Sepatah Dua Kata

Rabu, Ogos 11, 2010

Semanis Epal II - Bab 02



BUNYI deruan air sungai yang mengalir sedikit menghantar ketenangan dalam diri Irdina. Dia melontar seketul batu kecil ke dalam sungai. Kocakan air sungai sama seperti hatinya yang sedang dilanda gundah.
Entahlah, bila fikirkan semula, dia tidak sepatutnya terjebak dalam perihal yang meletihkan ini. memang benar Ekhmal menyintainya dan dia juga berperasaan sebegitu tetapi dia terlupa, cinta sahaja tidak akan menjamin bahagia.
Zaman sekarang, apalah gunanya rasa cinta itu jika tidak berharta. Orang yang tidak punya duit, langsung tidak dipandang. Yang berharta, dipuja-puja. Zaman sekarang zaman materialistik. Orang sudah tidak peduli akan cinta. Janji berduit, walau tiada sekelumit pun rasa cinta, tetap mengikat tali perkahwinan. Kerana pada fikiran mereka, hanya harta yang memberi bahagia.
Namun tidak pada Irdina. Apalah guna harta bertimbun-timbun jika hati tidak tenteram? Apalah guna duit berjuta-juta jika kurang kasih sayang? Irdina tidak faham sebenarnya. Mengapa Puan Sri Hasmiza sangat kolot, masih menanggap hanya orang yang berharta sahaja yang layak berada di sisi anaknya. Lupakah wanita itu bahawa harta tidak boleh dibawa ke lubang kubur? Lupakah wanita itu bahawa di mata Tuhan semuanya sama sahaja tarafnya kecuali yang beriman dan bertakwa?
Irdina masih ingat kata-kata Ekhmal beberawa waktu dahulu. Selepas melamarnya, Ekhmal telah membuat penjelasan. Sungguh dia terkejut apabila mengetahui pertembungannya dengan lelaki itu adalah satu rancangan. Semuanya sudah dirancang awal-awal lagi. Ekhmal melakukan perkara tersebut semata-mata mahu mendekatinya.
Yalah, jika difikirkan dengan logik akal, masakan kerana sebiji epal, dia harus berkahwin atau bertunang dengan seseorang. Bukannya tidak boleh diganti epal yang dipijak itu. Namun, kebetulan dia memerlukan duit kala itu untuk menampung kos perbelanjaan kesihatan nenek. Benar agaknya, tanpa duit, seseorang itu tidak akan ke mana.
Buktinya, jika dia punya harta, tidak perlu dia menandatangi perjanjian pertunangan palsu dengan Ekhmal. Pasti sudah dihantar neneknya ke luar negara untuk menjalani rawatan. Kalau dia punya harta, mudah sahaja dia berkahwin dengan Ekhmal. Pasti Puan Sri Hasmiza mendepangkan tangan sambil merangkulnya penuh erat. Tapi Irdina tahu, itu semua hanyalah satu khayalan yang tidak mungkin menjadi kenyataan. Niatnya mahu menggapai bintang di langit tapi sayang, tangan tak sampai.
Selepas mendengar penjelasan Ekhmal, jauh di sudut hati, dia terharu sebenarnya. Terharu kerana Ekhmal masih menanti dan mengingatinya. Masih menyimpan rasa cinta dan sayang untuknya walau telah lama tidak ketemu. Dia cintakan Ekhmal. Ya, itu tidak dinafikan. Namun bagaimana mereka mahu terus menjalin kasih tanpa restu kedua ibu bapa?
Ah, dia anak yatim piatu. Sudah lama tidak mengecap kasih seorang ayah dan belaian manja seorang ibu. Apalah yang dia mengerti tentang kasih sayang ayah dan ibu. Pastinya, Puan Sri Hasmiza mengharapkan yang terbaik untuk anaknya itu dan pada pandangan Puan Sri Hasmiza, dia bukanlah yang terbaik.
Masih terngiang-ngiang di telinganya segala caci-maki yang meniti di bibir wanita itu semalam. Pulang sahaja ke rumah, dia terus ke bilik. Sapaan dari neneknya langsung tidak diendahkan. Dihambur segala duka dalam setiap deraian air mata yang mengalir. Hatinya remuk seperti kaca yang diketuk dengan tukul. Pecah, berkecai. Betapa kecilnya dia di mata Puan Sri Hasmiza apabila segala keenaran terbongkar.
“Assalammualaikum,”
Irdina tersentak. Salam yang dihulur dijawab lirih. Dia tidak perlu menoleh kerana suara itu sudah acapkali menampar pendengarannya. Sekali lagi dicapai seketul batu kecil lalu dicampak ke dalam sungai.
“Macam awak tahu saya di sini?” soalku.
Ekhmal yang berdiri, mula melabuhkan punggung di atas tebing yang beralaskan rumput-rumput hijau. Diperhatikan raut wajah gadis yang dicintai setulus hati. Ada riak duka yang bersenandung dengan kemuraman yang dipamerkan di wajah gadis itu. Dia mengerti apa yang Irdina rasakan. Dia faham. Sangat faham.
“Nenek yang beritahu awak di sini,” jawab Ekhmal.
“Mama awak macam mana?” soalku lagi.
Ekhmal masih memerhati wajah Irdina. Walau sudah dihina dan diherdik, Irdina masih mahu mengambil berat akan perihal mamanya. Gadis itu sangat suci hatinya. Mengapa itu yang tidak dipandang oleh mamanya?
“Selepas awak keluar, mama pengsan,” ujar Ekhmal.
Kali ini Irdina menoleh, memandang Ekhmal. Mata mereka bertentangan tetapi tidak lama. Irdina segera mengalihkan pandangannya semula, tidak mahu hatinya terus diterpa hiba. Sungguh dia terkejut apabila mengetahui tentang perkara tersebut. Patutlah Ekhmal tidak mengejarnya semalam.
Fikir Irdina, mungkin Puan Sri Hasmiza melarang Ekhmal dari mengejarnya. Tidak disangka rupanya wanita itu pengsan. Terasa serba-salah pula. Sepertinya dia punca Puan Sri Hasmiza pengsan.
“Darah tingginya naik. Mungkin terkejut dengan berita semalam. Tapi sekarang dia dah sihat cuma kena banyak berehat,” jelas Ekhmal.
Irdina tidak bertanya lagi. Dia kembali bungkam. Tidak tahu mahu bicara apa dengan lelaki di sebelahnya ini. Sekali lagi dilontarnya seketul batu ke dalam sungai. Terasa seperti beban yang ditampung juga dicampak pergi.
“Irdina...” ucap Ekhmal.
“Awak masih nak teruskan perkahwinan ini?” Irdina menukas kata-kata Ekhmal.
“Kenapa pula saya harus batalkannya?” Ekhmal bertanya, terkejut.
“Sebab kita tak setaraf, tak sekufu,”
“Awak fikir saya orang yang macam tu? Mementingkan harta?” bidas Ekhmal.
“Tidak. Tapi...” kata-kata Irdina terhenti.
“Soal mama tu biarlah saya yang uruskan,”
“Tak Ekhmal, awak tak faham...” balas Irdina.
“Apa yang saya tak faham? Care to explain?
“Entahlah Ekhmal. Saya tak tahu nak jelaskan,” Irdina mengeluh.
“Kalau awak tak jelaskan, macam mana saya nak faham?”
“Cukuplah kalau saya katakan yang kita tak layak bersama,”
Ekhmal tersengih. Dia memandang arus sungai yang mengalir perlahan. Sesekali gemersik dedaun pokok semarak api yang rendang menyapa pendengaran. Sungai yang letaknya di hujung kampung ini masih jernih airnya. Dasarnya masih boleh dilihat. Masih belum diterokai oleh pembangunan mahupun dicemari oleh tangan-tangan manusia yang dangkal akalnya.
Ekhmal bangun tiba-tiba lalu membuka sandal yang dipakai. Dilipat hujung seluar sehingga paras lutut lalu melangkah ke dalam gigi air. Kedinginan air mula meresap ke tubuh. Sungai tersebut tidaklah Ekhmal tahu kedalamannya. Mungkin paras pinggangnya sahaja.
Kedua tangannya dicelup ke dalam air lalu direnjis pada Irdina. Gadis itu tersentak sedikit. Langsung tidak perasan akan lelaki itu yang sudah lama bangkit dari duduk di sebelahnya.
“Apa awak ni?” soal Irdina, tidak suka dibuat begitu.
“Saja saya renjis dekat awak supaya awak sedar. Saya harap awak jelas Irdina. Saya cintakan awak bukan kerana harta atau kerjaya awak. Saya cintakan awak sebab ia adalah awak. Sebab diri awak. Kalau saya cintakan awak sebab lain, saya tak berada dengan awak di sini sekarang ni,” ujar Ekhmal.
Irdina mencebik. Namun dia tahu apa yang diungkapkan oleh Ekhmal sebentar tadi benar belaka. Ya, dia juga sangat menyintai lelaki di hadapannya ini tetapi apabila mengenangkan Puan Sri Hasmiza, keyakinannya mula goyah. Dia bimbang Puan Sri Hasmiza akan melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Dia masih ingat kata-kata Balkhis bahawa Puan Sri Hasmiza itu bukan calang-calang orang. Wanita itu punya harta dan kuasa. Mampu lakukan apa yang terdetik di hati.
Dia tidak kisahkan dirinya. Walau apa pun yang Puan Sri Hasmiza mahu lakukan ke atas dirinya, dia yakin dia mampu hadapi. Cuma jika wanita itu melakukan sesuatu ke atas Ekhmal, dia tidak akan maafkan dirinya.
“Awak masih ragu-ragu?” soal Ekhaml sambil merenjiskan air sungai yang dingin itu pada Irdina sekali lagi.
“Awak!” marah Irdina.
“Kita akan kahwin Irdina. Itu janji saya,” ucap Ekhmal.
Irdina mengukir senyum tawar. Janji... sesuatu yang mudah diucap tetapi menunaikannya, dia sendiri tidak pasti.
::bersambung::

6 ulasan :

♥ HanNa ♥ berkata...

hehe..
harap2 diorang kawen r..
(mesti kawen punyr.. btol x??)

epy elina berkata...

hohohhoho....
btapa kuatnya cnta mrk...
shngga msing2 ingn mlindungi psngn msing2x....

Leya berkata...

sambung gak. lama tunggu. hehe.. ala, romantik betul budak 2 orang ni. kadang2 orng kaya mmang macam tu. nak kahwi ngan taraf diaorg je.

Kaunter Streamyx Acol berkata...

selamat menyambut bulan ramadhan.
pendaftaran streamyx percuma di blog saya streamyxacol.blogspot.com

akira_bita berkata...

klo sy pun ragu2.... yela.. antara cinta dan ibu bapa.. mestilah lg penting ibu bapa... huhuhu

Rizai Reeani berkata...

hanna: hehehe, memang kahwin pun cuma saya nak menceritakan dugaan sebelum mereka berkahwin ;)

epy elina: begitulah yan gsepatutnya wujud dalam setiap pasangan...

leya: maaf ya lama menunggu. harap saya boleh kekalkan momentum sama seperti dulu ;)

kauter streamyx acol: terima kasih atas jemputan itu.

kira: ya, ibu bapa adalah segalanya... :)

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi ulasan ;)