Sepatah Dua Kata

Rabu, Ogos 25, 2010

Semanis Epal II - Bab 10



BALKHIS dapat merasakan semua mata yang berada di ruang tengah masjid itu memandang tajam ke arahnya. Namun hanya satu pandangan saja yang menarik minat Balkhis. Ekhmal merenung sepupunya itu dengan riak tidak percaya.
“Qis sedar tak apa yang Qis cakap ni?” soal Datin Rozita.
“Maafkan Qis mama, auntie. Qis tak tahu nak terangkan macam mana tapi Qis betul-betul minta maaf. Qis tak boleh berkahwin dengan Ekhmal. Qis tak cintakan dia,” Balkhis memberi dalih.
“Hah? Qis jangan nak bergurau. Qis juga nak beriya-iya nak kahwin dengan Mal dulu. Qis tak ingat?” Puan Sri Hasmiza pula bertanya dengan nada amarah.
“Maaf auntie. Memang betul Qis pernah cakap nak kahwin dengan Ekhmal tapi itu dulu. Sekarang, Qis tak rasa Qis mampu cintakan dia,”
“Balkhis!” bentak Puan Sri Hasmiza.
Semua mata yang memandang kini beralih pula pada Ekhmal yang bangun menuju ke arah Balkhis. Ditariknya tangan gadis itu bangun dan mereka berlalu keluar dari masjid, menuju ke halaman. Hasmir dan Ezwan saling berpandangan. Puan Sri Hasmiza pula terasa mahu pengsan.
“Balkhis...” ucap Ekhmal sejurus dia dan gadis itu berada di halaman masjid.
Air mata yang ditahan sejak tadi tumpah jua. Segala kesedihan dan kekecewaan yang bergelumang di dalam hati diluahkan. Ekhmal hanya diam memerhati. Sedikit-sebanyak ada simpati yang terzahir untuk gadis di hadapannya ini.
“Maafkan Mal...” ucap Ekhmal.
“Tak, you tak salah Mal. I yang degil. I yang tak dapat terima hakikat yang you langsung tak cintakan I. I ingat, mungkin I dapat pikat hati you kalau kita kahwin nanti tapi akhirnya I sedar, cinta you pada Dina terlalu kuat. I tak mungkin dapat atasinya,” jelas Balkhis dalam esakan.
“Qis...”
I sangat hargai bila you setuju kahwin dengan I. Tapi jauh di sudut hati, I tahu yang you menderita tapi I terlalu ikutkan perasaan. I ni pentingkan diri Mal,” sambung Balkhis.
“Dahlah Qis...” pujuk Ekhmal.
I ni kejam ke Mal?”
“Tak, aku tahu kau bukan macam tu. Aku yang bersalah dalam hal ni. Aku tak sepatutnya beri kau harapan,” balas Ekhmal.
Air mata Balkhis terus berjuraian. Ekhmal tidak tahu bagaimana mahu menenangkan gadis itu. Kasihan Balkhis. Hatinya telah teruk dilukai.
“Maafkan I Mal. I yang menyebabkan you dan Dina terpisah,”
“Cukuplah tu Qis. Aku dengan Dina memang ditakdirkan tak ada jodoh. Kalau bukan pasal kau pun, mama aku tetap akan halang kami dari bersama juga,”
“Tapi...”
“Dahlah Qis. Aku sepatutnya berterima kasih pada kau sebab tak teruskan dengan pernikahan ni. Kalau tak, kita sama-sama akan lebih menderita. Aku tak mahu berlaku hipokrit pada kau,”
You bencikan I?
“Untuk apa? Aku tak pernah bencikan kau cuma aku terkilan bila kau sakiti Dina dulu. Tapi aku tahu, kau buat semua tu sebab cintakan aku. Aku yang patut minta maaf pada kau. Aku dah banyak buat kau menangis,” tutur Ekhmal, lalu memegang lembut kedua belah bahu Balkhis dengan tangannya.
“Terima kasih Mal. Terima kasih sebab tak bencikan I...” ucap Balkhis sambil menyeka air mata dengan jemarinya.
I akan sokong you dengan Dina! Pergilah, cari dia!” ujar Balkhis.
Ekhmal berubah muram. Cari Irdina? Bukannya dia tidak lakukan tetapi semua usahanya menemui jalan buntu. Gadis itu menghilang tanpa khabar berita. Amat sukar mahu menjejakinya. Langsung tiada sebarang petunjuk.
Irdina, awak di mana?

*  *  *  *  *

TIGA hari berlalu sejak kejadian pernikahan yang dibatalkan oleh Balkhis. Kesemua persiapan yang telah dibuat terpaksa dihentikan. Puan Sri Hasmiza betul-betul berang. Teruk Balkhis dan Ekhmal dileter. Tidak tahu mana lagi hendak diletak mukannya. Malu dengan tetamu yang hadir waktu itu. Datin Rozita, mama Balkhis pula terus dilanda demam, mungkin terkejut dengan tindakan anak kesayangannya itu.
Ruang tamu Villa Karisma hening. Puan Sri Hasmiza mundar-mandir di hadapan sofa rona pic yang diimport dari Itali itu. Hatinya resah, tidak tenteram. Sudah dua hari Ekhmal tidak pulang ke rumah. Pastinya mencari Irdina.
“Jahanam!” bentak Puan Sri Hasmiza tiba-tiba.
“Mama...” tegur Ezwan membuatkan Puan Sri Hasmiza tersentak sedikit lantas menoleh.
Di sisi Ezwan ada suaminya. Kedua-dua mereka mula melabuhkan punggung di sofa, mahu berbicara dengan wanita berblaus kuning cair yang sedang merona merah wajahnya itu.
“Miza, bawa bertenang, Duduk dulu, ada perkara yang nak abang bincangkan,” ujar Tan Sri Zulkafli.
Puan Sri Hasmiza menghempaskan tubuhnya di sebelah Tan Sri Zulkafli. Wajah suaminya itu direnung tajam sambil dicebikkan bibir.
“Sekarang Balkhis pun tak mahu jadi menantu awak. Ada baiknya kalau...”
“Hah, awak jangan nak memandai-mandai suruh saya terima budak kampung yang tak tahu asal-usul tu ya! Saya lebih rela Ekhmal jadi bujang terlajak dari dikahwinkan dengan budak tu!” tinggi nada suara Puan Hasmiza, menukas kata-kata suaminya tadi.
“Mama, apa kurangnya Dina? Wan tak faham ma. Kenapa mama tak dapat terima dia? Sebab harta atau sebab pertunangan palsu tu?” soal Ezwan.
“Dua-dua sekali! Mama tak mahu dia mengikis harta Ekhmal,” jelas Puan Sri Hasmiza.
“Mama... Kalau Dina nak rampas harta Mal, dah lama dia buat ma. Dia boleh letak jumlah wang yang tinggi sewaktu tandatangan perjanjian tu dulu. Dia juga boleh pengaruh Mal supaya tinggalkan mama kalau dia nak. Tapi dia tak buat semua tu mama,”
“Ah! Itu lakonan dia saja. Bukan mama tak tahu, budak mata duitan macam dia tu licik orangnya,” Puan Sri Hasmiza masih tidak mahu mengalah.
“Dina bukan macam tu mama. Wan kenal dia. Dia gadis yang kuat berusaha. Malah kalau mama nak tahu, bukan dia yang pikat Mal tapi Mal yang jatuh cinta pada dia dahulu sejak mereka belajar lagi. Tapi Mal sembunyikan tentang tu sehinggalah dia berjumpa Dina tak berapa lama dulu. Mal sangat sayangkan Dina mama,” pujuk Ezwan lagi.
Puan Sri Hasmiza bungkam. Kata-kata Ezwan tadi tidak sedikit pun melembutkan hatinya. Dia yakin Ekhmal tidak akan bahagia dengan Irdina. Gadis itu hanya mahu menumpang kesenangan keluarganya.
“Miza... Abang tahu, awak sebenarnya risaukan Ekhmal. Tapi awak sendiri tahu, Dina bukan macam yang awak fikirkan. Awak dah lupa, dia yang sentiasa temankan awak, berbual dengan awak, menemani awak dulu?”
“Itu semua sebab nak ambil hati saya! Nasib baik saya tak masuk perangkap dia!” bidas Puan Sri Hasmiza.
“Miza, bawa isghtifar banyak-banyak. Awak ikutkan perasaan sangat. Apa kurangnya Dina tu? Dia bukannya gadis yang tak baik. Berpelajaran tinggi lagi. Hanya sebab dia kurang berada, awak pandang hina dia? Harta bukan bolah dibawa ke lubang kubur Miza,” nasihat Tan Sri Zulkafli membuatkan isterinya itu menghadiahkan jelingan tajam.
“Kenapa abang susah nak faham? Saya buat semua ni untuk kebaikan Ekhmal, anak kita!”
Tan Sri Zulkafli tersengih. Ezwan hanya diam memerhati, tidak mahu masuk campur kali ini. dibiarkan sahaja papanya itu memujuk mamanya. Dia tahu, papanya sudah lama menyimpan ketidakpuasan hati terhadap sikap mamanya itu.
“Untuk kebaikan Ekhmal awak kata? Tapi abang rasa ia lebih pada kepentingan diri awak. Sebagai ibu bapa, kita memang mahu yang terbaik untuk anak-anak dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka bahagia dan gembira. Tapi bila soal memilih pasangan hidup, itu bukan hak kita. Ekhmal lebih mengerti akan perasaan hatinya. Kita tak boleh memaksa sebab ia akan buat Ekhmal lebih menderita. Apa yang kita boleh buat adalah mendoakan agar pilihan anak kita itu tepat supaya dia boleh bahagia,” panjang-lebar bicara Tan Sri Zulkafli membuatkan Puan Sri Hasmiza terpana seketika.
‘Tindakan dia ini membuatkan anaknya menderita? Benarkah’ desis hati Puan Sri Hasmiza.
“Awak sedar tak yang awak sebenarnya hampir memusnahkan kebahagiaan Ekhmal bila awak mahu kahwinkan dia dengan Balkhis. Mujur Balkhis sedar akan hakikat yang mereka tidak boleh bahagia jika tiada perasaan cinta antara keduanya. Kalau benarlah Dina nak rampas harta, dia tak akan ikut cakap awak supaya jauhkan diri dari Ekhmal. Sekarang pun awak tengok, ada Ekhmal bercakap dengan awak? Anak kita tu dah tak senyum sejak Dina pergi dari hidup dia. Awak sebagai seorang ibu, tak pernah perasan?”
Sekali lagi kata-kata Tan Sri Zulkafli membuatkan Puan Sri Hasmiza tersentak. Dia seakan terpukul dengan pertanyaan suaminya itu.

Baiklah ma, Mal setuju dengan cadangan mama tapi Mal nak mama ingat, mulai hari ini, anggaplah Mal dah mati.

Kata-kata Ekhmal dahulu berlegar-legar dalam fikirannya. Ya Tuhan! Apa yang telah dia lakukan? Dia seorang ibu tapi tidak dapat mengesan kesedihan pada diri anaknya? Dia seorang ibu tapi tidak tahu anaknya sedang dilanda duka? Ibu apakah dia?
“Kita sebagai ibu bapa, mahu lihat anak kita bahagia, bukannya menderita. Pada Ekhmal, Dina adalah kebahagiaan yang dicari. Sudahlah Miza, jangan terlalu ikutkan hati. Senyuman Ekhmal itu lebih penting dari harta yang kita ada Miza,” sambung Tan Sri Zulkafli.
Tanpa sedar, air mata Puan Sri Hasmiza menitis ke permaidani hijau yang menutupi jubin ruang tamu. Dia sudah terlalu jauh melangkah. Dia telah bertindak kejam terhadap anaknya sendiri. Ya Tuhan, masihkah dia punya peluang untuk menebus kesilapannya itu?
“Abang, maafkan saya bang! Maafkan saya! Kita cari Ekhmal ya bang! Saya tak akan halang dia dengan Dina lagi. Kita cari dia bang!” ujar Puan Sri Hasmiza sambil memegang erat lengan suaminya.
“Tak perlu mama, Mal tahu jaga diri. Dia sedang cari Dina,” akhirnya Ezwan mencelah. Dia berasa syukur kerana mamanya sudah sedar.
“Kita kena tolong Mal,” ujar Puan Sri Hasmiza.
Ezwan bangun dari duduk lalu menyeluk saku seluarnya. Dia mengeluarkan sehelai kertas kecil lalu dihulurkan pada mamanya. Puan Sri Hasmiza menyambut huluran anak sulungnya itu. Ada nombor telefon yang tertera di atas kertas tersebut.
“Kalau mama nak tolong Ekhmal, hanya ini saja caranya,” ujar Ezwan lalu menguntum senyum.
Puan Sri Hasmiza memerhati nombor telefon tersebut. Seakan pernah dilihat. Seketika berfikir, akhirnya dia menoleh pada suaminya yang duduk di sebelah. Tan Sri Zulkafli mengangguk, seakan faham apa yang bersarang di fikiran isterinya itu.
Pantas Puan Sri Hasmiza mencapai gagang telefon yang terletak di atas meja kecil bersebelahan dengan sofa yang didudukinya. Beberapa detik menunggu, panggilannya disambut.
“Hello...”
::bersambung::

11 ulasan :

aqilah berkata...

sudah pasti, itu no dina............akhirnya..............

Rizai Reeani berkata...

aqilah: hmmm, tapi irdina kan tiada handphone? hehehe... ;)

Leya berkata...

ye tak ye juga. sape yg puan sri tu call? misteri ni..

epy elina berkata...

wah...
saspen la...
puan sri cal sape 2....
x sbr nak dina n ekhmal brtmu...

datul berkata...

suka buat suspen tau rizai ni. cepat sambung!

Nuranis Sanusi berkata...

Haaaaaaa...tup,tup..dah habis..=P..cepat sambung ok..=D

yanti berkata...

aish, makin nak habis makin konflik pula ya. bilalah ekmal nak jumpa dina ni? rindu kat dina lama tak muncul.

Tanpa Nama berkata...

haah, dina lama tak muncul. macam drama citer ni. better buat skrip.

♥cikHanNa ♥ berkata...

hhehe~
mmg betul2 suspen..
x sabar nk tunggu next n3

Min Hamzah berkata...

best2...akhirnya mama Ekhmal sedar akn kesilapan nye..somga kbhagian bakal milik Ekhmal n Dina....

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen. Sangat hargainya... :D