Sepatah Dua Kata

Rabu, Ogos 04, 2010

Semanis Epal II - Bab 01



“DAH sedia?”
Irdina memandang wajah Ekhmal. Dia sendiri tidak punya jawapan yang pasti bagi soalan Ekhmal tadi. Hatinya sudah lama bersedia tetapi mindanya tidak. Apabila hati dan minda saling bertingkah, maka satu keputusan tidak akan diperoleh.
“Jangan risau, saya ada di sisi awak,” ucap Ekhmal, seperti mengetahui apa yang bersarang di fikiran kekasih hatinya itu.
“Awak... Saya takut,” akhirnya Irdina meluahkan juga kegusaran yang dipendamnya.
“Mama saya tu manusia biasa Irdina. Dia tak makan orang,” seloroh Ekhmal, cuba menenangkan Irdina.
Pintu masuk Vila Karisma direnung. Apabila pintu ini diselak nanti, kebenaran akan terbongkar. Irdina hanya mampu menyerahkan segalanya pada takdir. Lambat-laun, rahsia ini akan terbongkar juga cuma Irdina tidak menjangkakan secepat ini.
“Awak, saya tak sedia lagi,” ujar Irdina.
Ekhmal menarik nafas kemudian menghembusnya perlahan-lahan. Dia mengukir senyum. Senyuman yang sedikit melegakan hati Irdina.
“Sampai bila nak sembunyikan? Lebih baik kita berterus-terang sekarang. Lagipun saya tak mahu bertunang lama-lama. Kalau boleh esok juga saya nak kahwin dengan awak,” balas Ekhmal lalu dihadiahkan cubitan kecil di lengan oleh Irdina.
“Orang serius dia buat lawak pula ya,”
“Eh, saya seriuslah ni. Dah, jom masuk. Kalau takut juga, sini...” ujar Ekhmal lalu menghulurkan tangannya.
Irdina tidak menyambut. Selagi ikatan mereka belum sah di sisi agama, dia tidak akan membenarkan Ekhmal menyentuhnya walau pun berpegangan tangan. Nenek sudah lama menitipkan perkara tersebut dari kecil lagi.
“Tak apa, saya dah okey,” balas Irdina, cuba tersenyum walaupun gugup.
Sejurus sahaja daun pintu ditolak, wajah Tan Sri Zulkafli dan Puan Sri Hasmiza menyapa pandangan. Kedua-duanya sudah sedia menanti di ruang tamu Vila Karisma itu. Irdina berdoa di dalam hati agar segalanya dipermudahkan. Sungguh dia terasa seperti seorang pesalah yang akan dijatuhkan hukuman gantung ke atasnya. Terasa seram-sejuk bercampur gelisah. Hendak muntah pun ada juga. 

“Assalammualaikum uncle, auntie,” tegur Irdina lalu berjabat tangan dengan kedua-duanya.
Salam dijawab dan kemudian Irdina mengambil tempat di sebelah Ekhmal, bertentangan dengan Tan Sri Zulkafli dan Puan Sri Hasmiza yang turut duduk bersebelahan. Irdina menarik nafas dan cuba mengukir senyum. Sekurang-kurangnya Ekhmal berada di sisi. Serba-sedikit gusar di hati berlalu pergi.
“Hah, ada perkara penting apa yang nak dibincangkan ni?” Puan Sri Hasmiza terus ke topik utama.
Ekhmal memandang Irdina yang menundukkan wajah. Dia tahu gadis itu dilanda resah yang menggila. Sejak semalam lagi Irdina sudah melahirkan kerisauan apabila Ekhmal menyatakan hasrat untuk berterus-terang dengan keluarganya tentang perjanjian pertunangan dan latar belakang Irdina yang sebenar.
Lambat-laun, mereka akan meniti gerbang perkahwinan dan seeloknya, sebelum keadaan menjadi haru-biru, adalah lebih baik mereka berterus-terang. Sekurang-kurangnya apabila berkahwin nanti mereka tidak terus-terusan diselubungi dengan pembohongan demi pembohongan.
Selebihnya Ekhmal yakin, kedua orang tuanya pasti dapat menerima apa yang bakal disampaikan sebentar lagi. Kedua-duanya sudah mengenali Irdina dan dia juga yakin mamanya sudah menyayangi gadis itu. Tambahan pula Irdina bukanlah gadis yang tidak tentu hala, dia gadis yang berpelajaran dan tinggi budi bahasa.
“Papa, mama... Mal ada sesuatu nak beritahu papa dan mama...” Ekhmal memulakan bicara sementara Irdina sudah masuk pengsan lagaknya!

*  *  *  *  *

BALKHIS membulatkan anak mata apabila membaca e-mel yang dikirim oleh Hasmir pagi tadi waktu Malaysia. Serasa tidak percaya dengan apa yang dilihat matanya. Ekhmal mahu merancang perkahwinan dalam masa terdekat? Apakah Auntie Miza sudah mengetahui tentang perihal perjanjian pertunangan tersebut? Sungguh tidak dijangka yang Auntie Hasmiza akan membuat keputusan semudah itu. Apakah ibu saudaranya benar-benar sudah menyayangi Irdina seperti menantunya sendiri?
Balkhis melepaskan keluhan kecil. Jika benar mereka akan berkahwin dalam masa terdekat, apakah wajar untuk dia hadir ke majlis tersebut? Tidak! Dia tidak layak untuk ke sana. Terlalu banyak kesalahan yang telah dilakukan lebih-lebih lagi pada Irdina. Dia malu. Malu kerana cintanya bertepuk sebelah tangan dan malu kerana dia telah melakukan sesuatu yang menjejaskan maruahnya sebagai seorang perempuan.
Kerusi yang sedang didudukinya ditolak sedikit ke belakang lantas dia bangun menuju ke tingkap. Daun-daun maple sudah banyak yang gugur ke lantai bumi. Samalah dengan perasaan rindunya yang luruh terhadap Ekhmal. Balkhis melihat deretan pohon maple yang berwarna kuning jingga daunnya itu. Dia tidak pasti apakah dengan membawa diri ke Jepun ini satu keputusan yang bijak memandangkan suasana dan musim di sini seakan menambah pilu di hati. Atau mungkin dia perlu melupakan segala kenangan dan memori yang tercipta bersama-sama Ekhmal sepertimana gugurnya daun-daun maple dari rantingnya pada musim luruh ini.

*  *  *  *  *
“KAMU sedar tak apa yang kamu cakap ni Ekhmal?” meninggi nada suara Puan Sri Hasmiza.
Irdina sudah dapat menjangka akan reaksi mama Ekhmal itu. wajahnya sejak tadi ditundukkan. Dia tidak tegar menatap wajah Puan Sri Hasmiza. Siapa yang tidak terkejut apabila mengetahui perkara sebegini terjadi antara dia dan Ekhmal. Bertunang atas perjanjian. Apatah lagi dia menerima ganjaran dari lelaki itu. Pasti Puan Sri Hasmiza menganggapnya seorang yang mata duitan.
“Dina, betul ke apa yang Ekhmal cakapkan tadi?” kali ini giliran Tan Sri Zulkafli pula yang bersuara.
Perlahan-lahan Irdina mengangguk. Anggukannya membuatkan riak wajah Puan Sri Hasmzia bertambah merah, menahan marah barangkali.
“Jadi, selama ni pertunangan kamu berdua tu palsu? Begitu?” soal Puan Sri Hasmiza.
“Mulanya memang begitu tapi Irdina tak bersalah. Mal yang rancang semua ni,” Ekhmal membela Irdina.
“Mama tak percaya kamu berdua tegamak menipu kami sampai macam ni! Kamu dah melampau Ekhmal!”
“Mama, dengar dulu penjelasan Mal. Mal buat semua ni bersebab. Bukan Mal saja-saja nak rancang pasal perjanjian tu,”
“Tak kira apa penjelasan kamu, kenyataannya kamu berdua dah menipu mama, dah menipu papa. Kemudian sekarang kamu minta nak berkahwin pula. Apa dalam perjanjian tu ada menyatakan kamu kena berkahwin ke? Kemudian semua harta papa diserahkan pada budak perempuan ni? macam tu?” herdik Puan Sri Hasmiza.
Irdina tersentak mendengar panggilan Puan Sri Hasmzia sebentar tadi. ‘Budak perempuan’. Bukan lagi dengan memanggil namanya. Dalam sekelip mata dia sudah menjadi orang asing di mata Puan Sri Hasmiza.
“Mama, ini semua rancangan Mal. Mal sengaja buat macam tu untuk dapatkan Irdina. Dia tak salah apa-apa mama,” tegas Ekhmal.
“Diam Ekhmal! Hei, perempuan! Dah berapa banyak duit anak aku kau telan hah?”
Sekali lagi Irdina tersentak. Hatinya bagai dicarik-carik rakus mendengar cacian yang keluar dari mulut mama Ekhmal. Sungguh dia tahu dia salah tetapi Puan Sri Hasmiza tidak seharusnya menuduh dia begitu.
“Miza, sabar...” tukas Tan Sri Zulkafli.
“Abang nak suruh Miza sabar? Abang sedar tak apa yang anak abang dah buat ni? mana nak letak muka kalau orang luar tahu tentang ni? Dia ingat kita ni apa? Tunggul kayu duk terpacak dalam rumah ni? Pandai-pandai buat keputusan sendiri. Tak pernah dibuat orang nak bertunang perlu ada perjanjian bagai ni. Dah tu siap ada tempoh tiga bulan lagi. RM 50 000 bang! Bukan sedikit jumlah tu...” bebel Puan Sri Hasmiza.
Irdina diam tidak berbunyi. Lidahnya kelu untuk berbicara. Dia sudah tahu keluarga Ekhmal pasti akan terkejut besar apabila menerima berita ini. Ah, seharusnya Ekhmal berterus-terang sejak mula lagi tentang hasrat hatinya itu. Tidak perlu hendak buat perjanjian apa-apa. Jika Ekhmal berjumpanya dan meluahkan hasrat hati, dia masih boleh membuat pilihan untuk menerima. Tidak payah perjanjian yang merumitkan ini. bertambah mengeruhkan keadaan.
“Tapi mama, Mal yang rancang semua ni. Irdina tak tahu apa-apa. Yang salahnya Mal, mama...”
“Huh! Anak Dato’ konon. Buka kedai bukulah, berdikari sendirilah, rupanya mengikis harta orang kaya. Sedarlah diri tu duduk takat mana. Tolonglah, mama tak boleh terima orang macam ni jadi menantu dalam keluarga mama,” ujar Puan Sri Hasmiza.
Irdina terasa mahu menitiskan air mata mendengar kata-kata Puan Sri Hasmiza. Terasa harga dirinya bagai dipijak-pijak. Iyalah, masakan pipit boleh terbang seiring dengan enggang. Dia terlupa hakikat itu.
“Mama...”
“Sudah! Mama tak mahu tengok muka dia lagi! Dia tak layak jadi menantu mama mahupun isteri kamu!” bentak Puan Sri Hasmiza.
“Mama...” ucap Ekhmal lagi.
“Keputusan mama muktamad! Kalau Mal degil juga, jangan jejakkan kaki Mal kat rumah ni lagi!”
“Mama nak Mal jadi macam along ke?”
Puan Sri Hasmiza terpana mendengar kata-kata anak bongsunya itu. Tajam renungannya menatap wajah Ekhmal.
“Kamu ugut mama Ekhmal?”
“Terpulanglah bagaimana mama tafsirkan kata-kata Mal tadi. Tapi mama, dengar dulu penjelasan Mal sebelum buat keputusan. Mal yang rancangkan perjanjian pertunangan ni. Irdina tak sedikit pun berniat nak rampas harta kita,”
“Tak berniat? Kalau dia perempuan yang ada harga diri, dia tak akan terima tawaran kamu tu,” sindir Puan Sri Hasmiza.
“Mama!”
Irdina bingkas bangun. Sesaat lagi dia di situ, hatinya pasti akan hancur berkecai. Panas telinganya mendengar segala caci-maki Puan Sri Hasmiza. Dia sudah tidak boleh bersabar lagi. Lantas, dia melangkah meninggalkan ruang tamu menuju ke pintu utama. Dia bukanlah seorang yang tidak punya harga diri. Dia tahu kedudukannya. Puan Sri Hasmiza tidak perlu mengingatkan dia sehingga begitu sekali.
“Irdina!” laung Ekhmal namun Irdina terus melangkah.
Ekhmal pantas bangun mahu mengejar tetapi tangannya dicapai oleh Puan Sri Hasmiza.
“Jangan kamu nak mengada-ngada. Dia tak layak untuk kamu,” ujar Puan Sri Hasmiza.
“Mama tak berhak nak tentukan sama ada Irdina layak atau tidak menjadi pasnagan hidup saya,” balas Ekhmal lalu direntap tangannya dan berlalu pergi.
“Ekhmal!” Puan Sri Hasmiza menjerit.
“Miza!”
Suara Tan Sri Zulkafli menyebabkan Ekhmal berpaling. Dilihat mamanya sudah rebah dalam pangkuan papanya.
“Mama!”
::bersambung::

12 ulasan :

Leya berkata...

Rizai!!!!

x sangka! sungguh t'kejut+t'haru+nak nangis. thanks a lot! mmang rndu ngan dina n ekhmal.....

datul berkata...

encik rizai ni nak mendera perasaan orang je ye. apsal sambung pula ni. adoyai!

epy elina berkata...

wah...
mst bnyk rntgn sblum dina n ekhmal brsatu...

Tanpa Nama berkata...

ada lagi? banyak betul idea ye. bagus, aktif..

nabila adnan berkata...

~haiyaa..
sdey la babe..~~

akira_bita berkata...

wah.. rindu sgt ngn dorg!! suka22!!

erk? ala.. sedeynya.. mal pasti dalam dilemma... sama ada tinggalkan dina atau jd anak derhaka.. agaknya mana dia pilih erk? *ketuk kepala*

shura berkata...

yeay, sambungan! suke! suke!

Rizai Reeani berkata...

Leya: Sama-sama awak. Saya juga rindu dengan pembaca-pembaca semua :)

datul: hehehe, bukan mendera sekadar mahu berkongsi rasa...

epy elina: mungkin, nampaknya masih belum ketemu bahagia mereka ni

tanpa nama: Alhamdulillah, masih diberi ilham oleh Yang Maha Esa. saya kongsikan bersama semua ;)

nabila: semua yang menggembirakan itu biasanya bermula dari kesedihan... :)

kira: dia tidak akan pilih kedua-duanya. hero mesti ada jalan punya. hehehe...

shura: terima kasih. gembira awak menyukainya...

terima kasih semua masih sudi singgah membaca. saya amat hargainya! d^_^b

kucun tella berkata...

sebenarnye tan sri tu ayah kandung dina...kan?

Rizai Reeani berkata...

kucun tella: hah? ish, dari mana dapat tanggapan tu. hehehe...

kucun berkata...

mn la tau si puan sri ni ex wife si tan sri tu,,,pastu upenye die ayah si dina sbb dlm cite ni dina membesar dgn nenek,,,pastu ekhmal n dina adik bradik...klo cite ending ni masuk panggung mau kene bakar...hahaha

Rizai Reeani berkata...

kucun: wah, mana tahu nak buat jalan cerita macam ni? hahaha... memang saya nak kena kalau buat jalan cerita macam tu. sangatlah klise. ;)