Sepatah Dua Kata

Khamis, Julai 29, 2010

Semanis Epal - Bab 33



AKHIRNYA benang-benang masalah mula diurai satu per satu. Hanya tinggal lafaz cinta yang perlu meniti di bibir. Namun, adakah masih sempat untuk Ekhmal bertemu dengan Irdina yang mahu pergi membawa hati yang rawan?

*  *  *  *  *

Rumah papan yang dihuni sejak kecil itu dilihat dengan pandangan yang berbaur. Sayu dan hiba sudah bergelumang dalam hatinya sejak semalam. Rumah papan itu banyak menyimpan momen indah dalam hidupnya. Di situlah dia membesar menjadi manusia yang tahu menghargai dan menghormati. Di rumah itulah dia seringkali jatuh dan bangun semula meniti hidup yang penuh liku. Kini, rumah itu akan ditinggalkan. Entah bila dia akan kembali ke sini semula. Mungkin dia tidak akan kembali lagi.
“Semua barang dah masuk dalam kereta Dina?” tegur nenek membuatkan lamunan Irdina terbang pergi.
“Dah nek. Nenek dah siap?”
Neneknya hanya mengangguk sayu. Irdina dapat mengesan riak duka pada wajah neneknya itu. Pastinya nenek tidak mahu berpisah dengan rumah yang selama ini menjadi perkongsian hidup antara nenek dan datuk sebelum datuk pergi buat selamanya. Tetapi keadaan benar-benar mendesak supaya mereka keluar dari rumah itu. Irdina masih ingat bagaimana neneknya terkejut besar apabila dia menyampaikan hasrat untuk berpindah.
“Dina kena tukar ke Ipoh nek. Mungkin dalam setahun dua. Jadi Dina nak nenek ikut sekali ya,” itu alasan yang diberi Irdina.
“Hah? Lamanya...”
“Tak lama nek. Sekarang, pejam celik aje dah nak setahun. Dina bukannya kena duduk terus kat Ipoh itu,” jawab Irdina.
“Ish, tak mahulah nenek. Jauh sangat.  Biar nenek duduk kat sini sajalah. Lagipun Makcik Aini kamu ada,” tolak nenek.
“Ala, nek. Kalau nenek tak ikut, takkan Dina nak duduk sorang-sorang. Hah, nanti kalau apa-apa jadi kat Dina macam mana?”
“Ish, mulut tu... Cuba cakap elok-elok sikit. Jangan diminta perkara yang bukan-bukan,” tegur neneknya.
“Hah, sebab tulah nenek kena teman Dina. Ala, setahun dua saja nek. Lepas tu kita balik semula kat sini. Sesekali bertukar angin, tak salah kan?” pujuk Irdina lagi.
“Bila kamu kena ke Ipoh?”
“Lusa,” jawab Irdina, seboleh mungkin dia mahu cepat meninggalkan daerah Seremban ini.
“Hah? Kenapa tergesa-gesa?”
“Pihak syarikat kata cawangan di sana nak pakai orang cepat. Boleh ya nek, ikut Dina?” Irdina masih cuba memujuk.
Apabila melihat anggukan dari neneknya, Irdina terasa separuh dari bebannya sudah terbang pergi. Dia tidak boleh biarkan neneknya seorang diri di sini. Bimbang jika Hasmir atau Ekhmal menganggu neneknya sehingga rahsia yang disimpan mungkin terbongkar.
“Dah habis masuk barang-barang Kak Senah?” teguran Makcik Aini mengembalikan Irdina ke alam realiti.
“Dah Aini. Nanti kau tengok-tengokkanlah rumah aku ni ya. Bila sampai sana aku telefon kau ya,” ujar nenek Irdina.
“Jangan risau kak, Insyaallah, saya tengokkan. Akak jaga diri baik-baik. Dina juga, jaga nenek elok-elok,” pesan Makcik Aini.
Irdina mengukir senyum seraya mengangguk. Setelah memastikan barang-barang yang diperlukan sudah selamat disimpan, Irdina bersalam dengan Makcik Aini. Neneknya bukan main lagi berpeluk-cium seolah-olah tidak akan berjumpa lagi. Ah, mungkin memang mereka tidak akan berjumpa lagi.
Enjin teksi dihidupkan. Makcik Aini melambai tangan sambil mengesat air mata yang gugur. Siapa yang tidak sedih bila berpisah? Lebih-lebih lagi dengan orang yang tersayang. Teksi mula bergerak dan lambaian tangan Makcik Aini semakin lama semakin hilang dari pandangan.
‘Selamat tinggal Ekhmal. Jaga diri baik-baik,” desis hati Irdina.

*  *  *  *  *

Makcik Aini baru sahaja menutup pintu hadapan rumah papan milik nenek Irdina apabila sebuah kereta Mercedes Kompressor berhenti di halaman. Sengaja dia masuk ke dalam rumah bagi memastikan semua peralatan elektrik mahu pun pili air dan dapur gas ditutup.
“Errr... Assalammualaikum makcik,” sapa Ekhmal sejurus dia keluar dari kereta.
“Waalaikummussalam. Ya, cari siapa?”
“Ah, saya kawan Irdina makcik. Dia ada?”
“Irdina baru sahaja pergi. Dia dah pindah. Kamu tak tahu ke?” Makcik Aini bertanya pada pemuda segak di hadapannya itu.
“Pindah? Pindah ke mana makcik?”
“Katanya ke Ipoh. Dia kena tukar kerja ke sana,”
“Hah? Ipoh?”
“Kamu tak tahu ke? Eh, sekejap...” ujar Makcik Aini lalu menilik Ekhmal dari atas ke bawah.
Dia teringat, Irdina ada memberinya sepucuk surat untuk diserahkan pada seorang lelaki andai lelaki itu ada datang bertanya tentang dirinya. Irdina ada memberi gambar serba-sedikit tentang wajah dan susuk tubuh lelaki itu. Setelah diperhati dan yakin akan gambaran yang diberikan Irdina kena pada lelaki ini, Makcik Aini memberanikan diri bertanya.
“Kamu ni Ekhmal ke?”
Ekhmal nyata terkejut dengan pertanyaan wanita di hadapannya itu. Perlahan-lahan dia mengangguk.
“Tunggu sini sekejap. Dina ada bagi surat untuk kamu. Sekejap makcik pergi ambil,” ujar Makcik Aini lalu tergesa-gesa berlari anak menuju ke rumahnya.
Beberapa minit menunggu, kelibat Makcik Aini mula kelihatan. Wanita itu tercungap-cungap menarik nafas. Mungkin kerana sudah lama tidak berlari. Sampul surat rona putih itu bertukar tangan. Segera Ekhmal membukanya. Ya, memang surat itu dari Irdina untuknya.

Assalammualaikum Ekhmal.
Saya sendiri tidak tahu apa tujuan saya menulis surat ini sebenarnya. Mungkin kerana saya rasa serba-salah menghilangkan diri begitu saja. Sungguh, saya tak berniat mahu pergi tetapi keadaan mendesak saya berbuat demikian.
Saya yakin, awak tentu dah tahu perihal tentang perjanjian pertunangan yang telah terbongkar itu. Jadi saya mengambil langkah untuk mengundur diri. Tidak mahu biarkan keadaan bertambah buruk.
Awak tahu, entah mengapa sejak bertemu dengan awak, hidup saya sangat rumit. Saya rasa seperti saya sedang berlakon di dalam drama telenovela di mana watak utamanya tentulah saya walau pun saya ini tidaklah secantik mana. Hahaha... okey, bergurau saja.
Em, semuanya bagi saya berlalu begitu pantas. Mengenali awak, kemudian keluarga awak, abang awak, bertemu dengan Hasmir dan Balkhis, semuanya dirasakan seperti terjadi sekelip mata. Termasuklah bagaimana saya terjebak  dalam perangkap Balkhis dan Hasmir. Ia berlaku terlalu mendadak tanpa saya sempat bersedia.
Mengenali awak, saya sentiasa diburu keletihan. Ya, letih dan penat. Perasaan saya jadi tidak tentu hala. Selalu curiga dan ragu-ragu. Bila dekat, terasa dada ini bagai mahu pecah kerana debar yang menggila. Bila jauh, terasa sangat sayu. Rindu barangkali. Ah, saya ini merepek saja.
Tapi Ekhmal, walau awak seorang yang ego, panas baran, suka meninggikan suara, kasar, tak tahu adab sopan (wah, bukan main lagi mengutuk) awak.. telah meninggalkan sesuatu di hati saya. Sesuatu yang buat saya tidak keruan.
Kadang-kadang awak sangat baik dengan saya. Kadang-kadang berada di sisi awak saya rasa dilindungi, rasa selamat. Walau selalu berselisih, selalu bergaduh, entah mengapa semuanya sudah menjadi satu kebiasaan bagi kita. Bila tak bergaduh sehari, rasa ada yang tidak kena. Tetapi ia lebih kepada perasaan hati. Bila tidak menatap wajah awak sehari, ada hiba yang menyelubungi diri.
Mungkin awak anggap saya ni bodoh atau pun kolot. Atau mungkin awak sedang terbahak-bahak ketawa membaca tulisan saya ini, tetapi percayalah, perasaan saya pada awak, adalah sesuatu yang mulanya saya tidak mahu mengaku.
Ya, saya cintakan awak Ekhmal. Bila awak tiada, ada rindu yang menerpa. Namun saya kira tidak ada gunanya lagi ucapan ini kerana kita tidak akan bertemu lagi. Biarlah saya pendam rasa cinta ini jauh di lubuk hati. Sungguh, saya rasa sangat lega apabila telah meluahkannya di dalam surat ini.
Saya tahu, saya bukanlah sesiapa pada awak. Hanya orang asing yang awak gunakan sebagai penyelamat kepada rancangan awak. Saya tahu awak tak pernah pandang saya tetapi saya keliru bila awak seperti cemburu bila saya rapat dengan Hasmir. Apakah saya yang perasan atau awak juga turut merasakan apa yang saya rasai?
Entahlah Ekhmal, mungkin kita tidak sepatutnya bertemu sejak dari awal lagi. Pertama kali saya merasa manisnya cinta dan pertama kali juga saya rasa pahitnya cinta. Namun ia menjadikan saya lebih matang dan dewasa. Awak mengajar saya bahawa cinta itu adalah sesuatu yang perlu dilafaz, bukan dipendam. Awak juga mengajar saya bahawa cinta itu bukan sahaja memiliki tetapi menghargai.
Ah, tak sedar saya sudah menulis panjang begini. Saya mohon maaf, atas segalanya. Halalkan juga segala makan dan minum saya selama ini. Juga duit yang saya gunakan untuk pembedahan nenek, saya pasti akan gantikan ia suatu hari nanti. Saya telah melanggar perjanjian, bermakna saya harus bayar RM 50 000 dan saya kira Balkhis telah pun selesaikannya.
Tak perlu awak tahu kenapa sebab saya melarikan diri. Saya cuma tak mahu berada di sisi awak lagi. Tak mahu terus-terusan memendam rasa yang membuatkan hati saya sangat sakit dan pilu.
Sekian, jaga diri baik-baik. Lupakan saya, walau saya tidak mungkin lupakan awak.

Setulus hati,
Irdina

Tanpa sedar, setitis air mata Ekhmal gugur jua. Betapa butanya dia tidak menyedari sinar cinta yang ada dalam mata Irdina. Betapa bodohnya dia tidak perasan akan kasih dan sayang Irdina padanya.
“Irdina...” ucap Ekhmal.
“Err... Kamu tak apa-apa ke?” tegur Makcik Aini.
Ekhmal menyeka air mata dengan jemarinya. Surat itu dilipat kemas lalu dimasukkan ke dalam sampul semula.
“Makcik, terima kasih untuk surat ni. Saya pergi dulu,” ujar Ekhmal lalu bergerak ke keretanya.
“Eh, nanti! Kamu nak ke mana?” laung Makcik Aini.
“Stesen keretapi,” jawab Ekhmal.
“Dina bukan naik keretapi, dia naik bas. Tiketnya pukul dua,” beritahu Makcik Aini.
“Terima kasih makcik, terima kasih!” ucap Ekhmal dalam senyum yang melebar.
Ekhmal melirik jam di tangan. Masih ada tiga puluh minit sebelum pukul dua petang. Dia harus cepat. Enjin kereta pantas dihidupkan dan kereta Mercedes Kompressor itu meluncur laju membelah jalan raya, menuju ke stesen bas. Tunggu saya Irdina! Tunggu saya!

*  *  *  *  *

Irdina meluahkan juga perasaan cintanya pada Ekhmal dan ternyata selama ini Ekhmal tidak bertepuk sebelah tangan. Cintanya bersambut cuma mereka terlalu banyak bergelumang dengan curiga dan salah sangka. Tetapi, masih sempatkah dia menemui cintanya itu?
::bersambung::

7 ulasan :

Mazlina Mansor berkata...

seronoknye cinta x bertepuk sebelah tangan..=D
ridh..make sure cite ni happy ending tau..

epy elina berkata...

hohoho...
nak ekhmal smpt mngejar dina....
wah..
cnta shrusnya di ungkpkan...
trma or x 2 kmdian crta...
yg pntg x mnysal kmudian ari...
kehkeh...

kucun tella berkata...

good luck ekhmal!!!

akira_bita berkata...

oh! pastinya sweet bukan?! sonoknya! ekhmal kejar ekhmal! go go!

Leya berkata...

i like!!! ;-)

firda berkata...

surat itu sngat terkesan di hati. hu3..

Rizai Reeani berkata...

lin: saya cuba... hehehe... ;)

epy elina: betul, saya sangat setuju. ia wajar dilafaz, terima atau tidak, itu perkara kedua. kalau dipendam, takut menyesal...

kucun tella: good luck to u too! ;)

kira: ya, mari sokong ekhmal! :)

leya: gembira awak menyukainya... :)

firda: mungkin boleh diberi pada kekasih hati? hehehe... ;)

banyak pula emoticon senyum. terima kasih semua sudi singga hmembaca dan memberi komen (^_^)