Sepatah Dua Kata

Jumaat, Ogos 27, 2010

Semanis Epal II - Bab Akhir



INI adalah kali ketiga Ekhmal menjejakkan kaki ke rumah papan yang terletak di Kampung Labu, 23 kilometer dari pusat bandar Seremban. Kali pertama sewaktu mahu berjumpa Irdina apabila mengetahui rancangan Balkhis dan Hasmir. Kali kedua pula dia datang setelah mengetahui Irdina sudah meninggalkan dirinya. Dan kunjungan kali ketiga ini ternyata menerbitkan keresahan di hati Ekhmal. Apatah lagi melihat wajah nenek Irdina yang merenungnya tajam seakan harimau yang mahu menerkam rakus mangsanya.
Irdina yang dapat mengesan riak Ekhmal yang gelisah segera mengukir senyum. Dia tahu neneknya sengaja mengusik lelaki itu. Usai menunaikan Solat Maghrib berjemaah tadi, mereka duduk menikmati makan malam bersama-sama. Selesai makan, Irdina mengajak Ekhmal ke ruang tamu. Ada banyak perkara yang mahu dijelaskan pada lelaki itu.
“Nenek awak, macam tak suka kat saya saja,” luah Ekhmal sejurus dia melabuhkan punggung di atas kerusi kayu yang dilapik dengan kusyen nipis.
“Memanglah. Awak lupa apa yang mama awak dah buat pada kami?” sengaja Irdina menyelak semula kenangan pahit itu.
Ekhmal tersengih. Dia faham kini mengapa nenek Irdina bertindak begitu. Iyalah, pasti ada amarah yang berputik di dalam hati dengan tindakan mamanya. Siapa yang tidak marah bila maruah dipersenda. Ternyata perbuatan mamanya itu agak melampaui batas. Sedikit-sebanyak Ekhmal kesal.
“Sekarang, ceritalah. Saya tak sabar nak tahu apa yang dah berlaku sepanjang awak hilang dulu. Tapi sebelum tu, macam mana awak tahu saya ada di Taman Tasik?” ujar Ekhmal.
“Gerak hati mungkin. Sebab tempat tu menjadi saksi perpisahan kita,” jawab Irdina, ringkas.
Ekhmal dapat mengesan ada nada sayu dalam kata-kata Irdina tadi. Dia mengerti, di taman itulah mereka menjalin cinta, dan juga memutuskannya.
“Sebenarnya, saya tak adalah lari jauh sangat. Tidak ke Rembau, apatah lagi ke Melaka. Saya berada tak jauh dari Seremban,” Irdina menyambung bicara.
“Iya? Di mana?”
“Tempat yang akan buatkan awak terkejut kalau saya beritahu,” giat Irdina, sengaja mahu membuatkan Ekhmal berteka-teki.
Berkerut dahi Ekhmal mendengar kata-kata Irdina. Tempat yang akan membuatkan dia terkejut jika tahu? Hairan...
“Di mana?”
“Port Dickson,” jawab Irdina, sepatah.
“Port Dickson?”
Irdina mengangguk.
Dahi Ekhmal dikerutkan lagi. Memang Port Dickson letaknya tidak jauh dari Seremban. Eh? Sekejap! Port Dickson? Jangan-jangan...
Riak wajah yang ditunjukkan Ekhmal jelas menyatakan bahawa lelaki itu sudah dapat jawapan kepada kata-kata Irdina tadi.
“Kan saya kata awak pasti terkejut kalau tahu,” ujar Irdina dalam sengih.
“Macam mana awak boleh berada di vila keluarga saya di Port Dickson tu?” soal Ekhmal, teruja ingin tahu.
“Encik Ezwan. Abang awak yang sembunyikan saya dan nenek di situ,” jawab Irdina membuatkan Ekhmal melopong.
“Abang Wan?” Ekhmal meminta kepastian.
Irdina mengangguk lagi. Ekhmal menarik nafas panjang. dia memang tidak ingat langsung tentang vila di Port Dickson itu. Sudah agak lama mereka sekeluarga tidak ke sana lantaran kesibukan kerja masing-masing. Dulunya, vila itu dibeli oleh papa mereka untuk sekeluarga bercuti kala hujung tahun tiba. Ketika kecil dahulu, dia selalu ke sana. Rasa Ekhmal, sudah hampir tiga tahun vila itu tidak dilawatinya.
Yang lebih mengejutkan Ekhmal bukanlah tentang vila tersebut tetapi tindakan abangnya, Ezwan. Sampai hati abangnya itu merahsiakan darinya. Kalau tahu, tidaklah dia perlu bersusah-payah mencari Irdina ke sana sini. Ah, mungkin abangnya berniat baik.
Iyalah, kalau dia tahu Irdina tinggal di vila itu, pasti dia akan meninggalkan mamanya dan tidak akan bersetuju dengan perkahwinan yang terjalin. Mungkin pada abangnya, adalah lebik baik jika Irdina tidak terusan menderita.
Atau mungkin abangnya sudah menjangka akan tindakan Balkhis maka sengaja membiarkan Irdina dan neneknya bersembunyi sementara. Ekhmal yakin, abangnya berbuat begitu untuk membalas jasa Irdina membantu abangnya dahulu, kembali semula ke dalam keluarganya.
“Tidak lama selepas mama awak pulang masa suruh kami pindah dulu, abang awak muncul. Dia menawarkan kami tinggal di vila milik keluarga awak di Port Dickson. Kata Encik Ezwan, dia berjanji akan bantu pujuk mama awak. Sementara itu, lebih baik kami tinggal di sana,” jelas Irdina.
“Nenek awak setuju pula?”
Irdina menggeleng. “Mulanya nenek berkeras menentang sebab kami sepatutnya ke Baling, tinggal dengan adik nenek di sana. Tapi, selepas dipujuk oleh abang awak, nenek bersetuju. Lagipun, saya risaukan keadaan nenek kalau dia jatuh sakit, susah juga kalau kami di tempat orang. Kalau di sini, sekurang-kurangnya saya dah biasa dengan keadaan sekitarnya,” jawab Irdina.
“Jadi awak tahu tentang perkahwinan saya dan Balkhis?”
Kali ini Irdina mengangguk pula. Seketika kemudian, nenek Irdina muncul di ruang tamu dengan menatang dulang berisi air sirap limau dan sepiring kuih karipap. Dulang tersebut diletakkan di atas meja kopi. Sempat nenek Irdina menghadiahkan jelingan pada Ekhmal, sekaligus menyebabkan lelaki itu menunduk. Irdina tergelak kecil dengan kerenah neneknya itu. Suka benar mengusik.
“Awak tahu dan awak biarkan saja?” tanya Ekhmal sejurus nenek Irdina melangkah pergi.
“Dah tu? Awak nak saya buat apa? Datang masjid bawa batang penyapu untuk halang pernikahan tu?” sindir Irdina.
Ekhmal menggeleng beberapa kali. Ada sampai ke situ pula Irdina ni.
“Terus-terang, memang saya takut. Takut jika pernikahan tu berjalan lancar, antara awak dan saya benar-benar dah tak punya apa-apa ikatan lagi. Syukurlah, Balkhis sedar yang tindakannya tidak mendatangkan kebaikan pada awak berdua. Waktu saya dengar yang pernikahan tu dibatalkan, saya rasa mahu saja berlari jumpa awak tapi saya sedar, saya tak boleh muncul di hadapan awak selagi mama awak tak dapat terima saya,” terang Irdina.
“Habis tu, kenapa awak jumpa saya hari ni?”
“Tak boleh ke? Bunyi macam tak suka saja?” Irdina berjauh hati.
“Ish, tak adalah macam tu. Dah awak juga yang kata tadi awak tak boleh muncul depan saya selagi mama saya tak dapat terima awak,” balas Ekhmal.
“Mama awak dah terima saya,”
Kata-kata Irdina seperti guruh yang berdentum kuat pada pendengaran Ekhmal. Tidak tersilap dengarkah dia?
“Saya tak faham...” ujar Ekhmal.
“Semalam, mama awak ada telefon ke vila di Port Dickson. Mungkin abang awak yang beritahu saya ada di sana. Mama awak mohon maaf dan minta agar saya menerima awak semula. Sebab itu saya boleh kembali semula ke rumah ni,”
“Biar betul!”
“Awak rasa saya tengah buat lawak ke?”
“Taklah, tapi macam mana mama... ah! Tak boleh jadi ni! Saya nak balik jumpa mama. Saya nak dengar dari mulut mama sendiri!” ujar Ekhmal lantas bangun menuju ke pintu.
Saat pintu terbuka, hampir luruh jantungnya melihat mama, papa dan abangnya ada di muka pintu. Tidak pula dia dengar bunyi kenderaan masuk ke halaman tadi. Irdina yang baru bangun juga terkejut apabila meninjau di belakang Ekhmal. Kedatangan keluarga Ekhmal memang sesuatu yang tidak dijangka.
“Boleh auntie masuk Dina?” pinta Puan Sri Hasmiza.
Lidah Irdina kelu. Dia masih belum bersedia bertentang mata dengan wanita yang pernah melukai hatinya itu.
“Siapa yang benarkan kamu datang sini?”
Soalan dari nenek Irdina yang muncul tiba-tiba membuatkan semua yang ada di hadapan pintu itu kecut perut!

*  *  *  *  *

“AKU tak setuju!” bantah nenek Irdina.
‘Ah, sudah... mula-mula mamanya. Sekarang nenek Irdina pula yang menghalang. Itulah, kalau Irdina setuju nak kahwin lari tadi kan senang,’ desis hati Ekhmal.
Puan Sri Hasmiza menundukkan wajah. Dia tahu wanita di hadapannya ini berhak marah tetapi dia sudah pun memohon maaf. Malah dia sedia dihukum tetapi wanita berbaju kurung rona biru tua ini tetap tidak mahu menerima lamarannya untuk menyatukan Ekhmal dan Irdina.
“Nenek...” ucap Irdina.
“Kenapa kamu ni lembut hati sangat hah? Kamu dah lupa apa yang Puan Sri tu tuduh kamu, mengata kamu?”
“Saya minta maaf makcik, saya tahu saya salah,” sampuk Puan Sri Hasmiza.
“Apa, kamu ingat dengan minta maaf, masalah boleh selesai? Kalau macam tu baik tak payah ada undang-undang. Orang rompak bank, minta maaf saja, tak payah masuk penjara,” sinis sekali nada suara nenek Irdina.
“Makcik, maafkanlah isteri saya ni. Dia dah sedar kesilapannya. Lagipun, tak usahlah seksa budak dua orang tu lagi. Biarlah mereka bahagia,” pujuk Tan Sri Zulkafli.
Nenek Irdina mendengus. Irdina memandang neneknya mengharapkan simpati. Dia tahu neneknya marah tetapi perkara lama tak usah dikenang. Kelak nanti memakan diri.
“Nenek, saya minta maaf bagi pihak mama saya. Saya tahu tindakan mama saya dah sakitkan hati nenek tapi nek, saya cintakan Irdina. Saya sayangkan dia dan mahu dia jadi isteri saya, ibu kepada anak-anak saya, cucu-cucu nenek juga,” kali ini Ekhmal pula menyusun kata, berharap pujukannya menjadi.
Mendengar perkataan ‘cucu’, wajah nenek Irdina berubah. Hatinya tersentuh. Dia faham, Ekhmal dan Irdina tidak bersalah cuma perbuatan Puan Sri Hasmiza akan tetap meninggalkan parut luka yang tidak akan mudah dipadam. Mungkin, demi Irdina, dia perlu mengalah.
“Baiklah, nenek faham. Nenek restu kamu berdua,” ucap nenek Irdina membuatkan semua yang berada di ruang tamu itu menarik nafas kelegaan.

*  *  *  *  *

BUNGA-BUNGA Semarak Api mula berguguran jatuh ke lantai bumi. Kelopak bunga tersebut seakan salji yang yang kemerahan. Beberapa kelopak bunga jatuh ke atas ubun-ubun kepala Ekhmal. Irdina menguak dengan jemarinya. Sebuah senyuman terukir di bibir Ekhmal lantas menarik gadis itu bersandar di bahunya.
Setahun berlalu dan kini mereka sudah bergelar suami isteri. Malah Irdina juga sedang mengandungkan anak sulung mereka. Alhamdulillah, rahmat Tuhan Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani. Segala jalan yang berliku, yang dipenuhi dengan onak dan ranjau, berjaya dilalui dengan sabar dan rasa cinta yang sentiasa mekar di hati.
“Aduh...” Irdina mengerang kesakitan.
“Kenapa Irdina?” soal Ekhmal, risau.
Baby ni, menendang sikit,” jawab Irdina dalam senyuman.
“Dia dah tak sabar nak keluar agaknya,”
“Lagi dua bulanlah bang,” Irdina mengingatkan.
“Ke dia cemburu tengok papa dia peluk ibu?” usik Ekhmal lalu mengusap perut Irdina lembut.
Irdina ketawa kecil. Bayi dalam kandungan juga bergerak-gerak seakan faham apa yang dituturkan oleh papa dan ibunya.
“Nak beri nama apa nanti?” soal Ekhmal.
“Saya tak kisah bang. Asalkan maksudnya baik,”
“Kalau macam tu, kita pilih nama yang ada dua perkataan. Satu mula dengan huruf ‘E’ dan satu lagi huruf ‘I’. Sempena huruf pertama dalam nama kita,” Ekhmal memberi cadangan.
Irdina berfikir seketika. Cadangan suaminya itu ternyata sesuatu yang bernas. Mengambil huruf pertama dalam nama mereka. Beberapa minit kemudian, Irdina bersuara.
“Eryna Insyirah,” ucap Irdina.
“Maksudnya?”
“Eryna bermaksud cantik. Insyirah pula kegembiraan atau kebaikan hati. Jadi kalau digabungkan, lebih kurang maksudnya kegembiraan yang cantik,” jelas Irdina.
Serentak dengan itu, bayi di dalam kandungannya bergerak lagi membuatkan Irdina sedikit geli.
“Dia suka nama tu agaknya,” ujar Ekhmal seraya menghadiahkan kucupan di ubun-ubun isterinya itu.
“Epal merah! Epal merah!”
Ekhmal dan Irdina tersentak. Mereka mencari-cari dari mana datangnya suara itu. Akhirnya, mata mereka berdua tertancap pada seorang kanak-kanak perempuan dengan raga kecil berisi epal merah di tangan kanan. Kanak-kanak perempuan yang sama mereka temui setahun yang lalu.
“Adik!” laung Ekhmal, menarik perhatian gadis cilik itu.
“Encik nak beli epal merah? Manis tau!” ucap gadis kecil yang mengenakan baju lengan panjang corak bunga-bunga kecil dan skirt labuh paras lutut tersebut.
“Umur adik berapa tahun?” tanya Ekhmal.
“Sembilan,”
“Mana adik dapat epal ni?”
“Emak saya buka kedai buah. Saya tolong jualkan,” jawab gadis kecil itu.
“Bungkuskan abang semua epal ni ya,” ujar Ekhmal.
“Eh? Betul ke bang?”
Irdina mengukir senyum melihat anggukan suaminya itu. Dia tahu suaminya sengaja menyelak semula kenangan lalu. Ekhmal membuka dompet. Sehelai not RM 50 dihulurkan pada gadis kecil itu.
“Saya tak ada duit kecil bang,”
“Tak apa, adik ambillah. Buat belanja sekolah,”
Gadis itu mengucapkan terima kasih dengan senyuman yang melebar. Dia berlalu pergi dengan hati yang lapang.
“Semoga anak kita nanti dapat memberi kegembiraan buat orang lain,” ujar Ekhmal.
“Insyaallah bang, berkat pada namanya,” balas Irdina.
“Nak epal?” tanya Ekhmal seraya menghulurkan sebiji epal merah yang diambil dalam bungkusan plastik itu.
“Epal merah tanda cinta kita ya bang,” ucap Irdina membuatkan Ekhmal ketawa kecil lalu mendakap erat isteri yang amat dicintainya itu.

::TAMAT::

Irdina & Ekhmal

18 ulasan :

datul berkata...

tahniah rizai! citer yang sangat menarik!

shura berkata...

wah! suke! suke! best rizai! kipidap bro!

epy elina berkata...

wah...
dah abs..
suke2x...
hepy ending...
thniah rizai...

Rizai Reeani berkata...

datul: terima kasih sudi mengikuti cerita ini dari awal hingga penamatnya :)

shura & epy elina: terima kasih. gembira awak menyukainya... :D

♥cikHanNa ♥ berkata...

YEAH..!!
Dah abis citer nie..
ske sgt ending citer nie..

uhh.. mesti rindu kt citer nie nnti
cadngan: boleh x wat citer lps diorang kawen?? hehe~

izzati berkata...

habis dah? hu3.. nak lagi bleh? neway, congrats ya!

shura berkata...

congrats rizai! citer yg menarik! teruskan menulis..

yuta0330 berkata...

at last..abes jugak..
haha..best2..tahniah krn berjaya menghabiskan cerita ini..nice job done..*_*

Leya berkata...

wah, dah habis! best3! teruskan menulis citer yg lebih best lagi k!

firda berkata...

ceh, nenek dina wat saspen jek. citer yg best writer. good luck in ur writing! d^_^b

lonely gurlz berkata...

well done! cepat2 tulis tuk publish ye.. :-)

Rizai Reeani berkata...

cik hanna: em, jika ada ilham, boleh saya mencubanya. atau cik hanna boleh bantu juga. ;)

izzati: nak lagi? kena tungguversi cetak ya. hehehe... ;)

shura: terima kasih untuk sokongan yang diberi. :)

yuta: terima kasih banyak-banyak sudi singgah membaca. :)

leya: insyaallah, mudah-mudahan. :D

firda: hehehe... em, terima kasih ya. :)

lonely gulrz: sedang berusaha ke arahnya. :)

akira_bita berkata...

aduh!!! dh habis!! huwa!! tak sabar nak tggu dipublishkan... klo dipublishkan, bab akhir tu panjangkanlah lg ye bro? hehehehe

Rizai Reeani berkata...

kira: saya kira, endingnya akan sedikit berbeza dari ini. mudah-mudahan. terima kasih dik sudi singgah membaca... :)

Tanpa Nama berkata...

hai saudara..
bagus novel awak..
nice..smooth dan banyak pengajaran dan ilmu yg dkongsikan..
glad to tell u, saya baru baca novel ni..tajuk novel ni menarik minat saya..
baru mengetahui kewujudan blog awak pada awal pagi tadi..
dan bravo-bravo!
saya nak baca novel awak yg lain plak.. tahniah kerana berjaya buat novel yg menarik dan simple..
2 thumbs up! :)

Rizai Reeani berkata...

Tanpa nama: Terima kasih atas ulasan yang diberikan. Saya amat hargainya. Ia memberi saya lebih semangat untuk terus menghasil dan memperbaiki karya-karya saya.

Insya-allah, jika tiada aral, e-novel ini akan diterbitkan dalam versi cetak dengan sedikit pengemaskinian.

Terima kasih sekali lagi. Jemputlah baca karya saya yang lain dan mohon tunjuk ajar mana yang perlu diperbaiki. (^_^)

Merpati Putih88 berkata...

yess.. akhirnye sy dpt jugak abiskan bce crita nie bestlah..! sy suke crita nie.. ade awk mmg ade bakat..crita nie kalau di buat skrip drama / dterbitkan dlm bentuk buku mesti lagi best..

Rizai Reeani berkata...

Merpati Putih88: Terima kasih kerana menyukai cerita yang tidak seberapa ini. Saya sudah menghantar manuskrip novel ini yang telah dikemas-kini untuk dinilai. Sama-sama doakan moga ia diterima ya.

Terima kasih sudi mengikuti cerita ini dari awal hingga akhir. Sangat hargainya! :)