Sepatah Dua Kata

Ahad, Ogos 15, 2010

Semanis Epal II - Bab 03




“KAU masih tetap dengan keputusan kau Mal?” soal Ezwan, abang sulung Ekhmal.
Waktu itu Ekhmal singgah sebentar ke Charisma Bistro kerana dia benar-benar tidak tahu ke mana hendak dituju. Mungkin abangnya punya pendapat yang boleh dikongsi bersama.
“Rasanya tak salah kalau Mal teruskan rancangan perkahwinan ni,” jawab Ekhmal.
“Tapi kau tahu mama bagaimana, kan?”
Ekhmal mengeluh berat. Susah benar mahu buat mamanya faham akan kehendak hati ini. Dia tidak tahu kenapa mama begitu mementingkan status dan darjat. Apakah mama takut Irdina mahu mengikis harta keluarganya? Tolonglah, harta papa kalau diguna tujuh keturunan pun tak akan habis.
“Habis tu abang nak Mal buat apa? Ikut aje cakap mama? Mal cintakan Irdina bang. Hanya dengan dia Mal boleh bahagia. Hanya Irdina,” tegas Ekhmal.
“Abang faham tapi kau kena fikir juga tentang mama. Sejak dia pengsan tempoh hari, abang tengok keadaan kesihatannya dah tak seperti dulu. Mama sering batuk dan tercungap-cungap. Mungkin asmanya menyerang semula,” Ezwan cuba menarik simpati adik bongsunya itu.
Ekhmal menundukkan wajah. Kata-kata abangnya itu ada benarnya. Dia berasa serba-salah tiba-tiba. Mungkin mamanya kecewa apabila mengetahui kebenaran bahawa dia dan Irdina bertunang atas perjanjian. Oleh sebab itu mama berfikir yang Irdina hanya mahukan hartanya. Mama sedikit pun tidak mahu dengar penjelasan darinya. Itu yang Ekhmal terkilan.
“Biarlah keadaan mama pulih dulu. Kemudian, kau bincang dengan mama baik-baik. Kalau kau nak abang temankan, abang tak kisah. Abang rasa papa pun begitu. Kita berdua kenal Irdina. Dia bukannya gadis seperti yang mama fikirkan,” terang Ezwan.
Sekali lagi Ekhmal melepaskan keluhan. Nampaknya dia perlu bersabar untuk seketika. Ekhmal tidak perlu risau kerana semua orang yang rapat dengan dirinya menyokong hubungan cintanya dengan Irdina. Cuma mamanya sahaja yang degil dan belum terbuka hatinya.
*  *  *  *  *

IRDINA yang sedang asyik menyiram pokok-pokok bunga kertas di halaman rumah terganggu dengan bunyi enjin kenderaan memasuki halaman. Getah paip yang dipegang terlepas dari pegangan. Dia kenal pemilik kenderaan itu. Sudah lama mereka tidak bertentang mata. Pantas, Irdina melangkah ke arah paip air lalu memulas kepala paip berkenan. Air dari getah paip berhenti mengalir. Nenek Irdina turut menjenguk ke jendela. Dahinya berkerut-kerut. Mungkin kenalan Irdina datang menziarah.
Hasmir keluar dari perut kereta. Dia mengambil cuti setengah hari semata-mata untuk bertemu dengan Irdina. Datangnya punya tujuan. Dia mahu menambat semula hati Irdina. Sekali lagi!
“Assalammualaikum,” sapa Hasmir.
“Waalaukummussalam,” Irdina menjawab, sedikit gugup.
“Apa khabar?”
“Baik-baik sahaja. Lama tak jumpa ya,” ujar Irdina sambil cuba mengukir senyum.
Dia tidak mahu nampak tidak selesa apabila berada berdekatan dengan Hasmir. Walau lelaki ini pernah menyakiti hatinya, dia tahu Hasmir seorang yang baik. Hasmir hanya mengikut arahan Balkhis dan selebihnya, Irdina mengerti akan perasan hati Hasmir padanya.
“Jom, duduk di pangkin tu,” pelawa Irdina.
Mereka berdua melangkah ke arah pangkin yang dibina di bawah pokok rambutan yang mula berbunga. Sedikit masa lagi akan ranum berbuah.
“Nenek ada di rumah?” soal Hasmir, sekadar berbasa-basi.
“Ada. Tengah masak rasanya,” jawab Irdina.
“Awak buat apa sekarang?”
“Buka ladang anggur,” gurau Irdina lalu ketawa kecil.
“Duduk rumah goyang kaki. Belum ada mood nak cari kerja lagi,” cepat-cepat Irdina menyambung apabila melihat wajah Hasmir yang serius.
“Tak nak kerja di Charisma Bistro semula?”
Irdina senyum. Bekerja di Charisma Bistro? Itu tak mungkin. Restoran itu telah meninggalkan pelbagai kenangan padanya. Tambahan pula, sebolehnya dia tidak mahu terlibat dengan perniagaan keluarga Ekhmal. Bimbang dituduh bukan-bukan oleh Puan Sri Hasmiza lagi.
“Buat masa ni, saya nak berehat dulu. Agak penat sedikit setelah banyak perkara yang tak sepatutnya berlaku,” ujar Irdina.
“Awak menyindir ya,” usik Hasmir.
Irdina hanya ketawa kecil sebagai jawapan. Tidak terlintas pun di hatinya untuk menyindir lelaki yang sedang duduk di sebelahnya ini. Dia hanya teringat kenangan lalu. Kenangan pahit yang benar-benar meletihkannya.
“Saya ada dengar dari Abang Ezwan. Tentang awak dan my auntie,” Hasmir mula berbicara serius sekaligus mematikan tawa Irdina.
Irdina diam. Tidak tahu mahu bicara apa. Bila perihal dia dan Puan Sri Hasmiza disebut, dia memang tidak tahu apa yang perlu diulas. Penat sebenarnya. Sekarang dia hanya mampu berserah. Jika jodohnya dengan Ekhmal kuat, takkan ke mana. Jika sebaliknya, dia redha.
Pasti Tuhan sudah menyediakan seorang lelaki yang sesuai dengan dirinya. Bukankah manusia itu diciptakan berpasang-pasangan? Setiap manusia yang bernyawa pasti akan bertemu dengan pasangan masing-masing. Melayari bahtera rumah tangga dengan rasa cinta dan kasih.
Namun ada juga yang tidak dapat menahan badai yang menongkah bahtera rumah tangga. Di situlah kepercayaan dan kekuatan cinta diuji. Sama ada akan terus tabah mengharung gelora, atau membiarkan bahtera tersebut hanyut dipukul ombak, sekaligus terdampar di pulau derita. Ah, dia tidak seharusnya berfalsafah sekarang. Tidak kena pada masanya.
“Irdina...” ucap Hasmir seraya menatap lembut wajah gadis berkurung biru laut itu.
“Saya hanya nak awak tahu, saya sudi jadi rumah untuk awak berteduh, dahan untuk awak berpaut dan bahu untuk awak bersandar jika awak letih,” ujar Hasmir dalam kiasan.
Irdina terkesima seketika. Betapa Hasmir masih menyimpan rasa cinta dalam hati untuk dirinya. Lelaki itu masih tidak mahu mengalah untuk mendapatkan tempat dalam hatinya. Entah mengapa Irdina rasa tersentuh dengan keazaman yang ditunjukkan oleh Hasmir. Namun, dia tidak boleh membiarkan lelaki itu terus berharap kerana cinta dan hatinya sudah diserahkan bulat-bulat pada lelaki bernama Ekhmal, sepupu kepada lelaki yang duduk di sebelahnya ini.
“Terima kasih Mir. Saya tahu awak seorang lelaki yang baik...” ujar Irdina, hanya itu yang mampu dia tuturkan.
“Kalau awak menderita bersama Ekhmal, saya sudi gantikan tempatnya,” ucap Hasmir.
Irdina tersengih. Kata-kata Hasmir sedikit menggeletek tangkai hati. Apalah yang ada pada dirinya sehingga membuatkan Hasmir begitu tegar mahu menjadikan diri ini milik lelaki itu?
“Saya lebih suka menderita bersama-sama dengan lelaki yang saya cintai berbanding gembira dengan lelaki yang sedikit pun tidak pernah hati ini tergerak untuk menyimpan rasa cinta padanya,” balas Irdina.
Segugus nafas berat kedengaran di telinga Irdina. Sungguh, dia tidak mahu membuatkan Hasmir berduka mahupun menyakiti hati lelaki itu namun Hasmir perlu sedar, cinta itu adalah penyatuan dua hati. Jika perasaan itu wujud pada sebelah pihak sahaja, ia tidak boleh dipanggil cinta.
“Beginilah Hasmir. Saya serahkan soal jodoh pada Tuhan. Jika Ekhmal bukan jodoh saya, saya terima dengan redha. Dan jika benar awak yang ditakdirkan untuk saya, saya terima juga dengan redha. Tuhan itu lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba-NYA. Apa yang boleh kita buat adalah berdoa. Terus berdoa agar Tuhan berikan insan yang menyayangi kita setulus hati dan kita juga menyayanginya sepenuh jiwa,” Irdina menyambung kata.
“Awak pernah dengar bukan, lebih baik terima orang yang cintakan kita lebih,” Hasmir masih tidak mahu mengalah.
“Ya, tapi saya tak setuju. Sepertinya saya mengambil kesempatan di atas rasa cinta lelaki tersebut walhal dalam hati saya langsung tidak pernah menyayanginya. Itu bukan cinta tapi lebih kepada dipergunakan. Satu tindakan yang zalim,” bidas Irdina.
Kali ini Hasmir terdiam. Mungkin bersetuju dengan pendapat Irdina tadi. Tiba-tiba Hasmir ketawa kecil membuatkan Irdina sedikit kaget.
“Saya terlalu sayangkan awak sampai tak sedar yang saya hanya memperbodohkan diri sendiri,” ujar Hasmir.
“Tak, awak tak bodoh Mir. Awak hanya buta dengan rasa cinta itu. Tak salah menyintai seseorang malah awak patut berbangga kerana awak punya keyakinan untuk luahkan perasaan cinta awak dan tidak memendamnya seperti kebanyakkan orang. Memendam rasa itu lebih menyakitkan dari cinta ditolak selepas melafazkannya,”
Hasmir menghabiskan sisa tawanya. Irdina memandang lelaki yang berkulit cerah itu dengan rasa simpati.
‘Maaf Mir, saya tidak mungkin dapat menerima cinta awak kerana Ekhmal telah mengunci pintu hati saya dari menerima huluran cinta insan lain. Hanya lelaki itu yang punya kunci untuk membuka pintu hati saya ini...’
::bersambung::

5 ulasan :

epy elina berkata...

wahhhhh.........
btpa dlmnya cnta hasmir....
btul tndkn dina 2....
andai ati x ada cnta jgn brkan dia mnaruh hrpn...
klak kcwa di kmudian ari....

Tanpa Nama berkata...

i really like this chapter. falsafahnya tepat. chapter ni sngat matang. -zone-

datul berkata...

kesian hasmir. tp nak wat camne kan kalau dlam hati x de cinte.

Leya berkata...

kalaulah dapat pakwe setia cam hasmir tu mmang bertuah. hasmir, hasmir...

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen... :D