Sepatah Dua Kata

Isnin, September 20, 2010

Cinta Antara Kita V - Bab Akhir



LANGKAH kakinya pantas diatur menuju ke Taman Bitara. Hujan yang mencurah tidak dihiraukan. Langit sudah diselaputi mega hitam tanpa sinar rembulan mahupun kerdipan bintang. Nadzlia tidak tahu mengapa kakinya melangkah ke Taman Bitara. Jauh di sudut hati, dia tahu tidak mungkin lelaki itu akan berada di sana. Tempoh yang diberi sudah empat jam berlalu.
Taman Bitara yang terletak di tengah-tengah bangunan pentadbiran dan perpustakaan disimbahi cahaya lampu neon yang disusun berjajar. Ada dua gazebo bersaiz besar dan tiga bersaiz kecil yang dibina di taman tersebut.
Meliar mata Nadzlia mencari kelibat Qadif. Gazebo pertama ada sekumpulan pelajar lelaki yang sedang berteduh. Gazebo kedua juga ada beberapa orang pelajar. Nadzlia mencari lagi namun bayang-bayang Qadif tidak langsung kelihatan.
Tempias air hujan yang menyapa wajahnya diseka. Awal-awal lagi Nadzlia sudah tahu yang tidak mungkin Qadif akan berada di situ lagi. Dia, telah kehilangan Qadif. Semuanya kerana terlalu ikutkan perasaan.
Nadzlia berpaling, mahu kembali semula ke kolej kediamannya. Dentuman guruh kuat kedengaran diselang-seli dengan kilat sabung-menyabung. Hujan semakin galak turun mencurah-curah. Angin malam bertiup kencang. Nampaknya, dia tidak boleh meneruskan perjalanan. Pasti dia kuyup disimbah air hujan nanti. Dia harus berteduh di bangunan pentadbiran dahulu sementara menanti hujan reda.  
“Nadzlia!” panggil seseorang.
Nadzlia yang baru hendak melabuhkan punggung di bangku kayu yang terdapat di bangunan pentadbiran itu tersentak. Dia kenal suara yang memanggilnya tadi. Lantas dia mencari dari arah mana datangnya suara itu dan matanya membulat melihat susuk tubuh Qadif sedang berjalan menuju ke arahnya.
“Awak datang juga!” ucap Qadif sejurus berada di hadapan gadis yang memakai blaus lengan panjang rona biru muda dengan tudung warna serupa.
Payung yang dipegang terlepas dari pegangan. Nadzlia tidak percaya Qadif sedang berada di hadapannya saat ini. Mungkinkah ini hanya khayalan? Tidak, Nadzlia tidak fikir begitu.
“En... encik masih di sini?”
Qadif mengangguk lalu mengukir senyum. Tubuhnya menggigil dek kerana kesejukan. Nadzlia membuka lipatan mafela yang melilit lehernya lalu diserahkan pada lelaki yang duduk di bangku batu itu. Qadif menyambutnya perlahan-lahan dan kemudian melilit mafela itu di lehernya pula. Terasa sedikit hangat.
“Encik dah gila ke? Kenapa masih tunggu saya waktu hujan macam ni?” tiba-tiba Nadzlia diamuk amarah.
“Ya, saya memang gila. Gilakan awak,” gurau Qadif.
“Encik Qadif!”
“Awak datang juga Lia...” ujar Qadif sekaligus membuatkan lidah Nadzlia kelu.
“Jadi, ini bermakna, awak terima saya?” sambung Qadif.
“Jangan nak perasan! Saya nak ke library pinjam buku,” dalih Nadzlia.
Library dah tutup sejam yang lalu,” balas Qadif.
Wajah Nadzlia merona merah. Malu kerana alasan yang diberi kedengaran tidak munasabah.
“Duduklah, tak penat ke berdiri?”
Nadzlia mencebik. Jauh di sudut hati, dia diserang pelbagai rasa. Ada lega, ada gembira dan ada gusar. Namun, melihat wajah Qadif, sudah cukup membuatkan hatinya terasa lapang.
“Tunggu sini sekejap. Saya nak ke kafe,” ujar Nadzlia namun langkahnya terhenti apabila tangannya digapai oleh Qadif.
“Boleh duduk sekejap?” pinta Qadif dengan wajah yang menunduk.
Pegangan tangan Nadzlia dileraikan. Perlahan-lahan Nadzlia mengambil tempat duduk di sebelah Qadif. Sedikit pun dia tidak menoleh pada lelaki itu. Keheningan mula menyelubungi kedua-duanya.
Hujan masih lagi belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Sesekali ada beberapa orang pelajar yang lalu lintas di bangunan pentadbiran itu. Tidak kurang ada juga yang berteduh di bangku berhampiran.
“Terima kasih Lia...” ucap Qadif, menyambung bicara yang terhenti tadi.
“Untuk apa?”
“Sebab terima saya,”
“Saya tak cakap apa-apa pun,”
“Cukuplah kedatangan awak sebagai jawapannya,”
“Kan saya kata saya ada hal tadi,” Nadzlia masih cuba berdalih.
Qadif ketawa kecil membuatkan Nadzlia berpaling melihat wajah lelaki itu. Pandangan mata mereka bertemu buat seketika dan akhirnya Nadzlia melarikan matanya, kalah dengan Qadif.
Nadzlia bingkas bangun lalu melangkah menuju ke kafeteria. Beberapa minit kemudian, dia kembali dengan cawan plastik berisi milo panas. Cawan itu dihulurkan pada Qadif. Teragak-agak lelaki itu mahu mengambilnya.
“Minumlah... baik-baik, panas sikit,” ujar Nadzlia.
Cawan plastik bertukar tangan. Qadif menghirup milo panas itu perlahan. Terasa sedikit segar.
“Encik Qadif...”
“Tak perlulah berencik dengan saya. Jarak umur kita bukannya jauh sangat. Empat tahun saja,” tukas Qadif.
“Tapi...”
“Ini arahan. Kalau awak panggil saya encik, saya tak nak cakap dengan awak,” gurau Qadif.
Nadzlia menjeling. Ada-ada saja lelaki ini.
“Qadif, saya nak minta maaf,” ucap Nadzlia.
“Sebabnya?”
“Saya terlalu ego dengan perasaan sendiri,”
“Awak tak salah Lia. Saya faham...” balas Qadif.
Nadzlia menghela nafas berat. Matanya dipejamkan. Kali ini, wajah Qadif yang muncul, menggantikan wajah arwah Khairul.
“Saya harap awak boleh bantu saya untuk menyayangi awak,” sambung Nadzlia.
Qadif terkesima sebentar. Kata-kata Nadzlia membuatkan wajahnya seakan bersinar ceria. Akhirnya! Akhirnya pintu hati gadis itu terbuka juga.
“Saya berjanji akan sentiasa berada di sisi awak. Saya tak minta awak lupakan arwah, cuma saya tak mahu awak seksa diri sendiri. Saya adalah saya dan arwah adalah arwah. Kami berbeza,” jelas Qadif.
Nadzlia mengangguk. Ya, mereka berbeza, sangat berbeza. Seperti kata Farah, Qadif adalah suatu realiti sementara arwah Khairul adalah suatu mimpi yang tidak mungkin akan jadi kenyataan.
“Kita bermula semula?” pinta Qadif.
“Ya, kita bermula semula...” jawab Nadzlia dalam senyuman yang penuh pesona.

*  *  *  *  *

BUNGA-BUNGA Seroja yang luruh ke lantai bumi mula layu kekuningan. Tanah perkuburan Teluk Kemang itu sekali lagi menerima kunjungan Nadzlia dan Farah. Lama Nadzlia berteleku di pusara arwah Khairul. Membaca surah Yassin dan berdoa untuk kesejahteraan arwah.
“Syukurlah, kau buat pilihan yang tepat Lia. Aku yakin, arwah juga mahukan yang terbaik untuk kau. Qadif memang ditakdirkan untuk kau Lia,” ujar Farah.
“Saya harap begitulah. Tak ada gunanya saya terus menutup pintu hati. Yang patah kan tumbuh lagi, yang hilang kan berganti, betul tak?”
Farah mengangguk. Dipegang bahu rakan baiknya itu utuh. Nadzlia akhirnya telah menemui bahagia yang dicari. Dan dia juga turut tumpang bahagia.
Seketika kemudian, mereka berdua bangun lalu melangkah keluar dari tanah perkuburan itu. Qadif sudah sedia menunggu di kereta. Dia tidak akan sesekali membuatkan Nadzlia melupakan arwah Khairul kerana dia tahu betapa bermakna lelaki itu dalam hidup Nadzlia.
Dia bukanlah mahu menggantikan tempat arwah sepenuhnya. Cukuplah Nadzlia menyintainya setulus hati. Mempercayai dan berada di sisi. Dalam hati dipanjatkan doa, semoga cinta yang baru berputik dalam hati akan terus rekah berbunga, disulami dengan momen-momen indah yang penuh pesona.

::TAMAT::

10 ulasan :

Leya berkata...

hepi ending.. tulislah lagi ya rizai!

datul berkata...

congrats rizai! x sabar nak baca citer baru. ;)

yuta0330 berkata...

nice story.. ^_^

yanti berkata...

akhirnya lia brtemu juga dgan pengganti khairul. best! chaiyok for the next story!

Hananorisa berkata...

best..happy ending....sweet sgt...

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen :)

cinta terindah berkata...

nice story...gud job writer!! :-)

Rizai Reeani berkata...

cinta terindah: Terima kasih awak... :)

Nurul Asyikin Mohamad Ghazali berkata...

best2..suka sangat..

Rizai Reeani berkata...

Nurul Asyikin: Terima kasih sudi mengikuti cerita ini dari awal hingga akhir. :)