Sepatah Dua Kata

Selasa, Ogos 17, 2010

Semanis Epal II - Bab 05




RUANG tamu rumah papan itu dirasakan dingin semacam walau keadaan di luar panas terik. Terasa seram-sejuk tubuhnya menerima kedatangan tetamu yang tidak pernah diundang itu. Apatah lagi di rumahnya sendiri.
“Saya tak mahu cakap banyak. Tujuan saya datang sini sebab nak minta tolong awak,” ujar wanita yang berada di hadapannya.
Irdina kelu. Lidahnya terasa bagai sudah dipaku. Rasa terkejut masih menghantui diri.
“Pak Samad!” panggil Puan Sri Hasmiza.
Pak Samad yang berada di luar rumah, naik ke dalam dengan menjinjit sebuah bagasi kecil rona hitam. Diserahkan bagasi hitam itu pada Puan Sri Hasmiza. Wanita yang memakai blaus rona merah darah itu meletakkan bagasi hitam tersebut di atas meja di hadapan Irdina. Kemudian wanita itu mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya, dua keping tiket kapal terbang.
“Dalam beg ni ada RM 50 000. Sama jumlahnya seperti dalam perjanjian pertunangan tu. Ini tiket kapal terbang ke Jakarta. Jauhkan diri dari anak saya dan mulakan hidup baru di sana. Saya harap awak boleh terima,” usul Puan Sri Hasmiza.
Hati Irdina terguris. Betapa formalnya wanita di hadapannya ini berbicara. Dia seolah-olah Puan Sri Hasmiza yang tidak pernah Irdina kenali. Nampaknya wanita itu benar-benar mahu dia memutuskan hubungan dengan Ekhmal.
“Lagi satu, anak saya akan bernikah dengan Balkhis, gadis yang selayaknya berada dengan anak saya. Mereka akan bernikah minggu hadapan. Jadi, lebih baik awak pergi secepat mungkin dan jangan muncul lagi dalam hidup keluarga saya, faham!” tegas Puan Sri Hasmiza lalu bangkit dari duduk dan melangkah keluar.
Irdina tidak berani mengangkat wajah. Betapa bencinya Puan Sri Hasmiza pada dirinya sehingga sanggup melakukan perkara sebegini rupa. Benarlah kata Balkhis, Puan Sri Hasmiza bukan calang-calang orang. Dia terlalu lemah jika hendak dibandingkan dengan wanita itu.
“Tunggu dulu!”
Telinga Irdina menangkap suara neneknya. Bagasi hitam dan tiket kapal terbang sudah berada dalam tangan neneknya lalu dilontar ke luar tingkap.
“Kau jangan ingat kau kaya, kau dah cukup hebat! Oi, tak kebulurnya cucu aku tu kalau tak guna duit kau! Kau ambil semua! Tak payah risau, kami tak akan masuk campur dalam hidup orang kaya macam kau lagi! Sudah! Berambus!” bentak nenek Irdina lalu menarik daun pintu lalu menutupnya.
Bunyi enjin kenderaan kedengaran semakin sayup. Air mata Irdina tumpah jua buat kesekalian kalinya. Dia tidak dapat menggambarkan perasannya saat ini.
“Kemas semua barang-barang kamu, kita pindah petang ni juga!” arah neneknya sekaligus membuatkan Irdina terpana!

*  *  *  *  *

MATA Hasmir terpaku membaca kiriman e-mel dari Balkhis. Dua kali dia membaca e-mel berkenaaan, tidak percaya dengan apa yang dilihat. Puan Sri Hasmiza mahu masuk meminang Balkhis  dan seterusnya melangsungkan perkahwinan mereka minggu hadapan? Jadi... Irdina? Hasmir meninggalkan komputer ribanya lantas keluar dari bilik rehat pekerja, mahu segera berjumpa Ekhmal. Lelaki itu pasti punya penjelasan bagi semua ini. Masakan Ekhmal bersetuju untuk dikahwinkan dengan Balkhis! Sepupunya itu sangat menyintai Irdina. Baru sahaja pintu bilik ditarik, terjengul wajah Ezwan di muka pintu. Hah, bagus juga, pasti Ezwan tahu tentang pernikahan ini.
“Abang Wan, betul ke Mal dengan Qis nak kahwin?” Hasmir terus mengajukan soalan pada sepupunya, merangkap abang kepada Ekhmal.
“Jomlah, duduk dulu,” balas Ezwan.
Mereka berdua melangkah ke sofa lalu melabuhkan punggung di situ, saling bertentangan. Hasmir sepertinya tidak sabar menanti bicara yang akan keluar dari mulut Ezwan. Lelaki di hadapannya itu tampak tenang.
“Ya, mereka akan berkahwin,” ujar Ezwan.
Berderau darau Hasmir sekali lagi walau dia sudah mengetahui perkara itu dari Balkhis tetapi dia hanya mahu dapatkan kepastian. Kini, apa yang ditakuti sudah berlaku.
“Mal setuju?”
“Mal tak tahu lagi tentang rancangan mama abang ni. Kata mama, dia nak buat kejutan,”
“Apa? Habis tu Dina?”
“Macam ni lah Mir. Mama abang minta rahsiakan tentang pernikahan ni dari Mal. Mama kata dia sendiri yang akan beritahu. Tentang Irdina...” Ezwan tidak jadi meneruskan kata.
Terdengar keluhan dari mulut Ezwan. Dia yakin Hasmir pasti akan naik marah jika tahu akan perkara ini. Silap-silap dia akan pecahkan rahsia ini pada Ekhmal. Perlukah dikhabarkan pada Hasmir tentang Irdina?
“Kenapa bang? Kenapa dengan dia? Apa yang auntie dah buat pada dia?” desak Hasmir.
“Dina dah diberitahu tentang pernikahan Mal dan Qis. Mama abang sendiri yang jumpa dia. Mungkin, Dina sedang bersiap untuk keluar dari negara ni,”
Anak mata Hasmir membulat. Tidak percaya dengan apa yang baru didengarinya. Puan Sri Hasmiza sudah bertindak. Dan dia tidak sempat mahu memberi peringatan pada Irdina. Tidak, ini tak boleh berlaku! Ekhmal harus tahu! Pantas Hasmir bangun tapi dihalang oleh Ezwan.
“Tak perlu ke mana-mana Mir...” ujar Ezwan.
“Abang Wan, abang tahu kan Mal cintakan Dina. Dia tak boleh kahwin dengan Qis!” bentak Hasmir.
“Mir, bukan abang tak tahu tapi abang juga fikirkan Dina. Ini yang terbaik untuk mereka Mir. Apa Mir fikir yang mama abang akan bersetuju Dina jadi menantu dia, jadi isteri Mal? Mama tak akan benarkan. Sebelum perkara lebih teruk jadi pada Dina, lebih baik dia pergi. Sekurang-kurangnya Dina tak perlu lebih menderita. Abang memang nak dia bersama Ekhmal tapi Mir bukan tak kenal mama abang tu. Hitam katanya, hitamlah. Ini semua untuk kebaikan Dina. Dia tak perlu nak harungi semua perkara yang meletihkan ni lagi,” tutur Ezwan panjang lebar.
Hasmir terduduk kembali di atas sofa. Kata-kata Ezwan tadi membuatkan dia rasa terpukul. Benar, jika dia menghalang rancangan Puan Sri Hasmiza, bermakna dia akan buat Irdina lebuh menderita. Gadis itu sudah melalui pelbagai rintangan sebelum ini. Dia tidak tegar mahu menyakiti Irdina lagi.
“Tapi bang...”
“Anggaplah antara mereka tak ada jodoh. Irdina berhak hidup bebas. Jika dia berkahwin dengan Mal pun, hidupnya takkan bahagia...” balas Ezwan sekaligus menutup rapat mulut Hasmir.
::bersambung::

9 ulasan :

Leya berkata...

hah? nenek dian mmang gempak!

shikin berkata...

jahat betul puan sri tu ya. sukalah qis tu. menyampah!

akira_bita berkata...

pergh! sedih! sabar dina! ekmal hero.. pasti dia tahu apa yg dia perlu wat right? heheheh...

nenek dina mmg superb! go nenek! hahahah!

Rizai Reeani berkata...

leya: yeay, nenek yang sayangkan cucunya... ;)

shikin: gembira saya perasaan itu sampai ;)

kira: kadang-kadang hero pun ada kelemahan juga... ;)

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen ;)

epy elina berkata...

gram la ngn puan sri 2...
ptut la ezwan tnglkan kuargnya.....
adehhh...
kcinnya dina ngn ekhmal...

datul berkata...

kalau qis terima pinangan puan sri tu, mmang dia pompuan hipokrit! mencilah..

Tanpa Nama berkata...

best citer ni. asyik konflik jer..

BoyoBona berkata...

hie..saya silent reader..good job...perasaan mrah memang smpai...

Rizai Reeani berkata...

Alhamdulillah, syukur apa yang cuba disampaikan itu menyentuh ke hati pembaca.

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen ;)