Sepatah Dua Kata

Isnin, Ogos 23, 2010

Semanis Epal II - Bab 09




WAJAH yang disolek rapi itu ditatap di hadapan cermin bujur sirih yang terdapat di meja solek. Cantik! Sangat cantik! Jelas seri pengantin baru kelihatan. Beberapa ketika sahaja lagi, dia akan menempuh alam baru dalam kehidupannya. Bakal memegang status isteri, ternyata membuatkan hatinya gemuruh.
Balkhis melirik pada jam di dinding. Sudah pukul 3.15 petang. Dia akan diijabkabulkan dengan Ekhmal selepas solat Asar di Masjid Negeri nanti. Sekarang dia berada di rumah sendiri, menanti dirinya dirias supaya tampak seperti seorang puteri ketika majlis akad nikah sebentar lagi.
Balkhis kembali melihat wajahnya di cermin. Perasaan di dalam hati usah diteka. Terdapat pelbagai adunan rasa yang jika dilayan, akan memeningkan kepala. Lebih baik diusir pergi kerana hari ini adalah hari yang paling istimewa dalam hidupnya. Hari yang menghadirkan gembira dan bahagia.
“Wah, cantiknya anak mama...” sapa Datin Rozita, mama Balkhis.
“Ke mana tumpahnya kuah kalau tak nasi Datin oi...” ujar Kak Piah, mak andam yang ditugaskan menjaga penampilan Balkhis.
Datin Rozita ketawa kecil. Diikuti dengan Balkhis.
“Mama rasa gembira sangat hari ni. Akhirnya anak mama akan jadi seorang isteri. Berkahwin dengan lelaki yang dia cintai,” ujar Datin Rozita.
Balkhis hanya mampu senyum. Fikirannya saat ini entah ke mana berlegar. Lidahnya kelu untuk menutur kata. Justeru, hanya senyum yang dapat diukir bagi menyembunyikan resah di hati.
“Mama doakan agar anak mama sentiasa bahagia,” ucap Datin Rozita membuatkan Balkhis terasa sebak.
“Eh, eh... Tahan sikit air mata tu. Nanti cair make-up. Penat akak nak touch-up balik tau,” perli Kak Piah.
Balkhis tergelak lantas menyeka titis air mata yang bergenang di pelupuk mata dengan jemari yang sudah dilitupi warna merah jingga. Inai yang dipakai, mengusir sedikit gundah. Balkhis yakin, inilah yang terbaik untuk dirinya. Hidup bersama-sama dengan lelaki yang dia cintai.

*  *  *  *  *

BAJU Melayu cekak musang rona putih mutiara itu dibelek-belek tanpa perasaan. Sewajarnya baju itu disarungkan dengan rasa teruja namun mengenangkan bakal isteri yang akan dinikahinya bukan pilihan hati, serta-merta perasaan teruja itu hilang, lenyap.
“Eh, kenapa tak bersiap lagi ni?” Ezwan menegur adiknya yang sedang termenung di birai katil.
“Along...” ucap Ekhmal.
Ezwan memandang adiknya yang tampak tidak bermaya itu. Ezwan faham beban perasaan yang ditanggung adiknya itu.
“Nasi dah jadi bubur Mal. Tak boleh patah balik lagi. Anggaplah sudah jodoh kau. Mungkin ada hikmah di sebaliknya...” nasihat Ezwan.
“Tapi...”
“Sudahlah, tak payah ragu-ragu lagi. Along yakin kau dapat laluinya dengan tabah. Yang dah berlalu, biarlah berlalu. Yang pasti, hari esok tetap perlu dihadapi walau sesukar mana pun jalan yang perlu dilalui,” Ezwan cuba memberi semangat pada adiknya yang tampak sugul.
“Cepat bersiap. Kita dah nak bertolak ni. Nanti di masjid ada orang touch-up muka kau tu. Biar nampak berseri sikit,” usik Ezwan seraya melangkah keluar.
Ekhmal cuba mengukir senyum walau dirasa senyumannya itu tawar. Benar kata abangnya tadi, nasi sudah menjadi bubur. Mungkin Balkhis sudah ditakdirkan menjadi pasangan hidupnya. Beberapa ketika sahaja lagi dia akan bergelar suami. Sudah punya tanggungjawab dan komitmen yang baru.
Sebagai seorang suami, tugasnya sudah tentu menyayangi, melindungi, dan mendidik isteri dan bakal zuriatnya kelak. Selepas diijabkabul nanti, dia sudah tidak boleh berpatah semula. Dia perlu melupakan insan yang amat dia cintai. Dia perlu lenyapkan Irdina dari hati dan ingatan, membiarkan kenangan bersama-sama gadis itu terkubur, jauh di dasar sanubari.

*  *  *  *  *

USAI menunaikan solat Asar secara berjemaah, masa yang dinanti-nantikan kini tiba. Masjid Negeri akan menjadi saksi penyatuan dua hati yang bakal menempuh alam baru dalam hidup masing-masing. Suatu alam yang perlu dijalani dengan kepercayaan, amanah, tanggungjawab dan kasih sayang yang tinggi. Alam rumah tangga semestinya membawa perubahan dalam hidup setiap insan.
Dalam rumah tangga, setiap pasangan  perlu yakin pada hubungan yang terjalin. Tidak boleh ada curiga dan syak-wasangka. Harus sentiasa percaya antara satu sama lain dan yang paling penting berkongsi segala suka dan duka bersama-sama.
Seorang isteri punya tanggungjawab tersendiri. Begitu juga dengan seorang suami. Bahtera rumah tangga perlu dikemudi dengan baik oleh suami dibantu oleh isteri di sisi agar bahtera itu menuju ke pulau bahagia, bukannya terdampar di pantai derita.
Saudara-mara dan beberapa orang kenalan rapat sudah mula memenuhi ruang tengah masjid, mahu menjadi saksi sebuah ikatan perkahwinan yang bakal terjalin. Tok Kadi sudah mendapatkan tempatnya. Ekhmal juga sama. Duduk bersila di hadapan tok kadi dengan wajah yang menunduk.
Selesai imam membaca doa selepas solat sebentar tadi, Ekhmal masih menadah tangan, bermunajat pada Tuhan Yang Esa. Diminta agar diberi ketenangan hati dan kekuatan jiwa. Memohon agar keputusan yang dibuat ini membawa bahagia dalam hidupnya.
Ekhmal juga berdoa supaya pintu hatinya dapat terbuka menerima Balkhis agar dia mampu menyayangi gadis itu walau tidak mencintainya. Selepas ini, dia akan berkongsi hidup dengan Balkhis. Bukan dengan wanita yang dicintai.
Dia berdoa lagi agar diberi rahmat dan hidayah untuk menjalani kehidupan rumah tangga dengan lancar dan diredhai oleh-NYA. Hampir menitis air mata kala dia memohon supaya majlis ini tidak diteruskan. Sungguh, walaupun dia dapat menipu orang lain bahawa dia menerima perkahwinan ini, dia tetap tidak dapat menipu hatinya.
Ekhmal tahu dia tidak sepatutnya meminta perkara sedemikian berlaku tetapi dia memang tidak mahu meneruskan pernikahan ini. Dia tidak mahu berlaku tidak jujur pada Balkhis. Dia tidak mahu ikatan perkahwinan ini dilalui dengan derita dan duka. Ekhmal tidak mahu!
Namun apabila melihat segala persiapan yang telah dibuat, apatah lagi wajah mamanya yang penuh mengharap, dia cuba kuatkan semangat. Oleh yang demikian, di dalam doanya, tidak putus-putus Ekhmal meminta agar diberi ketabahan hati dan kekuatan jiwa untuk meneruskan pernikahan ini.
Beberapa minit kemudian, Balkhis muncul dengan menyarung baju kebaya rona serupa dengan Ekhmal. Ekhmal cuba mengangkat wajah, mahu memandang bakal isterinya itu tetapi segera menunduk semula. Dia masih tidak kuat untuk menerima Balkhis sebagai suri hidupnya.
Balkhis pula sempat mengerling Ekhmal yang segak berbaju Melayu cekak musang siap dengan sampin dan songkok hitam. Sebentar lagi, lelaki itu bakal menjadi suaminya yang sah. Suami yang tidak menyintai dirinya namun akan cuba diusahakan supaya dapat menambat hati Ekhmal kelak.
“Baiklah, memandangkan semua dah sampai, eloklah kita mulakan majlis akad nikahnya sekarang,” ujar Tok Kadi seraya mengeluarkan beberapa helai kertas dari beg bimbit di sebelahnya.
“Sebelum kita teruskan, saya nak bertanya dululah, kalau-kalau ada yang tidak setuju dengan perkahwinan ni,” ujar Tok Kadi yang memakai cermin mata dan berserban putih itu.
Suasana sekitar senyap-sunyi. Hanya bunyi bilah kipas yang kedengaran ligat berpusing. Tok Kadi memandang saksi dan wali yang menggeleng kepala, tanda tiada bantahan.
“Kalau tiada bantahan, yang lelakinya, minta tanda tangan di sini ya,” arah Tok Kadi.
Ekhmal memandang helaian kertas yang diunjukkan padanya dengan gemuruh yang menggila. Terketar-ketar tangannya membuka penutup pena mata bulat berdakwat hitam itu. Selepas menurunkan tandatangan ini nanti, dia secara tidak langsung sudah bersetuju menerima Balkhis sebagai isterinya.
‘Maafkan saya Irdina, saya tak mampu nak pertahankan cinta kita,’ ucap Ekhmal di dalam hati.
Dengan lafaz Basmallah, Ekhmal menurunkan tanda tangan pada helaian terakhir dokumen tersebut. Ditahan air matanya dari gugur. Dia tidak boleh nampak lemah. Kemudian, Tok Kadi bergerak ke arah Balkhis pula, menyerahkan dokumen yang sama.
“Minta tandatangan di sini ya,” ujar Tok Kadi tersebut lalu menghulurkan pen pada Balkhis.
Balkhis menerima huluran dari Tok Kadi tersebut lalu memandang tandatangan Ekhmal di helaian dokumen tersebut. Ekhmal telah bersetuju menjadi suaminya. Balkhis mendongak sedikit, memandang Ekhmal yang menunduk sejak tadi.
‘Terima kasih Ekhmal, kerana sudi menerima diri ini,’ lafaz Balkhis di dalam hati lalu membuka penutup pen tersebut.
Baru sahaja dia hendak menurunkan tandatangan, Balkhis mengangkat badannya sedikit lalu menutup semula pen berkenaan.
“Maaf, saya tak boleh teruskan pernikahan ni,” ucap Balkhis membuatkan ruang tengah masjid itu mula riuh!
::bersambung::

10 ulasan :

IVORYGINGER berkata...

Thanks Balkhis. Akhirnya ko sedar jgk cinta xleh ada paksaan ia dtg sndr. klu dpaksa ia xkan bw kbhgian.

firda berkata...

faham jugak si qis tu ya. ingatkan degil nak kawin jugak! fuh, b'debar2 baca bab ni.

Tanpa Nama berkata...

yeay! apalagi mal, pergi cari dina!

epy elina berkata...

akhrya balqis sdr jg...
cnta xxblh dipksa....
go...go ekhmal....
gi cr irdina....

Leya berkata...

terima kasihlah banyak2 qis! akhirnya! mana dina x muncul2 lagi ni?

Rizai Reeani berkata...

ivory ginger: benar sekali, cinta itu bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa kerana ia kelak mengundang derita.

firda: saya juga sentiasa berdebar menerima maklum-balas pembaca. ;)

tanpa nama: ya, moga ekhmal dapat ketemu irdina

epy elina: ya, sekurang-kurangnya balkhis masih ada perikemanusiaan.

leya: dina membawa hati yang lara. mungkin mengambil masa untuk sembuh.

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen :D

♥cikHanNa ♥ berkata...

YES..!
Bgus balqis..
akhirnya sedar gak..
hehe.. mmg mndebarkn btul mse bce
apepon.. x sabr nk tunggu next n3..

:-)

akira_bita berkata...

ya! kira dah cakap! balkhis pasti sedar pyer! ya!!!

Gadis~Gula~Gula berkata...

yeay yeay!!!!!

Rizai Reeani berkata...

cik hanna: terima kasih hanna :)

kira: ya, balkhis masih punya perasaan... :)

gadis gula-gula: sukanya dia. hehehe... ;)