Sepatah Dua Kata

Isnin, Julai 26, 2010

Semanis Epal - Bab 30




KITA berhak meraih bahagia kerana semua orang berhak untuk bahagia. Tetapi definisi bahagia itu berbeza bagi sesetengah orang. Ada yang mengatakan cukuplah hanya kasih sayang, diri akan bahagia. Ada yang bertegas menyatakan bahawa wang ringgit itu lebih menjamin bahagia. Terpulang, persepsi setiap orang akan makna bahagia itu berbeza.

*  *  *  *  *

“Ekhmal berdegil tak mahu lepaskan Dina,” ujar Hasmir pada Balkhis sewaktu dia berkunjung ke pejabat gadis itu dua hari selepas dia bertemu Ekhmal di gelanggang tenis dulu.
Balkhis mengenggam pen yang dipegang seerat mungkin. Geram dengan tindakan Ekhmal yang di luar kawalan itu. Entah apa yang bersarang di fikiran Ekhmal tidak pula dia ketahui. Dia yakin, lelaki itu menyembunyikan sesuatu. Jika tidak, masakan dia tidak mahu melepaskan Irdina sedangkan dia boleh mencari gadis lain sebagai ganti.
You beritahu dia pasal perjanjian tu?” soal Balkhis.
Hasmir mengangguk sebagai jawapan.
You cakap I yang jumpa?”
“Tak. Aku hanya cakap yang aku tahu tentang perjanjian tu dan aku nak dia lepaskan Dina. Itu saja,” balas Hasmir.
Deru angin yang keluar dari penghawa dingin tidak sedikit pun menyejukkan hati Balkhis. Mengapa lelaki itu degil benar mahu mempertahankan Irdina supaya berada di sisinya? Jangan-jangan... Ekhmal menaruh hati pada Irdina? Ah, mustahil! Dia tahu Irdina bukanlah gadis yang menepati citarasa lelaki itu. Lagipun dia pasti, Ekhmal tidak akan menghampakan mamanya dengan berkahwin dengan gadis kampung yang tidak tahu asal-usul itu. Dasar perempuan murahan!
“Kenapa kau tak bagi saja salinan perjanjian tu pada Auntie Miza?” Hasmir bertanya, setelah agak lama kebisuan bermaharajalela antara mereka.
“Tak ada gunanya I serahkan salinan perjanjian tu pada auntie. Ekhmal anak kesayangan dia. Kalau Ekhmal lari, auntie Miza tak akan dapat apa-apa. Dia akan ikut cakap Ekhmal,” jawab Balkhis.
“Habis tu, kenapa bila auntie cadangkan Ekhmal kahwin dengan kau, tak pula dia takut Ekhmal tu lari?” soal Hasmir lagi.
“Sebab auntie masih pegang ownership galeri Ekhmal. Kalau dalam masa tiga bulan Ekhmal tak berkahwin atau bertunang, auntie akan jualkan galeri tu. You tahulah Ekhmal sangat sayangkan galeri tersebut,” Balkhis membuat penjelasan.
“Galeri foto dan lukisan tu? Aku ingat memang Ekhmal punya. Jadi dalam maksud yang mudah, kalau kau serahkan salinan perjanjian tu pada auntie, tak ada apa yang akan berlaku sebab Ekhmal akan lari tinggalkan auntie, begitu?” ujar Hasmir.
“Lebih kuranglah...”
“Tapi, sekarang belum tiga bulan lagi dan kalau hal perjanjian ni didedahkan, nak atau tak Ekhmal harus kahwin dengan kau supaya galeri tu jadi hak milik dia sepenuhnya,” terang Hasmir.
You ingat sepupu kita tu bodoh? Dia boleh beri bermacam alasan selain cari pengganti Dina. Sampai bila pun dia akan teruskan rancangan tu sehinggalah tempoh tiga bulan tamat. Auntie bukannya kisah dengan siapa yang Ekhmal nak kahwin. Kalau auntie bertegas pun, tak ada gunanya…” balas Balkhis.
Kesunyian mula mengambil tempatnya semula. Balkhis dan Hasmir masing-masing melayan angan.
“Jadi apa yang kau nak buat?”
“Kita harus lakukan sesuatu yang buat Ekhmal sendiri putuskan pertunangan tu,” ujar Balkhis.
“Maksud kau?”
“Begini...”

*  *  *  *  *

Malam tiba jua memaksa siang mengundur dirinya sementara. Kerlipan bintang di langit tampak bergemerlapan ibarat hamparan permata yang bersinar terang. Rembulan juga tidak malu-malu menyerlahkan sinarnya, menerangi malam yang hitam pekat.
Irdina mengikut Hasmir ke Taman Tasik Seremban kerana lelaki itu memujuk untuk menemaninya ke sana. Ada sesuatu yang istimewa mahu ditunjukkan padanya, kata Hasmir.Selepas waktu kerja tamat pukul lapan malam tadi, Irdina bergegas menyalin pakaian dan menunggu di kereta Toyota Vios milik Hasmir.
Perjalanan dari restoran ke Taman Tasik Seremban tidaklah memakan masa yang lama. Sekitar sepuluh minit sahaja. Sebaik sahaja keluar dari perut kereta, pandangan mata Irdina disajikan dengan limpahan cahaya lampu yang berwarna-warni yang menghiasi sekitar taman itu. Cantik dan penuh pesona!
“Jom, kita duduk kat situ,” ajak Hasmir lalu mereka berdua melangkah ke bangku kayu yang dibina menghadap tasik, agak tersorok sedikit dari pandangan ramai.
Para pengunjung taman kala itu rata-ratanya terdiri dari pasangan muda-mudi dan tidak kurang juga yang datang dengan keluarga. Masing-masing punya agenda tersendiri. Ada yang mahu menghirup udara malam. Ada yang mahu menyaksikan variasi lampu beraneka bentuk yang disusun dengan pelbagai gaya dan tidak kurang juga ada yang membuat barbeku ringkas.
“Pernah datang sini waktu malam?” soal Hasmir yang sejak tadi melihat wajah gadis di sebelahnya yang kelihatan amat teruja.
“Tak, ini pertama kali!” jawab Irdina, jujur.
So, macam mana? Cantik? Waktu malam di sini memang ramai orang. Lebih-lebih lagi pasangan yang sedang bercinta. Rasa romantik duduk di bawah limpahan lampu ni, kan?”
Irdina mengangguk pantas. Memang terasa suasana romantis dengan bunyi air dan cengkerik yang mendayu-dayu bernyanyi. Kenapalah Ekhmal tidak pernah bawa dia ke tempat-tempat yang begini? Ah, dia teringatkan lelaki itu lagi. Tanpa sedar, Irdina melepaskan keluhan kecil.
“Kenapa?” tanya Hasmir, menyedari perubahan pada wajah gadis yang memakai blaus lengan panjang rona putih itu.
“Tak... Tak ada apa-apa. Selalu ke awak datang kat sini?” soal Irdina.
“Selalu juga, terutama bila ada masalah. Kat sini rasa tenang,” jawab Hasmir sambil mengutip beberapa biji batu kecil lau dilontar ke dalam tasik.
Bunyi kocakan jelas kedengaran di telinga Irdina. Alangkah baik jika di sebelahnya sekarang ini adalah Ekhmal dan bukannya Hasmir. Hmm... jauh panggang dari api. Tak mungkin ia akan berlaku.
“Dina...” Hasmir menyambung kata.
Irdina memandang wajah lelaki yang segak memakai kemeja rona biru muda yang duduk di sebelahnya. Mata mereka bertentangan dan Irdina segera mengalihkan pandangan, kalah akan renungan Hasmir yang seakan menggodanya itu.
“Saya minta maaf,” ucap Hasmir.
“Untuk apa?” Irdina bertanya, tidak faham.
“Sejak kebelakangan ni saya terlalu ikutkan perasaan. Saya banyak sakitkan hati awak. Maaf ya,” ujar Hasmir dalam senyuman.
“Tak ada apa yang nak dimaafkan awak. Saya faham. Saya pun bersalah juga. Cakap yang bukan-bukan,” balas Irdina.
“So, friend again?”
Irdina mengangguk lalu mengukir senyum. Terasa lapang sedikit dadanya. Beginilah yang sepatutnya berlaku antara dia dan Hasmir. Mereka adalah kawan, dan tidak lebih dari itu. namun mengenangkan Ekhmal, Irdina terasa bagai disiat-siat rakus hatinya. Mengapa dia jatuh cinta pada lelaki itu dan bukannya lelaki yang sedang berada di sebelahnya ini? Mungkin itulah namanya cinta. Sesuatu yang sukar ditafsir.
“Jom, kita jalan-jalan sekejap, lepas tu saya hantar awak balik. Nanti risau pula nenek awak tu,” pelawa Hasmir.
Mereka bingkas bangun dari duduk lalu berjalan berduaan memerhati dan menikmati panorama malam yang indah. Sebelum melangkah keluar dari taman tersebut, Hasmir bertanya pada Irdina akan sesuatu yang tidak dijangka oleh gadis itu.
“Awak cintakan Ekhmal?”
Irdina tersentak mendengar pertanyaan Hasmir. Dia meneruskan langkah sehingga mereka sampai ke kereta. Persoalan lelaki itu tadi dibiarkan tanpa jawapan.
“Kenapa tak jawab?” soal Hasmir sambil bersandar di pintu kereta.
Irdina menunduk. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan pada Hasmir. Dia bimbang jika Hasmir terasa hati. Selebihnya, dia sendiri segan untuk menyatakan perasaan yang dipendamnya.
“Cakaplah, tak perlu risau. Saya boleh terima. Ingat, kita kan kawan?” ujar Hasmir.
“Sa... saya memang cintakan Ekhmal,” akhirnya Irdina meluahkan juga rasa yang selama ini terbuku di hatinya.
Irdina masih menunduk. Terasa mukanya merona merah. Walau bukan Ekhmal yang berada di hadapannya, Hasmir telah tahu akan rahsia hatinya yang satu itu.
“Kalau macam tu, maafkan saya,” ucap Hasmir seraya pantas memegang erat tangan Irdina lalu menekup mulut dan hidung gadis itu dengan tuala yang mengandungi kloroform.
Beberapa saat kemudian, Irdina rebah dalam rangkulan Hasmir. Tanpa diduga, kereta yang dipakirkan di sebelah Hasmir ditolak pintunya dan Balkhis keluar dengan senyuman yang melebar.
You memang perempuan yang tak sedar diuntung Dina!” Balkhis bersuara, sinis!

*  *  *  *  *

Kadangkala kita sanggup melakukan apa sahaja supaya orang yang kita cintai setia berada di sisi sehingga tanpa sedar kita bertindak di luar kewarasan diri. Tetapi semua itu dilakukan demi perasaan cinta yang menghuni di dalam hati. Justeru, salahkah jika bertindak begitu semata-mata untuk mempertahankan cinta yang kian bersemarak di dalam hati?
::bersambung::

6 ulasan :

Leya berkata...

adoyai, apalagi rancangan si qis ni! dah nak habis ni makin brdebar2 pulak..

izzati berkata...

x suke balkis! x suke!

epy elina berkata...

adehhh...
kejamnya balqis ngn hasmir...
mmg cnta mmbtkan kte ilang prtmbngan...
tp 1 hrus ingt...
jk kte btul2 mncntai ssorg...
kta nak dia bhgia wlpun dia bkn dsissi kte...

akira_bita berkata...

ya Allah! nak wat pe lagi? nak tngkap gambo yg mencurigakan tuk ekhmal bce ke? hish! rse mcm nak cekik2 je dua manusia tu...

Rizai Reeani berkata...

Leya: Teruskan berdebar sehingga ke akhirnya ya. Hehehe... ;)

Izzati: Terima kasih awak, gembira saya berjaya mewujudkan kebencian itu pada watak Balkhis.

Epy Elina: Setuju. Kata-kata yang tepat sekali. :)

Akira_bita: Dah hampir-hampir tekaan tu. Hehehe... Kita tengok nanti macam mana ;)

Terima kasih semua sudi singgah membaca :D

♥ HanNa ♥ berkata...

ALAMAK!!!

apsal ade org kat dunia nie
yg macam balhkis n hasmir tu??

hehe.. apepon..
ak setia menungu smbungan..