Sepatah Dua Kata

Khamis, Ogos 19, 2010

Semanis Epal II - Bab 07




LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KUALA LUMPUR sentiasa sesak dengan pengunjung yang mempunyai tujuan masing-masing. Ada yang mahu pergi melancong, ada yang mahu mengembangkan perniagaan dan tidak kurang juga yang mahu berhijrah, merasai suasana hidup yang baru. Tapi pada Balkhis, tujuannya berada di lapangan terbang ini adalah untuk kembali menjalin hubungan cinta yang telah terputus. Ya, dia sudah pulang semula ke tanah air untuk menjadi isteri Ekhmal, lelaki yang dicintai setulus hati.
“Berseri-seri muka nampak?” sapa Hasmir ketika gadis itu berada di hadapannya dengan bagasi yang ditarik di tangan kiri.
“Berseri apanya. Biasa saja. You sihat?” balas Balkhis.
“Alhamdulillah, sihat seperti selalu. Jom, Auntie Hasmiza dah lama tunggu bakal menantu dia ni,” Hasmir mengusik Balkhis yang mula kemerahan wajahnya.
Mereka berdua berjalan menuju ke arah tempat letak kereta. Balkhis sudah maklumkan pada sepupunya itu untuk menjemput dia di lapangan terbang pagi ini. Hanya Hasmir saja yang tahu akan kepulangannya pada hari ini. Tidak keluarganya, mahupun Puan Sri Hasmiza. Dia mahu buat kejutan pada ibu saudaranya itu nanti.
Hasmir mula menghidupkan enjin kereta dan mereka mula bergerak meninggalkan kawasan lapangan terbang. Destinasi yang dituju adalah Villa Karisma. Balkhis mahu berjumpa dengan Puan Sri Hasmiza terlebih dahulu. Entah apa tujuannya, Hasmir malas mahu bertanya. Dalam perjalanan, Hasmir perhatikan wajah Balkhis yang tidak pernah lekang dengan senyuman. Mungkin benar gadis itu dilambung perasaan bahagia yang amat. Kekasih hati yang lama diidamkan bakal menjadi suami. Sepertinya mimpi menjadi satu realiti.
“Kau pulang ni... Sebab perkahwinan tu?” soal Hasmir sambil memberi isyarat membelok ke kiri.
Of course! Habis tu, you ingat I balik ni suka-suka saja? My dream has come true Mir...” jawab Balkhis.
“Kau, tetap dengan keputusan kau?”
Balkhis tersentak. Hasmir seakan-akan tidak suka akan kepulangannya ini. Apakah Hasmir merasakan tindakannya itu keterlaluan? Ah, abaikan! Asalkan dirinya bahagia, yang lain sudah tidak penting lagi.
“Keputusan I muktamad. I bukan buat benda tak elok. I nak kahwin, bukan nak bunuh orang,” balas Balkhis.
“Kau tak bunuh orang, tapi kau bunuh perasaan orang,” Hasmir membidas.
“Mir!”
“Dahlah, aku bukan nak masuk campur tapi kau sepatutnya berfikir secara rasional. Jangan pentingkan diri,” ujar Hasmir.
Balkhis bungkam. Dijelingnya lelaki yang tenang memandu itu sekilas. Kata-kata Hasmir mengguris hatinya. Sepatutnya Hasmir gembira kerana perkahwinannya dengan Ekhmal nanti akan membuatkan jalan untuk mendapatkan Irdina terbuka luas. Apakah Hasmir tidak menyimpan apa-apa perasaan pada gadis itu lagi?

*  *  *  *  *

MATA Ekhmal membulat ketika mendengar kata-kata mamanya tadi. Hatinya dikecam pelbagai rasa yang berbaur. Terkejut! Ya, memang itu yang paling dirasakan setakat ini. Keputusan mamanya itu benar-benar menghadirkan satu kejutan yang amat hebat dalam dirinya.
“Pernikahan dah ditetapkan Sabtu ni. Majlis sandingnya pula Ahad. Buat di vila ni saja. Senang satu kali jalan. Tak perlu buat dua kali majlis sanding,” beritahu Puan Sri Hasmiza.
“Mama!”
“Persiapan semua mama dah aturkan. Jangan cuba nak malukan mama,” Puan Sri Hasmiza memberi amaran.
Ekhmal memandang wajah abangnya yang duduk bertentangan dan kemudian pandangannya jatuh pada wajah papanya pula. Kedua-duanya hanya membalas pandang tanpa riak. Apa semua ni? Ekhmal terasa bagai sedang bermimpi.
“Faham Ekhmal?” ujar Puan Sri Hasmiza.
“Mama, bergurau bukan?” soal Ekhmal, meminta kepastian.
“Mama serius Mal. Mal akan bernikah dengan Qis Sabtu ni,”
Sabtu? Ada lebih kurang enam hari sahaja lagi. Semuanya dirasakan berlalu sangat pantas. Pasti mamanya sedang bergurau. Tidak! Dia tak percaya!
“Papa, tell me that this is a joke,” ujar Ekhmal pada papanya pula.
“Apa yang mama cakap tu betul Mal,” jawab Tan Sri Zulkafli.
“Nonsense!” Ekhmal bingkas bangun bagai baru tersedar dari lena yang panjang.
“Duduk Ekhmal!” arah Puan Sri Hasmiza.
Ekhmal merenung wajah mamanya tajam. Begitu juga dengan Puan Sri Hasmiza, tidak mahu kalah akan renungan anak bongsunya itu.
“Mengarut! Mal tak akan kahwin dengan Qis! Kenapa mama pandai-pandai aturkan perkahwinan ni semua? Mama tahu kan yang Mal hanya akan berkahwin dengan Irdina. Hanya Irdina!” tegas Ekhmal.
“Jangan sesekali sebut nama budak tu depan mama! I’m sick to hear that name!” bentak Puan Sri Hasmiza.
“Mama tak berhak masuk campur dalam hidup Mal!”
“Apa? Tak berhak? Jangan kurang ajar Ekmal! Seorang ibu punya sepenuh hak atas hidup anaknya. Mama lebih tahu apa yang terbaik untuk Mal. Qis akan jadi isteri Mal dan keputusan mama muktamad!”
“Mama!”
“Ekmal!”
Tubuh Ekhmal mengigil. Perbuatan mamanya sudah melampau! Sangat melampau! Dia tidak akan berkahwin dengan Balkhis, wanita yang langsung tidak dia cintai. Mengapa mamanya terlalu sukar untuk faham?
Tan Sri Zulkafli dan Ezwan hanya diam membisu. Kedua-duanya malas mahu masuk campur. Biarlah takdir yang menentukan segalanya. Puan Sri Hasmiza dengan egonya dan Ekhmal dengan keras kepalanya. Barulah buku bertemu dengan ruas.
“Mal tak akan kahwin dengan Qis!” tegas Ekhmal lantas berpaling, mahu keluar.
“Kamu nak ke mana Ekhmal? Jumpa budak tak sedar dek untung tu?” jerkah Puan Sri Hasmiza.
“Nama dia Irdina mama, Irdina... Ya, memang Mal nak jumpa dia. Hanya dia yang Mal cintai mama,” nada suara Ekhmal sudah mula kendur.
“Kamu dah terlambat,”
Ekhmal mengerutkan dahi. Tiba-tiba dadanya dilanda debar yang menggila.

“Bila saya tak ada nanti, jaga diri awak baik-baik. Jangan lupakan saya ya!”

Kata-kata Irdina semalam berlegar-legar di fikirannya. Masakan...
“Apa yang mama dah buat pada Irdina?” soal Ekhmal seraya melangkah ke arah mamanya.
Ezwan pantas bangun lalu menghalang Ekhmal dari terus mara. Dia sudah dapat mengagak begini pengakhirannya. Ekhmal sudah tidak boleh dikawal lagi.
“Sabar Mal, bawa mengucap. Itu mama kita...” ujar Ezwan sambil memegang erat bahu adiknya itu.
“Cakap mama! Apa yang mama dah buat pada Irdina!”
“Dia dah pergi. Itu keputusan dia. Jadi, mama nak Mal jangan berharap lagi. Dia dah faham yang hubungan kamu berdua takkan ke mana. Kalau kamu tak mahu dia lebih menderita, lupakan saja dia!”
“Mama kejam!”
“Mama hanya buat apa yang mama rasa terbaik untuk anak-anak mama. Terpulanglah kamu nak panggil mama apa. Yang pasti, perkahwinan kamu dah ditetapkan. Jangan sesekali terfikir nak rosakkannya. Kalau kamu masih anggap yang mama ni mama kamu, dengar cakap mama. Sekurang-kurangnya ingat yang selama ni mama dah besarkan kamu, didik kamu. Jangan kerana orang luar, kamu nak putuskan hubungan dengan mama,” ujar Puan Sri Hasmiza membuatkan Ekhmal terdiam.
Ezwan sudah melepaskan pegangan di bahu Ekhmal. Wajah adiknya itu tampak sugul. Dia sendiri tidak dapat membantu. Mamanya bukan boleh dibuat main-main.
“Baiklah ma, Mal setuju dengan cadangan mama tapi Mal nak mama ingat, mulai hari ini, anggaplah Mal dah mati. Mal hanya dengar cakap mama sekali ni saja. Maafkan Mal ma, Mal anak derhaka...” ucap Ekhmal lalu berpaling dan melangkah pantas keluar dari ruang tamu itu.
Laungan dari mamanya sedikit pun tidak diendahkan. Ekhmal menghidupkan enjin kereta lalu bergerak keluar dari halaman Vila Karisma. Tanpa disedari, Balkhis dan Hasmir sedang menyorok di sebalik dinding sejak pertengkaran Ekhmal dan Puan Sri Hasmiza.
Hasmir memandang wajah Balkhis yang menunduk. Entah apa yang sedang gadis ini rasakan di dalam hati setelah mendengar kata-kata Ekhmal tadi.
::bersambung::

12 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

wow! drama sungguh!

Tanpa Nama berkata...

Errkk...

akira_bita berkata...

ya Allah!.. mal cari dina!!!

Tanpa Nama berkata...

cinta tak bole dipaksa...
balqish kena tahu pasal nie...
tak bole pentingkan diri sendiri...

Gadis~Gula~Gula berkata...

sedeyhhhh

Leya berkata...

oh my, sampai begitu sekali puan sri tak sedar diri tu ya! mana ekhmal nak cari dina ni. hu3..

datul berkata...

drama sungguh bab ni. adoi, terseksa jiwa raga nak tunggu habis.

Rizai Reeani berkata...

Banyaknya 'tanpa nama' kali ni ya. hehehe...

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. :D

epy elina berkata...

adeh....
sdihnya part ni...
klu balqis truskn prkwenan....
mmg la dia mnusia pling bdoh...
dia kawen ngn ekhmal adlh satu jln mnuju pndritaan...

♥ HanNa ♥ berkata...

tak ske pasal mak ekmal sruh kawen dgn balhqis..

tp rase puas ati ble ekmal lari dr rumh..

ake part balhqis n hasmir terdngar prbualn tu..
biar dia tau ekmal xkan kawen ngan dia

itu_aku +_^ berkata...

power of love...
krn cinta apa pun ble jd

Rizai Reeani berkata...

epy elina: lebih baik dia mencintai kita dari kita mencintai dia yang tidak sepatutnya kita cintai. eh, apa saya merepek ni. hehehe...

hanna: kita serahkan pada Ekhmal, sama ada dia akan bahagia dengan Qis atau tidak :)

itu_aku: setuju, kuasa cinta, lautan api pun sanggup direnangi ;)

terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen :D