Sepatah Dua Kata

Isnin, November 29, 2010

Kembali Senyum - Ceritera 01










Dia Yang Bernama Faziera

DERAP langkahnya pantas menuju ke Blok B di mana kelasnya ditempatkan. Sesi pengajaran dan pembelajaran akan dimulakan 20 minit sahaja lagi. Sempat dikerling jam di tangan kanannya. Sudah pukul 07.40 pagi. Dia mendaki anak tangga menuju ke tingkat tiga, tingkat paling atas sekali di Blok B itu. Dari satu anak tangga ke satu anak tangga didaki sehinggalah ke anak tangga terakhir. Kelasnya berada di hujung sekali. Di sepanjang anjung kelihatan beberapa orang pelajar sedang berbual-bual sementara menanti loceng berbunyi.
“Selamat pagi semua!!!” ucap Faziera dengan lantang sejurus tiba di hadapan pintu kelasnya.
Rata-rata pelajar yang berada di dalam kelas mengukir senyum. Ada juga yang mengangkat tangan kanan tanda sapaan. Faziera melangkah yakin ke tempat duduknya di baris kedua, lajur ketiga. Segera dia melabuhkan punggung di kerusi kayu yang dicat warna coklat pekat itu.
“Yo, Ira! Selamat pagi!” balas rakan baiknya, Shafikah, gadis yang berambut panjang paras bahu.
Faziera masih lagi dalam senyuman. Pandangannya dibiarkan melata ke segenap ceruk kelas. Semua pelajar kelihatan sangat ceria dan bersemangat pagi Isnin itu. Sehinggalah matanya tertancap pada sesusuk tubuh yang sedang membaca sesuatu di mejanya. Senyuman Faziera melebar.
“Amboi, pagi-pagi lagi dah gatal,” usik Shafikah.
Faziera tergelak besar. Ditepuk lembut bahu Shafikah yang duduk di kerusi di sebelahnya. Rasa sedikit malu mendengar kata-kata rakannya itu. Dia kembali memandang pelajar lelaki yang bercermin mata yang duduk selang empat buah meja darinya itu. Pelajar lelaki itu kelihatan begitu khusyuk membaca buku di hadapannya tanpa sedikit pun terganggu dengan suara para pelajar lain yang berbual.
Seketika kemudian, pelajar lelaki itu mengangkat kepala lalu membuang pandang ke luar tingkap. Bukit-bukit kecil disepuh kabus putih. Sinar mentari masih belum terik memancar. Tiba-tiba pelajar itu menoleh ke arahnya. Faziera tersentak lantas segera menunduk. Mukanya merona merah. Perlahan-lahan, didongak semula kepalanya. Pelajar lelaki itu kembali membaca.
“Muazhim…” lirih suara Faziera antara dengar dengan tidak.
“Sudah, sudahlah pandang si Muaz tu. Nak terjojol biji mata aku tengok,” perli Shafikah membuatkan wajah Faziera bertambah merah.
Faziera memandang Muazhim sekali lagi. Tetapi kali ini sebentar saja. Perlahan-lahan, sebuah keluhan dilepaskan. Dia jadi keliru dengan perasaan hatinya sendiri. Tidak tahu bagaimana untuk menafsirkan perasaannya pada lelaki bercermin mata itu. Suka? Sayang? Atau cinta?
Mereka tidak pernah berbicara. Ya, sejak Faziera berpindah ke sekolah itu tiga bulan yang lalu, tidak pernah sekali pun dia dan Muazhim bertegur sapa. Cuma, kali pertama bertentang mata, dapat dirasa hatinya berdebar tidak keruan. Tambahan pula Muazhim seorang lelaki yang pendiam. Atau lebih mudah dikatakan tidak bercampur-gaul dengan pelajar perempuan.
Mungkin sebab itu ramai mengatakan dia lelaki yang ‘cool’. Tetapi pada Faziera, Muazhim seperti hidup di dalam dunianya sendiri. Seakan ada sesuatu yang lelaki itu cuba sembunyikan dari pengetahuan orang lain.
Muazhim lelaki yang kacak. Faziera tidak nafikan hakikat itu. Susuk tubuhnya sasa kerana dia seorang atlit olah raga dan dia juga merupakan Penolong Ketua Pengawas di sekolah tersebut.  Wajarlah jika dia menarik perhatian ramai pelajar perempuan di sekolah namun setakat ini Faziera lihat tidak ada seorang pun yang dilayan oleh Muazhim kecuali Isma, gadis berambut panjang dengan wajah kacukan Cina yang menyandang jawatan setiausaha dalam pertubuhan pengawas sekolah.
Itu pun dikira bernasib baik pada Isma kerana dia mengeksploitasikan jawatan yang dipegang untuk mendekati Muazhim. Wah, ayat... Justeru, ramai gadis yang cemburu akan Isma. Dan gadis berkulit putih kekuningan itu akan mula perasan yang dia memiliki Muazhim. Faziera pula hanya kenal nama dan rupa Isma kerana mereka tidak sekelas. Dia berada di kelas 6 Sains 1 manakala Isma di kelas 6 Sains 2. Masing-masing merupakan pelajar tingkatan enam rendah.
“Kerja Kimia semalam dah siap?” tegur Shafikah, sekaligus menyentak Faziera dari lamunan.
“Dah. Kenapa? Hah, nak copy and paste lah tu,” ujar Faziera.
Shafikah tersengih. Kura-kura dalam perahu pula kawannya yang seorang ini. Lantas dia mengangguk. Faziera pula tidak banyak soal lalu menoleh ke belakang, membuka beg sekolahnya lalu mengeluarkan buku latihan Kimia dan dihulurkan pada kawannya yang bertudung putih itu.
Thank you! Ini yang buat aku sayang kau lebih,” ujar Shafikah sambil mengenyitkan mata.
Faziera mencemik. Ada-ada sahaja si Shafikah ni. Entah apalah yang dibuat di rumah hingga tidak sempat menyiapkan kerja sekolah yang diberi. Hendak dikata ada anak, mustahil. Ah, pasti dia sibuk bermain game playstation. Bukan Faziera tidak tahu hobi kawannya itu. Kalau sudah pegang alat kawalan game di tangan, memang dia akan jadi lupa diri. Tidak dihiraukan apa yang berlaku di sekeliling.
Pernah Faziera datang ke rumah Shafikah untuk membuat kerja sekolah bersama dan terkejut melihat gadis itu sedang asyik bermain game dan masih belum mandi sejak pagi lagi. Waktu itu jam sudah menunjuk ke angka 2.30 petang. Apalagi, mulalah Faziera membebel mengalahkan emak Shafikah.
Faziera tergelak kecil apabila mengingati peristiwa tersebut. Sejak itu, Shafikah sudah bersiap-sedia setiap kali Faziera datang ke rumah. Boleh pecah gegendang telinga dengar dia berleter, kata Shafikah.
Berleter... Sesuatu yang baru bagi Faziera sebenarnya. Dahulu, dia tidak begitu. Dia bukanlah gadis yang suka berleter. Apatah lagi berbual tentang perkara yang sia-sia. Bergosip jauh sekali. Di sekolah lama, dia bukan Faziera seperti sekarang ini. Ya, dia berpindah ke sekolah baru ketika awal Februari dulu adalah untuk mengubah diri. Dia tidak mahu kembali ke lembah sunyi yang memeritkan itu.
Keriuhan sebentar tadi mula reda sejurus seorang guru wanita melangkah masuk ke dalam kelas. Guru yang bernama Faridatul itu tampak manis berkebaya rona biru laut dengan tudung rona serupa. Guru yang mengajar mata pelajaran Pengajian Am tersebut masih belum berpunya. Lagi pun umurnya masih muda. Baru 25 tahun.
“Assalammualaikum, apa khabar semua?” ucap Cikgu Faridatul.
“Waalaikummussalam, sihat cikgu,” hampir serentak semua pelajar 6 Sains 1 itu menjawab.
“Baiklah, sebelum memulakan kelas, hari ini kita akan dapat seorang lagi rakan baru. Sekejap cikgu panggil,” ujar Cikgu Faridatul lalu melangkah ke luar kelas.
Suara berbisik mula kedengaran. Masing-masing teruja mahu melihat pelajar baru yang akan belajar bersama-sama mereka nanti. Entah lelaki atau perempuan.
“Harap-haraplah budak baru tu lelaki. Kalau boleh handsome sikit. Dapat juga buat jamu mata,” ujar Shafikah tiba-tiba.
Faziera tersengih. Pandai cakap orang gatal padahal dia sendiri lagi gatal. Kepalanya digelengkan. Tidak tahu mengapa dia tidak rasa teruja. Lelaki atau perempuan bukan satu hal yang besar pada dirinya Cuma jika lelaki, dia sedikit gembira kerana bilangan pelajar lelaki di dalam kelasnya adalah satu pertiga dari bilangan pelajar perempuan. Ada 30 orang pelajar semua di dalam kelasnya. Hah, kiralah sendiri ya.
Faziera terasa bagai ada sesuatu yang menggigit betisnya tiba-tiba. Segera dia menunduk sedikit untuk melihat. Cikgu Faridatul muncul semula dengan seorang pelajar lelaki mengekori di belakang.
“Baiklah semua, kenalkan, ini Hazwan Rais bin Rahdzi dari Kuantan,”
Faziera seakan pernah mendengar nama tersebut sebelum ini. Serentak itu Faziera mengangkat wajahnya. Anak matanya membulat. Begitu juga dengan pelajar lelaki tersebut.
“Awak!” jerit Faziera spontan menyebabkan setiap pasang mata di dalam kelas itu mengalihkan perhatian padanya. Pantas Faziera menekup mulut, menyedari keterlanjurannya.
“Kamu kenal pelajar baru ni, Faziera?” soal Cikgu Faridatul.
Lidah Faziera kelu. Suaranya seakan tersekat dikerongkong.
“Dia bekas kekasih saya cikgu,” Hazwan membuka mulut.
“Hah?” kuat kedengaran suara para pelajar kelas itu. Semuanya terkejut besar dengan kenyataan yang keluar dari mulut pelajar baru itu.
Faziera terasa dunia sekeliling berpusing. Tiba-tiba dia rebah, tidak sedarkan diri. Aish, lemah semangat betul perempuan ni.
::bersambung::

7 ulasan :

Bayu Kenangan berkata...

teringat cite-cite waktu sekolah dulu... tahniah

shura berkata...

intro yg best! sambung cepat2 ye.. ;)

Rizai Reeani berkata...

Bayu Kenangan: Terima kasih awak. Ia memang diinspirasikan semasa zaman sekolah dulu. ;)

shura: Terima kasih awak. Insha-Allah, akan cuba. :)

Terima kasih semua sudi singgah membaca... (^_^)

izzati berkata...

macam citer romantik komedi je ni. intro yg best. next pliz..

Rizai Reeani berkata...

izzati: Saya kira ia lebih kurang begitulah. Terima kasih sudi singgah membaca. :)

Tanpa Nama berkata...

вы можете познакомился с замечательными людьми, приобщится к ценностям мировой литературы, музыки и кино. Скачать нужное в быту программное обеспечение.

http://bratva.name/forum?купить-гражданство
http://bratva.name/?купить-пасспорт
http://bratva.name/forum?как-правильно-дрочить-хуй

sarah kacippk berkata...

best2..