Sepatah Dua Kata

Khamis, Jun 17, 2010

Cinta Antara Kita IV - Bab 02



“SAYA rasa ni payung cik. Saya perasan kat dalam komuter tadi,” ujar pemuda bercermin mata hitam itu.
Nadzlia jadi kelu. Telinganya sudah tidak dapat menangkap apa-apa bunyi lagi. Matanya hanya fokus pada sesusuk tubuh yang berada di hadapannya kala ini. Masa seakan terhenti seketika.
“Ah, terima kasih sudi pulangkan semula,” ujar Farah yang sudah pulih dari kejutan.
Dia segera mengambil payung rona merah bata itu dari pegangan pemuda tersebut. Dia melihat pemuda itu tercungap-cungap. Mungkin penat berlari mengejar mereka, takut terlepas. Farah menghulurkan sehelai tisu pada pemuda itu lalu disambut dengan senyuman.
“Cik yang ni okey ke?” tanya pemuda itu lagi merujuk pada Nadzlia yang kaku seperti patung lagaknya.
“Dia okey. Cuma terkejut agaknya,” jawab Farah bagi  pihak kawannya itu.
“Terkejut?”
“Ah, tak ada apa. Kami minta diri dulu. Terima kasih sekali lagi,” ujar Farah lalu segera menarik Nadzlia berlalu dari situ.
Sempat dia mengambil beg kertas yang terjatuh di lantai tadi. kedua-dua belah tangannya sarat dengan beberapa beg kertas tetapi masih mampu menarik Nadzlia supaya beredar. Nadzlia hanya menurut langkah Farah. Dia seakan-akan dipukau. Pemuda itu hanya melihat dengan pandangan penuh tanda-tanya. Pedulikan. Keadaan Nadzlia lebih penting. Lantas Farah membawa Nadzlia duduk di atas bangku batu yang disediakan di perhentian bas Segamat itu. Dia mengambil botol air mineral di dalam salah sebuah beg kertas yang ada lalu dicurah pada tangan kanannya seraya direnjis pada Nadzlia.
“Khairul!” ucap Nadzlia separuh menjerit.
“Bawa mengucap Lia, isghtifar...” ujar Farah.
“Tadi tu Khairul, kan? Khairul!” teriak Nadzlia.
“Bukan Lia! Itu bukan Khairul!” bantah Farah.
“Khairul!” ucap Nadzlia lalu berdiri, ingin mengejar pemuda tadi.
Farah pantas menangkap tangan Nadzlia sekaligus membuatkan langkah gadis itu terhenti.
“Lia, bertenang. Itu bukan Khairul. Muka mereka memang sama tapi itu bukan Khairul! Khairul dah tak ada Lia! Khairul dah tak ada!” bentak Farah.
Nadzlia terjelepok di atas lantai. Orang yang lalu-lalang mula memandang. Farah gelisah. Sungguh, dia juga terkejut melihat wajah pemuda tadi yang persis benar seperti Khairul. Suaranya juga seakan sama. Tetapi Farah tahu, hakikatnya Khairul sudah tiada lagi di dunia ini. Nadzlia juga perlu sedar akan kenyataan itu.
Farah membantu Nadzlia berdiri. Dia memaut kedua-dua belah bahu kawan baiknya itu, menyalurkan sedikit semangat.
“Bawa mengucap Lia. Bertenang...” ujar Farah.
Nadzlia menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan. Sebentar tadi, dia membiarkan perasaan mengawal dirinya, sekali lagi. Dia hanya rindu. Rindu pada Khairul yang telah pergi membawa bersama hati dan cintanya.

*  *  *  *  *

TIGA hari berlalu sejak kejadian di perhentian bas Segamat itu. Nadzlia juga semakin pulih dari kejutan. Farah banyak memberikan semangat. Tengah hari Selasa itu, selepas tamat kuliah, Nadzlia ke perpustakaan. Dia ingin meminjam beberapa buah buku ekonomi untuk dijadikan rujukan membuat tugasan yang diberi oleh pensyarahnya semalam. Melangkah masuk ke perpustakaan, Nadzlia menuju ke rak yang menempatkan buku-buku tentang subjek ekonomi. Sedang asyik membelek sebuah buku yang bertajuk “Fundamental of Macroeconomic” dia ditegur oleh seseorang.
“Hai, ingat saya lagi?”
Nadzlia terkesima. Benarkah apa yang sedang menyapa pandangannya atau ini hanya sebuah lagi ilusi?
“Cik...” tegur pemuda berkemeja biru gelap dengan tali leher berbelang putih itu.
Nadzlia pantas berlari keluar dari celah rak buku tersebut. Dia tidak mempedulikan pandangan orang sekeliling. Dia terus berlari sehingga berada agak jauh dari perpustakaan. Segala barang yang dibawa ke perpustakaan tadi ditinggalkan begitu sahaja. Kebetulan, Farah ternampak Nadzlia yang sedang bersandar di dinding blok pensyarah itu. Segera dia berlari ke sana.
“Lia,”
“Pergi!” jerit Nadzlia.
“Lia, aku ni, Farah,” ujar Farah.
Nadzlia mendongakan wajahnya. Benar, wajah Farah yang berada di hadapannya.
“Ma... maafkan saya,” ucap Nadzlia.
“Kenapa ni?” Farah bertanya.
“Dia datang lagi Farah! Dia datang lagi!”
“Siapa?”
“Khairul!”
Farah melepaskan keluhan. Nampaknya Nadzlia masih dibelenggu dengan bayang-bayang lelaki itu. Nadzlia seharusnya tegas terhadap diri sendiri. Sampai bila dia harus dihantui dengan kenangan silam yang memeritkan itu?
“Lia, kau tak boleh terus begini,” ujar Farah.
“Saya tak tipu! Saya nampak dia di perpustakaan tadi,”
“Itu hanya khayalan kau saja,”
“Bukan! Saya yakin ia bukan khayalan!” bidas Nadzlia.
“Baiklah, kalau macam tu, kita ke sana,” ajak Farah.
Mereka berdua menuju semula ke perpustakaan. Nadzlia berjalan di belakang Farah, seakan meminta perlindungan. Farah melangkah yakin sambil mencari kelibat lelaki yang dikatakan Khairul oleh Nadzlia tadi.
“Cik! Kenapa cik lari tadi?”
“Oh, mak kau!” Farah melatah apabila ditegur dari belakang.
“Maaf,”
Farah terlongo. Benar, Nadzlia tidak menipu. Lelaki yang berada di hadapan mereka ini memang Khairul.
“Kita berjumpa lagi. Masih ingat saya? Yang jumpa dekat stesen bas tempoh hari,” ujar lelaki itu.
“A... apa yang kau buat kat sini?” tanya Farah, cuba memberanikan diri.
“Saya baru masuk kerja semalam. Sebagai pustakawan. Sebelum ini saya bertugas di UiTM cawangan Perak,” jelas lelaki itu.
“Oh ya, saya Qadif,” sambung lelaki itu lagi.
Nadzlia masih bersembunyi di belakang Farah. Dia hanya mendengar apa yang mereka berdua bualkan.  Qadif? Jadi lelaki ini bukan Khairul? Ah, Khairul sudah meninggal dunia dua bulan yang lalu.
“Begini Encik Qadif. Biar saya berterus-terang sahaja. Wajah encik ni sebenarnya mirip sangat dengan wajah teman lelaki kawan saya ni yang baru sahaja meninggal dunia. Jadi, sebab tulah kami memang terkejut bila berjumpa dengan encik,” Farah membuat penjelasan.
Qadif mengerutkan dahi, cuba memahami apa yang gadis berblaus jingga itu sampaikan.
“Saya tahu encik mungkin kurang faham. Tapi apa yang saya nak encik tahu, kawan saya ni masih bersedih dan sedang cuba menerima hakikat yang teman lelakinya sudah tiada lagi. Tiba-tiba encik muncul dan ini membuatkan kawan saya ni takut sedikit,” ujar Farah.
“Hmm... begitu. Jadi, apa yang perlu saya lakukan?” gesa Qadif.
“Tak perlu buat apa-apa. Saya akan cuba yakinkan kawan saya ni yang encik bukanlah teman lelakinya tapi orang lain,” jawab Farah lalu menarik tangan Nadzlia beredar dari situ.
Nadzlia sempat melirik pada lelaki bernama Qadif yang persis wajah Khairul. Lelaki itu tersenyum sedikit. Senyuman yang membawa Nadzlia hanyut dalam kenangan...

::bersambung::

Tiada ulasan :