Sepatah Dua Kata

Khamis, Oktober 28, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 09



MATA Dalila tidak berkerdip mendengar bicara Ramzan. Apakah lelaki itu sedar akan perkara yang sedang dibincangkan sekarang atau sememangnya lelaki itu sudah tidak waras dek kerana tekanan yang semakin menghimpit?
“Setuju?” tanya Ramzan.
“Zan bergurau bukan?”
“Zan tak akan bergurau untuk perkara sebegini berat Ila,” balas Ramzan, serius.
Entah mengapa hati Dalila terasa tidak enak. Fikirannya kusut. Tidak terjangka akan rancangan Ramzan itu. Sungguh, dia tidak pernah terfikir pun hingga ke arah itu.
“Zan... Ia terlalu berisiko,”
Ramzan mengeluh. Jelas Dalila tidak bersetuju dengan rancangannya. Ramzan masih ingat sewaktu Adi menyatakan rancangannya semalam. Mulanya dia juga terkejut seperti Dalila tetapi setelah mendengar penjelasan dari Adi, Ramzan rasakan itulah satu-satunya jalan penyelesaian yang mereka ada sekarang ini.
“Semuanya dah diaturkan. Adi...”
“Adi? Huh! Jadi ini rancangan playboy tu rupanya...” tukas Dalila seraya mencemik.
“Ya, ini memang rancangan Adi dan Zan rasakan hanya ini saja jalan yang kita ada. Dia boleh bantu kita,”
“Jangan merepek Zan! Jangan nak tambahkan masalah yang dah sedia ada,” bantah Dalila.
“Kita dah pun terjebak dalam masalah Ila. Yang penting sekarang ialah jalan penyelesaian,” Ramzan membidas kenyataan teman wanitanya tadi.
“Ila tak setuju! Majlis pertunangan tu enam hari saja lagi. Zan jangan nak cari masalah!”
“Zan tahu... Tapi...”
“Cukuplah Zan, Ila tak nak...” suara Dalila mulai kendur.
“Kalau bukan untuk kita, fikirkan untuk bayi dalam kandungan tu Ila...”
Dalila tersentak! Dia hampir lupa akan janin yang berada dalam perutnya sekarang. Tidak, dia tidak lupa tapi dia seboleh mungkin dia tidak mahu memikirkannya. Kepalanya sudah hampir pecah memikirkan segala apa yang sedang berlaku sekarang. Semuanya terasa sangat memeritkan.
“Tolong Ila, hanya ini yang kita boleh lakukan,” pujuk Ramzan lalu memegang erat kedua belah bahu Dalila.
Hujan renyai-renyai mula menyimbah gazebo kecil di Taman Ilmu berhampiran blok kuliah tengah hari itu. Apabila menyentuh tentang anak, Dalila lemah. Perlahan-lahan, kepalanya dianggukkan. Ramzan mengukir senyum, lega.

*  *  *  *  *

HAJAH SARIFAH baru pulang dari bandar Seremban membeli beberapa barang untuk persiapan majlis pertunangan anak bongsunya pada Sabtu ini. Dia tersandar kelihatan di sofa. Haji Haziq pula terus keluar selepas membantu meletakkan barang-barang di ruang tamu. Ada mesyuarat AJK kariah masjid katanya.
Jam di dinding menunjuk ke angka 2.30 petang. Plastik-plastik berwarna merah dan putih diperhati satu per satu. Ada bekas untuk dibuat hantaran, kain pasang, kasut dan sedikit manisan. Cukuplah ala kadar saja memandangkan ini hanya majlis pertunangan. Lagipun Ramzan sudah berpesan supaya tidak membazir. Ikutkan dia, sekadar menyarung cincin sudah memadai tetapi Haji Haziq berkeras mahu buat sedikit majlis makan-makan. Sekurang-kurangnya orang kampung tahu.
Hidup bermasyarakat ni, perlulah saling kenal-mengenal dan ambil berat akan kebajikan masing-masing. Apatah lagi status Haji Haziq sebagai penghulu. Takkan mahu disorok akan perihal pertunangan anaknya. Nanti apa pula kata orang kampung.
Hajah Sarifah mengeluh lagi. Terbayang wajah gadis kecil molek berkulit cerah itu di pandangannya. Ada simpati yang menerjah namun pantas pergi apabila disapa curiga. Jauh di sudut hati, Hajah Sarifah mahupun Haji Haziq tahu, ada sesuatu yang sudah berlaku tetapi mereka tidak mahu terlalu syak-wasangka. Lebih baik berfikiran positif dari membiarkan curiga menghuni hati. Mungkin benar mereka mahu berkahwin untuk mengelakkan dari membuat perkara yang tidak sepatutnya.
Semalam Hajah Sarifah telah meminta bantuan Mak Enon untuk menolong apa yang patut dalam majlis pertunangan ini. Mak Enon sekadar mengangguk. Dia tahu sahabat baiknya itu terkilan kerana tidak dapat menukarkan hubungan persahabatan ini kepada saudara. Namun dia berpegang bahawa setiap ketentuan Tuhan itu ada hikmahnya.
Wajah Liyana pula muncul mengantikan wajah Dalila. Sememangnya Hajah Sarifah berkenan untuk menjodohkan gadis itu dengan Ramzan. Dia sudah lama menyayangi gadis itu. Sudah dianggap seperti anaknya sendiri. Maklumlah, dia tidak punya anak perempuan. Tambahan pula, dia sudah kenal hati budi gadis itu. Sejak kecil membesar di depan matanya.
Dalila pula adalah orang asing. Entah baik atau tidak perangainya. Walau sudah bertentang mata, dia masih tidak mampu berkongsi secebis perasaan sayang pada gadis itu. Dia juga terkilan tidak dapat bermenantukan Liyana. Tetapi, sudah jodoh Ramzan dengan orang lain, mahu atau tidak, dia tidak boleh menolak.
Perlahan-lahan Hajah Sarifah bangkit. Dia masih belum menunaikan solat Zuhur lagi. kakinya diarah ke bilik mandi. Dia mahu berdoa, semoga Tuhan membuka pintu hatinya untuk menerima pilihan hati anaknya itu.

*  *  *  *  *

“AKU dah telefon kawan aku tadi. Mereka kata okey. Jadi, aku nak kepastian dari kau sekali lagi ni. Apa kata Ila?” tanya Adi malam itu.
Ramzan yang baru pulang dari makan malam bersama-sama Dalila menghempaskan tubuhnya ke atas tilam. Tangan kanannya diletakkan di atas dahi sambil matanya memandang siling yang memutih.
“Ila tak setuju mulanya tapi aku dah yakinkan dia. Hanya jalan ini saja yang ada,” jawab Ramzan setelah agak lama berjeda.
“Aku tahu dia risau tapi aku lebih risaukan kau sebenarnya. Nanti apa pula kata orang tua kau. Naik angin mereka nanti,” luah Adi.
“Aku dah fikirkan pun kesannya. Bukanlah aku mahu jadi anak derhaka tapi kepentingan Dalila perlu diutamakan. Dia dah banyak menderita sebelum ini. Hidup sebatang kara. Hanya aku yang dia ada. Aku tak boleh biarkan dia terkapai-kapai seorang diri. Dia gadis yang aku cintai. Bayi dalam kandungannya anak aku,” jelas Ramzan.
Adi menarik nafas panjang. Nampaknya Ramzan sudah nekad. Adi sedikit kesal kerana menyarankan rancangannya itu pada sahabat baiknya. Namun itu semua untuk kebaikan Ramzan juga. Dia rasa hanya itu jalan terbaik untuk membantu. Jika Ramzan mahu Dalila dilindungi, hanya cara itu saja yang ada. Walau mereka akan menerima amarah dari keluarga Ramzan, namun Adi yakin, hati ibu bapa akan lembut apabila anaknya memohon maaf.
Yang penting sekarang adalah Dalila. Seperti kata Ramzan, gadis itu sudah banyak menderita. Mungkin dengan cara ini, dia akan memperoleh bahagia.
::bersambung::

8 ulasan :

Leya berkata...

Apalah rancangan diaorang ni. suspen betul. ila nak gugurkan kandungan ke?

epy elina berkata...

saspen lak....
apa rncngn dorang 2....
dorg plan nak kena tngkp basah ke???
curious lak....

nurul berkata...

dorg plan kawen kat siam ke???

datul berkata...

yeay, sambung gak. rizai ni suke wat org suspens dalam setiap citer die. ish3x..

Rizai Reeani berkata...

Wah, macam-macam tekaan ya. Tak apa, kita tunggu nanti sambungannya. :D

Tanpa Nama berkata...

aper rncgan diorang..khwin sembnyi ker........xkn gugurkn kndungan...

ixora berkata...

cepatlah sambung rizai. seksa jiwa tunggu. hu3..

Rizai Reeani berkata...

Tak lama lagi jawapan akan diketahui. Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen. :)