Sepatah Dua Kata

Khamis, Ogos 26, 2010

Semanis Epal II - Bab 11




BANGKU kayu di bawah pokok semarak api itu sekali lagi menerima kunjungan Ekhmal. Bunga-bunga semarak api mula rekah, seakan warna merah jingga. Sama seperti langit yang sudah mula membiaskan cahaya jingga di ufuk barat. Semilir bertiup lembut, menghantar sedikit kedinginan dalam diri. Gemersik dedaun ibarat lagu rindu yang bersenandung pada pendengaran Ekhmal.
Alangkah baiknya jika semilir itu mampu mengirim rasa rindu yang membuak-buak dalam hati ini pada gadis yang sekian lama tidak ketemu. Sungguh dia dikecam rindu yang amat sarat. Rindu ada senyuman Irdina, rindu pada gelak-tawa Irdina, rindu pada gurau-senda Irdina, segala-gala tentang Irdina membuatkan Ekhmal rindu.
Hari ini sudah masuk tiga hari dia tidak pulang ke rumah. Dia tidur di pejabat. Mujur bilik pejabatnya dilengkapi dengan bilik air dan almari pakaian yang sederhana besar saiznya. Di situlah dia berfikir dan terus berfikir tentang cara untuk menjejaki Irdina tetapi semuanya menemui jalan buntu.
Ekhmal bukan tidak mahu pulang tetapi dia masih belum mampu bertentang mata dengan mamanya. Bimbang ada amarah yang menerpa. Buat masa ini biarlah dia merawat luka dek kerana perbuatan mamanya itu. Selebihnya, dia tidak mahu pencariannya menganggu kerja-kerja di pejabat. Jadi lebih mudah untuk dia bergerak jika menetap di situ.
Suara kanak-kanak riang bermain gelongsor dan buaian menarik perhatian Ekhmal. Terhibur hatinya melihat senyuman dan gelak tawa kanak-kanak tersebut. Sekilas, wajah Irdina kembali terbayang di ruang mata.
“Irdina, saya rindu...” ucap Ekhmal entah untuk yang ke berapa kali.
Sebuah kelihan dilepaskan. Perlahan-lahan, matanya dikatup. Dia mahu kembali menyelak halaman kenangan sewaktu dia dan Irdina dibuai perasaan cinta yang membahagiakan. Hanya kenangan-kenangan itu yang dia ada buat pengubat rindu.
Entah bagaimana agaknya keadaan gadis itu sekarang. Mungkin masih lagi bertungkus-lumus mencari kerja. Atau Irdina sudah pun memulakan hidup bekerjaya dan bertemu dengan seseorang yang mampu membuatkan gadis itu melupakannya. Tidak! Irdina tidak mungkin akan melupakan dirinya.
Sambil memejamkan mata, Ekhmal membenarkan dirinya turut bersenandung dengan bunyi gemersik dedaun dan kocakan air tasik yang menjadi tempat ikan-ikan berenang bebas tanpa kerisauan di dalamnya. Dia didakap tenang.
“Epal merah! Epal merah! Encik, nak beli epal merah? Manis tau!” suara seorang kanak-kanak perempuan menganggu ketenteraman Ekhmal.
“Encik, tak nak beli epal?” tanya kanak-kanak perempuan itu lagi apabila tiada balasan dari lelaki di hadapannya itu.
Ekhmal terus memejamkan mata. Terasa malas mahu melayan kanak-kanak perempuan yang menjual epal merah tersebut.
“Encik Ekhmal tak nak beli epal ke?”
Kali ini Ekhmal tersentak! Suara itu... pantas Ekhmal membuka mata lalu dia terkesima! Benarkah? Benarkah apa yang sedang dilihat kala ini? Apakah dia hanya berhalusinasi atau susuk tubuh di hadapannya ini satu realiti?
“Beri akak sebiji epal dik,” ujar Irdina dalam senyuman.
Kanak-kanak itu menghulurkan sebiji epal merah sambil menerima wang kertas lima ringgit dari Irdina.
“Ambil buat belanja sekolah, tak perlu pulangkan bakinya,” ujar Irdina membuatkan kanak-kanak perempuan itu melompat kegirangan.
“Terima kasih kak! Terima kasih!” ucap kanak-kanak perempuan itu lalu melangkah pergi.
Mata Ekhmal masih tidak lepas memandang Irdina yang kini mengambil tempat duduk di sebelahnya. Entah mengapa lidahnya kelu, terasa seperti mulutnya digam kuat.
“Apa khabar Ekhmal?” tanya Irdina sambil menggenggam erat epal merah di tangan kanannya.
Irdina menatap wajah Ekhmal. Mata mereka bertentangan. Rindu di hati terurai sudah. Betapa Irdina rindu untuk melihat wajah pujaan hatinya itu.
“Irr... Irr... Irdina!” ucap Ekhmal akhirnya membuatkan Irdina tergelak kecil.
“Awak ni macam nampak hantu saja,” ujar Irdina.
“Irdina? Awak Irdina, kan?” soal Ekhmal, meminta kepastian.
“Hai, baru berapa minggu tak jumpa dah tak kenal? Sampai hati...” balas Irdina, berpura-pura merajuk.
“Cakaplah, awak Irdina, kan?” soal Ekhmal lagi sambil memegang erat kedua belah bahu Irdina.
“Ya, saya Irdina. Lama tak jumpa ya,” jawab Irdina dengan mata yang digenangi air jernih.
“Awak! Kenapa awak tinggalkan saya macam tu saja? Awak tahu tak sampai ke Melaka saya cari awak! Awak tahu tak setiap saat saya ingatkan awak! Awak tahu tak saya sangat rindukan awak!” ujar Ekhmal bertalu-talu, meluahkan segala apa yang dipendam.
“Ekhmal...”
“Awak kejam Irdina!” ucap Ekhmal lalu melepaskan pegangan tangannya di bahu Irdina.
Irdina diam. Dia masih tidak lepas dari memandang Ekhmal. Lelaki itu menunduk. Tahukah Ekhmal yang dia juga turut rasakan sama seperti apa yang lelaki itu rasai? Dia pergi bukan sengaja tetapi dia ada maruah. Dia tidak mahu terus-terusan dihina oleh Puan Sri Hasmiza, mama Ekhmal.
“Saya yakin awak tahu alasan saya tinggalkan awak bukan?” Irdina bertanya pada Ekhmal yang sedang menanti kata-kata darinya.
“Kenapa awak tak beritahu saya? Kenapa awak nak tanggung semuanya seorang diri?”
“Saya ada harga diri Ekhmal. Kalau saya beritahu awak pun, keadaan tetap tak berubah. Awak tetap kena ikut cakap mama awak juga,” jawab Irdina, sedikit tegas.
“Sekurang-kurangnya kita boleh cari jalan penyelesaian bersama,”
Irdina tersengih. Kata-kata Ekhmal membuatkan dia geli hati.
“Jalan penyelesaian? Kalau dulu ada jalan penyelesaian, saya tak akan tinggalkan awak,” perli Irdina.
“Tapi...”
“Cukuplah, perkara lama tak usah diungkit semula...” ujar Irdina, menukas kata-kata Ekhmal.
Keadaan hening seketika. Kedua-duanya melayan perasaan masing-masing. Ternyata pertemuan semula ini membuatkan kedua-duanya tidak bersedia. Terlalu banyak persoalan yang berlumba-lumba mahu keluar tetapi lidah seakan berat mahu menutur kata.
“Epal merah ni, sebagai tanda minta maaf,” Irdina membuka bicara setelah agak lama mereka dilanda sunyi.
Ekhmal mengangkat wajah lalu menerima huluran Irdina. Epal merah kini sudah bertukar tangan.
“Ia mengingatkan saya semasa waktu pertama kali awak beri saya epal merah,” ujar Ekhmal dengan senyuman yang menguntum di bibir.
“Kita bermula semula?” pinta Ekhmal setelah berjeda seketika.
“Awak lupa yang mama awak tak restu hubungan kita?” soalan Irdina membuatkan riak wajah Ekhmal berubah.
“Kita kahwin lari!” saran Ekhmal.
“Awak gila?”
“Tak, saya serius!” Ekhmal bertegas.
“Tak mahu!”
“Irdina... Itu saja cara yang kita ada,”
“Awak nak mama awak lebih bencikan saya ke?” tanya Irdina dengan anak mata yang sengaja dibesarkan.
“Tapi...” Ekhmal tidak meneruskan kata sebaliknya dia melepaskan keluhan.
Remang senja mula kelihatan menabiri dada langit. Ciak-ciak burung berkicau, pulang ke sarang setelah seharian mencari rezeki. Para pengunjung Taman Tasik tersebut mula surut.
“Kita ada adat Ekhmal. Bawa keluarga awak datang rumah saya...” ujar Irdina.
Ekhmal mengerutkan dahi. Biar betul Irdina ni? Sapa yang gila sekarang? Dah tahu mama tak setuju, boleh pula suruh masuk meminang dia.
“Awak tak rasa pelik ke kenapa saya boleh ada di depan awak sekarang ni?” soal Irdina, cuba menguji Ekhmal.
“Memang saya pelik. Sejak dari mula lagi. Saya nak tanya tapi tak terkeluar,” balas Ekhmal.
Tawa Irdina meletus apabila Ekhmal memberikan jawapan. Ekhmal bertambah pelik. Kena sampuk penunggu ke Irdina ni? Maklumlah, hari dah nak Maghrib.
“Jom, ke rumah saya. Ada banyak yang saya nak jelaskan,” ajak Irdina lalu bangun meninggalkan Ekhmal terpinga-pinga.
“Hah? Hei, tunggu saya!” laung Ekhmal setelah menyedari Irdina semakin jauh meninggalkannya.
::bersambung::

9 ulasan :

Gadis~Gula~Gula berkata...

yeay2! suke2!

izzati berkata...

yeay! akhirnya! esok habis ke ni rizai?

epy elina berkata...

hahahha....
best2...
x sbr apa yg brlaku kat umah irdina...
mcm mna dina blh brada di hdpn ekhmal..
x sbr nak thu ending...

akira_bita berkata...

wawawa!!! sudah berjumpa!!!

Rizai Reeani berkata...

gadis gula-gula: saya juga tumpang gembira... :)

izzati: ha'ah, esok episod akhir. huhuhu...

epy elina: saya juga tak sabar nak habiskannya walau berat hati. :'(

kira: ya, sudah berjumpa akhirnya mereka... :)

terima kasih ya sudi singgah membaca dan memberi komen... :)

aqilah berkata...

confirm!!!! no yg erwan berikan pd mamanya, ialah no irdina...kan...kan!!!! ...and timbullah irdina semula..............

♥cikHanNa ♥ berkata...

yeah..!!
nie yg sye ske nie..
mesti mak ekmal ade kt umeh irdina..

huhu esok last n3..
mesti rindu nk bace citer nie kat blg nnti..

Leya berkata...

akhirnya! x sabar nak tahu ending. tp sedih gak sebab x jumpa diorang lepas ni. cepat2 tulis rizai supaya dapat baca yang versi cetak

Rizai Reeani berkata...

kak aqilah: sudah dijawab dalam bab akhir kak... ;)

hanna: ya, saya juga pasti rindu dengan mereka tetapi nak tak nak harus lepaskan juga supaya cerita lain dapat ke udara... ;)

leya: hehehe... Insyaallah, sedang berusaha ke arahnya. mohon doa dari pembaca juga. :)