Sepatah Dua Kata

Jumaat, Ogos 20, 2010

Semanis Epal II - Bab 08



LANGIT malam direnung sayu. Kerdipan bintang-bintang tidak mampu menceriakan hatinya. Sejak pulang ke Malaysia, hatinya tidak pernah tenang. Perlahan-lahan, sebuah keluhan dilepaskan. Kemudian dia menarik nafas panjang dan melepaskan juga perlahan-lahan.
Esok segalanya akan berubah. Perjalanan hidupnya akan bertukar serta-merta mulai esok. Dia bakal diijabkabulkan dengan lelaki pilihan hati. Lelaki yang dicintainya sepenuh jiwa. Lelaki yang tidak mungkin menyimpan perasaan cinta padanya namun Balkhis tidak kisah. Baginya perasaan itu sesuatu yang boleh dipupuk kerana perasaan adalah sesuatu yang hidup. Dia yakin, lambat-laun Ekhmal pasti akan menerima dirinya dan Balkhis tidak akan mengalah untuk menambat hati lelaki itu.
Sepanjang lima hari ini, segala urusan perkahwinan diserahkan bulat-bulat pada keluarga masing-masing. Balkhis teringin sekali bertemu Ekhmal, berbicara bertentang mata dengannya namun lelaki itu selalu menghilang. Puan Sri Hasmiza sendiri tidak tahu ke mana anaknya itu pergi. Mungkin Ekhmal mencari Irdina. Tidakkah lelaki itu sedar bahawa esok mereka akan meniti kehidupan yang baru? Seharusnya sekarang mereka berdua duduk berbincang bersama-sama tentang majlis pernikahan esok hari.
Balkhis masih ingat, sewaktu dia mendengar pertengkaran antara Ekhmal dan Puan Sri Hasmiza beberapa hari yang lalu, hatinya sudah terdetik gundah. Dia terus mengajak Hasmir pulang tanpa menyapa Puan Sri Hasmiza walaupun pada mulanya dia begitu teruja untuk bertemu bakal mertuanya itu. Perasaannya jadi tawar tiba-tiba. Jelas di pendengaran betapa Ekhmal tidak mahu mengahwininya namun Balkhis akan cuba sedaya-upaya mendapatkan perhatian Ekhmal.
Awan hitam mula menutup sinar rembulan. Balkhis melangkah jauh dari jendela biliknya. Segera ditukar pakaian dan mencapai kunci kereta di atas meja solek. Destinasinya adalah Vila Karisma. Dia harus berjumpa dengan Ekhmal. Harus!

*  *  *  *  *

TASIK yang berkilauan disimbah cahaya bulan dipandang tanpa perasaan. Dia kembali lagi ke sini setelah seharian menjejak kekasih hati yang masih tidak ke temu. Sudah lima hari dia mencari Irdina, tanpa petunjuk mahu pun arah tuju. Dia hanya pergi ke Rembau, mencari di setiap pelusuk daerah itu kerana di sanalah tempat terakhir yang diungkap Irdina sewaktu berjumpa dengannya di Taman Tasik ini dahulu. Dia masih ingat Irdina mengatakan yang dia akan ke rumah ibu saudaranya di Rembau.
Jauh di sudut hati, Ekhmal tahu. Mungkin Irdina berbohong mengatakan dia di sana tetapi selagi tidak mencuba, Ekhmal tidak akan tahu. Namun sehingga saat ini, bayang-bayang Irdina langsung tidak kelihatan. Sebuah keluhan dilepaskan. Mungkin, dia perlu berputus asa memandangkan esok dia akan menjadi milik orang lain.
 “Awak di mana Irdina? Saya rindu...” ucap Ekhmal seraya mendongak ke langit, memerhati bintang-bintang yang berkerlip terang.
Seakan ada wajah Irdina menyapa pandangannya. Kalaulah Irdina berada di sisinya kala ini, menemaninya melihat langit malam yang indah, alangkah bahagianya. Akan didakap gadis itu penuh kasih sambil melafaz kata-kata cinta dan ungkapan sayang.
Tiba-tiba wajah Irdina sirna pergi diganti dengan wajah Balkhis. Serta-merta hati Ekhmal bergelora. Dia tidak marahkan Balkhis, jauh sekali membenci. Apa yang dirasakan pada sepupunya itu adalah simpati. Dia kasihan pada Balkhis yang tidak pernah mengalah menagih cinta darinya.
Ikutkan hati, mahu sahaja dia lari dari dikahwinkan dengan Balkhis namun Ekhmal tidak sampai hati mengenangkan mamanya yang mungkin akan jatuh sakit sekali lagi jika dia berbuat demikian. Walau sejauh mana keterlaluan pun tindakan mamanya, wanita itu tetap mamanya. Wanita yang sudah melahirkan dan memberi dia didikan sehingga menjadi insan yang berjaya.
Cuma Ekhmal agak terkilan dengan sikap mamanya yang ego tidak bertempat itu. Bukan salah Irdina semua ini berlaku. Dari awal lagi telah dijelaskan bahawa perihal pertunangan palsu itu adalah rancangannya tetapi mama berdegil. Kononnya mama rasa ditipu dan Irdina dituduh mahu merampas harta.
Bunyi kocakan air membuatkan Ekhmal tersentak. Lantas ditoleh wajahnya ke kiri. Kelihatan seorang gadis sedang duduk mendakap kedua belah kakinya sambil tangan kanan melontar batu-batu kecil ke arah tasik.
‘Irdina?’ getus hati Ekhmal lantas bangun dan menuju ke arah gadis tersebut.
“Irdina!” jerit Ekhmal sejurus berada di hadapan gadis itu.
Gadis bertudung hitam yang memakai kaca mata itu tergamam sebentar apabila disergah Ekhmal. Anak matanya membulat, marah barangkali. Ekhmal segera memohon maaf. Ah, bayang-bayang Irdina sentiasa dirasakan ada di mana-mana.
“Maafkan saya Irdina. Saya tak dapat nak lindungi awak...” ucap Ekhmal lalu melangkah longlai ke keretanya meninggalkan Taman Tasik Seremban yang menjadi sejarah tempat perpisahannya dengan Irdina.

*  *  *  *  *

“AUNTIE tak tahu ke mana dia pergi Qis. Awal pagi dia dah keluar. Balik pula lewat malam. Auntie tahu dia memberontak, merajuk dengan auntie. Sampai wajah auntie pun dia tak mahu pandang,” ujar Puan Sri Hasmiza pada Balkhis sewaktu gadis itu berkunjung ke Vila Karisma malam itu.
Balkhis melihat wajah ibu saudaranya yang muram. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu menceriakan hati Puan Sri Hasmiza sedangkan hatinya sendiri dirundum duka. Balkhis memerhati sekeliling. Ruang tamu vila itu sudah bertukar wajah. Pelamin bertemakan rona biru muda dan putih itu ditatap tanpa rasa teruja.
Teringat bahawa memang impiannya untuk memilih warna biru muda dan putih sebagai tema majlis persandingannya. Namun kini, walau impian itu sudah menjadi realiti, perasaannya tetap tawar.
Bunga-bunga mawar merah digubah dalam jambangan kecil lalu disusun di setiap sudut pelamin. Ditambah dengan teluki putih yang dimasukkan di dalam dua buah pasu kristal tinggi yang diletakkan di kiri dan kanan pelamin, tampak menyerikan lagi dekorasi. Dia dan Ekhmal akan duduk di singgahsana itu pada hari lusa, sehari selepas pernikahannya esok.
Di halaman vila tadi Balkhis perasan akan kanopi-kanopi putih dengan kain warna biru muda diselang-seli warna putih sudah mula dinaikkan. Pokok-pokok renek yang menghijau disusun di sebalik tiang. Sangat cantik dipandang! Tapi sayang, kecantikan itu hanya dirasa bagi tetamu yang hadir nanti, bukan pada diri Balkhis. Semangatnya entah ke mana bertebaran. Mahu dikutip semula tetapi tidak punya kekuatan.
Suara orang memberi salam mematikan khayalan Balkhis. Dia kenal pemilik suara itu. Anak matanya bertembung dengan pandangan Ekhmal. Ada riak terkejut pada wajah lelaki itu. Balkhis segera bangun, mendapatkan Ekhmal yang berdiri tegak di muka pintu.
“Dah lama sampai?” tegur Ekhmal.
Sungguh Balkhis terasa mahu menitiskan air mata saat itu. Mengapa Ekhmal tegar melakukannya sebegini? Terkapai-kapai mencari secebis kasih dari lelaki itu? Namun dikuatkan hati agar tidak kelihatan hatinya yang tercalar dek kelakuan Ekhmal.
You dari mana?”
“Berjalan-jalan. Tenangkan fikiran,” jawab Ekhmal.
“Apa yang you fikirkan?”
A lot! Sampai aku rasa mahu lari jauh-jauh,”
“Ekhmal...” ucap Balkhis, lembut.
“Aku penat Qis. Kau pun tentu perlukan rehat. Esok hari penting buat kita. Aku naik atas dulu ya,” ujar Ekhmal lalu meninggalkan Balkhis terpinga-pinga keseorangan.
Puan Sri Hasmiza mengeluh melihat telatah anak bongsunya itu. Entah keluhan yang berapa kali, tidak dia ketahui. Simpati datang menerjah hatinya melihat wajah duka Balkhis. Wajah duka itu mengingatkannya pada Irdina. Gadis itu juga pernah mempamerkan riak wajah yang serupa sewaktu dia berkunjung ke rumah gadis itu dahulu.
Ke manakah agaknya Irdina membawa diri?
::bersambung::

13 ulasan :

epy elina berkata...

rizal...
x nak ekhmal kawen ngn balqis....
br balqis undr diri....
napa balqis xnmpk btpa mndritnya ekhmal...
cnta xbblh pksa...
sdrlah balqis...
klu cntkn ekhmal...
mst brkan ekhmal brkawen ngn gadis yg dcntai...

Rizai Reeani berkata...

epy elina: balkhis tu degil orangnya. sama macam puan sri hasmiza. kalau bulat, bulatlah katanya. tak apa, ekhmal tahu apa nak buat nanti. hehehe... :)

Leya berkata...

x faham dengan qis tu. tolonglah, org dah x suka, still nak t'hegeh2! emo ni..

BoyoBona berkata...

harap sgt balqis tarik diri....huhu

akira_bita berkata...

'tak apa, ekhmal tahu apa nak buat nanti.'

ayat bro rizai tu mcm ade sumthing je? heheheh... tenanglah hati sikit.. cheh! hahahaha! tp kan, ntah2 majlis tu pngntin pompuannya si dina tak? qis sedar pastu dia cari dina and lepaskan mal? cheh.. pepandai je ak wat telahan...

Rizai Reeani berkata...

leya: balkhis seorang yang berpendirian tinggi maknanya tu. hehehe... ;)

boyobona: kalaulah balkhis lembut hati, kan...

kira: hehehe, tak salah nak buat telahan. mana tahu betul kan? macam e-novel kira tajuk wonder boy tu. bila nak upload episod akhir? sabar menunggu ni. hahaha... ;)

♥ HanNa ♥ berkata...

harap2 balhkis n mama ekmal
sedar ap yg mereka buat..

x snggup rase klau akmal kawen ngan balhkis

Tanpa Nama berkata...

cerita kamu sangat dramatik. boleh buat skrip drama. tak mahu cuba? -fitri-

izzati berkata...

"awak di mana irdina? saya rindu..."

oh, sangat terkesan di hati. dina, kesian kat ekhmal. sob, sob... :'(

Rizai Reeani berkata...

hanna: kita serahkan pada jodoh mereka... ;)

fitri: memang terasa mahu mencuba tapi masih kurang ilmu tentang penulisan skrip. insyaallah, akan cuba suatu hari nanti :)

izzati: ish, jangan sedih... irdina tetap ingatkan Ekhmal ;)

terima kasih semua sudi membaca dan memberi komen :D

Dr.LoVe berkata...

kasihan Ekmal...masih adakah hari esok untuk cinta mereka.....

Rizai Reeani berkata...

dr. love: mudah-mudahan, masih ada andai cinta mereka kuat... :)

Tanpa Nama berkata...

saya suka ekhmal..
seorang yang sgt integriti..
setia..
dah owh!
mmg terbaek la..
apa pun halangan n badai menimpa, tetap jgk dgn irdina.. ;)