Sepatah Dua Kata

Isnin, September 27, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 03



KULIAH mata pelajaran ekonomi petang Khamis itu sudah menemui penghujungnya. Ramzan mengemas peralatan tulis miliknya lalu dimasukkan ke dalam beg sandang. Sempat dikerling pada Dalila yang juga melakukan perkara serupa.
“Aku dengar Dalila mengandung...” bisik Adi pada Ramzan yang duduk di meja sebelahnya.
Ramzan tersentak! Dari mana Adi mendengar berita itu? Bukankah sepatutnya ia menjadi rahsia dia dan Dalila sahaja?
“Wani yang beritahu aku. Hebat kau ya!” usik Adi membuatkan wajah Ramzan merona merah. Entah marah, atau malu.
Ramzan membiarkan kata-kata Adi tanpa balasan. Dia bingkas bangun menuju ke arah Dalila. Tangan gadis itu dicapai lalu menarik Dalila keluar dari bilik kuliah.
“Zan! Apa ni? Lepaslah! Sakit tau!” bentak Dalila.
Ramzan tidak mempedulikan rungutan Dalila. Dia terus melangkah sehingga mereka tiba di satu kawasan yang agak sunyi dari pelajar yang lalu-lalang. Ramzan menolak tubuh Dalila ke dinding. Tangan gadis itu masih erat dalam genggamannya. Dalila terpaku dengan tingkah kekasih hatinya yang tampak marah itu.
“Kenapa Ila beritahu orang lain tentang kandungan Ila tu?” soal Ramzan dengan nada suara yang tinggi.
“Zan... Sabar... Ila... Ila...” tergagap-gagap Dalila bersuara. Sungguh dia cemas melihat amarah di mata Ramzan yang memerah.
“Kenapa Ila? Kenapa?”
“Bukan salah Ila! Wani kan roommate Ila. Dia yang teman Ila ke klinik hari tu,” Dalila membuat penjelasan.
“Habis macam mana Adi dapat tahu?”
‘Adi tahu?’ desis hati Dalila, nyata terkejut dengan kata-kata Ramzan tadi.
“Dia kan kawan baik Zan. Apa Zan tak beritahu dia?”
“Zan tak beritahu pada sesiapa pun tentang kandungan Ila. Takkan Zan nak buat Ila malu,”
Dalila diam. Perlahan-lahan Ramzan meleraikan pegangannya. Dia berpaling ke belakang. Tidak semena-mena Ramzan menumbuk dinding. Dalila kaget. Tidak pernah melihat perwatakan Ramzan yang jelas begitu tertekan.
“Mungkin Wani dan Adi ada hubungan. Nanti Ila tanyakan pada Wani,” ujar Dalila, cuba meredakan tekanan yang dialami Ramzan.
“Zan bukan apa Ila, Zan tak nak Ila disakiti. Zan tak nak kalau berita ni tersebar, Ila yang malu. Zan tak nak orang yang Zan sayang menderita,” jelas Ramzan lalu bersandar pada dinding bilik rehat pekerja am yang membersihkan kawasan sekitar universiti yang terletak tidak jauh dari bangunan fakultinya itu.
Dalila diselubungi keharuan. Hatinya tersentuh dengan kata-kata Ramzan tadi. Ternyata lelaki di sebelahnya ini begitu menyintai dirinya. Dia amat bertuah menemui Ramzan dalam hidup ini. Telinganya menangkap keluhan yang keluar dari mulut Ramzan. Dia mengerti apa yang sedang Ramzan rasai. Dia juga tertekan tapi mujur dia tidak terlalu ikutkan perasaan. Sehingga tika ini, dia masih boleh bertenang. Dia percaya Ramzan akan mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang melanda mereka sekarang.
“Esok petang kita akan balik ke rumah saya seperti dirancang. Zan harap Ila dah sedia,” ujar Ramzan lalu menatap wajah Dalila yang berkulit kuning langsat itu.
Dalila mengukir senyum tawar. Nampaknya Ramzan benar-benar serius dengan rancangannya. Dan dia hanya boleh menurut. Tidak ada guna dia membantah. Lagipun, apa yang terbaik pada Ramzan, Dalila yakin, itu juga yang terbaik untuk dirinya.

*  *  *  *  *

“KAU beritahu Adi tentang keadaan aku ya Wani?” soal Dalila pada rakan sebiliknya yang baru saja melangkah masuk ke dalam bilik.
Hazwani tergamam. Pasti Adi sudah bercakap sesuatu pada Ramzan. Pertanyaan Dalila tadi dibiar seketika. Hazwani menghempaskan tubuh di atas tilam. Dia tahu Dalila sedang menanti jawapan darinya.
“Adi tu kan best friend Ramzan. Lambat-laun dia tahu juga,” terang Hazwani.
“Biar aku teka... Kau bercinta dengan Adi?”
Hazwani pantas mengangguk. Padanya isu itu bukanlah satu perkara yang besar. Adi pasti tahu juga nanti. Malah kalau tersilap langkah, satu universiti juga boleh tahu.
“Walaupun kau orang bercinta, tak sepatutnya kau beritahu Adi. Ramzan sendiri tak berniat nak beritahu dia. Kalau boleh hal aku ni tak perlu dihebah-hebahkan,” Dalila seakan memberi amaran.
“Hei, kau jangan nak tunjuk pandai kat sini okey! Dah cukup baik aku hanya beritahu Adi. Kau nak aku beritahu kat semua orang juga ke?” sindir Hazwani.
“Wani... aku tak bermaksud nak...”
“Ah, sudahlah! Kalau dah dasar perempuan gatal, perangai memang tak pernah baik!”
“Wani!” bentak Dalila.
Hazwani terdiam. Dia terlepas cakap. Dia tak bermaksud nak menghina rakan sebiliknya itu. Dia sebenarnya sakit hati melihat Adi sedang makan malam dengan seorang perempuan di kafeteria tadi. Tampak mesra pada pandangannya.
“Ma... maafkan aku Ila, aku tak sengaja. Aku...”
“Sampai hati kau Wani. Hanya kau yang aku ada selain Ramzan di sini. Selama ni kita berkawan baik. Aku tak sangka kau hina aku sampai macam tu sekali. Sampai hati kau...” ucap Dalila dalam esakan.
Hazwani bingkas bangun lalu duduk di sebelah Dalila. Diseka air mata yang mengalir di wajah kawan baiknya itu. Sungguh dia terlepas kata tadi. Pantas didakap Dalila sekaligus menyebabkan air mata gadis itu lebat mengalir.
“Maafkan aku Ila, maafkan aku. Aku tak akan sakiti hati kau lagi. Maafkan aku...” ujar Hazwani.
Dalila terus menangis dan menangis.
::bersambung::

8 ulasan :

♥cikHanNa ♥ berkata...

semakin menarik~

dayah berkata...

stiap bab nampaknya sangat tegang. tp still blur dgan stiap watak. maybe baru start lagi kan. go on ya!

Leya berkata...

rasa kesian pula pada ila tu. patut ke? everybody makes mustake....

zulhafiz aka chip berkata...

wan!!wani mmg jahat!!

Rizai Reeani berkata...

cik hanna: terima kasih masih setia mengikuti. sangat hargainya :D

dayah: terima kasih dayah. saya cuba jelaskan setiap watak dalam bab-bab seterusnya nanti ;)

leya: setuju, tak ada manusia yang sempurna di dunia ni.

zul: hahaha... kesian 'wani' tu tau. dia tak bersalah... ;)

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen :D

Tanpa Nama berkata...

ya ampun.. aku player???

Hananorisa berkata...

kenpelah wani tu bgtaw kat adi tu?
tgk kan dah malu dah ila tu...

Rizai Reeani berkata...

Adi: hahaha... nama watak adalah rekaan semata-mata ya ;)

hananorisa: orang bercinta biasanya tak ada rahsia antara satu sama lain. ;)

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen :D