Sepatah Dua Kata

Rabu, September 01, 2010

Cinta Antara Kita V - Bab 01




“MALASNYA, hari Sabtu pun ada kelas!” rungut Farah sewaktu dia dan Nadzlia dalam perjalanan menuju ke fakulti pagi itu.
Nadzlia mengukir senyum kecil. Mereka berjalan bergandingan dari kolej kediaman yang terletak lebih kurang satu kilometer dari bangunan fakulti yang dicat rona biru tua itu. Hujung minggu begini, sepatutnya duduk berehat di bilik atau bersiar-siar bersama-sama teman di luar. Namun, mahu atau tidak, sudah menjadi kewajipan bagi seorang pelajar untuk menghadiri sesi kuliah mengikut ketetapan pensyarah.
Semester baru sudah bermula tiga minggu yang lalu. Tahun ini merupakan tahun akhir bagi Nadzlia dan Farah. Masih ada satu semester lagi yang perlu dilalui sebelum menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam bidang pengurusan perniagaan di UiTM kampus Shah Alam ini.
Setelah memperoleh diploma semasa di kampus Segamat dahulu, Nadzlia dan Farah bercadang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Tanpa sedar, sudah hampir empat tahun hubungan persahabatan antara mereka terjalin. Dan hampir tiga tahun Nadzlia menutup pintu hati dari menerima huluran kasih lelaki lain, menandakan hampir tiga tahun juga arwah Khairul pergi meninggalkannya seorang diri.
Nadzlia melirik jam di tangan kanan. Hampir pukul sembilan pagi. Bangunan bercat biru tua semakin kelihatan di matanya. Langkah kaki dipercepat, bimbang terlewat. Siapa tidak kenal Prof. Umira di fakulti itu. Pantang baginya menunggu pelajar masuk ke kelas. Siapa yang lewat, pasti akan tidak akan dibenarkan masuk untuk menghadiri sesi kuliah. Selalunya, pelajar-pelajar lelaki yang mengalami nasib sebegitu. Ah, pelajar lelaki memang biasa masuk lewat. Entah apa yang mereka sibukkan, tidak pula diketahui.
“Eh, janganlah jalan laju sangat! Tunggulah aku!” ujar Farah apabila melihat rakan baiknya itu sudah agak jauh ke hadapan.
“Ish, awak ni terhegeh-hegeh betul. Dah nak pukul sembilan ni. Nanti tak pasal-pasal tak boleh masuk kelas. Bukan awak tak tahu Prof. Umira tu,” teriak Nadzlia.
Farah mencebik. Dia sedar kata-kata Nadzlia ada betulnya. Maka dia pantas mempercepatkan langkah. Kelihatan beberapa buah motosikal melepasinya. Itu pasti pelajar-pelajar lelaki yang duduk menyewa di luar. Apalah agaknya yang mereka rasa kena bangun awal waktu cuti macam ni. Pastinya seperti dia. Malas! Ikutkan hati, mahu saja disambung tidur menjelang tengah hari namun mengenangkan Prof. Umira yang serius wajahnya itu, menyebabkan Farah sedikit kecut perut.
Nadzlia menggeleng melihat Farah yang terkumat-kamit mulutnya. Tahu yang rakan baiknya itu tidak suka dibuat kelas pada hari Sabtu. Bukan apa, ini adalah kelas ganti memandangkan semester ini, mereka akan melalui bulan Ramadhan dalam dua bulan sahaja lagi. Sebab itu kebanyakkan pensyarah membuat kelas ganti supaya waktu puasa nanti, tidaklah terlalu berat dengan kuliah.
Sewaktu membelok untuk menaiki tangga, Nadzlia berlanggar dengan seseorang menyebabkannya hampir terjatuh namun sempat dirangkul pinganggnya oleh orang yang dilanggarnya tadi. Anak mata Nadzlia membulat. Begitu juga dengan pemuda di hadapannya kala itu.
Farah yang baru tiba juga tercengang melihat aksi Nadzlia dan pemuda tersebut. Seketika kemudian dia terlongo. Tidak percaya melihat pemuda yang berkemeja kotak-kotak rona merah darah dengan seluar slack rona hitam itu.
“Encik Qadif!” ucap Farah sekaligus membuatkan kedua-duanya tersentak.
Nadzlia kembali mengimbangi tubuhnya sementara Qadif menoleh pada suara yang memanggil namanya tadi.
“Kalau tak silap saya, Farah, kan?” tegur Qadif.
Farah mengangguk sambil mengukir senyum. Dia kini berada di sebelah Nadzlia.
“Encik buat apa kat sini?” Farah bertanya apabila melihat Nadzlia seakan kelu untuk bersuara.
“Saya sambung belajar di sini. Ambil master secara PJJ. Ada kuliah pagi ni. Tak sangka boleh terserempak dengan kamu berdua. Dah dekat setahun kita tak jumpa ya,” jawab Qadif lalu memandang Nadzlia yang menundukkan wajah.
“Ha’ah, kebetulan, kan? Wah, tak sangka encik rajin nak sambung belajar lagi. Kami ni...”
Belum sempat Farah meneruskan perbualan, Nadzlia sudah menarik tangannya untuk segera beredar.
“Ah, maaf encik! Kami ada kelas sekarang. Jumpa lagi ya!” laung Farah lalu melambaikan tangan.
Nadzlia terus mendaki anak tangga tanpa menoleh ke belakang. Dia diserang gemuruh tiba-tiba. Mengapa lelaki itu muncul semula? Apakah ini satu kebetulan atau sememangnya takdir mahu mempertemukan mereka sekali lagi?
“Lia! Lia! Perlahan sikit, sakit tangan aku ni...” ujar Farah.
Pantas Nadzlia meleraikan pegangan tangannya. Sampai di tingkat dua, segera dia menolak pintu bilik kuliah lalu mengambil tempat duduk di barisan ketiga, sebelah kanan, betul-betul bersebelahan dengan tingkap.
Farah melabuhkan punggung di sebelah Nadzlia. Dia perasan rakan baiknya itu sudah berubah laku. Mungkin Nadzlia diserang gemuruh lagi. Tidak dinafikan, sudah agak lama mereka tidak bertemu dengan Encik Qadif sejak lelaki itu berpindah ke Perak.
Semenjak itu Nadzlia menjalani hidup seperti biasa. Gadis itu tidak lagi bermuram durja setelah kehilangan Khairul dalam hidupnya. Encik Qadif juga seakan hilang dari ingatan Nadzlia. Walau bagaimana pun, pertemuan sebentar tadi pasti menjentik tangkai hati.
“Lia, kau okey?” tanya Farah apabila melihat wajah Nadzlia yang berubah pucat.
“Ah, saya okey...” balas Nadzlia yang seperti tersedar dari lamunan.
“Betul?”
“Iya, betul...” jawab Nadzlia, berdalih.
Sungguh di dalam hati dia diasak gelombang resah yang menggila. Dadanya bergetar kuat. Jantungnya pula berdegup laju. Wajah itu mengingatkannya semula pada arwah Khairul.
‘Oh, hati, tenanglah!’

*  *  *  *  *

DUA jam berlalu dan kuliah subjek Macro Economics itu akan menemui penghujungnya bila-bila masa sahaja. Nadzlia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian akan kuliah pada hari ini. Wajah arwah Khairul dan Qadif bersilih ganti dalam layar fikirannya. Hampir sama tetapi berbeza jasadnya.
Mujur Prof. Umira tidak banyak bertanya dalam kuliah hari ini. Jika beliau berbuat demikian, pasti Nadzlia tidak akan dapat menjawab soalan yang diberikan. Farah yang menyedari kegelisahan rakannya itu hanya mampu diam.
Sebelum menamatkan kuliah, sempat Prof. Umira memberi tugasan yang perlu diserahkan pada minggu hadapan. Para pelajar harus menyiapkan dua article review tentang topik yang mereka pelajari hari ini.
Usai memberi tugasan, Prof. Umira meminta diri. Semua pelajar mula bangun dari tempat duduk masing-masing. Pastinya sudah punya agenda tersendiri selepas ini. Farah memandang Nadzlia yang merenung jauh ke luar tingkap. Dia tahu dalam fikiran gadis itu pasti ada wajah arwah Khairul mahupun Qadif. Nampaknya, Nadzlia masih lagi dicengkam rasa rindu pada arwah Khairul.
“Lia...” tegur Farah.
Nadzlia sedikit tersentak. Dia memandang Farah dengan pandangan kosong.
“Kau nak balik kolej atau nak pergi sarapan kat kafeteria dulu?”
“Hmm... Kita sarapan dululah. Lepas tu, saya nak ke perpustakaan sekejap, nak cari artikel untuk tugasan tadi. Kalau awak nak balik ke kolej, awak baliklah dulu,” jawab Nadzlia lalu bingkas bangun.
Mereka berdua berjalan beriringan keluar dari bilik kuliah menuju ke kafeteria yang letaknya di tingkat bawah, tidak jauh dari bilik pejabat pengurusan fakulti. Farah mencari meja kosong lalu meletakkan beg sandangnya. Nadzlia juga berbuat perkara yang sama.
Farah memilih untuk makan nasi lemak pagi itu sementara Nadzlia memegang sepiring bihun goreng di tangan kanannya. Selesai membuat pembayaran, mereka menuju semula ke meja tadi. Farah membaca doa lalu mereka mula menikmati sarapan pagi dengan tenang.
Jam di dinding menunjuk ke angka 11.15 pagi. Bukan sarapan namanya ni. Sudah boleh dikatakan makan tengah hari. Kafeteria agak lengang waktu itu. Biasanya hari Sabtu memang tidak ramai pelanggan. Oleh sebab itu ia hanya dibuka separuh hari sahaja sehingga pukul dua petang. Kebiasaannya hari-hari biasa, ia akan ditutup pada pukul 11 malam.
“Boleh saya tumpang makan sekali?”
Nadzlia tersedak lantas segera menghirup air teh ‘O’ ais limaunya. Teguran dari Qadif benar-benar membuatkan dia terkejut. Farah pula sekadar menggeleng.
“Saya ingatkan encik dah balik tadi,” ujar Farah, memulakan perbualan.
“Saya baru habis kuliah. Pukul 12 nanti sambung semula. Ada kelas ganti ke?”
Farah mengangguk. Dia mengerling pada Nadzlia yang duduk di sebelahnya. Gadis itu menundukkan wajah.
“Berapa lama lagi belajar?”
“Sekarang dalam semester lima. Hujung tahun ni tamatlah, Insyaallah...” jawab Farah.
“Oh... Nadzlia, kenapa senyap saja?”
Garfu yang dipegang terlepas dari pegangan sewaktu Qadif menyebut namanya. Lelaki itu masih ingat namanya! Nadzlia mula tidak keruan.
“Kawan saya ni tak sihat sikit. Dah lama ke sambung master?” jawab Farah bagi pihak Nadzlia.
“Baru mula semester ni. Kuliah hari Sabtu dan Ahad sahaja. Hari biasa saya bekerja di kampus Bota, Perak,” jelas Qadif.
Mereka kembali dihambat keheningan. Masing-masing menikmati juadah yang tersedia di hadapan. Tiba-tiba Nadzlia bangun.
“Maaf, saya ada hal. Minta diri dulu,” ucap Nadzlia tanpa sedikit pun menoleh pada Qadif.
Farah terpinga-pinga. Qadif memerhati langkah kaki Nadzlia yang semakin menjauh. Dia sedar akan ketidakselesaan gadis itu ketika berada di sampingnya. Apakah Nadzlia masih tidak mampu melupakan kekasih hatinya yang sudah lama tiada?
::bersambung::

4 ulasan :

akira_bita berkata...

adui! mestilah tak dpt lupa.... sedey tu!

yana berkata...

yeay, sambungan! aktif betul menulis ya rizai. bagus2..

zarah berkata...

apalagi yg akan lia tempuh ni. rasanya baik buat novel rizai. jalan citer ada dah. aku ni sesuka suruh org buat padahal nak tulis pun x reti.

Rizai Reeani berkata...

kira: cinta pertama memang sukar dilupakan. ;)

yana: alhamdulillah, masih diberi kekuatan oleh-NYA untuk menulis...

zarah: cadangan yang baik tu. mungkin di masa hadapan, boleh saya cuba. semua orang boleh menulis awak, asalkan ada keinginan dan usaha... :D