Sepatah Dua Kata

Khamis, Jun 17, 2010

Cinta Antara Kita IV - Bab Akhir



LANGIT malam dihiasi dengan butiran bintang yang bergemerlapan, menemani sang rembulan yang agak pudar cahayanya. Nadzlia membuang pandang ke luar jendela, memerhati angkasa yang gelap dan kelam. Kemudian dia beralih pada potret yang dibingkai dalam dakapannya. Potret wajah Khairul. Nadzlia tahu, tiada guna dikenang lagi kisah lama. Kekasih hatinya itu telah pergi buat selamanya. Tidak mungkin akan hidup bersamanya menemani setiap langkah seharian. Namun segala momen yang telah dicipta bersama-sama lelaki itu mana mungkin akan terpadam dalam ingatan mahupun jiwanya. Momen-momen yang tidak kira pahit atau manis itu terasa dekat di hati. Mustahil untuk dia lupakan.
“Teringat Khairul lagi?” tegur Farah.
Nadzlia mengukir senyuman tawar. Farah masih bertanya soalan yang dia sendiri sudah punya jawapannya.
“Sukar untuk saya lupakan dia Farah,” jawab Nadzlia.
“Aku faham. Aku bukan minta kau lupakan dia, tapi kau harus sedar, sampai bila kau nak tutup pintu hati sebab orang yang dah tiada lagi?”
“Saya selesa begini. Hanya perasaan ini yang Khairul tinggalkan untuk saya dan saya harus menjaganya dengan baik,” balas Nadzlia.
“Tapi kau harus lepaskan perasaan itu juga suatu hari nanti. Hidup tetap perlu diteruskan Lia. Takkan kau nak terus bergelumang dengan semua memori yang tak ada kesudahannya tu?”
“Saya tak kisah. Saya bahagia begini,”
“Ini bukan bahagia Lia. Ini derita. Kau hanya menyeksa diri kau sendiri. Jangan tutup mata tu. Buka luas-luas.  Masih banyak lagi lelaki di luar sana yang aku yakin mampu buat kau bahagia,” tegas Farah.
“Saya hanya bahagia dengan Khairul,”
“Tapi dia dah tak ada,”
“Ada! Dalam hati saya,”
“Jangan butakan hati Lia. Kau harus terima hakikat itu. Hidup kita masih panjang. Aku pasti Khairul juga akan faham,” jelas Farah.
Nadzlia memandang langit malam kembali. Dia membiarkan kata-kata Farah sebentar tadi dibawa pergi oleh bayu yang bertiup lembut. Farah tidak faham apa yang dia alami. Dia tidak sekejam itu untuk melupakan Khairul yang dicintai sepenuh hati.
“Terpulanglah Lia. Dah berbuih mulut aku nasihatkan kau sampai aku dah tak tahu nak kata apa lagi. Cuma aku nak kau tahu, asalkan kau gembira, aku juga turut gembira,” ujar Farah.
Nadzlia tetap memandang ke luar jendela. Wajah Khairul bermain di mindanya. Dia dihambat rindu. Rindu pada kenangan lalu.

*  *  *  *  *

“PINDAH?”
Farah bagai tidak percaya dengan apa yang didengari oleh telinganya sebentar tadi. Lelaki yang menjawat jawatan pustakawan di perpustakaan itu mengatakan yang dia hendak bertukar semula ke tempat kerjanya dahulu kerana seorang kakitangan di sana sudah berhenti dan mereka kekurangan pekerja.  Belum pun seminggu lelaki itu bekerja di sini, dia sudah akan pergi jauh semula.
Bagi Qadif pula, memang itu yang dia inginkan. Dia punya kepentingan di sana. Mujur dia masih belum membawa kesemua barang-barang keperluannya ke sini. Jika tidak, susah juga hendak mengangkutnya semula ke Perak.
“Macam mana dengan kawan awak tu?” tanya Qadif.
Farah mengeluh berat. Waktu itu mereka sedang berbual di bilik pejabat Qadif. Lelaki itu yang memanggil Farah ke biliknya apabila ternampak kelibat gadis itu tadi di dalam perpustakaan dua tingkat itu. Selebihnya, dia ingin tahu lebih lanjut tentang perihal kejadian yang menimpa kawan gadis itu.
“Dia masih tetap macam tu. Masih terus merindu pada yang dah tiada. Bayangkan, dia kata dia dah tutup pintu hati untuk lelaki lain. Takkan dia nak membujang seumur hidup? Itu kerja gila! Hanya kerana hendak pertahankan sebuah cinta yang dah menemui penamatnya, dia sanggup biar diri sendiri menderita. Saya benar-benar tak faham!” luah Farah.
Qadif membisu. Sengaja memberi peluang untuk Farah meluah rasa.
“Beginilah... awak boleh aturkan satu pertemuan antara dia dan saya malam ni di kafeteria?”
“Encik nak buat apa?”
“Adalah...”

*  *  *  *  *

NADZLIA menunggu kedatangan Farah yang memintanya ke kafeteria malam itu. Hendak belanja makan katanya. Lima minit menunggu, kelibat Farah masih belum muncul. Nadzlia mula gelisah.
“Assalammualaikum,” tegur seseorang.
“Waalaikummus... salam,” jawab Nadzlia, gugup setelah melihat wajah Qadif.
“Boleh saya duduk?” pinta Qadif.
Lidah Nadzlia kelu. Dia tidak mampu menjawab persoalan lelaki itu tadi. Qadif yang sudah menjangka akan reaksi Nadzlia, segera menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di situ.
“Saya akan berpindah dua hari lagi,” beritahu Qadif tanpa berselindung.
Nadzlia tersentak. Berpindah? Apakah ini satu khabar gembira atau duka? Entahlah, Nadzlia tidak pasti perasaan hatinya.
“Saya dah dengar segalanya dari Farah. Dan sebab itu saya minta dia aturkan pertemuan ini. Ada sesuatu yang saya nak beritahu awak,” ujar Qadif.
Nadzlia menundukkan wajahnya. Dia tidak mampu bertentang mata dengan Qadif. Dia takut dia tidak mampu mengawal perasaan hatinya. Apatah lagi suara lelaki itu membuatkan jiwanya bertambah perit.
“Saya juga pernah punya kekasih hati. Sama seperti awak, dia juga telah meninggal dunia kerana dijangkiti kanser buah pinggang. Waktu tu umur saya 25 tahun, baru mula bekerja. Dah dua tahun peristiwa hitam itu berlaku. Selepas dia meninggal dunia, saya rasakan dunia saya gelap. Saya rasakan yang saya sudah tidak punya apa-apa lagi. Tanpa dia di sisi, apalagi yang saya harapkan?” ujar Qadif.
Nadzlia masih diam. Setia mendengar setiap lafaz kata lelaki di hadapannya ini.
“Seminggu saya tidak datang kerja. Setiap hari saya mengunjungi pusaranya kerana saya rindukan dia. Sangat rindu. Sehinggalah seorang sahabat menyedarkan saya bahawa untuk apa saya tangisi pemergian dia yang telah tiada? Itu adalah lumrah dunia. Semua yang hidup pasti akan temui ajalnya juga. Cuma tidak tahu bila. Sementara kita masih diberi kesempatan untuk terus bernafas, gunakanlah peluang itu sebaiknya,” sambung Qadif.
Nadzlia tersentak. Ada sesuatu yang menjalar di hatinya saat ini.  Sesuatu yang sukar untuk dia tafsirkan.
“Dari situ saya dapat semangat untuk teruskan hidup. Sehinggalah saya berjumpa dengan awak. Awak percaya kalau saya katakan yang pertemuan kita sememangnya sudah diatur? Tuhan itu sangat sayangkan hambanya. Mungkin pertemuan ini adalah sebagai petunjuk agar kita saling menyedari bahawa hidup ini indah. Gunakanlah ia dengan sebaiknya dan usah terus berduka. Redhalah dengan pemergian dia yang sudah tiada. Cinta pertama tidak semestinya cinta yang terakhir. Perasaan cinta itu satu anugerah. Anugerah yang diberi pada yang selayaknya untuk menerima. Cinta tidak menghadirkan derita kerana kita sendiri yang menyalahgunakan cinta sehingga buatkan kita sendiri merana,” panjang lebar bicara Qadif.
Nadzlia tersentuh dengan bait-bait kata yang Qadif tuturkan. Perlahan-lahan dia mula menyedari bahawa dia tidak seharusnya biarkan perasaan cinta pada Khairul mengaburi matanya.
“Apa yang pasti, cinta sesama manusia ini hanya sebagai penyeri hidup kerana cinta sejati itu adalah untuk Ilahi. Justeru, untuk manggambarkan erti cinta yang sebenar, selalulah kita mendekatkan diri pada-Nya. Tuhan sentiasa rindukan makhluk-Nya agar mengingati-Nya sentiasa tetapi kita? Apakah kita rindu pada Tuhan yang mencipta kita sebagaimana kita rindukan kekasih hati? Apakah kita sayang dan kasihkan Tuhan yang memberi kita rahmat sebagaimana kita sayang dan kasihkan kekasih hati? Cinta pada manusia itu hanyalah secebis perasaan cinta yang sebenar pada Tuhan. Jadi, janganlah kerana secebis cinta yang dianugerahkan pada kita itu menjadikan kita alpa pada-Nya. Sewajarnya kita gunakan secebis cinta itu untuk menikmati hidup ini sepuasnya,” hujah Qadif.
Nadzlia merasakan ada manik-manik putih yang berladung di kolam mata. Betapa dia terlalu hanyut dengan perasaan cinta pada dunia. Dia terlupa akan cinta yang lebih hebat. Cinta pada Yang Maha Esa.
“Te... terima kasih...” ucap Nadzlia tiba-tiba.
“Alhamdulillah, saya gembira awak memahami. Saya tahu awak seorang yang bijak. Jangan kerana cinta kita butakan hati, tutup telinga dan gelapkan mata. Carilah cinta yang dianugerahkan Tuhan itu untuk melengkapkan hidup ini. Selebihnya, jangan dilupa cinta pada Tuhan yang sentiasa mengingati setiap hamba-Nya,” terang Qadif.
Qadif bangun lalu meminta diri. Dia sempat memberikan kad namanya pada Nadzlia. Seketika kemudian, Farah datang menghampiri kawan baiknya itu. Dia menyentuh lembut bahu Nadzlia. Setitis air mata jatuh ke atas kad nama milik Qadif itu.
“Kau okey?” tanya Farah, gusar.
Nadzlia mendongakkan wajahnya. Dia mengulum senyum. Perlahan-lahan wajah Khairul sirna dari ingatannya. Nadzlia membaca surah Al-Fatihah dengan niat untuk disedekahkan pada arwah Khairul. Hatinya tenang kini. Kad nama ditangan dipegang erat.
“Abdul Qadif Wafi,” ucap Nadzlia seraya dirasakan ada sesuatu yang mengetuk pintu hatinya.
Apakah itu?

::TAMAT::

2 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

Menarik...
Cinta yg kekal hanya pada DIA.

Nurul Asyikin Mohamad Ghazali berkata...

sedihnyer citer ni..sob2..