Sepatah Dua Kata

Rabu, September 29, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 04



PERJALANAN menaiki bas dari Kuantan ke Seremban hanya disajikan dengan pemandangan ladang-ladang kelapa sawit dan pokok getah di kiri dan kanan jalan. Ramzan dan Dalila menaiki bas sejak pukul 05.00 petang tadi. Masih ada lebih kurang dua jam setengah untuk tiba di Seremban. Tidak ramai orang yang menaiki bas petang itu. Hampir satu per tiga tempat duduk tidak diduduki.
Sengaja Ramzan menempah tiket pada waktu petang kerana pagi tadi mereka ada kuliah. Kalau boleh, Ramzan mahu segera sampai ke rumah. Lebih cepat, lebih bagus. Dia sudah tidak mampu lagi menanggung beban perasaan dan keinginan yang melonjak-lonjak dalam hatinya. Harus segera dilontarkan pada ayah dan emaknya.
Ramzan duduk di sebelah kiri sementara Dalila di sebelah kanan, berhampiran dengan tingkap. Sinar mentari petang tidak terlalu terik terasa menerobos di sebalik jendela rona merah. Ramzan berpaling pada Dalila yang sedang memejam mata. Dia tahu gadis itu akan mengalami pening apabila menaiki bas. Awal-awal lagi Dalila sudah menelan ubat mabuk lalu berehat sambil memejamkan mata.
Ramzan menatap wajah pujaan hatinya yang seorang itu. Sudah masuk dua tahun dia mengenali Dalila dan menjalin hubungan cinta dengannya. Banyak kenangan manis yang telah dicipta antara mereka. Bagi Ramzan, Dalila adalah pelengkap hidupnya. Segala suka-duka dikongsi bersama.
Dalila seorang gadis yang manja dan perlukan perhatian. Mungkin kerana sejak kecil dia dibesarkan di rumah anak yatim. Tanpa belaian kasih seorang ayah dan dakapan mesra seorang ibu. Dia jatuh cinta dengan Dalila bukan atas dasar simpati. Ramzan yakin tentang itu. Apa yang membuatkan dia tertarik dengan Dalila adalah keprihatinan dan kemanjaannya.
Jemari tangannya mengusap lembut ubun-ubun gadis berblaus merah bata itu. Serta-merta, Ramzan digamit memori dulu. Memori kala pertama kali mereka bertentang mata, lalu jatuh cinta.

*  *  *  *  *

STESEN bas Kuantan penuh sesak dengan orang ramai yang masing-masing punya tujuan yang tersendiri. Hari Sabtu begini memang tidak boleh tidak akan digunakan sepenuhnya untuk bersiar-siar, sekadar melepaskan tekanan belajar. Bandar Kuantan menjadi tumpuan bagi pelajar-pelajar seperti Ramzan. Ada yang membeli barang keperluan diri dan ada juga yang sekadar duduk melepak di kompleks beli-belah.
Ramzan dan tiga orang rakannya sejak tadi menunggu bas untuk kembali semula ke kolej kediaman. Beg plastik di tangan digenggam erat. Isi kandungannya tidaklah banyak. Sebotol minyak rambut, kertas Double A dan Maggi Mee; makanan wajib bagi golongan pelajar.
Tiba-tiba dia teringat akan pesan Adi yang meminta untuk dibelikan sepotong kek berperisa strawberi lantas dia berpaling semula menuju ke kedai kek berhampiran. Mujur kedai kek tersebut tidaklah jauh jaraknya dari stesen bas tersebut.
Delima’s Bakery tidak ramai pengunjung petang itu. Di luar kedai itu ada diletakkan dua buah meja yang disusun dengan aneka jenis roti. Ada seorang pekerja sedang menampal sesuatu pada roti-roti yang ada. Pelekat diskaun 30%. Mungkin roti-roti tersebut harus dijual dan dimakan dengan segera kerana tarikh luputnya tidak lama.
Selera Ramzan terpaut pada sebiji roti berperisa tuna lalu segera dicapai dan kemudian melangkah memasuki ruang dalam kedai. Dia ke kaunter kek, meminta sepotong kek strawberi. Gadis yang memakai apron yang tertera logo Delima’s Bakery itu mengukir senyum lalu membungkuskan kek yang diminta.
Selepas mengucapkan terima kasih, Ramzan berlalu ke kaunter untuk membuat pembayaran. Matanya meliar memerhati sekeliling dan akhirnya tertancap pada seorang gadis berambut panjang yang memakai kardigan corak belang kelabu dan putih.
Di tangan gadis itu ada sebiji roti tuna dan dua keping roti piza yang dilihat di meja di luar tadi. Yang menarik perhatian Ramzan adalah roti-roti itu tidak ada pelekat diskaun seperti yang ada pada rotinya.
Segera Ramzan bersiul kecil bagi menarik perhatian gadis yang sedang beratur selang dua orang di hadapannya. Gadis itu berpaling dan Ramzan menunjukkan roti yang ada dalam pegangannya. Dilihat gadis itu mengerutkan dahi. Buntu barangkali.
Ramzan mengangkat rotinya lalu menunjukkan pelekat diskaun yang ada. Riak gadis itu berubah. Ada senyuman yang meniti di hujung bibirnya. Gadis itu mengangguk dan kemudian keluar dari barisan, menuju ke luar kedai. Beberapa saat kemudian, gadis itu kembali dan beratur di belakang Ramzan.
“Terima kasih,” ucap gadis tersebut.
“Sama-sama. Dia orang baru tampal pelekat tu. 30% diskaun, banyak juga,” balas Ramzan.
Gadis itu ketawa kecil. Usai membuat bayaran, Ramzan bergerak pergi. Sehinggalah dua hari kemudian, dia bertemu dengan gadis itu di perpustakaan. Tidak menyangka mereka belajar di tempat yang sama, mengambil bidang pengajian yang sama cuma berada dalam kelas yang berbeza.
Waktu itu kedua-duanya berada dalam semester pertama. Menginjak ke semester kedua, mereka mengambil keputusan untuk belajar di dalam kelas yang sama. Dan hari demi hari, ada bunga-bunga cinta yang mula berputik dan akhirnya hubungan cinta itu terjalin.
Bunyi hon bas menyentak lamunan Ramzan. Dilihat Dalila masih memejamkan mata. Diluar, langit mula bertukar warna. Tidak lagi membiru sebaliknya jingga kemerahan. Pandangan Ramzan dialih pada perut Dalila. Tiba-tiba dadanya bergetar hebat.
Di dalam perut itu terkandung sesuatu yang bernyawa. Sesuatu yang tidak ternilai harganya. Sesuatu yang tidak boleh dicari ganti. Sesuatu yang bakal merubah hidupnya dan juga hidup Dalila.
Semakin hampir jarak ke rumah, semakin kuat debaran yang melanda. Bukankah sejak semalam dia sudah bersedia, sudah menguatkan hatinya? Oh, Tuhan, redakanlah rasa gemuruh ini. Bantulah aku untuk menyelesaikan segala kekusutan yang ada.

*  *  *  *  *

DARI Seremban, mereka harus menaiki sebuah lagi bas untuk ke Port Dickson. Kemudian mereka menaiki teksi untuk ke rumah Ramzan.  Jam di tangan dipandang sekilas. Hampir pukul 09.00 malam. Tidak lama lagi, dia dan Dalila akan sampai ke destinasi yang dituju. Ramzan sudah memaklumkan akan kepulangannya hari ini cuma dia tidak menyatakan yang pulangnya berteman.
Dalila menggenggam erat bahu Ramzan. Dia mengerti lelaki itu diamuk resah yang menggila kerana dia juga turut mengalami rasa yang sama. Perkara yang akan dibincangkan nanti bukanlah perkara kecil yang boleh dibuat main-main. Ia melibatkan maruah, melibatkan harga diri.
Ramzan menguntum senyum kecil. Sokongan yang dititipkan Dalila sedikit menghadirkan lega. Walau apa pun yang bakal berlaku, mereka tidak akan sesekali mengalah mahu pun berpatah lagi. Keputusan sudah dibuat. Tekad sudah disemat.
“Belok ke mana encik?” tanya pemandu teksi yang tampak masih muda itu.
“Jalan terus sampai nampak simpang pertama sebelah kanan,” jawab Ramzan.
Pemandu teksi itu mengikut arahan yang diberi dan bumbung rumah papan dua tingkat milik keluarga Ramzan mula kelihatan sedikit demi sedikit. Mereka berdua kembali dilanda debar. Terasa mahu tercabut sahaja jantung dari tempatnya.
“Berhenti depan sikit ya pakcik,” pinta Ramzan.
Usai membayar tambang, Ramzan dan Dalila keluar dari perut kereta. Di tangan masing-masing ada sebuah beg kecil berisi pakaian. Ramzan melangkah dahulu diikuti dengan Dalila. Sengaja dia berhenti jauh sedikit dari rumahnya.
Dilihat lampu kalimantang di luar rumah bersinar terang. Pintu dan tingkap ditutup rapat. Bunyi unggas dan cengkerik mendayu-dayu berlagu. Malam itu bulan tidak bersinar terang. Bintang-bintang juga seakan malap cahayanya.
“Zan...” lirih nada suara Dalila.
“Kenapa Ila?”
“I... Ila takut...” Dalila meluahkan kegusarannya.
“Jangan risau, ayah dan emak saya tak makan orang. Kalau kita terangkan baik-baik, Zan yakin mereka boleh terima,” pujuk Ramzan sambil cuba berseloroh.
Rumah yang dituju semakin hampir. Ramzan meletakkan beg yang dipegang di atas rumput. Dia mula membuka mulut, memberi salam.
“Assalammualaikum!” ucap Ramzan.
Seketika kemudian, terdengar bunyi pintu dikuak. Debaran di dalam dada semakin memuncak. Ramzan terasa seram-sejuk sementara Dalila sudah mahu pengsan!
::bersambung::

9 ulasan :

datul berkata...

adoi, smbung cepat ye rizai. x suke asyik brdebar je..

Leya berkata...

mmang tegang ni. mcam manalah penerimaan kuarga ramzan tie..

Tanpa Nama berkata...

woo.. kau tulis citer ni mantap bro! aku baca pun sbab watak utama dia laki. sambung jngan x sambung.

shura berkata...

sambung cpat! mesti mak bapak ramzan naik angin punya..

Rizai Reeani berkata...

datul: teknik penceritaan yang baru mungkin. hehehe... ;)

leya: semoga ramzan berjaya menyelesaikan segala masalah...

tanpa nama: terima kasih. masih banyak kurangnya. ya, pertama kali saya menulis lelaki sebagai watak utama. agak sukar juga.

shura: mungkin juga. sama-sama kita lihat episod akan datang ya... ;)

Terima kasih kerana masih setia mengikuti kisah ini. Sangat hargainya! (^_^)

♥cikHanNa ♥ berkata...

mmg betul2 suspen ni..

Hananorisa berkata...

what's next? mcm mana lah agaknya penerimaan keluarga ramzan nnti...
debar jugak nak tahu apa yg berlaku seterusnya...

Tanpa Nama berkata...

Rizai,

Cerita ini seakan sama dengan apa yang berlaku pada diri saya. Ia seperti flash-back terhadap kejadian yang pernah saya lalui.

Saya akan ikuti cerita ini hingga tamat. Mungkin awak telah menulis happy ending untuk kisah ini walau kisah saya tidaklah berakhir sebegitu.

Teruskan usaha dan semoga menjadi penulis yang berjaya dan disegani.

-norliza-

Rizai Reeani berkata...

Cik Hanna: Alhamdulillah, menjadi juga perasaan tu. :)

Hananorisa: Saya juga berdebar mahu menulis kesinambungan kisah ini. :)

Norliza: Pertamanya, terima kasih saya ucapkan untuk doa dan sokongan yang diberi. Saya amat hargainya.

Cerita ini tidak saya nafikan diolah dari sebuah kisah benar. Temanya benar cuma saya garap intisari cerita ini mengikut imaginasi saya.

Soal jodoh ini, urusan Tuhan. DIA hanya mahukan yang terbaik untuk hamba-NYA. Insya-Allah, saya doakan kamu bertemu bahagia juga. Yang berlalu, biarlah berlalu, yang pasti, hadapi hari esok dengan cemerlang. :D

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen. (^_^)