Sepatah Dua Kata

Sabtu, September 25, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 02



LOPAK-LOPAK air yang bertakung menjadi tempat anak-anak itik bermain-main di dalamnya. Hujan yang mencurah turun sejak pagi tadi sudah berhenti lima belas minit yang lalu. Sesekali kedengaran kokokan ayam di reban di belakang rumah diselang-seli dengan kicauan merbah di dahan tembusu.
Mentari tidak lagi bersinar garang. Perlahan-lahan merangkak ke arah barat meninggalkan carik-carik cahaya jingga yang menebari langit petang. Sapaan semilir bertiup membawa dingin menampar sesusuk tubuh tua yang sedang asyik menghirup kopi panas di pangkin kayu yang dibina di bawah pokok rambutan yang merendang.
“Apa kata Mak Som tentang tanah di baruh tu? Setuju dia jual pada kita?” tanya Haji Haziq pada isterinya yang baru tiba dengan sepinggan ubi kayu rebus berserta sambal ikan bilis.
Hajah Sarifah melabuhkan punggung di sebelah suaminya. Dia mencapai cawan berisi kopi yang masih berasap di sebelahnya lantas dihirup perlahan. Terasa segar dan hangat.
“Dia setuju bang. Memang dah lama dia nak jual tanah tu. Yalah, dia hidup pun sebatang kara. Ada anak pun macam tak ada. Tak pernah si Kasim dan Hani tu melawat emaknya sejak ke berpindah ke bandar dua tahun lalu. Kasihan Mak Som tu bang,” ujar Hajah Sarifah sambil tangannya mencubit sedikit ubi kayu rebus lalu dicicah pada sambal ikan bilis dan kemudian dimasukkan ke dalam mulutnya.
“Hmm... Nak buat macam mana Ifah, orang muda zaman sekarang ni, tak macam dulu. Tak ingat jasa mak ayah. Tahu nak lepas hidup dia seorang saja,” luah Haji Haziq.
“Itulah bang. Duit jual tanah di baruh tu, katanya nak digunakan buat tunaikan haji tahun depan. Nak harapkan anak-anak, bayang mereka pun tak nampak,” balas Hajah Sarifah.
Haji Haziq berdehem seketika. Jauh di sudut hati, ada simpati yang menjalar pada wanita berumur 76 tahun yang tinggal tidak jauh dari rumahnya itu. Sejak dua tahun yang lalu, hidupnya sendirian tak berteman. Mujur ada penduduk kampung yang kadang-kadang sudi singgah menjenguk dan memberi bantuan makanan.
Tambahan pula, sebulan lepas wanita itu diserang sakit lutut. Tidak betah lagi hendak turun ke bendang mahupun ke kebun sayuran. Jika ada kelapangan, dia dan isteri akan menziarahi wanita itu. Bertanya khabar dan keperluan yang tidak cukup.
Sebagai penghulu di Kampung Bagan Pinang ini, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk menjaga setiap hal-ehwal kebajikan penduduk kampung. Yang mana tidak berkemampuan, dibantu. Yang sakit, diziarah. Alhamdulillah, sehingga kini, tiada masalah besar yang dihadapi sejak dia memegang jawatan penghulu lima tahun yang lalu.
“Assalammualaikum...” tegur seseorang membuatkan lamunan Haji Haziq hilang entah ke mana.
“Waalaikummusalam... Kamu Liyana! Bila balik sini?” Hajah Sarifah bertanya pada gadis yang memakai blaus lengan panjang rona biru muda dengan tudung warna serupa itu.
 “Baru balik semalam makcik. Cuti seminggu,” jawab Liyana dalam senyuman lantas bersalaman dengan Haji Haziq dan Hajah Sarifah.
“Eh, duduklah dulu. Makcik ke dalam ambil cawan sekejap,”
“Tak apa makcik, saya sekejap saja ni,” tolak Liyana, sopan.
“Ala, duduklah dulu. Lama tak berbual dengan kamu,” balas Hajah Sarifah lalu bangkit dari duduk dan melangkah ke dalam rumah.
Liyana duduk tidak jauh dari tempat Hajah Sarifah tadi. Diperhati langkah wanita berumur lima puluh satu tahun itu dengan pandangan kosong.
“Berapa lama lagi belajar Liyana?” tanya Haji Haziq, memulakan perbualan.
“Lagi dua tahun pakcik. Lepas tu saya praktikal di sekolah dekat bandar tu,” jawab Liyana.
Haji Haziq berdehem lagi. Gadis di sebelahnya ini sebaya dengan anak bongsunya Ramzan. Sejak kecil mereka berkawan baik sehinggalah masing-masing membawa haluan selepas tamat tingkatan lima.
Anaknya Ramzan melanjutkan pengajian di universiti dalam bidang perakaunan sementara Liyana ke maktab perguruan. Memang sudah menjadi cita-cita gadis itu mahu bergelar seorang guru.
“Ramzan tak balik pakcik?” tanya Liyana pula, sekadar berbasa-basi.
“Tak tahulah pakcik. Selalunya ada dia telefon makcik kamu kalau nak balik. Minggu lepas ada dia balik jadi mungkin minggu ni tak,” jelas Haji Haziq sambil menghirup kopinya.
Kelibat Hajah Sarifah yang menghampiri mereka kelihatan dari jauh. Di tangan wanita itu ada cawan dan piring kecil. Wajahnya kelihatan berseri dalam senyuman.
“Bang, tadi Zan telefon. Katanya, Jumaat ni dia balik. Ada perkara penting nak dibincangkan,” beritahu Hajah Sarifah sejurus dia tiba di pangkin.
“Perkara penting apanya?”
“Entahlah bang. Tak ada pula dia beritahu saya. Bunyinya macam serius,” Hajah Sarifah menjawab pertanyaan suaminya tadi.
“Jemputlah minum Liyana...” pelawa Hajah Sarifah setelah menuangkan air kopi ke dalam cawan yang dibawa tadi.
“Terima kasih makcik. Susah-susah saja,”
“Ish, tak ada susah mana pun. Hah, nanti bolehlah kamu jumpa si Ramzan tu. Dia pun dah lama tak jumpa kamu. Ingat lagi makcik masa kamu berdua sekolah dulu. Pergi, balik sekolah, kamu naik basikal si Ramzan. Sekarang, basikal tu dah tak ada orang nak guna. Berkarat kat dalam bilik stor tu,” bicara Hajah Sarifah sambil tergelak kecil.
Liyana turut sama mengukir tawa. Kenangan lalu, sentiasa segar dalam ingatannya. Detik bersama Ramzan, merupakan kenangan yang paling indah dalam hidupnya!

*  *  *  *  *

TELEFON bimbit di tangan digenggam erat. Perbualan dengan emaknya sebentar tadi masih terngiang-ngiang di telinga. Dia akan pulang Jumaat ini untuk berbincang sesuatu yang mustahak dengan keluarganya itu. Sesuatu yang dijangka akan menghadirkan kejutan buat ayah dan emaknya. Tidak, bukan dijangka tetapi pasti akan membuatkan ayah dan emaknya terkejut besar.
Keluhan berat dilepaskan seiring dengan gemuruh di hati. Ramzan mendongak ke arah langit yang diselaputi mendung kelabu. Masih adakah sinar mentari yang akan menerangi jalan hidupnya selepas ini?
::bersambung::

4 ulasan :

Leya berkata...

aish, ni yg konflik liyana pulak nnti. sambung3..

♥cikHanNa ♥ berkata...

setia menanti n3 seterusnya..
hehe

siti berkata...

hope ramzan selesaikan cara baik. itulah, t'lajak perahu bleh diundur...

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen. ;)