Sepatah Dua Kata

Khamis, Oktober 07, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 06



“BERNIKAH?”
Ramzan sudah dapat menjangka reaksi emaknya. Ayahnya pula tampak tenang. Dalila di sebelah diam menikus. Tidak mampu mengangkat wajah. Diserahkan pada Ramzan bulat-bulat untuk memberitahu perkara itu pada kedua ibu bapanya.
“Mak tak salah dengar, kan Ramzan?” ujar Hajah Sarifah, meminta kepastian sekali lagi.
“Ya mak, saya nak bernikah dengan Dalila,” jawab Ramzan.
“Ta... tapi... kenapa?”
“Mak, Zan tahu apa yang Zan minta ni sesuatu yang tak dijangka. Tapi Zan serius mak. Zan nak bernikah dengan Dalila,”
“Zan sedar tak apa Zan cakap ni? Soal nikah-kahwin bukan boleh dibuat main. Mak tak faham apa yang Zan cuba buat,” balas Hajah Sarifah.
“Mak... Zan bukan minta benda tak baik. Zan cuma nak bernikah dengan Dalila. Lagipun, bila dah bernikah nanti, tak adalah timbul fitnah. Kami pun tak adalah buat benda bukan-bukan,” Ramzan membela diri.
Kata-kata Ramzan membuatkan Dalila meneguk liur. Tak buat benda bukan-bukan? Lupakah lelaki itu bahawa mereka sudah pun terlanjur? Bernikah ini pun sebab mahu menutup malu dan kandungan dalam perutnya.
“Ya, mak tahu. Tapi semuanya macam terlalu cepat. Nak buat kendurinya lagi, apa lagi, banyak benda nak diuruskan...”
“Ala, awal-awal ni, nikah dulu. Kenduri kahwin tu boleh dibuat kemudian. Yang penting nikah,” bidas Ramzan.
Dalila hanya menjadi pendengar yang setia. Cuma dia sedikit gusar apabila tidak mendengar ayah Ramzan bersuara. Apakah lelaki itu sedang menahan amarah atau sudah mula menaruh wasangka?
“Mak tak setuju Zan,” ujar Hajah Sarifah.
Ramzan melepaskan keluhan. Dia tahu emaknya pasti menentang tetapi tidak boleh tidak, dia harus bernikah dengan Dalila juga. Sementara kandungannya masih awal, perkara ini masih boleh disorokkan.
“Mak, Zan minta benda yang elok mak. Kami saling menyintai. Lagipun, Zan tak nampak salahnya kalau kami bernikah,” hujah Ramzan.
“Abang...” Hajah Sarifah sudah beralih pada suaminya pula.
Ah, sudah! Inilah yang Ramzan paling takut sebenarnya. Sekali ayahnya membuat keputusan, dia tidak akan boleh menentang. Hitam kata ayahnya, hitamlah. Ramzan memberanikan diri memandang wajah ayahnya, mengharap agar ayahnya itu faham akan apa yang cuba disampaikan.
“Apa kata keluarga Dalila?” soal Haji Haziq.
“Dalila anak yatim-piatu ayah,” jawab Ramzan.
Ruang tamu itu diterpa hening seketika. Masing-masing melayan rasa. Kipas siling yang berputar tidak sedikit pun menghadirkan dingin dalam hati Ramzan. Dapat dirasa belakang badannya sudah basah dek peluh. Gementar menanti ayahnya menyambung bicara.
“Beginilah Zan... Ayah rasa lebih baik jika kamu berdua bertunang dulu. Masih awal untuk kamu berdua menempuh alam rumah tangga. Kita ada adat. Bertunang dulu dalam masa setahun dua. Kemudian, baru nikah. Masa tu, kamu berdua pun dah habis belajar. Dah boleh mula cari kerja. Kalau kamu menikah sekarang, kamu nak bagi Dalila makan apa? Pasir?” panjang bicara Haji Haziq.
Ramzan tersentak. Kebenaran kata-kata ayahnya memang tidak boleh disangkal lagi. Pandangannya dialih pada gadis yang sejak tadi mengunci mulutnya. Dia tahu Dalila terasa seperti orang asing. Namun, Dalila perlu bersuara untuk membantunya. Jika tidak, semua rancangan akan menemui jalan buntu.
“Tapi ayah...”
“Pakcik, saya...” Dalila akhirnya membuka mulut tetapi berjeda seketika.
“Saya tahu pakcik dan makcik terkejut dengan apa yang kami sampaikan tadi. Memang tak nafikan, kata-kata pakcik tu betul. Sepatutnya kami bertunang dulu, baru berkahwin. Sama seperti orang lain. Tapi pakcik, saya bimbang. Orang kata, bertunang ni banyak dugaannya. Saya takut sesuatu yang buruk akan berlaku dalam hubungan kami. Sebab tu kami nak kahwin terus. Sekurang-kurangnya, perhubungan kami terjamin dan tidak menyalahi batas agama,” jelas Dalila dalam suara yang takut-takut.
Haji Haziq dan Hajah Sarifah saling berpandangan. Dalila kembali menundukkan wajah. Serasa mahu saja Ramzan memegang erat bahu gadis itu, memberi kekuatan tetapi dia sedar, dia sedang berhadapan dengan kedua orang tuanya. Dia tidak boleh melakukan sesuatu yang kurang manis dilihat.
“Dalila... pakcik bukannya menentang hubungan kamu berdua. Pakcik cuma minta kamu berdua bersabar sedikit. Alam rumah-tangga ni bukan macam zaman bercinta. Lain bezanya. Pakcik tak mahu kamu berdua terlalu ikutkan perasaan. Mula-mula berkobar-kobar nak kahwin. Kemudian, tak lama lepas tu, bercerai-berai. Sebabnya tak faham hati pasangan masing-masing. Kamu berdua masih muda. Hidup ini masih banyak yang perlu diteroka,” balas Haji Haziq.
“Semuanya terlalu cepat bagi makcik. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba kamu muncul. Kemudian cakap pasal nikah-kahwin pula. Siapa yang tak terkejut,” Hajah Sarifah menambah.
“Mak, ayah, Zan...” kata-kata Ramzan terhenti apabila ditukas oleh Haji Haziq.
“Biarlah ayah dan mak berbincang dulu Zan. Lagipun, dah lewat malam ni. Kamu berdua pun tentu penat. Berehatlah. Esok kita bincang lagi. Emaknya, tunjukkan bilik Dalila ni,” ujar Haji Haziq lebih kepada sebuah arahan.
Hajah Sarifah bingkas bangun diikuti dengan Dalila. Haji Haziq juga bangun selepas itu. Hanya tinggal Ramzan seorang di ruang tamu. Dia terkilan. Hampa kerana rancangannya tidak menjadi. Diraup wajah dengan telapak tangan. Apa yang perlu dia lakukan sekarang ini?
::bersambung::

1 ulasan :

epy elina berkata...

hrp2 zan trgkn prkra sbnr dgn baik...
crt elok2x...