Sepatah Dua Kata

Khamis, September 23, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 01


“ILA mengandung,”
Ramzan terpaku. Dirasakan masa seakan berhenti seketika. Suasana di sekelilingnya senyap-sunyi. Jelas riak terkejut terpamer di wajahnya. Gadis berambut lurus paras bahu itu tampak tenang. Namun gejolak rasa yang bertamu dalam hati tidak mampu dibendung lagi.
“A… Apa yang Ila cakap tadi?” tanya Ramzan, meminta kepastian.
“Ila mengandung Zan! Ila mengandung!” jelas Dalila.
Kali ini Ramzan yakin dia tidak bermimpi. Amat jelas kata-kata Dalila menampar pendengarannya. Dalila mengandung? Dan anak dalam kandungan Dalila itu… anaknya?
“Ila pasti?” sekali lagi Ramzan bertanya, masih cuba memujuk hati.
“Perkara macam ni bukan boleh dibuat main-main, Zan,” balas Dalila.
Ramzan tersandar di batang pohon akasia yang lebat daunnya. Rambutnya dikuak ke belakang. Sebuah keluhan dilepaskan.
“Apa kata doktor?”
“Semalam Ila muntah-muntah. Kemudian Ila pergi klinik. Doktor beritahu Ila dah mengandung tiga minggu,” bersungguh-sungguh Dalila menerangkan pada pemuda yang memakai T-shirt rona biru muda dengan jeans warna serupa itu.
“Tapi… Macam mana pula boleh… Kita kan pakai alat perlindungan?” tanya Ramzan.
“Manalah Ila tahu! Benda dah nak jadi Zan…” jawab Dalila.
Ramzan beralih posisi dirinya. Jika tadi dia bersandar, kini dia duduk mencangkung pula. Jemarinya mencabut rumput-rumput kering di hadapannya. Dalila yang masih berdiri, hanya mampu memandang lesu. Dia faham perasaan Ramzan. Dia mengerti akan perkara yang bersarang di kepala teman lelakinya itu.
“Apa yang kita nak buat Ila?” Ramzan membuka mulut setelah membisu seketika.
“Ila yang patut saya soalan tu pada Zan. Zan harus bertanggungjawab atas apa yang Zan dah buat!” tegas Dalila.
“Saya tahu Ila, tak perlu Ila nak ingatkan. Lagipun memang salah kita berdua. Sepatutnya benda tu tak boleh berlaku,” ujar Ramzan sekaligus membuatkan Dalila mencebik.
Perlahan-lahan, ingatan Ramzan menyelak semula lembaran kenangan yang berlaku sebulan lalu. Malam Sabtu itu dia dan Dalila turut serta dalam parti hari jadi Sanjeev, kawan sekelas, di pantai berdekatan dengan universiti tempat mereka belajar. Ada lapan orang semuanya. Empat lelaki dan empat perempuan. Oleh kerana malam sudah semakin lewat, mereka bercadang mahu tidur di hostel berdekatan. Tiada gunanya pulang ke kolej kediaman lewat malam begini. Pasti akan ditanya oleh pengawal keselamatan.
Apatah lagi masing-masing sudah berada dalam dunia khayalan dek kerana meneguk air kuning di dalam tin yang disajikan dalam parti hari jadi itu. Keinginan untuk mencuba air tersebut membuak-buak. Pengaruh rakan ternyata sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng. Darah muda kata orang. Sentiasa bergelora.
Mereka menyewa empat buah bilik. Masing-masing membawa pasangan duduk di bilik tersebut. Begitu juga dengan Ramzan dan Dalila. Mereka tidur bersama dan membiarkan nafsu menguasai diri. Akal sudah tidak mampu berfikir dengan waras. Malam terasa amat panjang. Tika pagi menjenguk, didapati mereka sudah melakukan sesuatu di luar batas.
Anehnya, tidak ada kesal yang menjentik tangkai hati. Seolah-olah semalam tidak pernah wujud dalam ingatan mereka. Kedua-duanya beranggapan tiada apa-apa yang berlaku. Lalu mereka pulang dan menjalani hidup seperti biasa. Namun siapa sangka, diharap panas sampai ke petang, ribut taufan yang datang menjengah.
“Tak guna menyesal Zan. Ya, memang kita berdua salah. Jadi sekarang apa yang kita nak buat?”
Ramzan mengeluh lagi. Sepoi angin yang berhembus tidak sedikit pun menghantar damai dalam hati. Dia benar-benar terpukul dengan khabar yang baru disampaikan oleh Dalila tadi. Anak dalam kandungan gadis itu hasil benihnya. Dan… ini bermakna dia bakal jadi seorang ayah?
Apakah dia wajar bergembira atau menangis duka? Tidak! Dia masih belum bersedia. Umur mereka masih muda. Baru mencecah 22 tahun. Tempoh pengajian di universiti pun masih ada satu semester lagi. Justeru, bagaimana dengan kandungan Dalila? Gugurkan? Tidak, dia tidak sekejam itu. Dia masih ada perikemanusiaan. Jadi, hanya ada satu jalan sahaja. Ya, masih punya kesempatan untuk menyembunyikan kebenaran.
“Kita kahwin Ila,” cadang Ramzan.
Kali ini Dalila pula yang terpana. Rancangan Ramzan ternyata sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikirannya. Kahwin? Dalam usia begini? Ramzan pasti bergurau!
::bersambung::

7 ulasan :

Liyana (LSJ) berkata...

yah, bagus, zan....
kawin la sebaiknya...
waahhh, debaran bermula di awal cerita...

Leya berkata...

fuyoo, mmang lain dr citer yg biasa rizai tulis. selalu watak utama baik je, ni watak jahat pula. next pliz!

shikin berkata...

berbeza! x sabar nak tau kisah selanjutnya..

Hananorisa berkata...

betul2..awal2 lagi dah saspen nie...

Rizai Reeani berkata...

Liyana (LSJ): saya juga berdebar-debar dengan reaksi pembaca :)

leya: ya, agak berbeza saya rasa. mungkin mahu selami perasaan watak jahat lebih kali ni ;)

sjikin: saya juga tak sabar nak habis menulis cerita ni :)

hananorisa: teknik baru yang diajar Kak Maria :)

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen :D

fared berkata...

intro yg bagus! wat org saspen. kipidap bro!

Rizai Reeani berkata...

fared: terima kasih sudi hadir singgah membaca dan memberi sokongan :)