Sepatah Dua Kata

Rabu, Oktober 20, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 08



LANGIT malam yang kelam tanpa kerdipan bintang direnung entah untuk yang ke berapa kali malam ini. Fikirannnya benar-benar buntu. Mindanya sudah tidak mampu mencerna sesuatu sebagai jalan penyelesaian.
Boleh dikatakan kunjungannya ke rumah Ramzan sia-sia. Tujuan asal mereka gagal. Bertambah buruk apabila muncul seseorang yang menghadirkan curiga dalam hati. Ya, seseorang yang dilihat Dalila sebagai batu penghalang.
Sewaktu pulang semula ke Kuantan dengan menaiki bas, Dalila hanya membisu sedangkan dalam hati pelbagai persoalan mahu diutarakan pada kekasih hatinya itu. Dalila masih ingat pandangan sayu Hajah Sarifah padanya ketika dia bersalam dengan wanita itu.
Entah pandangan kasihan atau pandangan jelik. Haji Haziq pula tidak mempamerkan sebarang riak pada wajahnya. Lelaki itu telah beri kata putus. Mereka akan bertunang seminggu dari sekarang.
Pertunangan tersebut sedikit menggembirakan hati Dalila walau pada awalnya dia mengharapkan sebuah perkahwinan. Tetapi dengan bertunang, ia juga satu jaminan bahawa Ramzan adalah miliknya seorang. Hanya dia. Sekaligus bermakna gadis yang ditemui Dalila itu tidak boleh lagi masuk campur dalam hubungan mereka.
“Yana tu kawan baik saya sejak dari sekolah rendah,” ujar Ramzan selepas Liyana pulang walau tidak ditanya olehnya.
Kawan baik? Kelihatan sangat mesra pada pandangan Dalila. Gadis itu bukan main lagi sopan tutur katanya. Dalila juga terkejut melihat telatah Ramzan yang gemar mengusik gadis itu. Sungguh Dalila tidak senang melihat perlakuan kedua-duanya.
Mungkin pada Ramzan hubungan mereka begitu tetapi bagaimana pula pada pihak Liyana? Kawan baik? Mustahil seorang lelaki dan perempuan boleh berkawan baik. Salah satunya mesti terjerumus ke dalam lembah perasaan. Ya, salah seorang pasti akan jatuh cinta.
Dan Dalila dapat lihat sinar cinta di mata gadis bertudung itu. tidak salah lagi. Dia harus berusaha agar Ramzan tidak berpaling darinya. Namun, dengan keadaannya yang begini, apakah mampu dijamin yang Ramzan tidak akan berubah hati?
Perlahan-lahan, sebuah keluhan dilepaskan. Cukup menarik perhatian Hazwani. Gadis itu hairan melihat perubahan sikap rakan baiknya sejak pulang dari rumah Ramzan petang tadi. Gadis itu lebih banyak termenung dan mendiamkan diri. Dahulu gadis itu ceria orangnya. Selalu saja bercerita dan gemar mengusik. Berlainan benar dengan gadis yang berada di hadapannya kala ini. Tiada lagi cerita mahupun usikan dari Dalila. Dia seakan hidup di dalam dunianya sendiri.
Mahu saja Hazwani bertanya akan perkara yang berlaku di rumah Ramzan. Hazwani tahu Dalila ke sana atas satu tujuan. Mahu mendapatkan restu keluarga Ramzan untuk melangsungkan perkahwinan. Kandungan Dalila perlu disembunyikan sebelum ia terbongkar. Hanya dengan melangsungkan perkahwinan, maruah diri Dalila dapat diselamatkan.
 “Wani...” Dalila membuka mulut.
Akhirnya! Bersuara juga rakan baiknya itu!
“Ada apa Ila?”
“Aku rasa nak berhenti belajar,”
“Hah?” Hazwani terpempan!
“Berhenti belajar? Kau biar betul!”
“Keluarga Ramzan tak mahu kami berkahwin,” beritahu Dalila.
Hazwani meneguk liur. Begitu... Jadi rancangan mereka gagal. Apakah yang perlu mereka lakukan kala ini?
“Apa kata Ramzan?”
“Dia tak benarkan tapi aku tak nampak jalan penyelesaian tentang perkara ni. Aku fikir, lebih baik aku berhenti belajar dan duduk di rumah mak angkat aku di rumah Darun Nur. Sekurang-kurangnya mereka di sana boleh menerima keadaan diri aku,” jelas Dalila.
“Jangan cepat mengalah Ila. Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Keluarga Ramzan tak tanya ke kenapa kau orang nak kahwin?”
“Mahunya tak tanya. Tak ada angin, tak ada ribut, tiba-tiba nak kahwin. Tergesa-gesa pula tu. Sesiapa pun boleh syak ada sesuatu dah berlaku. Mujur ayah dan emak Ramzan tak banyak bertanya. Mereka hanya nak kami bertunang dulu,”
“Baguslah macam tu. Bertunang dalam sebulan, kemudian kahwin. Perut kau masih kecil lagi waktu tu,”
“Kalaulah mereka berfikir sebagaimana kau berfikir Wani...”
“Maksud kau?” Hazwani bertanya tidak faham.
“Tempoh pertunangan tu sehingga kita orang tamat belajar,”
Hazwani diam. Kalau begitu, Ramzan dan Dalila perlu buat sesuatu. Harus cepat sebelum kandungan dalam tubuh Dalila membesar. Waktu itu, semuanya sudah tidak berguna lagi.
“Sabar Ila, doa banyak-banyak. DIA Maha Mendengar...” pujuk Hazwani.
“Aku tak yakin Tuhan akan dengar doa aku yang kotor ni Wani...”
“Masya-allah! Tak baik cakap macam tu Ila! Tuhan itu Maha Penyayang lagi Maha Pengasihani. Masih ada peluang untuk bertaubat dan memperbaiki diri,” hujah Hazwani.
Dalila kembali menoleh pada langit malam yang hitam pekat. Dia sudah melakukan dosa. Malah dosa yang tergolong dalam dosa besar. Masihkan punya kesempatan untuk dia menebus dosa itu?

*  *  *  *  *

“APA cerita kau balik kampung?” Adi bertanya pada kawan sebiliknya yang sedang berbaring di atas tilam sejurus dia menolak pintu bilik.
Ramzan bangkit dari baring. Dia melihat Adi sudah duduk di katil di hadapannya, menanti mulutnya berbicara. Apakah dengan meluahkan pada Adi, masalahnya akan selesai? Dia rasa tidak.
“Mana tahu aku balik kampung?”
“Wani,” jawab Adi sepatah.
“Jadi kau tahulah Ila ikut aku sekali?”
Adi hanya mengangguk sebagai jawapan. Dia terdengar Ramzan mengeluh. Wajah lelaki itu keruh. Pastinya berat beban yang ditanggung Ramzan. Dia masih ingat kali pertama Hazwani memberitahu akan perihal Dalila yang mengandung. Bertambah terkejut apabila tahu Ramzan adalah bapa pada kandungan tersebut.
Adi sedia maklum akan keintiman kedua mereka cuma dia tidak menyangka yang keduanya boleh terlanjur. Ah, nafsu itu sesuatu yang sukar dikawal. Apatah lagi bila syaitan sudah terang-terangan tugasnya mahu menggoda dan menyesatkan manusia.
Dia bukanlah mahu berlagak alim tetapi Ramzan seharusnya lebih bijak dari dirinya yang digelar kasanova oleh rakan-rakan sekuliah. Ramzan lelaki yang matang. Tidak sepertinya yang mendampingi wanita untuk keseronokkan tetapi tidaklah sampai merosakkan maruah wanita tersebut.
“Apa kata mak ayah kau?”
“Mereka nak kita orang bertunang,” jawab Ramzan.
“So?”
“Bertunang tak akan selesaikan masalah. Aku dan Dalila harus berkahwin. Selepas tu baru dia boleh minta penangguhan belajar. Kalau tak, dia terpaksa berhenti. Kau tahu sajalah undang-undang universiti,” jelas Ramzan.
“Maksudnya, kalau kau orang berkahwin, masalah akan selesai?”
“Ya, semuanya akan selesai. Lagipun, kandungan Dalila baru nak masuk sebulan. Sementara perut dia belum membesar, lebih baik disorokkan,”
Keheningan mula menggamit kedua-dua lelaki itu. Hanya bunyi bilah kipas yang kedengaran. Ramzan kembali berbaring. Hatinya terasa lega sedikit. Meluahkan masalah pada Adi seakan melepaskan secebis dari masalah itu pergi.
“Aku rasa aku ada cadangan,” ujar Adi setelah agak lama berjeda.
Ramzan tersentak. Wajah Adi direnung tajam. Lelaki itu punya cadangan yang dapat menyelesaikan masalahnya? Benarkah?
“Kau serius?”
“Ini cadangan saja. Terpulang sama ada kau nak buat atau tak,”
“Okey, apa dia?”
“Begini...”
::bersambung::

7 ulasan :

epy elina berkata...

wah....
apa la rncngn adi 2...
x sbr nak thu lak...

Rizai Reeani berkata...

Epy Elina: Rancangan Adi inilah yang akan mencetus konflik nanti. :)

Leya berkata...

apalah agaknya rancangan si adi tu ya? jgan wat bukan2 dah le..

adi.. lol berkata...

aku rase la kan.. aku taw ape rancangan aku... hahahhahahha... weh.. tp apsal aku jd kasanova???

aqilah berkata...

baik berterus terang sebelum keadaan menjadi lebih kelam kabut

shura berkata...

stuju ngan aqilah. better terus-terang je. jngan ikut rancangan adi tu.

Rizai Reeani berkata...

Leya: Harap-harap begitulah ya.

Adi: Syhh... Diam-diam sikit. Hahaha... Em, pelakon tambahan tak boleh pilih watak tau. Hehehe... :p

Kak Aqilah: Betul tu kak, berkata benarlah walaupun pahit.

Shura: Kadang-kadang, walau kita punya pilihan, kita tetap tak mampu nak memilih...

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. (^_^)