Sepatah Dua Kata

Isnin, Oktober 11, 2010

Idaman Kalbu - Ceritera 01

MASIHKAH kau ingat, kali pertama kita bersua-muka? Waktu itu kau dan aku berada di dalam sebuah kedai bunga. Aku sedang asyik memerhati kuntuman bunga-bunga segar untuk dihadiahkan pada adik perempuanku sempena hari jadinya sehinggalah jelas kedengaran di telinga soalan yang kau tanyakan pada gadis penjual bunga itu. Tentang bunga yang sesuai untuk diberikan pada orang tersayang. Aku perhatikan wajah kau yang padaku kacak seperti seorang pelakon sinetron. Rambut kau hitam pekat dipotong pendek. Kemeja hitam dan seluar slack rona serupa yang tersarung ditubuh kau cukup menyerlahkan gaya seorang lelaki maskulin.
            Ya, gaya yang aku suka. Melihat kau seakan putera yang aku impikan telah muncul di depan mata. Putera kacak yang selalu aku angankan tiap kali bersendirian. Putera itu akan datang bersama kuda putih membawa sekuntum bunga ros merah untukku. Ah, sekadar berangan-angan, bagiku tidak salah. Tidak menyusahkan sesiapa pun.
Aku mendengar gadis penjual bunga itu memberikan beberapa cadangan. Terbeliak mataku apabila melihat kau membeli semua bunga yang gadis itu sarankan. Oh, bertuahnya wanita yang menjadi kekasih hati kau! Aku juga yang sehingga kini masih belum menerima walau sekuntum bunga dari seorang jejaka.
Cemburunya aku. Bukankah bagus jika bunga-bunga itu untukku? Sekali lagi aku memintal angan. Angan yang tidak mungkin jadi kenyataan. Aku berpura-pura membelek beberapa jambak bunga yang ada di hadapanku. Namun kerlingan mataku sebenarnya tidak lepas dari mencuri pandang wajah kau.
Mengapa sehingga ke hari ini aku tidak pernah dipertemukan dengan lelaki sekacak kau? Usahkan semasa belajar di universiti dulu, di pejabat tempat aku bekerja sekarang ini pun tiada lelaki yang kacak.
Aku bukanlah cerewet atau terlalu memilih. Memang jika ditanya kawan-kawanku, mereka juga akan berkata perkara yang serupa. Lelaki-lelaki di pejabat semuanya tidak pandai bergaya. Walau tampak kemas berkemeja dan bertali leher, mereka tetap tidak mampu menarik perhatian gadis-gadis yang memandang.
Oh, aku juga bukanlah seorang yang punya citarasa tinggi, bukan. Bagiku rupa paras itu tidaklah terlalu penting. Mungkin jatuh nombor lima, eh, bukan, empat. Eh, bukan, tiga. Aku rasa tangga kedua lebih baik. Yang pertama tentulah hatinya. Kalau rupa kacak tetapi hatinya hodoh, tidak berguna juga.
Usai kau membuat pembayaran, aku bergerak sedikit ke hadapan. Mahu lihat jika ada teman wanita kau yang sedang menunggu di dalam kereta. Harapanku berkecai apabila kau melangkah masuk ke dalam perut kereta Mercedes Kompressor warna merah itu seorang diri.
Kereta kau saja sudah menunjukkan yang kau itu orang berada. Pastinya lelaki yang punya kerjaya mantap. Bukan calang-calang rupanya. Aku terus mengintai pandang sehinggalah kereta Mercedes Kompressor itu hilang dari penglihatan. Tanpa berlengah, aku mencapai sejambak bunga yang telah siap digubah lalu bergerak ke kaunter pembayaran.
Ah, aroma wangian tubuhmu masih bersisa. Bau yang cukup menggetar jiwa. Kalau tidak silapku dari jenama Hugo Boss. Ketuaku di pejabat selalu memakai minyak wangi ini jadi aku sudah biasa akan baunya. Aku tahu itu bau minyak wangi yang kau pakai kerana tidak mungkin gadis penjual bunga itu mengenakan jenis minya wangi tersebut. Minyak wangi lelaki.
Malam itu buat pertama kali tidurku bertemankan bayang-bayang wajah kau. Ternyata aku sudah penasaran! Hingga terbawa-bawa ke dalam mimpi. Mimpi yang romantis dan membuai rasa. Kau dan aku sedang duduk di atas rerumput hijau dengan di kelilingi pokok-pokok tulip yang baru hendak mekar. Deru bayu yang berhembus, menghadirkan nyaman. Langit pula kala itu jingga kemerahan. Sudah ada bulan yang kelihatan walau masih tidak bercahaya. 



Kita saling berbicara tentang hati dan perasaan. Tentang kau dan aku sehingga tanpa sedar hari merangkak malam. Bersaksikan bintang-bintang yang bergemerlapan, kau mengungkap lafaz cinta kepadaku. Baru sahaja aku hendak mendakap kau, jeritan jam loceng mengejutkanku.
Pertama kali aku berasa benci pada jam berbentuk hati yang selama ini menjalankan tugasnya mengejutkan aku bangun dari tidur dengan penuh dedikasi saban hari. Benci kerana jam itu menganggu mimpi manisku. Mimpi yang entah akan berulang malam nanti atau hilang menyebabkan aku sepi.
Selang dua hari selepas itu, kita bersua lagi. Kali ini di restoran berhampiran dengan pejabatku. Kau datang bersama dua orang rakan lelaki. Entah mengapa hati ini berbunga ceria. Adakah kau juga bekerja berhampiran dengan pejabatku? Entah-entah kita bekerja dalam satu bangunan tetapi berlainan tingkat. Ah, perasan betul aku. Mungkin kau hanya singgah makan di sini. Dan... aku berharap dapat bertemu dengan kau lagi.
*  *  *  *  *
SIAPA sangka esok paginya kita bertemu sewaktu menunggu lif di tingkat bawah bangunan yang menempatkan pejabatku. Ternyata telahanku semalam tepat! Mengapa aku tidak pernah nampak kelibat kau sebelum ini? Apakah kau baru diterima bekerja di sini? Mahu saja aku menegur tetapi aku masih waras. Ada malu yang menjadi benteng. Tentulah kau akan berfikir yang bukan-bukan jika aku menegur terlebih dahulu.
Pastinya kau akan menyangka yang aku ini perempuan gedik. Atau berniat mahu menggoda. Oh, tidak, aku bukan seperti itu. Aku hanya mahu tahu nama kau saja. Cukuplah buat mengisi ruang-ruang kosong dalam hatiku kala aku teringatkan kau. Sungguh aku mahu menyapa tetapi lidahku terasa sangat berat untuk menutur kata. Sepertinya ada paku yang ditekapkan di atas lidahku.
Pintu lif terbuka dan orang ramai mula berpusu-pusu masuk. Tidak terkecuali kau dan aku. Lif waktu itu agak sesak dengan orang ramai yang hendak menuju ke pejabat masing-masing. Aku tidak tahu sama ada ini kebetulan atau kau sengaja berdiri betul-betul di belakangku. Debaran di dalam hati waktu itu usah diteka. Serasa bagai mahu tercabut jantungku. Lif berhenti di tingkat sembilan dan kau pun keluar. Tangan sasamu menyentuhku, ah, sebenarnya lebih tepat beg sandangku. Aku sudah dilambung kegembiraan yang amat. Bau haruman yang dikenakan di tubuhmu cukup menggetarkan sanubariku. Sama seperti di kedai bunga tempoh hari.
Kini aku tahu kau bekerja di tingkat berapa. Harap-harap waktu pulang nanti, kita boleh berjumpa lagi namun hajatku tidak kesampaian sehingga kini, setiap kali waktu bekerja tamat, kita tidak pernah terserempak. Tidak mengapa, asalkan setiap pagi, aku boleh bertemu kau. Itu sudah memadai.
Esoknya, seboleh mungkin aku tiba awal ke pejabat. Seawal jam lapan walau waktu pejabat bermula pukul sembilan pagi. Sudah tentu tujuanku tidak lain dan tidak bukan adalah menanti kehadiran kau untuk naik lif bersama lagi. Aku sanggup menunggu walau sudah hampir lapan kali pintu lif itu terbuka dan tertutup. Wajahku berubah ria melihat langkah kakimu yang bergaya dengan kot dan beg bimbit. Pasti kau bertugas sebagai seorang eksekutif atau lebih tinggi lagi sedangkan aku hanya seorang kerani biasa.
Aku berdiri di sebelah kau sewaktu menunggu lif turun ke tingkat bawah. Sesekali aku mengerling ke wajah kau. Ketinggianku hanya separas dengan bahu kau. Dan bau haruman itu sekali lagi menyebabkan aku keresahan. Entah bagaimana aku tertangkap ketika melihat wajah kau. Anehnya, kau tidak marah dan hanya melemparkan senyum. Kau tahu perasaan yang melanda jiwaku saat menerima senyuman kau? Rasa seperti aku terawang-awang di ruang angkasa dengan kejora yang berkerlip mengelilingiku.
Keesokannya dan juga hari-hari seterusnya, menunggu kehadiran kau di awal pagi sudah menjadi rutin harianku. Apabila hujung minggu menjelang, mahu sahaja aku putarkan masa agar hari Isnin segera muncul. Aku mahu menatap wajah kau, berdiri di sisi kau, dan melihat senyuman kau. Berada di rumah tanpa kelibat kau sangat menyesakkan dada. Aku lemas dengan udara di rumah sendiri walau di rumah ada abang, adik perempuan dan ayahku. Ibu? Aku sudah kehilangannya sejak berumur lapan tahun lagi. Sejak itu ayah yang menanggung hidup kami adik-beradik. Dialah ayah, dialah ibu. Dan dia tidak pernah berkahwin sejak pemergian ibu menemui Ilahi, walau ada yang cuba menambat hati.
Pernah kusuakan pada ayah pertanyaanku mengapa dia tidak mahu berkahwin lagi sedangkan dia mampu. Kata ayah, cukuplah cinta dan kasihnya pada arwah ibu seorang. Dia tidak mahu mengkhianati cinta itu, tidak mahu mencemarkan kenangan dan ingatan ketika bersama-sama ibu. Ah, betapa setianya ayah! Alangkah baiknya jika aku bertemu dengan lelaki yang setia seperti ayah. Lalu wajah kau mula berlegar-legar di mindaku.

5 ulasan :

Leya berkata...

wah... len dr yg len ni. next pliz! ^_____^

Tanpa Nama berkata...

kalau x silap, ini dulu cerpen kan? -siti-

CuteOven berkata...

teruskan pls....jgn lama2...awal2 lg dh best

Riesna Zasly berkata...

best...
guna tema berbeza ya...
tak sabar nak baca seterusnyer

Rizai Reeani berkata...

Leya: Terima kasih Leya. Sekadar sebuah cerita yang santai. :)

Siti: Ya, Siti. Tak sangka Siti masih ingat. Dah lama juga cerpen ni ditulis. Saya cuma panjangkan sedikit.

CuteOven: Terima kasih cik, akan dimuat-turun Rabu dan Jumaat ini. Kisahnya pendek saja. :)

Kak Riesna: Ya, kak. Pengolahannya sedikit berbeza. Saya jarang menggunakan kata ganti diri pertama dalam tulisan saya. Sekadar mencuba. :)

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen. :D