Sepatah Dua Kata

Selasa, Julai 27, 2010

Semanis Epal - Bab 31




BALKHIS sudah memulakan rancangannya untuk memisahkan Ekhmal dan Irdina. Dengan pertolongan Hasmir, dia semakin yakin untuk menjadikan Ekhmal miliknya. Semuanya kerana cinta. Benarkah?

*  *  *  *  *

Cahaya matahari yang menerobos masuk melalui jendela menyilaukan pandangan. Irdina membuka matanya sedikit demi sedikit. Kepalanya terasa berpinar. Ya Allah! Di mana dia sekarang? Matanya meliar memerhati sekeliling. Tidak salah, dia berada di dalam bilik... hotel?  Perlahan-lahan Irdina menunduk lantas menekup mulut apabila melihat dirinya sedang dilitupi selimut. Hanya selimut!
Ya Allah, apa semua ini? Pasti dia sedang bermimpi. Ya, tidak silap lagi. Pantas Irdina menampar pipinya. Aduh! Terasa sakit. Serta-merta tubuhnya menggigil. Fikirannya ligat berputar. Perkara terakhir yang dia ingat adalah keluar bersama-sama dengan Hasmir. Selepas itu fikirannya kosong.
Hasmir! Di mana lelaki itu? Irdina menjerit, melaung nama Hasmir tetapi tiada sahutan. Matanya menjenguk ke lantai. Pakaiannya semalam bertaburan di situ. Segera Irdina bingkas bangun dan menyarung semula pakaiannya.
Tidak, janganlah biar telahan yang ada dalam mindanya ini benar. Mustahil! Mustahil Hasmir akan melakukan perkara sebegitu padanya. Irdina mengerling jam di dinding. Tepat pukul 09.00 pagi. Tiba-tiba anak matanya tertancap pada sehelai nota kecil berbentuk segi empat tepat yang dilekatkan di cermin meja solek dengan pita selofan.

Last night was very great! Thanks and sorry... Jumpa di Taman Tasik pukul 12.00 tengah hari nanti. Ada banyak perkara kita nak bincangkan. Love you – Hasmir

Tubuhnya terjelepok ke lantai. Ya Allah, katakan bahawa dia hanya bermimpi. Sungguh dia benar-benar berharap apabila dia terjaga, dia sedang berada di atas katil di rumah papannya. Sekejap, nenek! Nenek pasti risau kerana dia tidak pulang semalaman.
Irdina cuba mengagahkan diri untuk bangun. Dia menuju ke bilik mandi. Pakaian yang disarung tadi dilucutkan semula. Pili dipulas. Pancuran air berjuraian membasahi tubuhnya. Dia harus bertenang. Semuanya berlaku terlalu pantas. Dia perlu bertenang.
Usai mandi, Irdina segera menyiapkan diri. Dia perlu pulang ke rumah dahulu. Dia tidak mahu neneknya risau dan penyakit jantung nenek menyerang semula. Irdina terus keluar lalu menahan teksi. Dia yakin Hasmir sudah menguruskan segalanya tentang hotel. Lelaki itu semestinya sudah punya jawapan untuk segalanya. Tetapi buat masa ini dia harus pulang ke rumah. Nenek sudah menunggunya.
Sampai sahaja di rumah, ternyata telahan Irdina tepat. Nenek sudah bersiap sedia menunggu di tangga rumah. Jelas kelegaan terpancar di wajahnya apabila melihat kelibat Irdina.
“Dina pergi mana tak balik semalam hah? Dina ke mana?” soal neneknya sambil menggoncang kedua-dua bahu Irdina lembut.
“Maaf nek. Dina minta maaf sangat-sangat. Semalam kawan tempat kerja Dina minta temankan tidur di rumah dia sebab suaminya pergi kursus. Dina tak sempat beritahu nenek. Maaf ya nek,” bohong Irdina.
“Lain kali jangan buat macam ni lagi. Risau nenek tahu tak! Janji jangan buat lagi...”
“Dina janji nek! Dina janji! Maafkan Dina nek...” pinta Irdina berulang kali.

*  *  *  *  *

Tepat jam 12.00 tengah hari, Irdina tiba di Taman Tasik Seremban. Mungkin kerana cuaca panas ditambah dengan terik mentari, pengunjung taman itu boleh dibilang dengan jari sahaja. Tidak seramai malam tadi. Irdina bergegas menuju ke bangku kayu tempat dia dan Hasmir duduk semalam. Dia tahu, Hasmir pasti sudah menunggu di situ. Namun lain yang diharap, lain yang muncul. Bukan Hasmir yang ada di hadapan matanya saat ini tetapi Balkhis.
“Qis...” tegur Irdina dengan nada suara yang cuba dikawal.
“Stop calling me that! Jangan berlagak macam kita ni rapat sangat,” ucap Balkhis penuh angkuh.
“Apa yang awak buat di sini?”
“Huh, dasar perempuan murah! Dah ada Ekhmal, sepupu I lagi sorang tu pun you nak ya? Apa, you dah biasa buat kerja terkutuk ni? Asal dengan orang kaya, you tak kisah kan?” kedengaran amat sinis kata-kata Balkhis.
“Apa yang awak cuba katakan?”
“Ini!” herdik Balkhis lalu melemparkan sesuatu pada muka Irdina.
Beberapa kepingan gambar bertaburan di atas rumput yang menghijau. Irdina tunduk mengutip gambar-gambar tersebut dan dengan pantas, darah merah menyerbu ke mukanya, terasa hangat.
“I... I... Ini...”
“Dasar perempuan tak tahu malu!”
Tangan Irdina mengigil saat menatap gambar-gambarnya bersama-sama dengan Hasmir di bilik hotel malam tadi. Gambar-gambar yang semestinya tidak pernah terfikir untuk ditatap. Gambar-gambar yang mencemarkan maruahnya sebagai seorang perempuan.  Gila! Ini semua kerja gila!
“Awak yang merancang semua ni kan? Kenapa Qis? Kenapa?” soal Irdina lalu mencekak baju Balkhis.
Pantas, Balkhis menepis cengkaman Irdina lalu menolak gadis itu kasar menyebabkan Irdina jatuh terduduk.
“Kalaupun ini rancangan I, apa yang you nak buat? Beritahu Ekhmal? You sanggup? Heh, Ekhmal tu lurus bendul. Dia pasti kecewa sebab tunang palsu yang disayang-sayang ni rupanya tak lebih macam pelacur!”
“Balkhis!” jerit Irdina.
I tahu yang Ekhmal tak nak lepaskan you. Jadi, bila dia tengok gambar-gambar ni, I yakin dia sendiri yang akan minta putus dengan you. Tapi I ni seorang yang baik lagi berbudi pekerti mulia, so I bagi you peluang. Lenyap dari pandangan mata I!
Irdina terpempan. Adakah Balkhis cuba menyarankan agar dia melarikan diri?
“Mir!” laung Balkhis.
Dari belakang Irdina, Hasmir muncul dengan sebuah bagasi hitam di tangannya. Dia berdiri tegak di sebelah Balkhis.
I tinggalkan you dengan perempuan ‘suci’ ni. Pandai-pandailah you uruskan,” ujar Balkhis seraya melangkah pergi.
“Ingat, I nak you hilangkan diri dari depan mata I! Kalau I masih jumpa you lagi, gambar-gambar ni akan sampai ke tangan Ekhmal atau lebih teruk lagi, ke tangan Auntie Hasmiza!” sempat Balkhis berpesan sebelum meneruskan langkah.
Irdina masih lagi terduduk di atas rumput. Dia terasa seperti sedang berlakon di dalam sebuah drama televisyen tetapi ini adalah hakikat. Suatu kenyataan yang harus dia tempuh. Tanpa sedar, Hasmir sudah pun berdiri di hadapannya sambil menghulurkan tangan.
“Bangunlah...” ucap Hasmir.
“Binatang!” jerit Irdina lalu menerkam ke arah Hasmir tetapi apalah daya kekuatan seorang gadis jika hendak dibandingkan dengan kekuatan seorang lelaki. Pantas sahaja Hasmir mencengkam kedua belah tangannya lalu dipusingkan ke belakang. Irdina cuba meronta namun semakin kuat dia meronta, semakin utuh genggaman tangan Hasmir sehingga menyebabkannya kesakitan.
“Tenang Dina. Saya tak akan sakiti awak kalau awak tak melawan...” ujar Hasmir, berbisik di telinga Irdina.
Segera gadis itu berhenti dan serentak dengan itu pegangan tangannya dilerai. Irdina mengusap pergelangan tangannya yang memerah. Tajam matanya merenung Hasmir yang sudah meragut kehormatannya sebagai seorang perempuan.
“Saya minta maaf,” ucap Hasmir.
“Awak memang dah gila Hasmir! Gila!” bentak Irdina.
“Saya tak bermaksud nak sakiti awak Dina. Saya buat semua ni untuk kebaikan awak juga,” balas Hasmir.
Irdina tergelak besar mendengar kata-kata Hasmir. Lelaki yang dahulunya disangka seorang yang budiman, rupanya lebih teruk daripada syaitan. Dia sudah hilang hormat pada lelaki di hadapannya ini.
“Untuk kebaikan saya? Jangan buat kelakar,” perli Irdina.
“Tak ada gunanya awak menyesal. Benda dah jadi, tak boleh patah balik. Lagipun, saya akan bertanggungjawab. Kalaulah awak sedar yang saya lebih cintakan awak...”
Tidak! Dia tidak akan termakan dengan pujuk rayu dari Hasmir. Baginya Hasmir adalah lelaki yang paling kejam dia pernah temui. Lelaki yang berpura-pura baik sedangkan dalam hati penuh dengan nafsu binatang.
“Dalam beg ini ada RM 25 000 sebagai permulaan. Cukup untuk awak dan nenek mulakan hidup di tempat baru. Dalam masa tiga bulan, saya akan cari awak dan kita mulakan hidup baru. Hanya awak, saya dan nenek. Itu saja permintaan saya,” ujar Hasmir seraya meletakkan bagasi hitam itu di sebelah Irdina.
“Saya pergi dulu. Jangan lupa hubungi saya bila awak dah sampai ke tempat baru nanti. Ingat, awak dah jadi milik saya. Jangan cuba hendak lari dari saya,” kata-kata Hasmir berbaur ugutan.
Irdina tersentak. Hasmir tidak perlu mengingatkan dia akan perkara itu. Irdina diam. Tidak sedikit pun dia berhasrat untuk membalas kata-kata Hasmir.
“Lagi cepat awak pergi, lagi bagus. Tentang perjanjian awak tu, Balkhis dah uruskan. Awak boleh pergi dengan senang hati,” tambah Hasmir lalu berjalan meninggalkan Irdina keseorangan, di taman asik itu.
‘Ya Allah, mengapa begini berat dugaanMU...’ Irdina merintih di dalam hati dengan deraian air mata membasahi pipi.

*  *  *  *  *

Hidup ini berlalu dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Jika kita tabah, kita akan berjaya. Sebaliknya jika kita lemah, mudah mengalah, maka hidup pasti sentiasa dimamah kecewa. Irdina cuba kuatkan semangat. Dia tidak boleh mengalah. Demi neneknya, dia harus kuat. Berusahalah Irdina!
::bersambung::

8 ulasan :

nabms berkata...

kesiannya dina...
xbaiknye hasmir dgn si qis ni..
diorg jahat!
biarlah dina lari jauh2 pastu xpyh contact hasmir..

datul berkata...

hasmir mmang dah giler! makin seksa jiwa. tolonglah cepat habis citer ni. hukhuk..

Leya berkata...

x bleh terima betul tindakan mir n qis. melampaunya! best citer ni rizai! sntiasa tunggu sambungannya.

Tanpa Nama berkata...

kesiannya dina! semuanya sbab ekhmal tu x nak berterus-terang awal2..

akira_bita berkata...

sob3.. dina.. kuatlah erk.. harap ekmal tak terpedaya ngn rancgn si qis ni.. rasanya ekhmal tak sebodoh itu untuk berdiam diri kan?

pasti ekhmal ada backup plan.. nama pun hero! ahahaha

Tanpa Nama berkata...

kalau dina nak lari pun dgn nenek larilah tapi pulang kan duit yg diberi oleh mir tue..if not nanti terikat susah...
mudahan ekmal cari dina...
nak ekmal dengan dina...

♥ HanNa ♥ berkata...

harap2 ekmal x prcaya r..
debarn kian merasa

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen. Saya sangat hargainya! :D