Sepatah Dua Kata

Isnin, Ogos 16, 2010

Semanis Epal II - Bab 04



BALKHIS membaca setiap patah kata yang terpapar di skrin komputer ribanya. Kiriman e-mel dari Hasmir tidak sedikit pun menghadirkan kejutan padanya. Dia sudah dapat menjangka reaksi Puan Sri Hasmiza apabila perihal perjanjian pertunangan itu terbongkar. Mulanya dia agak sangsi juga apabila Hasmir mengatakan yang Ekhmal dan Irdina akan berkahwin kerana pada telahannya, kedua-dua mereka merahsiakan perjanjian pertunangan tersebut. Rupanya, mereka berlaku jujur dan kesannya, Puan Sri Hasmiza marah benar sehingga jatuh sakit.
Balkhis tidak tahu apa yang patut dirasakan sekarang. Gembira atau simpati? Seharusnya dia gembira kerana Ekhmal tidak jadi berkahwin dengan Irdina. Bukankah ini bermakna peluangnya untuk bersama-sama dengan Ekhmal terbuka semula? Tidak, tidak... Dia tidak boleh turutkan persaan lagi.
Kisah cintanya dengan Ekhmal sudah jadi sejarah. Tiada guna untuk dia berharap lagi kerana Ekhmal tidak akan jatuh cinta padanya. Namun, jauh di sudut hati, Balkhis amat berharap agar pintu hati Ekhmal terbuka untuk menerima dirinya. Mereka sudah lama menjalin hubungan persahabatan. Sudah terlalu rapat sehingga apa yang Ekhmal suka, apa yang Ekhmal benci, sudah dihafal.
Tetapi mengapa bukan dirinya yang jadi pilihan hati lelaki itu? Apa yang ada pada Irdina yang membuatkan Ekhmal jatuh hati padanya? Adakah kerana gadis itu orangnya sederhana maka Ekhmal terpikat? Atau... Ekhmal hanya bersimpati pada Irdina akan kesempitan hidup gadis itu! Ya, tidak silap lagi. Ekhmal hanya rasa simpati.
“Tak!” Balkhis menjerit.
Dia melekapkan tapak tangan kanannya ke dada. Mengapa dia tewas dengan perasaannya lagi? Mengapa masih berharap pada sesuatu yang tidak akan jadi kenyataan? Bukankah tujuannya ke Jepun ini adalah untuk mengubat hati yang lara, mengusir segala duka?
Bunyi telefon bimbit miliknya kedengaran. Pantas Balkhis mencapai telefon yang berada di sebelah komputer ribanya tanpa melihat nama yang tertera di skrin.
“Hello,” ucap Balkhis.
“Hello, Qis! Auntie ni...”
Hampir terlepas telefon bimbit dari pegangan tatkala mendengar suara di talian sebelah sana. Puan Sri Hasmiza menghubunginya!

*  *  *  *  *

“MAMA awak dah sihat?” soal Irdina pada Ekhmal yang sedang menghirup cappucino di dalam cawan di hadapannya.
Suasana di Pak Long Kopitiam itu agak lengang dengan pengunjung. Jam di dinding sudah menunjuk ke angka 5.30 petang. Irdina memandang wajah Ekhmal, menanti balasan pada pertanyaannya tadi.
“Dah okey sikit. Cuma masih batuk-batuk lagi,” jawab Ekhmal.
“Alhamdulillah... Kerja awak macam mana?”
“Macam biasalah. Oh ya, Hasmir kirim salam. Dia ada datang melawat mama di rumah malam tadi,” ujar Ekhmal.
“Waalaikumussalam,” ringkas jawapan Irdina.
Ekhmal cuba merisik andai gadis itu tersentuh dengan kata-katanya tadi namun Irdina masih berlagak biasa seolah-olah kiriman salam dari Hasmir tidak mendatangkan apa-apa kesan padanya.
Irdina yang perasan akan pandangan Ekhmal padanya hanya berpura-pura selamba. Baru semalam dia berjumpa dengan Hasmir. Telah dijelaskan semuanya pada lelaki itu. Dia telah meminta Hasmir agar berhenti dari menunggu dan berharap padanya lagi. Lelaki itu berhak memperoleh seorang perempuan yang lebih baik dari dirinya.
“Ada dengar khabar dari Balkhis?” Irdina bertanya lagi.
Ekhmal tersengih. Mengapa Irdina masih mengambil berat akan gadis yang pernah mahu menghancurkan hidupnya? Lupakah Irdina akan apa yang telah dilakukan oleh Balkhis?
“Kenapa tanya?”
“Tak adalah, mana tahu dia ada hubungi awak. Saya kasihankan dia sebenarnya. Awak terlalu tegas pada dia,” jawab Irdina.
“Tegas? Kalau saya tak tegas, saya tak akan dapat awak tahu tak?”
“Eleh... Tegas konon padahal penakut. Nak luahkan cinta pun fikir dua tiga kali dulu,” giat Irdina.
“Bukan penakut, tapi pemalu...” balas Ekhmal.
Irdina tergelak kecil. Ekhmal sengaja mengajaknya minum petang di kopitiam yang terletak tidak jauh dari rumahnya itu. Sebelum keluar, Irdina perasan akan riak tidak senang di wajah neneknya. Mungkin neneknya gusar akan perkembangan hubungan mereka.
Walau nenek tidak banyak bicara, tapi Irdina tahu, hati wanita itu bimbang akan hubungannya dengan Ekhmal yang masih berada dalam tanda tanya. Irdina tidak menyembunyikan apa-apa lagi pada neneknya itu. Semuanya telah diceritakan. Dia tidak mahu rasa bersalah lagi kerana menyembunyikan perihal pertunangannya dahulu.
Merajuk neneknya. Agak lama juga wanita itu tidak menegur Irdina. Puas dijelaskan dan dipohon kemaafan namun neneknya tetap berjauh hati. Kata nenek, diri dia tak penting lagi sampai cucunya sanggup meminggirkan dia. Betapa Irdina tersentuh lantas berjuraian air matanya. Mujur neneknya faham dan menerima maafnya dan meminta agar Irdina berjanji tidak akan merahsiakan apa-apa lagi.
“Balkhis sekarang ada di Jepun,” beritahu Ekhmal.
Tawa Irdina terhenti. Jauhnya gadis itu merantau mengubat hati yang luka. Mungkin mengambil masa untuk sembuh memandangkan Ekhmal adalah cinta pertama gadis itu. Ah, Ekhmal juga cinta pertamanya.
“Awak masih marahkan dia?” soal Irdina.
Ekhmal hanya diam, membiarkan pertanyaaan Irdina dibawa angin lalu.

*  *  *  *  *

TELEFON bimbit masih berada dalam pegangan. Dirasakan masa di sekelilingnya berhenti seketika. Hatinya libang-libu. Perbualan dengan Puan Sri Hasmiza sebentar tadi meragut ketenangannya.
“Auntie nak Qis balik Malaysia semula. Minggu depan Auntie nak masuk meminang Qis untuk Ekhmal,”
Dada Balkhis bergetar hebat. Perasannya berbaur. Gemuruh, risau, gembira, gugup, dan entah apa-apa perasaan lagi. Jika benar apa yang diperkatakan oleh Puan Sri Hasmiza sebentar tadi, adakah ini bermakna Ekhmal akan jadi miliknya?
::bersambung::

6 ulasan :

epy elina berkata...

alah.....
napa jd mcm 2...
napa puan hasmiza mcm ni...
klu balqis trma lmaran mak ekhmal...
mknaya dia buta n pntgkn diri....

Rizai Reeani berkata...

epy elina: mungkin puan sri hasmiza ada sebabnya tersendiri. kita lihat nanti perkembangannya... ;)

akira_bita berkata...

argh! janganlah! sian dina tau! huhuhuhu....

shura berkata...

tolonglah jangan wat macam tu. walau kesian kat qis, tp dina lagi kesian. apalah puan sri gila harta tu!

♥ HanNa ♥ berkata...

ohh..
knape bleh jadi camne ek..
harap2 diorng ttp brsama..

Rizai Reeani berkata...

kira: kena kesian dekat penulisnya sekali sebab perah idea nak tulis cerita ni. hehehe... ;)

shura: setiap ibu ingin lihat semua anaknya bahagia... :)

hanna: mudah-mudahan begitulah... :D