Sepatah Dua Kata

Rabu, Ogos 18, 2010

Semanis Epal II - Bab 06




TAMAN TASIK Seremban sekali lagi dikunjungi. Kali ini dia ditemani oleh kekasih hati. Rata-rata pengunjung di situ melakukan aktiviti riadah seperti jogging, bermain badminton dan tidak kurang juga yang menemani anak-anak kecil bermain di taman permainan yang disediakan. Semilir petang yang bertiup, cuba mengusir resah dalam hati Irdina namun tidak terdaya. Terlalu kuat resah yang menjalar dalam hati gadis itu. Ikutkan hati, mahu saja Irdina menjerit, meluahkan segala kekusutan namun dia masih waras.
Irdina mengajak Ekhmal duduk di bangku kayu bertentangan dengan tasik yang tenang airnya. Bangku kayu di bawah pokok semarak api itu akan menjadi saksi detik bersejarah dalam hubungan mereka. Saksi kepada sebuah perpisahan.
“Kenapa ajak saya ke sini?” tanya Ekhmal pada Irdina yang sejak tadi memandang permukaan tasik yang kehijauan airnya.
“Saja, dah lama teringin nak ajak awak datang sini. Cantikkan tempat ni? Ada tasik, pokok-pokok hijau, bunga-bunga...” ujar Irdina.
Ekhmal tersengih. Entah apa mimpi Irdina tengah hari tadi menelefonnya lalu mengajak dia datang ke taman tasik ini. Kata Irdina, sudah lama mereka tidak keluar berdua walhal baru beberapa hari lepas mereka berjumpa untuk minum petang bersama. Mungkin Irdina rindukan dia.
“Oh ya, esok saya dengan nenek nak balik rumah makcik di Rembau. Ada kenduri sikit. Anak makcik saya tu bertunang,” beritahu Irdina.
“Iya? Berapa lama?”
“Tak pasti. Mungkin dalam tiga atau empat hari. Dah lama juga nenek tak jumpa makcik,” jawab Irdina.
“Hmm... Kalau saya rindu awak macam mana?”
Irdina tersentak. Kata-kata Ekhmal mengusik hati. Kalaulah Ekhmal tahu mulai esok mereka tidak akan berjumpa lagi...
“Ala, telefon kan ada,” balas Irdina.
“Nak telefon sapa? Rumah makcik awak tu?”
Irdina tergelak kecil. Lupa, dia tidak punya telefon bimbit. Bukan tidak mahu beli, tetapi dirasakan tiada kegunaan. Seketika, Ekhmal mengeluarkan sesuatu dari saku seluarnya.
“Nah, nanti saya telefon awak. Tahu nak guna, kan?” soal Ekhmal seraya menghulurkan telefon bimbitnya pada Irdina.
Sekali lagi hati Irdina tersentuh. Masakan dia mahu menerima huluran Ekhmal itu. Dia tidak mungkin akan dapat memulangkan telefon bimbit itu semula jika mengambilnya.
“Ish, tak apalah awak. Nanti saya telefon dari rumah makcik saya tu,” balas Irdina.
Ekhmal menarik semula huluran tangannya. Tiada guna memaksa jika Irdina tidak mahu. Telefon bimbit tadi disimpan semula dalam saku seluarnya. Bunyi loceng penjual aiskrim menarik perhatian Ekhmal. Lantas dia bangun, meninggalkan Irdina sebentar.
Tasik yang beralun tenang dipandang sayu oleh Irdina. Langit juga mendung, barangkali hujan akan turun sebentar lagi. Irdina ke sini hanya untuk satu tujuan. Berjumpa dengan Ekhmal untuk kali terakhir sebelum berangkat ke Kedah malam ini. Jelas diingatan, kata-kata nenek sejurus Puan Sri Hasmiza berlalu pergi dari rumah mereka pagi tadi.
“Kita akan ke Baling, ke rumah keluarga nenek. Di situ tinggal adik nenek seorang. Tak perlulah kamu fikirkan tentang ni lagi. Semuanya dah tamat,” ujar nenek Irdina.
“Tapi nek...”
“Tapi apa lagi Dina? Kamu tetap nak teruskan hubungan dengan Ekhmal selepas apa yang Puan Sri tu dah buat tadi? Jangan buta dengan perasaan cu, kelak kamu yang akan merana. Puan Sri tak akan terima kamu sebagai menantu walau apa cara sekalipun,” tukas neneknya.
“Dah, pergi kemas pakaian, malam ni kita bertolak. Lagi cepat kita pergi, lagi bagus,” perintah neneknya.
Perasaan hati tidak dapat digambarkan. Ternyata jodohnya dengan Ekhmal tidak panjang. Mungkin sudah ditakdirkan, mereka tidak dapat melayari bahtera rumah-tangga bersama. Cukuplah Irdina, kuatkan semangat! Mulakan hidup baru di Baling nanti. Cari kerja dan bantu nenek.
“Aiskrim! Aiskrim!” ucap Ekhmal di tepi telinga Irdina membuatkan lamunan gadis itu terbang pergi.
“Awak!” Irdina sengaja meninggikan suara, pura-pura marah.
“Nah...” ujar Ekhmal lalu menghulurkan sebatang aiskrim berperisa strawberi pada kekasih hatinya itu.
“Eh, satu saja?”
“Nak kongsi dengan awak, tak boleh ke?”
“Ala, cakap aje yang awak tu kedekut,” usik Irdina.
“Yelah, orang tu tak sudi nak kongsi dengan kita,” rajuk Ekhmal.
Irdina tergelak kecil walau dalam hati sudah lebat dengan tangisan. Kemesraan ini tidak akan dapat dirasai lagi. Dia tidak akan dapat menatap wajah Ekhmal, mendengar suara Ekhmal dan bergurau-senda dengan Ekhmal selepas ini. Oh, hati, tabahlah!
“Saya akan cari jalan supaya mama terima hubungan kita,” ujar Ekhmal, berubah serius.
Irdina hanya senyum. Biarlah mulutnya lenguh sekalipun dia akan terus senyum. Biarlah Ekhmal ingat senyuman yang terukir di bibirnya sampai bila-bila. Dia tidak mahu menitiskan air mata hari ini. Tidak di hadapan Ekhmal.
“Jomlah, habiskan aiskrim tu, kemudian saya hantar awak balik. Dah nak senja ni,” kata Ekhmal pada gadis yang sedang asyik menikmati aiskrim di sebelahnya.
“Nah, awak habiskanlah. Sejuk sangat,” Irdina menghulurkan aiskrim yang baru sedikit dicuitnya itu.
“Betul tak nak lagi?”
Irdina mengangguk. Dia menoleh pada Ekhmal, menatap puas wajah lelaki itu. Dia mahu menyimpan wajah itu dalam minda dan hatinya supaya rindu yang bakal bertamu tidak terlalu sarat. Ekhmal yang terasa diperhati, membalas renungan Irdina.
“Kenapa pandang saya macam tu?” Ekhmal menegur.
Irdina tersentak sedikit lalu wajahnya berubah kemerahan. Ekhmal ketawa kecil melihat Irdina yang gelabah.
“Saya tahulah saya ni kacak. Awak bertuah tau dapat saya sebagai teman lelaki,” ujar Ekhmal, masuk bakul angkat sendiri.
“Perasan!” balas Irdina seraya ketawa.
“Dah, jom!” ajak Ekhmal lalu bingkas bangun.
“Em, awak baliklah dulu. Saya nak jumpa kawan sekejap lagi,” beritahu Irdina.
“Kawan lelaki ke perempuan?”
“Cemburu?”
“Mestilah!” balas Ekhmal.
Irdina senyum lagi. Jawapan Ekhmal menjentik tangkai hati. Lelaki itu sekarang sudah tidak malu-malu untuk meluahkan perasaannya. Dia sudah berani mahu berterus-terang tentang apa yang dia rasai.
“Kawan perempuan. Kawan masa sekolah dulu, dah lama tak jumpa. Dia ajak makan malam,” jelas Irdina.
Kali ini giliran Ekhmal menguntum senyum. “Okeylah kalau macam tu. Jangan lupa telefon nanti!” Ekhmal mengingatkan lalu mula melangkah pergi.
“Ekhmal!”
Baru beberapa langkah, Ekhmal menoleh apabila namanya dipanggil. Kelihatan Irdina sudah bangun dari duduknya.
“Bila saya tak ada nanti, jaga diri awak baik-baik. Jangan lupakan saya ya!” ucap Irdina.
Ekhmal berjalan semula ke arah gadis yang memakai blaus rona biru laut itu. Perlahan-lahan, tangannya menyentuh ubun-ubun Irdina. Agak terketar-ketar tangannya. Irdina pula terasa mahu rebah. Jangan menangis Irdina! Jangan menangis!
“Awak juga jaga diri baik-baik. Saya pasti rindu nanti,” ujar Ekhmal lalu kembali menyambung langkah, meninggalkan Irdina.
Bayang-bayang Ekhmal semakin lama semakin menghilang. Irdina terjelepok di atas hamparan rumput yang menghijau. Air mata yang ditahan sejak tadi luruh jua. Dia tidak pedulikan mata-mata yang memandang. Dia telah kehilangan Ekhmal. Dia tidak akan bertemu lelaki itu lagi selepas ini. Irdina terus menangis dan menangis. Kala itu, langit mula gerimis seakan memahami hati Irdina yang dilanda hiba.
“Selamat tinggal Ekhmal. Jaga diri baik-baik,” ucap Irdina dalam tangis ditemani gerimis petang yang mula mencurah, lebat...

::bersambung::

10 ulasan :

epy elina berkata...

adehhhhh....
sdihnya.....
nak mnitis airmata bca port ni....
kciannya dina n ekhmal...
kejam jg mama ekhmal 2....
nak sma taraf...
sdgkan klu mati hnya amln yg di bwa...

izzati berkata...

aisey, dah lah tengah lagu sedih ni. tak pe dina, ekhmal pasti bantah mama dia tu!

Tanpa Nama berkata...

alahai, cute aje budak 2 org ni. romantik ekhmal, dah x marah cam dulu lagi. go dina go!

Leya berkata...

ish, emo betul baca citer ni. cepatlah habiskan rizai. he3..

Dr.LoVe berkata...

waaaaaa sedihnyaaaa....nape jadik cam tu..igatkan hubungan mereka akan bahagia selamanya....x sukaaaaaaaaaaaaaaaa..

shura berkata...

argh! menci lagi! asyik sedih je musim ke-2 ni. mood tengah sedih ke rizai? hikhik..

akira_bita berkata...

argh!!!!! oh hati milik dina, tabahlah!!

rase mcm tak dpt agak apa yg akan berlaku lps ni...

Rizai Reeani berkata...

epy elina: betul tu, cuma mungkin puan sri mahu anaknya bahagia. mungkin... ;)

izzati: ha'ah, mungkin ya, mungkin tidak :)

tanpa nama: ya, dina seorang yang tabah. yosh!

leya: hehehe, minggu depan habislah ;)

dr. love: bahagia itu juga perasaan. perasaan biasanya berubah-ubah, seperti pantai :)

shura: hahaha, macam tahu2 saja ya. tak pe, lepas ni saya buat cerita happy je. hehehe...

kira: tak apa, baba selepas ni nanti dah boleh agak endingnya. ops! ;)

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen :D

♥ HanNa ♥ berkata...

sedih r rase..
harap2 diorng x bpisah..

Rizai Reeani berkata...

hanna: harap-harap begitulah ya. :)