Sepatah Dua Kata

Sabtu, Oktober 02, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 05



KAFETERIA malam itu dipenuhi dengan kelompok pelajar yang beraneka ragam. Ada yang duduk melepak dalam kumpulan dan tidak kurang juga yang menikmati makan malam berduaan. Tidak ramai yang berada di dalam kafeteria sebaliknya duduk di luar merasai angin malam. Memang disediakan beberapa buah meja dan kerusi di luar kerana sudah menjadi kebiasaan para pelajar menghabiskan masa atau bertemu  janji di situ kala malam tiba.
“Ila ikut Zan balik rumah dia ke?” soal Adi yang baru lepas menghirup jus epal di hadapannya.
Hazwani buat tidak endah akan pertanyaan lelaki berbaju rona biru itu. Dia masih sakit hati dengan kejadian semalam. Ikutkan perasaan, malas mahu melayan lelaki itu keluar makan malam ini namun dek kerana tidak tahan dipujuk, dia terima juga. Lagipun, mungkin dia boleh gunakan kesempatan ini untuk menilai keikhlasan hati Adi.
“Malam semalam ada keluar ke mana-mana?” soal Hazwani tanpa sedikit pun memandang wajah Adi.
“Maksud Wani?” Adi bertanya, sekadar mahu memancing gadis itu berbual.
“Soalan punya senang macam tu pun you tak faham. I tanya, you ada keluar tak malam semalam?” nada suara Hazwani naik satu oktaf.
Adi tersengih. Ditatapnya gadis berkulit cerah yang mengenakan tudung putih bersulam manik kecil itu. Kedengaran seperti gadis itu ada menyimpan ketidakpuasan hati terhadap dirinya.
“Malam semalam I keluar makan dengan kawan. Kenapa?” jawab Adi, selamba.
“Oh, dengan kawan... Kawan yang mana?” Hazwani bertanya lagi.
“Should I answer that question?”
“Up to you...” Hazwani menarik muka masam.
Adi ketawa kecil. Lucu barangkali melihat reaksi gadis yang sedang cuba dicintainya itu. Ya, dia sayangkan Hazwani namun masih belum ada rasa cinta. Hazwani meluahkan rasa hatinya bulan lalu dan dia menerima tanpa banyak soal.
Fikir Adi, apa salahnya cuba belajar bercinta. Selama ini pun dia tidak pernah dilamun cinta. Sekadar berkawan rapat adalah. Dalam erti kata mudahnya, berfoya-foya tetapi dia lebih suka gunakan istilah berkawan rapat.
“Kenapa dengan you ni?”
“Tak ada apalah... I dah kenyang. Balik dulu,” ujar Hazwani lantas bangun namun sempat dihalang oleh Adi.
“Terus-terang saja dengan I. Kenapa ni?” desak Adi.
Nothing... Oh ya, by the way, tolong tutup mulut you tentang Ila. Hanya you dan I saja yang tahu pasal dia. Kalau berita ni tersebar, I tak akan cari orang lain selain you! Faham!” bentak Hazwani lalu melangkah pergi.
“Wani, wait!” laung Adi lalu bingkas bangun mengejar Hazwani yang semakin jauh meninggalkannya.
“Wani! Please! Apa yang you tak puas hati ni?” soal Adi sejurus dia berada di hadapan gadis itu.
“Siapa yang keluar dengan you semalam?” tanya Hazwani, tidak mahu berteka-teki lagi.
Adi merenung tajam wajah Hazwani. Nampaknya telahan dia benar. Hazwani pasti ternampak dia dengan Fazira malam semalam. Oh, gadis itu cemburu rupanya.
I keluar makan dengan Fazira. Kenapa?”
“Kenapa? You ask me why?
I rasa setakat keluar makan tak salah, right?
“Yup, keluar makan memang tak salah. Tapi kalau dah tergedik sana, terkinja sini. Bertepuk-bertampar, itu salah!” tegas Hazwani.
Tawa Adi meletus. Benarlah gadis di hadapannya ini dilanda cemburu. Kata orang, cemburu itu tandanya sayang. Hazwani begitu tulus menyayanginya tapi dia?
You cemburu ya?” giat Adi.
“Jangan nak perasan! I cuma geli aje. You tak malu ke orang tengok both of you macam tu?”
“Nak malu apanya. She’s my cousin,
“Ah, malas I nak layan you!” balas Hazwani lalu berpaling pergi namun terhenti apabila lengannya digapai oleh tangan Adi.
I tak faham. Bila bercinta, maksudnya I tak boleh keluar dengan orang lain ke? Asal dengan orang lain aje you cemburu. Kalau macam ni, baik tak payah bercinta! I tak suka dikongkong!” luah Adi.
Hazwani tersentak. Dikongkong? Apakah itu yang Adi rasakan bila bersama dengannya? Pantas direntap lengannya dari pegangan Adi.
Fine! Kalau itu yang you rasa, kita putus!” ucap Hazwani.
Adi termangu.

*  *  *  *  *

HAJAH SARIFAH memandang dua susuk tubuh yang ada di hadapannya. Seorang amat dia kenali sementara seorang lagi terlalu asing padanya. Tidak pula Ramzan khabarkan yang dia bawa teman balik sekali. Seorang gadis pula tu.
“Zan!” ucap Hajah Sarifah lalu menuruni anak tangga dengan berhati-hati.
“Apa khabar mak?” tanya Ramzan sambil bersalam dan kemudian mendakap emaknya.
“Sihat. Pukul berapa bertolak tadi?”
“Pukul lima mak. Err... yang ini kawan sekelas Zan. Dalila, kenalkan, ini mak saya,” ujar Ramzan.
Dalila tunduk menyalami tangan wanita yang memakai baju kurung Kedah dengan kain batik itu. Hajah Sarifah hanya memandang curiga.
“Apa khabar makcik?” tanya Dalila walaupun dia mendengar Ramzan sudah bertanya soalan tersebut sebelum ini. Dia hanya gemuruh. Hanya bercakap apa yang terlintas di fikiran.
“Baik... Mari, jemput naik,” pelawa Hajah Sarifah.
Ramzan dan Dalila naik ke atas rumah. Hajah Sarifah mempersilakan Dalila duduk. Tiada sesiapa di ruang tamu itu kala ini. Hanya suara dari peti televisyen yang kedengaran.
“Ayah mana mak?” soal Ramzan.
“Ada mesyuarat Rukun Tetangga di balai raya lepas Isyak tadi. Mungkin kejap lagi baliklah tu. Duduklah dulu, mak ke dapur sekejap,” ujar Hajah Sarifah.
Ramzan melabuhkan punggung di atas kerusi tidak jauh dari Dalila. Badannya terasa sengal-sengal. Dia melihat ke arah Dalila yang menundukkan wajah.
“Macam mana mak saya?” soal Ramzan pada Dalila membuatkan gadis itu sedikit tersentak.
“Baik, peramah orangnya,” jawab Dalila, ringkas.
Tidak lama kemudian, Hajah Sarifah muncul semula di ruang tamu dengan dulang berisi seteko teh dan tiga biji cawan. Dituangnya air teh ke dalam cawan lalu diunjukkan pada Ramzan dan Dalila.
“Minumlah dulu ya. Ni dah makan ke belum?” tanya Hajah Sarifah seraya memandang Dalila.
“Ah, sa... sa...”
“Kita orang dah makan di stesen bas tadi mak,” Ramzan menjawab baik pihak Dalila yang jelas kelihatan gugup.
“Assalammualaikum,” ucap seseorang dari luar rumah.
Ramzan tersentak. Dia kenal suara itu. Sempat dipandang Dalila yang menjungkitkan kening. Seorang lelaki melangkah masuk ke ruang tamu.
“Ayah!"
::bersambung::

6 ulasan :

datul berkata...

adoi, sakit jantung baca citer ni. cepat r smbung ye.

Rizai Reeani berkata...

datul: hehehe... tak boleh sambung cepat-cepat setakat ni. dilanda kesibukan yang amat. maaf ya... :)

zarah berkata...

best3x!! jangan lupa sambung k!

zira berkata...

zira: cepat lahhhhh...x sabar nie...

firda berkata...

mesti ayah dia marah giler. x kawinlah ramzan ngan ila.

Rizai Reeani berkata...

zarah: insya-allah, tidak akan dilupa :)

zira: ya, sudah disambung ;)

firda: itulah, kita sama-sama tengok nanti ya ;)

terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen :D