Sepatah Dua Kata

Isnin, September 13, 2010

Cinta Antara Kita V - Bab 04



FARAH terlongo mendengar kata-kata rakan baiknya itu. Dia tidak menyangka yang telahannya selama ini ternyata benar. Qadif menyintai Nadzlia! Oh, bukankah seharusnya gadis itu gembira bahawa ada lelaki yang kini bersedia menjadi pasangannya?
“Aku tak faham dengan kau. Serius aku tak faham. Kenapa tak boleh terima Encik Qadif? Sebab dia tua empat tahun dari kau?” serkap Farah.
Nadzlia yang sedang merenung langit malam pantas berpaling pada Farah. Direnung wajah rakan baiknya itu sekilas sebelum kembali memandang langit gelap tanpa bintang itu.
“Lia, sepatutnya kau ambil peluang ni untuk lupakan arwah,” nasihat Farah.
“Bukan saya tak nak tapi saya tak mampu,”
“Kenapa?” Farah bertanya entah untuk ke berapa kali.
“Saya tak nak dianggap pentingkan diri,” Nadzlia menjawab pertanyaan rakan baiknya itu tadi.
“Maksud kau?”
“Macam mana saya nak menyintai dia kalau saya anggap dia adalah arwah Khairul?” soal Nadzlia.
“Aku tak faham,”
“Farah... Awak tahu kan wajah dia ada iras-iras arwah Khairul dan...”
“Dan kau akan anggap dia arwah Khairul dan bukannya Encik Qadif? Begitu?” Farah memintas kata-kata Nadzlia.
Anggukan dari rakan baiknya cukup mengejutkan. Jika benar Nadzlia berperasaan begitu, dia tidak seharusnya menjalinkan hubungan dengan Qadif. Bahaya!
“Jadi sekarang awak dah faham?” tanya Nadzlia membuatkan Farah menunduk.
Suasana di kafeteria sama seperti minggu lepas. Lengang dan tidak terlalu hingar-bingar. Nadzlia melepaskan keluhan. Mengapa Qadif muncul di saat dia mahu melupakan segalanya tentang arwah Khairul?
“Tapi Lia, aku yakin, kau dapat bezakan antara arwah Khairul dan Encik Qadif. Mereka berbeza walau agak seiras,” ujar Farah.
“Saya tahu Farah tapi saya tak boleh halang perasaan saya dengan menganggap dia adalah arwah Khairul. Saya tak mahu menerima dia sebab dibayangi oleh arwah Khairul. Saya tak nak dia menderita. Saya tak nak!” tegas Nadzlia.
“Habis, kalau Encik Qadif beriya-iya nak bercinta dengan kau macam mana?”
“Saya akan pastikan dia tak akan jumpa saya lagi lepas ni!”
“Aku tak faham...”
“Saya akan minta tukar kampus,” ujar Nadzlia.
“Hah?” sekali lagi Farah terlongo!

*  *  *  *  *

PAGI Ahad itu Nadzlia dikejutkan dengan kiriman mesej dari Qadif. Beberapa kali dikesat matanya. Mungkin dia hanya berhalusinasi tetapi mesej itu tetap tidak mahu hilang dari pandangan.

Saya ada kat gazebo bawah kolej awak sekarang
-Qadif

Gila! Pantas Nadzlia menoleh pada jam di dinding. Hampir pukul sembilan. Apakah yang sedang merasuk lelaki itu sehingga terdesak mahu berjumpanya pagi-pagi begini? Mujur dia sudah bangun dan mandi.
Pantas Nadzlia membuka almari pakaian lalu mencapai tudung rona biru laut, agak kontra dengan warna blaus lengan panjang warna kuning pekat yang dipakainya. Dia dilanda gemuruh. Pintu bilik ditarik lalu segera melangkah keluar. Sempat dijeling pada Farah yang sedang lena dibuai mimpi. Agaknya kalau dilanda gempa bumi pun belum tentu Farah sedar.
Nadzlia menuruni anak tangga ke tingkat bawah kolej kediamannya. Dipandang ke kiri, kemudian ke kanan, mencari kelibat Qadif dan matanya tertancap pada sesusuk tubuh yang menyarung kemeja kotak rona putih belang hitam seagai jaket, sama seperti kebiasaan.
Penampilan lelaki itu nyata berbeza dengan arwah Khairul. Qadif lebih selesa tampil kasual sementara Khairul gemar memakai pakaian yang formal. Mungkin kerana kreadibiliti yang ada pada Khairul, membuatkan lelaki itu selalu berpakaian formal. Tidak dinafikan, Khairul seorang yang amat berdisplin dan mematuhi sahsiah rupa diri sebagai seorang pelajar universiti.
Nadzlia melangkah lesu ke arah Qadif yang sedang asyik dengan telefon bimbitnya. Salam diberi dan lelaki itu agak tersentak sedikit namun pantas menjawab salamnya.
“Saya menganggu ke?” itu mukaddimah Qadif.
Nadzlia menjeling. Kura-kura dalam perahu, buat-buat tak tahu. Ikutkan dia sudah mahu bersama-sama Farah ke alam mimpi namun dek kerana mesej dari Qadif, menganggu rancangannya itu.
“Encik tak ada kelas ke?” persoalan Qadif dibalas dengan persoalan oleh Nadzlia.
“Pukul 10. Err... Lia...” Qadif berhenti seketika.
“Ya?”
“Awak nekad dengan keputusan awak tu?” tanya Qadif.
Nadzlia mengerutkan dahi. Ah, Qadif suka begitu. Kalau bercakap tidak pernah habis. Selalu menyuruhnya berfikir.
“Saya tak faham,” ujar Nadzlia.
Qadif berdehem sejenak. Pandangannya sejak tadi tidak lepas dari menatap wajah gadis yang sudah lama mencuri hatinya itu.
“Saya dengar awak nak tukar kampus, betul?”
Nadzlia menekup mulut. Anak matanya membulat. Kata-kata Qadif memang menghadirkan kejutan padanya.
“Dari mana encik tahu?” soal Nadzlia.
“Sekejap! Farah, kan?” sambung Nadzlia.
Qadif mengangguk membuatkan Nadzlia terlongo. Jadi, mesti Farah juga yang beri nombor telefon bimbitnya pada lelaki ini. Kurang asam punya kawan! Terkena dia nampaknya kali ini.
“Kalau macam tu, apa yang encik dengar, memang itulah yang saya akan buat,” Nadzlia meneruskan bicara.
“Kenapa? Sebab saya?”
Nadzlia melepaskan keluhan. Ya, memang kerana Qadif dia membuat keputusan tersebut. Dia tidak mahu terus-terusan menyakiti Qadif mahupun hatinya sendiri. Dia yakin, jika dia berpindah, akan ada lelaki lain yang mampu membuka pintu hatinya. Bukan Qadif. Bukan lelaki yang wajahnya seiras dengan arwah Khairul.
“Diam tandanya betul. Jangan kebudak-budakan Lia. Awak yakin, kalau awak berpindah, awak mampu lupakan arwah? Jangan kerana wajah saya seiras dengan arwah, awak menghukum saya macam ni. Saya ikhlas menyayangi awak...” jelas Qadif.
“Tapi saya tidak! Saya takut saya tak ikhlas. Saya takut saya anggap encik arwah Khairul, bukannya diri encik. Saya tak nak menyayangi encik sedangkan dalam hati saya masih ada rasa cinta pada arwah Khairul. encik faham tak?” bentak Nadzlia, meluahkan segala yang terbuku di hati.
Suasana pagi Ahad itu tenang dan mendamaikan. Dingin hujan yang turun malam tadi masih terasa menggigit tubuh walau mentari sudah mula memancarkan sinarnya. Qadif memandang gadis di sebelahnya yang menundukkan wajah. Apakah dia terlalu menyeksa hati dan perasaan gadis itu?
“Saya tak kisah Lia...” ucap Qadif.
Nadzlia mengangkat wajahnya. Direnung tepat ke dalam anak mata Qadif. Ada sinar cinta yang bersinar di pelupuk mata itu. Namun Nadzlia takut. Dia gusar mahu menerima huluran kasih dari Qadif.
“Encik tak perlu buat macam tu. Saya tak mahu kemudian hari nanti, encik mengungkit. Sampai bila encik mampu bertahan? Sudahlah, biarkan saya dengan perasaan saya sendiri. Encik seharusnya cari gadis yang benar-benar menyintai encik sepenuh hati, bukannya gadis yang masih dibayangi kenangan cinta pertamanya,” panjang-lebar Nadzlia menutur kata.
“Awak sebenarnya ego Lia. Awak degil. Awak sengaja tutup pintu hati awak sedangkan perasaan dalam hati awak meronta-tonta mahu keluar, mahu menerima kasih sayang dari orang lain. Kenapa nak menyeksa diri sendiri sedangkan awak boleh bahagia?”
Nadzlia tergamam. Kata-kata Qadif menjentik tangkai hati. Ya, jauh di sudut hati, dia mengaku. Ada rasa kasih yang bercambah untuk lelaki di sebelahnya ini tetapi dia bimbang dia tidak mampu menyayangi Qadif dengan seikhlas hati. Mungkin jika dengan lelaki lain, yang tidak seiras dengan arwah Khairul, pintu hatinya akan terbuka dengan sendiri. Mungkin...
“Encik tak faham perasaan saya,”
“Tak salah kalau mencuba,” ujar Qadif.
“Encik sanggup hadapi risikonya? Macam mana kalau hubungan ini tak menjadi? Macam mana kalau saya tinggalkan encik nanti?”
“Saya akan pastikan ia tak berlaku,” jawab Qadif, tulus.
“Jangan terlalu yakin encik... Masa hadapan adalah sesuatu yang kita tidak boleh jangka,” bidas Nadzlia.
“Tapi kita boleh merancangnya, bukan?”
“encik degil,”
“Sebab saya cintakan awak,” ucap Qadif.
Kicau burung pipit di dahan meranti mengusik jiwa Nadzlia atau sebetulnya kata-kata Qadif tadi yang membuatkan jiwanya gemuruh. Seperti kata Qadif, tak salah kalau dia mencuba.
“Beginilah, beri saya dua hari untuk berfikir. Selepas dua hari, kita jumpa di Taman Bitara dalam pukul lima petang. Kalau saya muncul, ertinya saya menerima encik. Tapi, kalau sehingga lima setengah saya tak datang juga, encik baliklah dan itu bermakna saya takkan jumpa encik lagi. Anggaplah antara kita memang tak ada jodoh,” Nadzlia melontarkan saranannya.
Qadif mengangguk dengan harapan gadis itu akan berfikir semasaknya. Dalam hati dia berdoa, semoga pintu hati Nadzlia akan terbuka kali ini, untuk menerima cintanya...
::bersambung::

4 ulasan :

Leya berkata...

aish, bdevar tunggu keputusan Lia. hope die terime..

firda berkata...

musim akhir ni citer dia skema skit. better wat novel je ni rizai.

Hananorisa berkata...

oh no...
better lia terime die...
jgn lah diingatkan khairul lagi...
berdebarnk tahu keputusan Lia nie..

Rizai Reeani berkata...

leya: harap-harap begitulah ya

firda: saya kira ini e-novel ini salah sebuah dari karya saya yang saya garap agak berat sedikit. memang ada cadangan untuk zahirkan dalam versi cetak.

hana: mudah-mudahan Lia terima...

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen :D