Sepatah Dua Kata

Isnin, Oktober 18, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 07



HAJAH SARIFAH menghirup teh panas yang dihidangkan di hadapannya. Terasa sedikit kelat. Sama kelat seperti perasaannya sekarang. Mak Enon dari tadi hanya memerhati gerak-geri sahabatnya sejak dari sekolah menengah itu. Sungguh dia terkejut dengan kemunculan Hajah Sarifah kala pagi begini. Jarang sekali sahabatnya itu bertandang ke rumah waktu mentari masih belum tegak di atas kepala lagi.
Selalunya mereka akan berbual kosong tika petang menjelma. Kadang-kadang Hajah Sarifah akan berkunjung ke rumahnya dan kadang-kadang dia akan ke rumah sahabatnya itu. Dan kedatangan Hajah Sarifah pagi ini ternyata menghadirkan curiga dalam hati. Pasti ada sesuatu yang mahu dikhabarkan padanya.
“Aku tak tahu nak cakap macam mana lagi Non,” ujar Hajah Sarifah.
“Kenapa ni Pah? Ada yang tak baik berlaku ke?”
“Si Ramzan tu...”
“Kenapa dengan dia?” tanya Mak Enon.
Hajah Sarifah berjeda seketika. Entah mahu diberitahu pada Mak Enon atau tidak tentang hasrat anak bongsunya yang seorang itu. Apa pula kata Mak Enon kalau dia tahu Ramzan mahu berkahwin? Bukankah dahulu mereka pernah bercadang mahu menyatukan Ramzan dengan Liyana selepas keduanya tamat belajar?
“Pah?” tegur Mak Enon apabila tiada balasan dari sahabatnya itu.
“Ramzan... dia... dia...” tergagap-gagap Hajah Sarifah dibuatnya.
“Dia kenapa Pah?”
“Dia nak kahwin Non!” lancar Hajah Sarifah menutur kata kali ini.
Wajah Mak Enon berubah. Dahinya berkerut. Kahwin?
“Mengapa nak cepat kahwin pula? Anak kita kan belum habis belajar lagi?” soal Mak Enon.
Hajah Sarifah mencapai cawan di hadapannya lalu menghirup teh tersebut sekali lagi, bertujuan mahu menghilangkah gundah yang bersarang di hatinya. Apa agaknya reaksi wanita di hadapannya ini jika mengetahui yang Ramzan sudah punya pilihan hati sendiri?
“Err... Ramzan... Ramzan nak kahwin dengan... dengan...” belum sempat Hajah Sarifah menghabiskan kata, Mak Enon terlebih dahulu menukas.
“Dengan sapa Pah? Kau ni buat aku berdebar aja,”
“Dengan Dalila, Non!”
“Dalila? Sapa tu?”
Akhirnya Hajah Sarifah meluahkan juga. Dia perlu berterus-terang dengan Mak Enon sebelum wanita itu membuat tanggapan sendiri. Apa yang nak jadi lepas ni jadilah. Asalkan dia sudah menyatakan segla yang ada dalam hatinya.
“Dalila tu kawan sekelas dia kat universiti. Semalam mereka balik ke rumah. Terus aja si Ramzan tu beritahu yang dia nak kahwin dengan budak perempuan tu. Aku pun tak tahu hujung pangkal cerita Non,” jelas Hajah Sarifah.
“Kau biar betul Pah?”
“Iya Non... Aku sendiri masih tak percaya. Entah apalah agaknya yang budak perempuan tu dah jampi kat anak aku tu Non sampai ajak berkahwin. Aku tak tahu nak buat macam mana lagi...”
Mak Enon bungkam. Suasana ruang tamu rumah papan itu dilanda keheningan. Di luar, mentari mula galak menyinar. Sayup-sayup kedengaran kicauan murai di dahan tembusu. Gemersik dedaun kering yang disentuh angin, tidak mampu menghadirkan ketenangan dalam hati Hajah Sarifah mahupun Mak Enon.
Kebisuan bermaharajalela antara keduanya. Masing-masing melayan perasaan. Sedangkah Hajah Sarifah terkejut dengan permintaan anaknya, apatah lagi Mak Enon. Tanpa mereka sedari, sejak awal lagi perbualan mereka itu didengari oleh seseorang di sebalik dinding.
Setitis air mata jatuh ke telapak tangan kirinya. Air mata kecewa. Air mata luka. Kekasih pujaan hati mahu berkahwin tetapi bukan dengan dirinya. Apakah masih punya kesempatan untuk memutar semula masa agar bisa diluah rasa cinta yang kian menggebu di hati ini?
Perlahan-lahan Liyana bangun menuju ke biliknya. Dihamburkan segala kesedihan yang menghuni di hati. Dia sudah terlambat. Ramzan bukan miliknya lagi. Ah, dia tidak pernah memiliki lelaki itu pun sebenarnya.
Tiba-tiba Liyana bingkas bangun. Diseka air mata yang mengalir dengan jemarinya. Langkah kaki diatur. Dia perlu ke satu tempat. Tempat yang punya jawapan bagi segala permasalahan yang mula wujud ini.

*  *  *  *  *

“APA yang kita nak buat sekarang Zan?” tanya Dalila ketika mereka duduk menikmati angin pagi di pangkin di halaman rumah.
Ramzan diam. Sehelai daun rambutan yang kekeringan jatuh ke kepalanya. Digapai daun rambutan tersebut lalu direnyukkan. Dia tidak punya jawapan untuk soalan Dalila tadi. Ayahnya mahu mereka bertunang dahulu sedangkan mereka tidak punya masa lagi.
“Kalau ayah Zan dah cakap macam tu, tak ada gunanya kita bantah. Mungkin Ila boleh minta penangguhan belajar,”
“Jangan Ila! Apa sebab yang Ila nak beritahu pada dekan? Nak cakap Ila mengandung? Tentunya Ila kena buang nanti,” Ramzan membantah keras cadangan Dalila tadi.
“Ila akan fikirkan alasannya,” Dalila cuba membela diri.
“Tak mungkin Ila dapat cari alasannya. Sebab itu, kita perlu bernikah. Kalau dah bernikah, sekurang-kurangnya, dekan boleh pertimbangkan penangguhan Ila. Tak adalah Ila kena buang,”
“Habis kita nak buat apa sekarang? Zan ada penyelesaiannya?” suara Dalila meninggi sedikit.
Ramzan menoleh pada kekasih hatinya. Ada manik-manik putih yang berladung di kolam mata gadis itu. Dia tahu Dalila tertekan. Dia juga tertekan. Namun mahu atau tidak, mereka tetap perlu teruskan hidup dengan mencari jalan supaya kandungan Dalila dapat dirahsiakan.
“Kalau kita beritahu perkara sebenar macam mana?” ujar Dalila lagi.
Anak mata Ramzan membulat. Apakah Dalila sudah tidak mampu berfikir secara waras? Berterus-terang? Itu mencari nahas namanya. Sudah pasti ayah dan emaknya tidak akan menerima Dalila jika perkara sebenar terbongkar.
“Ila sedar tak apa yang Ila cakap tadi?”
“Mungkin kalau kita beritahu perkara sebenar, mereka boleh terima Ila,”
“Mustahil! Mereka tu keluarga Zan, Ila. Zan kenal mereka. Sudah! Jangan sesekali Ila bangkitkan hal tu. Zan tak suka!” tegah Ramzan.
Dalila menundukkan wajah. Sedikit terasa dengan kata-kata Ramzan tadi. Lelaki itu sudah mula pandai meninggikan suara terhadapnya. Ramzan tidak lagi berbicara dengan lembut dan romantis. Tutur kata lelaki itu ibarat jarum yang menyucuk rakus hatinya.
“Assalammualaikum,” tegur seseorang.
Ramzan berpaling pada empunya suara yang menegurnya tadi. Dia terpana melihat sesusuk tubuh yang amat dia kenali. Seseorang yang telah lama menjadi teman suka dan dukanya. Dalila yang baru mengangkat wajah berubah air mukanya. Apatah lagi melihat senyuman yang terukir di bibir Ramzan.
 “Yana! Lama tak jumpa ya!” ucap Ramzan.
Liyana menguntum senyum kecil. Matanya tidak lepas dari memandang wajah Ramzan. Tidak sedikit pun berpaling pada gadis di sebelah lelaki itu.
“Ya, lama kita tak jumpa,” balas Liyana dengan hati yang berbunga ceria.
‘Siapakah gerangan gadis yang berada di hadapan mereka ini?’ getus hati Dalila, cemburu!
::bersambung::

5 ulasan :

epy elina berkata...

alah...
napa la yana ni...
dah thu zan nak kawen...
msih jg brmuka tmbok...

Leya berkata...

woo.. konflik dah mula. habislah si ramzan tu

ixora berkata...

setuju ngan epy. ape lagi si yana tu nak. ish3x..

Tanpa Nama berkata...

mesti yana tu nak rampas zan. ish, sapa yang jahat sekarang ni?

Rizai Reeani berkata...

Semua: Em, orang selalu kata, selagi belum bergelar suami/isteri, masih punya kesempatan untuk menambat hati. Hehehe... ;)

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen.