Sepatah Dua Kata

Rabu, Oktober 13, 2010

Idaman Kalbu - Ceritera 02

MASIHKAH kau ingat, kali pertama kita berbicara? Selepas dua minggu kita menaiki lif bersama-sama setiap pagi, barulah kau menegurku dengan ucapan selamat pagi. Dua minggu kau mengambil masa untuk menegurku. Mungkin kerana kau fikir kita selalu saja terserempak ketika menaiki lif walhal kau tidak tahu aku yang setia menunggumu.
Pertama kali mendengar suaramu, seakan mainan muzik indah di pendengaranku. Ucapan tersebut sudah cukup menceriakan hariku kala itu. Ingin sahaja aku membalas tetapi lidahku kelu lantas aku hanya mengukir senyum. Nampaknya, ini satu permulaan yang baik. Mungkin aku boleh bertanya nama kau.
Baru sahaja aku hendak membuka mulut, pintu lif pun terbuka. Kau segera melangkah masuk diikuti penumpang yang lain. Ah, biarlah, banyak lagi masa. Namun, sangkaanku meleset. Selepas hari itu, aku tidak lagi nampak bayang kau. Aku seperti kucing kehilangan anak. Gelisah, resah dan gundah. Adakah kau sudah berhenti kerja? Atau sesuatu yang buruk sudah menimpa diri kau? Hampir seminggu juga aku tidak melihat wajah kau sehinggalah pagi Selasa itu kau muncul. Kulihat dahi kau bertampal. Dan laju mulutku bertanya,
“Kenapa dengan dahi awak?”
Sekelip mata hatiku ditujah gemuruh, Biar benar! Sudahlah tidak kenal, nak menyibuk pula. Bukan apa, aku hanya risau. Selebihnya perasaan hatiku membuak-buak, meronta-ronta ingin bertanya lalu tidak mampu kukawal.
“Kemalangan, langgar motor,” jawab kau dalam senyuman.
Selepas itu aku tidak bertanya lagi. Takut dianggap penyibuk. Walhal dalam hatiku berlumba-lumba persoalan yang ingin kuajukan pada kau.
“Lain kali hati-hati,” ucapku.
Sekali lagi aku tidak percaya dengan apa yang aku tuturkan. Gila! Aku memang dah tak betul! Siapa aku untuk menasihati kau begitu? Aku hanya orang asing.
“Terima kasih,” balas kau lalu serentak dengan itu pintu lif terbuka dan kita mula melangkah masuk menuju ke pejabat masing-masing.
Mungkin sudah suratan, petang itu aku pulang lewat kerana banyak kerja yang diberi oleh ketua bahagianku tadi dan semua dokumen itu hendaklah ditaip dan disiapkan hari itu juga. Mahu atau tidak, sudah tugasku, harus aku laksanakan. Rupanya ada hikmah aku pulang lewat. Aku berjumpa dengan kau di dalam lif sewaktu hendak turun ke tingkat bawah. Aku melirik jam di tangan. Tepat pukul 06.30 petang. Patutlah kita tidak pernah berjumpa bila petang tiba. Rupanya kau selalu pulang lewat. Pasti banyak kerja yang hendak dihabiskan di pejabat.
“Lewat balik hari ni?” kau menegur.
Oh, benarkah apa yang aku dengar? Kau mahu berbual denganku? Sudahlah hanya kita berdua di dalam lif. Bahagianya... dan aku mohon, supaya masa terhenti saat itu juga.
“Ada kerja sikit. Selalu ke balik lewat?”
Aku tidak tahu apa motif soalanku itu. Sebenarnya aku gemuruh. Fikiranku kacau. Tidak tahu hendak berbual apa dengan kau. Yang pasti hatiku berdebar-debar tidak keruan.
“Selalu juga. Kerja di tingkat berapa?” tanya kau lagi.
“Tingkat sebelas. Novella Holdings,” jawabku.
“Ting!”
Lif berbunyi menandakan kita sudah sampai ke tingkat bawah. Cepatnya! Aku mahu berbual dengan kau lagi. Aku lihat nombor di dinding lif untuk kepastian. Benar, tingkat bawah. Perlahan-lahan aku mengeluh namun cukup untuk didengar oleh kau.
“Kenapa?”
“Hah? Err... tak, tak ada apa...” segera aku menjawab bagi menutup keresahanku.
Kita berpisah di hadapan pintu lif. Aku menuju ke pintu keluar sementara kau berlalu ke kaunter receiptionist di bahagian kiri. Dan... aku masih belum tahu nama kau lagi.
“Cik!”
Langkah kakiku terhenti. Aku kenal suara itu. Ah, mungkin aku berkhayal. Segera aku meneruskan langkah semula.
“Cik!”
Kali ini aku yakin memang kau memanggilku lantas aku berpaling. Benar, kau sedang berlari anak menuju ke arahku.
“Ni, key-chain cik tertanggal,” ujar kau lalu mengunjukkan key-chain kartun Spongebob yang aku pasangkan di beg sandangku.
Aku menerima huluran tangan kau dengan terketar-ketar. Baik sungguh hati kau memulangkan key-chain itu padaku semula. Segera aku mengucapkan terima kasih.
“Minat dengan Spongebob ke?” tanya kau.
Aku mengangguk. Sungguh terasa mahu sahaja aku menarik lidahku kala itu agar berkata-kata. Entah mengapa bila bertentang mata dengan kau, lidahku jadi kelu untuk terus berbicara. Aku bukanlah pendiam orangnya malah digelar ‘mulut bertih jagung’ oleh rakan sepejabat.
“Tak sangka ya, ada juga orang dewasa yang masih tengok cerita kartun,” ujar kau.
Dapat kurasa mukaku kala itu merona merah. Marah? Tidak. Malu lebih tepat. Aku menonton cerita kartun itu kerana merasakan yang Spongebob itu comel. Lagipun, jalan ceritanya kelakar dan punya moral. Sedikit-sebanyak hilang tekanan kerja. Bagiku, tidak salah jika orang yang lebih dewasa menontonnya. Citarasa setiap orang, kan berbeza?
“Saya tak adalah tengok sangat cerita Spongebob tapi anak buah saya suka sangat dengan watak Patrick. Selalu saya belikan anak patung dan alat permainan yang ada gambar Patrick sampai saya pun rasa Patrick tu comel,”
Hah? Tak sangka! Memang tak sangka kita punya citarasa yang lebih kurang sama. Aku sekadar mengukir senyum. Masih keberatan untuk meluah kata walau di dalam hati, sudah berkumpul pelbagai persoalan untuk dimuntahkan.


“Oh ya, saya Syahar. Ini kad saya,”
Syahar! Akan kucatatkan dalam diari besar-besar yang pada hari ini aku sudah tahu nama kau. Penantianku berakhir juga. Kad yang dihulur kuterima. Kau kemudian meminta diri. Segera aku membaca butir-butir yang dicetak dengan warna keemasan pada kat rona hitam itu. Kau seorang Pengarah Sumber Manusia rupanya. Terasa kerdil pula diriku nak dibandingkan dengan kau yang berjawatan tinggi itu.
Sudahlah muka tak lawa, ada hati menyimpan perasaan pada lelaki sehebat kau. Pasti lelaki yang hebat, untuk wanita yang hebat juga. Barulah duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Aku lupa, pipit tidak mungkin terbang bersama dengan enggang.
Mungkin, aku harus berhenti dengan angan-angan kosong yang tak mungkin jadi kenyataan ini. Bukankah kau sudah ada kekasih hati? Jambangan bunga yang kau beli dulu pasti untuk kekasih kau. Aku pula buat-buat tidak tahu yang kau sudah punya kekasih dan masih berharap hendak memiliki diri kau. Sayang, aku ingin menggapai bintang tapi tangan tak sampai.

6 ulasan :

akira_bita berkata...

hohohoho! comelnya spongebob and patrick tu! hahah!

tol2.. tak semestinya org dewasa xleh tgk kartun.. =P

best! nak lg!

Leya berkata...

ala, sweet betul citer ni. kemon rina, luahkan je perasaan kau tu..

yanti berkata...

ala, janganlah gitu rina. x luah, kite x tau..

Rizai Reeani berkata...

akira: Ya, saya pun tengok cerita kartun juga. Hehehe... ;)

leya: Sebuah cerita yang agak santai saya kira. :)

yanti: Betul tu. Memendam rasa bukanlah satu sikap yang patut diamalkan. Eceh... ;)

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen :D

Azza berkata...

merahnye muka..
mengujakan..
x sbr nk bca yg seterusnya

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

Azza: Hehe... Segan juga, kan? Jemput baca seterusnya hingga akhir... :)