Sepatah Dua Kata

Jumaat, September 17, 2010

Cinta Antara Kita V - Bab 05



NADZLIA membuka pintu bilik lalu melihat Farah yang sedang duduk di meja belajar sambil membelek fail rona biru seakan mencari sesuatu. Farah yang menyedari bunyi pintu ditolak menoleh ke belakang lalu mengukir senyum.
“Kenapa awak buat saya macam ni Farah?” Nadzlia terus menyerang Farah dengan soalan.
“Buat apa?” soal Farah semula dengan dahi yang dikerutkan.
“Saya baru lepas jumpa Encik Qadif,” ujar Nadzlia.
Farah membulatkan matanya. Dia kini faham apa yang rakan baiknya itu maksudkan. Serta-merta dia dihambat gelisah. Apakah Nadzlia berasa marah akan tindakannya itu?
“Lia...” ucap Farah.
“Awak tahu tak yang awak semakin rumitkan keadaan? Saya tak nak Encik Qadif semakin rapat dengan saya. Mungkin sekarang saya kena tukar nombor telefon pula,” ujar Nadzlia sedikit geram.
“Maafkan aku Lia. Aku tak bermaksud nak buat kau susah hati tapi apa yang aku lakukan, semuanya sebab aku risaukan kau. Aku hanya nak kau gembira,”
“Saya faham Farah tapi...”
Kata-kata Nadzlia terhenti, dia meneguk liur. Kakinya diatur ke katil lalu menghempaskan tubuhnya ke situ. Kepalanya di hadapkan pada siling yang dicat rona putih dengan tangan kanan diletakkan di belakang kepala.
“Apa yang Encik Qadif cakap kat kau?”
“Dia masih mahu menambat hati saya,” jawab Nadzlia.
“Habis tu, kau jawab apa?”
Nadzlia mula bercerita tentang perbualannya dengan Qadif sebentar tadi. Tekun Farah mendengar tanpa mencelah sedikit pun. Nadzlia juga menyebut tentang pertemuan di Taman Bitara dua hari lagi. Entahlah, dia sendiri tidak tahu sama ada mahu pergi atau tidak. Mungkin dia perlu melakukan solat ishtiharah, meminta petunjuk dari Ilahi.
“Terima sajalah Lia. Dah sampai masanya kau buka pintu hati untuk orang lain. Sampai bila mahu terus-terusan hidup dalam kenangan lalu yang tak akan mungkin jadi realiti...” ujar Farah.
Nadzlia memejamkan mata. Kata-kata Farah tadi dibiarkan begitu sahaja tanpa sedikit pun meninggalkan bekas di hati. Wajah arwah Khairul muncul lagi. Dia tidak mungkin sesekali melupakan wajah itu. Wajah lelaki yang amat dicintai sepenuh hati.

*  *  *  *  *

DUA hari berlalu dan tibalah masanya untuk Nadzlia membuat keputusan. Menerima Qadif atau menutup pintu hati. Qadif awal-awal lagi sudah berada di Taman Bitara. Dia sanggup mengambil cuti setengah hari semata-mata mahu bertemu dengan Nadzlia. Itupun entah dapat berjumpa atau tidak. Namun dia yakin, Nadzlia pasti muncul. Ah, sebenarnya keyakinan yang ada hanyalah senipis kulit bawang. Dia seakan tahu yang Nadzlia tidak akan muncul petang itu.
Mengenali Nadzlia, walau tidak lama, dia dapat rasakan yang gadis itu seorang yang tegas dan tetap pada pendirian. Gadis itu setia orangnya. Setia seperti pungguk yang sentiasa merindukan purnama. Setia bagai ombak yang sentiasa menghempas pantai. Lihat sajalah sehingga kini gadis itu masih belum mahu menerima huluran kasih dari lelaki lain. Nadzlia tegar hidup dalam kenangan lalu yang memeritkan.
Jam di tangan kiri dilihat sekilas. Lima minit lagi sebelum pukul lima. Debaran di dalam hati sudah tidak boleh ditahan lagi. Terasa bagai mahu luruh jantungnya.
‘Nadzlia, apakah kau akan muncul petang ini?’ desis hati Qadif.

*  *  *  *  *

KULIAH mata pelajaran English for Communication petang itu semakin hampir ke penghujungnya. Nadzlia mengalihkan pandangan dari papan putih di hadapan ke jam di dinding. Tepat pukul lima petang. Apakah Qadif sudah duduk menunggunya di Taman Bitara?
Okay class, see you next week and don’t forget to submit your essay too,” ujar Mrs. Khoo sebelum menamatkan kuliah.
Para pelajar mengangguk lalu mengucapkan terima kasih. Nadzlia masih tidak berganjak dari kerusinya. Begitu juga dengan Farah. Masing-masing melayan rasa.
“Nak aku temankan?” ujar Farah, memecah keheningan setelah hanya mereka berdua yang tinggal di dalam kelas tersebut.
“Tak apalah, awak baliklah dulu. Saya nak bersendirian kejap,” balas Nadzlia.
“Aku harap kau buat keputusan yang betul Lia. Jangan menyesal di kemudian hari. Fikir dengan logik akal dan bukannya terlalu ikutkan perasaan. Ingat, Qadif itu realiti, arwah Khairul hanya mimpi. Hidup ini realiti Lia...” nasihat Farah sambil memegang utuh bahu rakan baiknya itu.
Nadzlia mengukir senyum tawar. Langkah kaki Farah yang semakin jauh diperhati dengan pandangan kosong. Terus-terang, dia masih belum buat apa-apa keputusan pun. Menerima atau menolak Qadif? Dia sendiri buntu dan keliru.
“Khairul, apakah saya perlu lupakan awak?” soal Nadzlia, berharap agar sang bayu dapat menyampaikan kata-katanya namun itu hanyalah harapan yang tak akan mungkin tertunai.
Sedikit demi sedikit Nadzlia kembali dihambat kenangan lalu. Saat-saat indah tika dia dan arwah Khairul dilamun cinta. Banyak peristiwa pahit dan manis yang telah mereka lalui. Semuanya masih disemat kukuh dalam ingatan.
Jam di dinding dilirik. Sudah pukul 5.10 petang. Perlahan-lahan, Nadzlia melepaskan keluhan. Dia yakin, keputusan yang dibuat tidak akan sesekali menghadirkan kesal. Dia pantas bangun lalu melangkah keluar.
‘Ya Allah, berilah saya ketabahan dan kekuatan untuk mengharungi gelora rasa ini,’ doa Nadzlia.

*  *  *  *  *

REMANG senja mula kelihatan di kaki langit. Ciak-ciak burung pipit kedengaran menyentak Qadif dari lamunan. Sudah pukul 6.30 petang dan bayang-bayang Nadzlia masih tidak kelihatan, menunjukkan Nadzlia sudah menolak lamaran kasihnya. Nampaknya gadis itu benar-benar tidak dapat menerima dirinya. Terlalu sukar mahu mengetuk pintu hati gadis bernama Nadzlia ini.
Kecewa? Entahlah. Dia tidak dapat rasakan perasaan itu dalam hatinya. Marah? Untuk apa? Terkilan? Ya, mungkin. Qadif menghela nafas berat. Jika ini kehendak Nadzlia, dia harus akur. Gadis itu ditakdirkan bukan untuk dirinya.
Qadif bingkas bangun dari bangku kayu di bawah pohon seroja yang mula rekah bunganya itu. Dia menggeliat lalu menggerakkan pingganngnya ke kiri dan ke kanan.
‘Nadzlia tidak akan muncul Qadif. Lupakan saja gadis itu,’ bisik hati kecil Qadif.

*  *  *  *  *

GERIMIS mula menghujani bumi Shah Alam yang sudah hampir seminggu kering-kontang. Semilir yang berpuput sayu sesekali menampar wajah Farah yang sedang berdiri di jendela biliknya. Dia menoleh ke belakang. Dilihat Nadzlia sedang berbaring di atas katil.
Nadzlia sudah pun membuat keputusan untuk menolak diri Qadif. Dia masih tidak mampu menyingkirkan perasaan cinta dalam hatinya buat arwah Khairul. Pintu hatinya masih lagi tertutup rapat. Sangat rapat sehingga tiada lelaki yang mampu membukanya.
Terdetik di fikiran Farah, bahagiakan Nadzlia hidup bergelumang dengan kenangan-kenangan semasa arwah Khairul masih hidup dahulu? Terlalu bermaknakah kenangan-kenangan itu pada Nadzlia sehingga menyebabkan gadis itu tegar mahu hidup bersendirian?
Farah faham, cinta pertama merupakan sesuatu yang akan diingati sampai bila-bila oleh setiap insan. Namun cinta pertama yang terputus di pertengahan jalan tidak bermakna itu cinta yang terakhir. Cinta tetap akan datang menyapa tanpa disedari kerana perasaan itu sesuatu yang hidup. Sekejap ia ada, sekejap ia menghilang. Begitu jua dengan cinta. Cinta yang hilang pasti akan datang semula tidak kira dalam bentuk apa pun. Tidakkah Nadzlia sedar, mungkin Qadif adalah lelaki yang memang telah ditakdirkan untuk mengisi ruang-ruang kosong dalam hati?
Gerimis diluar mula mencurah lebat. Farah menutup tingkap lalu melangkah ke katil. Dipandang Nadzlia yang sedang memejamkan mata. Dia tahu, jika Nadzlia sudah membuat keputusan, tidak ada maknanya untuk dia menghalang.
“Farah...” ucap Nadzlia membuatkan Farah sedikit tersentak.
“Kenapa Lia?”
“Saya ni kejam ke?” soal Nadzlia, masih dalam pejam.
“Entahlah, aku tak tahu. Tapi pada aku, sepatutnya kau tak perlu menolak Encik Qadif. Sekurang-kurangnya kau cuba dahulu,” jawab Farah.
“Tapi saya tak mahu ambil risiko. Macam mana kalau saya memang tak dapat terima dia kalau kami dah bersama nanti? Bukankah itu lebih menyeksakan?”
“Aku dah tak tahu nak cakap apa lagi Lia. Hanya kau yang berhak tentukan kebahagiaan kau sendiri dan aku sebagai kawan baik, hanya mampu beri sokongan. Kalau kau gembira, aku juga gembira...” ujar Farah.
Nadzlia bangun dari baring lalu duduk memandang Farah. Mata mereka bertentangan dan seketika kemudian Farah mengangguk, seakan mengerti apa yang ada dalam fikiran rakan baiknya itu.
“Saya pergi dulu Farah!” ujar Nadzlia lalu segera mencapai payung yang diletakkan di bucu katil lalu berlari keluar.
“Good luck Lia!” jerit Farah di muka pintu.
::bersambung::

4 ulasan :

firda berkata...

rizai suke wat ending yg mndebarkan.. sambung cepat pliz!

anajoe berkata...

wah,,,kesian giler qadif..
harap nadzlia bg chance..

Leya berkata...

eii, degil betul si lia ni. x faham btul.. dahlah qadif, x payah layan si lia tu. org x nak, x payah trhegeh2..

Rizai Reeani berkata...

firda: hehehe... satu episod saja lagi :)

anajoe: harap-harap begitulah.

leya: em, nadzlia cuma keliru saja tu. biasalah, cinta pertama... ;)

terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen... :)