Sepatah Dua Kata

Jumaat, September 03, 2010

Cinta Antara Kita V - Bab 02




KEESOKAN harinya, Farah mendesak Nadzlia untuk menemaninya bersiar-siar di pusat bandar Shah Alam. Dia bimbang melihat Nadzlia yang muram sejak bertemu dengan Qadif. Mungkin dengan menghirup udara luar, hati Nadzlia yang rawan akan terubat sedikit.
Dari satu ke satu pusat beli-belah dikunjungi. Sekadar mencuci mata. Memadailah dengan status mereka sebagai pelajar. Mereka berdua menikmati makan tengah hari di Food Court Giant Hypermarket di Seksyen 13 Shah Alam. Nadzlia memesan sizzling mee sementara Farah memesan nasi goreng hailam.
“Fuh, seronokkan jalan-jalan ni?” ujar Farah, cuba memancing Nadzlia utuk berbual.
“Awak yang seronok, saya seksa,” usik Nadzlia.
“Eleh... Dari kau duduk kat bilik tak buat apa, baik kau bersenam sikit. Ada juga faedahnya,” balas Farah.
Nadzlia mencebik. Seketika kemudian, pesanan mereka tiba. Sepuluh minit menikmati makan tengah hari, mereka ke surau untuk bersolat Zuhur sebentar. Usai solat, Farah mengajak Nadzlia masuk ke dalam pasaraya Giant untuk membeli peralatan tulis. Nadzlia membiarkan Farah ke bahagian alat tulis sementara dia ke bahagian snek dan coklat.
‘Rasanya stok biskut dah nak habis,’ desis hati Nadzlia lalu melangkah ke bahagian biskut selepas mengambil beberapa keping coklat Cadbury kesukaannya.
Rambang mata Nadzlia melihat aneka jenis biskut yang terpamer di rak. Ikutkan hati, mahu saja diambil semuanya namun Nadzlia tahu, membeli sesuatu itu biar berpada-pada, jangan terlalu mengikut nafsu.
Dia lebih suka makan biskut sebagai ganti keropok atau makanan ringan yang lain. Selain lebih mengenyangkan, ia juga berkhasiat. Kadang-kadang, dengan hanya makan roti juga sudah cukup mengenyangkannya.
Mungkin sebab itu berat badannya tetap tidak berubah mahupun bentuk tubuhnya yang kecil dan kurus itu. Berlainan dengan rakan baiknya Farah. Pada Nadzlia, Farah tidak ubah seperti sebuah mesin yang menerima makanan dek mulutnya yang sentiasa mengunyah.
Tidak dinafikan, selera Farah agak besar berbanding dengannya. Oleh sebab itu badan Farah sekarang semakin mengembang. Bila ditegur, sekejap saja ditahan nafsu makannya. Kemudian, dia akan kembali dengan rutin mengunyahnya. Stok kuaci dan kekacang, sentiasa dipastikan penuh di dalam balang plastik di bilik.
Dan nanti dia akan merungut yang baju dan seluarnya sudah tidak muat lagi. Mana tidaknya kalau asyik makan sahaja. Entahlah, kata Farah, bila ada sesuatu yang merunsingkan hatinya, dia akan mengunyah untuk rasa lega. Setiap orang, lain cara menyalurkan tekanan.
Nadzlia mengukir senyum apabila terkenangkan Farah. Dia menggeleng lalu tangannya mencapai tin biskut empat segi tepat yang mengandungi aneka jenis biskut dan sekotak kecil biskut lemak.
Barang-barang tadi dimasukkan ke dalam bakul kecil di tangan kanan. Dia beralih ke bahagian minuman pula. Dia mencari air kotak berperisa soya yang dicampur dengan ros dalam pek yang mengandungi enam kotak kecil.
Meliar matanya dan akhirnya tertancap pada pek kecil yang kebetulan tinggal satu sahaja yang diletakkan di dalam deretan air kotak berperisa soya asli. Belum sempat dia mencapainya, ada tangan lain yang mendahuluinya.
Nadzlia terpempan melihat wajah di hadapannya itu. Dia kaku tidak bergerak. Lelaki yang memandangnya juga mempamerkan riak terkejut.
“Hai!” tegur Qadif.
Lidah Nadzlia terasa kelu. Oh, Tuhan... Mengapa lelaki ini kerap-kali muncul di hadapannya? Bagaimana mahu diusir rindu pada arwah Khairul jika lelaki ini ibarat bayang-bayang yang mengekorinya?
“Eh, Encik Qadif! Tak sangka jumpa lagi kita ya,” sapa Farah yang entah sejak bila muncul di sebelah Nadzlia.
“Hai Farah! Shopping ke?”
“Tak adalah. Beli alat tulis sikit. Encik tak ada kelas ke hari ni?”
“Baru habis setengah jam tadi. Ingat sebelum balik Perak, nak singgah beli barang makanan sikit. Kat sini lebih murah harga barangnya,” jawab Qadif.
“Encik berulang-alik setiap hari ke?” Farah bertanya lagi membuatkan Nadzlia agak rimas.
“Ish, tak adalah. Kelas saya kan Sabtu dan Ahad saja. Saya duduk di rumah kakak di Seksyen 7. Petang sikit baru saya balik Bota. Isnin kan kerja,” ujar Qadif sekaligus menguntum senyum.
“Owh... Ni mesti isteri encik yang suruh beli, kan?”
Tawa Qadif meletus ketika mendengar kata-kata gadis berbaju blaus rona biru dengan seluar jean itu.
“Saya ni still single and available tau. Tapi dah boleh panggil bujang lapok kot,” gurau Qadif.
Kali ini Farah pula menghambur tawa. Nadzlia masih lagi diam tanpa bicara. Usikan Qadif tidak sedikit pun meninggalkan kesan di hati. Dia agak berang dengan Farah kerana rakannya itu terlalu banyak bertanya yang bukan-bukan. Entah apa tujuan Farah agaknya.
“Jomlah awak. Saya nak ke MPH pula lepas ni,” bisik Nadzlia pada Farah.
“Okeylah encik, kami minta diri dulu,” ujar Farah, menyedari ketidakselesaan rakannya itu..
“Jumpa lagi!” ucap Qadif sekaligus menghadirkan perasaan asing dalam jiwa Nadzlia.
Jumpa lagi? Apakah lelaki itu mengharapkan akan ada lagi pertemuan antara mereka selepas ini?

*  *  *  *  *

WALAU beribu bintang yang berkerlip di dada langit, cahayanya tidak akan sama dengan bulan yang satu. Sinar rembulan tetap indah dihiasi kerlipan bintang-bintang yang penuh pesona. Perlahan-lahan dia menarik nafas lalu secara perlahan juga dia melepaskannya.
Nadzlia merenung langit yang hitam pekat. Berharap akan wajah arwah Khairul muncul menemaninya malam itu, melerai rindu yang menghuni hati. Namun apa yang dipinta menjadi sebaliknya. Bukan wajah arwah Khairul tetapi wajah Qadif yang menjelma.
Nadzlia tersentak. Antara arwah Khairul dan Qadif, sekali imbas, wajah mereka hampir serupa tetapi jika diperhatikan, mata dan bibir Qadif agak kecil saiznya jika dibandingkan dengan arwah Khairul.
Tanpa sedar, ada keluhan yang terzahir dari mulut Nadzlia, menarik perhatian Farah yang sedang membaca manga Jepun bertajuk ‘Hidarite No Love Letter’ atau dalam Bahasa Melayunya diterjemah sebagai ‘Mesej Cinta di Tangan Kiri’ hasil karya Chiba Kozue.
“Aku perasan setiap kali bertemu dengan Encik Qadif, kau pasti diam. Kenapa?” soal Farah membuatkan Nadzlia menjeling.
“Kau masih tak dapat lupakan arwah?” tanya Farah apabila tiada balasan dari Nadzlia.
“Saya tak mungkin lupakan dia Farah. Awak tahu itu...”
“Tapi sekurang-kurangnya kau tak perlu menutup pintu hati dari menerima cinta orang lain,” balas Farah.
“Maksud awak?”
“Kau faham apa yang aku maksudkan,” sindir Farah.
“Saya tak boleh jatuh hati pada dia,” ujar Nadzlia lalu menoleh pada rakannya yang sedang bersandar di kaki katil.
“Kenapa? Encik Qadif tu bukannya suami orang,”
“Awak tak faham,”
“Jadi tolong fahamkan aku,”
“Sudahlah Farah. Saya tak mahu bincangkannya,”
“Kau selalu suka menyeksa diri sendiri,” Farah menegur, sedikit marah.
“Mungkin saya suka hidup begini,”
“Tolonglah! Jangan mengarut! Lia, aku dapat rasa Encik Qadif ada hati pada kau. Kenapa kau tak boleh cuba menyukainya?”
“Cinta itu bukan sesuatu untuk dicuba-cuba. Ia lahir dengan sendiri,” balas Nadzlia.
“Tapi masalahnya kau yang menutup pintu hati,”
“Sebab saya belum berjumpa dengan yang memahami,”
“Atau kau masih tak mampu singkirkan kenangan lama tu?” Farah membidas kenyataan Nadzlia.
Tajam renungan Nadzlia pada Farah. Dia tidak faham mengapa Farah beriya-iya mahu dia bercinta. Tidakkan Farah tahu yang cinta itu bukan boleh dipaksa-paksa?
“Farah, bila sampai masanya, pintu hati saya akan terbuka juga,”
Okay, fine! Tapi kalau jumpa dengan Encik Qadif, tolong jangan buat reaksi tunggul kau tu!” ujar Farah lantas meneruskan semula pembacaannya yang tertangguh tadi.
Hati Nadzlia terusik. Dia tahu Farah bimbangkan dirinya tetapi biarlah dia begini. Hidup bergelumang dengan kenangan cinta pada arwah Khairul menghadirkan bahagia pada dirinya. Jika dia bahagia begitu, salahkah untuk terus hidup dengan kenangan-kenangan itu?
::bersambung::

4 ulasan :

shikin berkata...

adeh, kena baca dari mula ni coz x ingat sangat jalan citer. tapi kesian lia tu. setia betul..

dayah berkata...

entah lia ni. orang dah suka, tak nak pula. ok what qadif tu. lupakan saja cinta lama..

shura berkata...

ala lia, cukup2lah. cari je yg lain. x guna tunggu pada yg x mungkin ada.

Rizai Reeani berkata...

shikin: maaf sebab dah agak lama baru nak sambung. idea baru muncul. ;)

dayah: mungkin khairul terlalu bermakna dalam hidup nadzlia

shura: semoga qadif berjaya ketuk pintu hati nadzlia... :)

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen... :D