Sepatah Dua Kata

Isnin, September 06, 2010

Cinta Antara Kita V - Bab 03




SEKALI lagi Nadzlia dan Farah perlu menghadiri kuliah pada hari Sabtu. Sejak hari Khamis Farah asyik merungut-rungut. Mana tidaknya, baru saja dia hendak pulang ke rumah minggu ini tetapi terpaksa menundanya memandangkan ada kelas ganti. Nadzlia hanya mampu menggeleng. Dia juga sebenarnya sedikit malas mahu menghadiri kuliah kala hari cuti begini. Selebihnya, dia bimbang. Bimbang bertentang mata dengan lelaki yang ingin sangat dia hindari.
“Minggu lepas kelas Prof. Umira. Minggu ni Dr. Adnan pula. Minggu depan giliran sapa pula agaknya ya? Kalau macam nilah, alamatnya satu sem tak balik rumahlah aku,” bebel Farah sewaktu mereka berdua melangkah ke bangunan fakulti pagi itu.
“Sudahlah tu... Dah muak telinga saya dengar awak cakap perkara yang sama. Ala, kelas ganti ni kan untuk kesenangan kita juga. Nanti bulan puasa tak adalah teruk sangat kena jalan kaki, ulang-alik selalu ke fakulti tengah panas terik,” balas Nadzlia.
Farah menjeling. Mereka menaiki tangga menuju ke kelas di tingkat dua. Sesekali mata Nadzlia meliar, memerhati sekeliling. Seboleh mungkin dia tidak mahu terserempak dengan lelaki itu.
Kelas subjek Fundemantal of Management berlalu seperti biasa. Usai dua jam kuliah berlangsung, Nadzlia mula mengemas peralatan tulis. Ditepuk bahu Farah yang sedang tidur-tidur ayam di sebelahnya. Tersentak gadis itu lalu membulatkan anak matanya, tanda geram.
“Kalau nak tidur, baik tak payah datang kelas. Awak ni... Nasib baik Dr. Adnan tak perasan,” tegur Nadzlia.
“Ala, tertidur. Bukan sengaja. Dahlah, jom! Perut aku dah bergendang-gendut ni,” ujar Farah lalu bingkas bangun.
Nadzlia mengukir senyum kecil. Mereka berdua melangkah keluar dari bilik kuliah yang sudah mulut susut dengan pelajar.
“Nadzlia!”
Langkah kaki Nadzlia dan Farah terhenti lalu kedua-duanya menoleh serentak. Wajah Nadzlia berubah pucat. Apa yang lelaki ini buat di luar kelasnya?
“We need to talk,” ujar Qadif pada Nadzlia.
Farah terkebil-kebil. Sekejap dipandang Nadzlia, sekejap dipandang pula pada Qadif.
“A... apa maksud awak... eh, encik?” Nadzlia bersuara gugup.
“Mari, kita berbual di bawah,” ajak Qadif seraya melangkah menuruni anak tangga ke tingkat bawah bangunan fakulti.
Nadzlia masih tidak berganjak. Farah menarik tangan gadis itu supaya mengikutinya.
“Lepaskan!” nada suara Nadzlia naik satu oktaf.
“Lia...”
“Saya jalan sendiri,” ujar Nadzlia lalu segera berjalan mengekori langkah Qadif.
Qadif sudah sedia duduk di kerusi batu yang disertakan dengan meja bulat di tingkat bawah itu. Nadzlia pula melabuhkan punggung di hadapan lelaki yang berkemeja kotak-kotak rona coklat sebagai jaket dengan T-shirt putih di dalamnya.
“Aku tunggu di kafeteria,” ujar Farah lantas meninggalkan Nadzlia dan Qadif, memberi mereka peluang untuk berbincang.
“Cakaplah, apa benda yang awak, eh, encik nak jumpa saya?”
Qadif berdehem seketika. Ditatapnya wajah lembut Nadzlia. Ada kesayuan yang dapat dilihat dari dalam mata gadis berkulit kuning langsat itu.
“Sekejap! Macam mana encik boleh ada kat luar kelas saya tadi?” belum sempat Qadif menjawab pertanyaan Nadzlia tadi, gadis itu sudah bertanya soalan yang lain.
“Waktu saya keluar dari kereta pagi tadi, saya nampak awak dari jauh. Lia, kenapa awak tak selesa bila berada dengan saya?” giliran Qadif pula bertanya.
“Nak saya bagi pilihan jawapan A, B, C, D ke?” perli Nadzlia.
“Saya serius Lia,”
“Encik Qadif...” Nadzlia berjeda.
“Saya tak ada masalah pun dengan encik cuma saya kurang selesa sikit,” sambung Nadzlia.
“Kenapa? Sebab awak masih ingat pada arwah?”
Wajah Nadzlia berubah. Dia menunduk. Entah mengapa ada hiba yang menjalar di hatinya tiba-tiba. Tidak boleh langsung disebut tentang arwah Khairul. Dia pasti tersentuh.
“Dia cinta pertama saya,” ujar Nadzlia.
“Tapi itu tak bermakna dia juga cinta terakhir,”
“Saya tahu tapi...”
“Bukankah dahulu saya pernah mengatakan bahawa cinta sejati itu milik Ilahi. Cinta sesama manusia hanyalah secebis cinta yang dianugerahkan Ilahi pada setiap manusia agar manusia dapat berkasih-sayang dan seterusnya menjalin ikatan yang sah agar kehidupan itu lengkap,” bicara Qadif.
“Ya, saya tahu, saya faham... Tapi buat masa ini pintu hati saya masih tertutup lagi,” balas Nadzlia.
“Walaupun saya yang mengetuknya, awak tetap tak akan buka?” soal Qadif sekaligus membuatkan Nadzlia terpana!

*  *  *  *  *

SUASANA di sekeliling terasa senyap-sunyi. Nadzlia benar-benar tergamam mendengar kata-kata yang meluncur laju dari mulut Qadif. Apa yang ditakutinya sedang berlaku. Tidak menyangka sebegini cepat dia akan terjebak dalam kemelut perasaan yang menghimpit jiwa, yang meresahkan sanubari, yang menggusarkan hati.
“Encik sedar tak apa yang encik cakapkan ni?”
Anggukan Qadif membuatkan Nadzlia mengeluh. Dalam banyak-banyak perempuan lain, mengapa lelaki itu memilih dirinya?
“Saya tak boleh terima encik,” jawab Nadzlia dengan wajah yang menunduk.
“Sebabnya?”
“Saya tak kenal encik,”
“Alasan yang remeh. Awak tentu pernah dengar yang ia mengambil satu minit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukainya dan satu hari untuk jatuh cinta,”
“Ya, dan encik juga tentu pernah dengar yang ia mengambil masa yang lama untuk melupakan orang yang pernah kita cintai,” bidas Nadzlia.
“Kenapa awak masih tak boleh lupakan dia?”
“Sebab saya dah serahkan separuh dari hati saya padanya,” Nadzlia bertegas.
“Merepek!”
“Maaf encik. Saya rasa lebih baik kita tak usah cakap tentang hal ni lagi. Saya anggap yang saya salah dengar apa yang encik cakapkan tadi,” ujar Nadzlia lalu bangun.
“Duduk Nadz!”
Bagaikan guruh berdentum panggilan dari Qadif tadi menggegar jantung Nadzlia.
“Jangan sesekali awak panggil saya macam tu!”
Qadif kelu. Dia tidak pernah melihat Nadzlia meninggikan suara sebegitu. Apakah panggilannya tadi membuatkan Nadzlia berang?
“Ah, maaf. Saya minta diri dulu,” ujar Nadzlia lalu segera bergerak pergi meninggalkan Qadif dengan hati yang kecewa.
Titis-titis air mata mula berjuraian jatuh membasahi pipi. Dia segera teringatkan arwah Khairul. Hanya lelaki itu yang memanggilnya dengan panggilan ‘Nadz’. Hanya lelaki itu. Dan apabila Qadif menyebut namanya tadi, Nadzlia seakan melihat Khairul di hadapannya.
Kalaulah Qadif faham bahawa dia tidak mungkin dapat menyintai diri lelaki itu kerana lelaki itu seringkali mengingatkannya pada arwah Khairul? Dia tidak mahu berlaku tidak adil pada Qadif. Dia tidak mahu mempergunakan Qadif. Dia tidak mahu mengkhianati cinta Qadif padanya. Dia tidak mahu!
::bersambung::

1 ulasan :

shura berkata...

oh, patutlah lia x nak couple ngan qadif. faham2.. tp sampai bila dia nak hidup sorang2..