Sepatah Dua Kata

Khamis, Julai 22, 2010

Semanis Epal - Bab 28



MELIHAT orang yang kita cintai bahagia, walau bukan dengan diri kita, ia sudah cukup menghadirkan ria. Walau hanya mampu memandang dari jauh...

*  *  *  *  *

Restoran Demiruze Cafe malam itu tidak terlalu ramai pengunjung. Suasana hening jelas terasa ditambah dengan sinaran lampu yang malap, menghasilkan suasana yang romantis. Deruan air terjun buatan sedikit-sebanyak membuatkan Irdina terasa tenang walau sejak semalam lagi dia sudah dihambat resah yang menggila. Menunggu ketibaan Ekhmal, sama seperti menunggu hukuman gantung dijatuhkan ke atasnya.
Sepuluh minit menunggu, Ekhmal tiba. Lelaki itu mengenakan kemeja kotak rona coklat sebagai jaket dengan T-shirt putih di dalam. Ah, penampilan lelaki itu memang sentiasa ringkas dan kasual. Entah mengapa dirasakan Ekhmal kelihatan sangat berlainan malam itu. Tampak lebih kacak dan matang. Oh, potong rambut rupanya.
Traffic jam,” ujar Ekhmal.
Irdina mengutuk di dalam hati. Sudahlah lambat, minta maaf pun tak. Tinggi sangat ego tu. Macam dia saja yang betul semua.
“Tak apa,” pendek balasan Irdina.
Seorang pelayan datang dengan membawa menu. Beberapa ketika berfikir, Irdina memesan nasi goreng seafood dan jus epal walaupun dia tidak punya selera malam itu. Ada perkara yang lebih penting untuk dibincangkan selain dari makan malam itu.
“Make it two,” ujar Ekhmal apabila Irdina selesai membuat pesanan.
Irdina tersentak sedikit tetapi cuba mengawal diri. Kenapa pula Ekhmal memilih menu yang serupa? Ah, lelaki ini tidak habis-habis mahu menguji hatinya.
“Saya...”
“Kau...”
Serentak keduanya bersuara. Keadaan kembali sepi.
“Cakaplah dulu,” sekali lagi mereka bersuara serentak.
Ekhmal tersengih tetapi Irdina menunduk. Ekhmal mengambil kesempatan itu untuk menatap Irdina. Gadis itu tidak banyak berubah sejak lima tahun dahulu. Masih lagi dengan rambut bertocang ekor kuda cuma kelihatan lebih cantik. Malam itu Irdina mengenakan blaus lengan panjang rona coklat cair dengan sedikit sulaman bunga di tepi dan seluar panjang rona hitam. Semacam berjanji pula.
“Ada apa yang kau nak bincangkan dengan aku?” Ekhmal bertanya setelah agak lama mereka membisu.
“Hah? Err... sa... saya...” Irdina gugup. Sungguh, dia tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara, meluahkan apa yang ada dalam fikiran.
“Hei, rilekslah. Something bad happen?
“Sa... sa... saya...”
“Apa?”
“Saya nak putuskan pertunangan ni!” laju kata-kata itu meniti di bibir Irdina membuatkan Ekhmal membulatkan anak matanya, tidak percaya dengan apa yang baru didengari.
“Kau sedar tak apa yang kau cakap tadi?” tanya Ekhmal, meminta kepastian.
Irdina mengangguk. Terasa bagai batu berat yang tergalas di bahunya hilang serta-merta. Dia sudah memaklumkan pada Ekhmal akan hasrat hatinya walau itu bukan apa yang dia impikan.
“Kau tahu kan kalau sesiapa yang melanggar tempoh akan dikenakan denda RM 50 000?”
“Saya akan bayar,” jawab Irdina, kedengaran tidak yakin di pendengaran Ekhmal.
Tawa Ekhmal meletus, menarik perhatian beberapa pasangan yang turut menikmati makanan di restoran itu.
“Kau jangan nak buat kelakar Irdina. Dari mana kau nak dapatkan duit sebanyak tu? Sudah, jangan merepek!”
“Saya tak merepek Ekhmal. Saya ada duitnya. Dari mana saya dapat, itu awak tak perlu tahu. Yang penting sekarang ialah saya nak putuskan pertunangan ni!” tegas Irdina.
“Sebabnya?”
Irdina kelu. Ya, dia tidak dapat memikirkan apa-apa sebab namun ada sesuatu yang terlintas di fikirannya kala itu.
“Sebab saya dah jumpa dengan orang yang saya sayang,” jawab Irdina.
Ekhmal terpana seketika. Benarkah? Siapa? Siapa gerangan yang mendapat tempat di hati Irdina?
“Siapa?”
“Perlu ke saya jawab soalan tu?”
“Aku tanya siapa?” gertak Ekhmal.
Irdina tersentak sedikit mendengar nada suara Ekhmal yang tinggi itu. Mengapa lelaki itu beriya-iya mahu tahu? Suka benar meninggikan suara bila bercakap dengannya. Huh, memang tepat tindakannya memutuskan pertunangan ini. Ekhmal, ternyata tidak menyimpan apa-apa perasaan pada dirinya.
“Seorang kawan lama,” jawab Irdina, acuh tak acuh.
Dapat Irdina rasakan Ekhmal sedang merenung tajam dirinya. Seperti seekor harimau yang akan menerkam mangsanya bila-bila masa sahaja. Irdina memberanikan diri membalas renungan Ekhmal itu. Dia tidak boleh menunjukkan yang dia berasa kesal bila pertunangan ini diputuskan nanti.
Tiba-tiba Irdina dengar sebuah keluhan dilepaskan oleh Ekhmal. Lelaki itu bersandar di kerusi. Ekhmal meraup muka. Entah kenapa Irdina keliru dengan kelakuan Ekhmal itu. Ah, mungkin lelaki itu kecewa sebab selepas ini dia harus mencari mangsa yang baru untuk menjalankan rancangannya.
“Tak boleh...” ujar Ekhmal setelah agak lama berjeda.
Irdina termangu. Dia seperti dengar tak dengar ucapan yang keluar dari mulut Ekhmal tadi.
“A... apa awak cakap?” Irdina bertanya, sedikit gentar.
“Aku tak benarkan kau buat macam tu. Pertunangan ni tak boleh diputuskan selagi belum sampai masanya!” Ekhmal bertegas.
“Tolonglah Ekhmal! Jangan pentingkan diri. Saya berhak atas kehidupan saya. Saya akan bayar walau berapa pun yang awak minta jadi tolong lepaskan saya,” Irdina merayu.
“Tak... Tetap tak boleh! Aku tak benarkan!” bentak Ekhmal lalu bangun dan melangkah pergi.
Pelayan yang baru tiba dengan pesanan terhenti. Irdina melaung nama Ekhmal namun lelaki itu tetap melangkah laju tanpa berpaling. Suara berbisik mula menampar telinga Irdina. Dia sudah tidak hiraukan rasa malu lagi.
‘Macam mana sekarang ni? Macam mana dia nak lepaskan diri dari Ekhmal?’ desis hati Irdina, hiba.
Sementara itu Ekhmal sudah sampai ke kereta yang dipakirkan tidak jauh dari pintu masuk restoran. Dia menghentak bumbung kereta dengan tangan kanannya. Geram dan bengang. Geram kerana Irdina membuat keputusan di luar jangkaannya. Bengang kerana rancangannya tidak menjadi.
“Tak guna!” jerit Ekhmal lalu membuka pintu kereta dan menghidupkan enjin seraya menekan pedal minyak dan kereta Mercedes Kompressor rona kelabu itu meluncur laju meninggalkan perkarangan Demiruze Cafe dengan kepulan asap putih di udara.

*  *  *  *  *

Antara Ekhmal dan Irdina, masing-masing belum mahu memperakui perasaan yang bergelodak dalam hati. Irdina dengan ragu-ragu sementara Ekhmal dengan ketidak-yakinan yang ada, menyebabkan hubungan keduanya sentiasa diselubungi bunga-bunga curiga dan syak-wasangka. Sampai bila mereka mampu bertahan dengan dugaan yang mendatang?
::bersambung::

9 ulasan :

Leya berkata...

lembaplah ekhmal ni! bgtau jelah kat dina yg kau suka dia! eiii...

lonely gurlz berkata...

x faham aku budak 2 org ni. berahsia sngat

izzati berkata...

bila nak habis citer ni riz? t'seksa menunggu ye. hikhik..

zaidi berkata...

apa nak jadi dgan dina n mal ni. x pe, aku follow je.

epy elina berkata...

hohoho....
sukarnya bila dua2 ego...
try slh seorg mluahkan prsaan...

akira_bita berkata...

sob33... npe ekhmal ni... beranikan diri anda!!! ahahah!

smbg lg rizai!!

kucun tella berkata...

situasi makin tegang....dua2 still xnk confess prasaan masing2...stress diberi kat pembaca...i like!!!!

kucun tella berkata...

situasi makin tegang....dua2 still xnk confess prasaan masing2...stress diberi kat pembaca...i like!!!!

Rizai Reeani berkata...

Hehehe... Em, terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen. Sedikit sahaja lagi sebelum kisah cinta ini bertemu penghujungnya... :)