkata...

hohoho.. x sangka, xsangka.. go ekhmal! luahkan je pada dina

epy elina berkata...

hoohhooh...
wah bnyk kjutan la dlm crta ni..
x sngka ekhmal mrncng smua ni....
nak ekhmal ngn dina...

Tanpa Nama berkata...

yup...nak ekhmal dgn dina..
bencilah dgn balkish tue...
dah org tak nak sudahlah...

zarah berkata...

nak ekhmal ngan dina pliz.... biar qis tu accident lagi skali pun x pe. hakhak, kejam aku.

greyskymorning berkata...

nice story=)))))sambung lagi byk2 yek~~

Rizai Reeani berkata...

leya: meluahkan rasa cinta sangat perlukan keberanian, kan? :)

epy elina: hehehe... dalam hidup ini, semuanya berlaku tanpa kita duga. :)

anonymous: selagi ada cinta dalam hati, kita berhak perjuangkannya :)

zarah: aduhai, entah mengapa saya tak sampai hati hendak menulis babak itu. huhuhu...

greyskymorning: terima kasih sudi mengikuti cerita ini. tak lama lagi tamatlah. nak sambung lagi kena tunggu jika mahu dijadikan versi cetak. itu baru boleh sambung banyak-banyak. hehehe...

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen. :D

kucun tella berkata...

eeee bile bace ni rase cm nk wt solat hajat je kasi ekhmal dpt irdina...masing2 suka sama suka...tp masing2 simpan je...adohhh susa btol...