Sepatah Dua Kata

Isnin, November 01, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 10




TELEFON bimbit digenggam erat. Ramzan baru bercakap dengan emaknya sebentar tadi. Ada getar dalam suara emaknya. Tidak pasti sama ada emaknya gembira atau tidak dengan kata-katanya sendiri tadi. Kata emaknya, persiapan majlis pertunangan pada Sabtu ini sudah siap semuanya. Tinggal menunggu dia dan Dalila pulang pada hari Jumaat nanti. Tambah emaknya lagi, Dalila akan tinggal di rumah Mak Som sementara. Tak manis pula jika wakil perempuan dan lelaki tinggal bersama. Mak Som yang tinggal berdekatan juga bersetuju dengan cadangan emaknya itu. Gembira wanita itu apabila diketahui dia akan dapat menantu.
Ramzan sudah dianggap sebagai anak oleh wanita itu. Dia juga rapat dengan Abang Kassim, anak sulung Mak Som. Apatah lagi sejak dua tahun lalu, wanita itu seperti hidup sebatang kara. Anak-anak seakan meminggirkannya. Jadi pada Ramzanlah, wanita itu berkongsi sayang, mencurah kasih.
Pintu bilik dibuka lalu dia melangkah keluar. Mahu menghirup udara petang. Hujan sejak pagi sudah berhenti setengah jam yang lalu. Tubuhnya didakap dingin. Tiba-tiba ada gelisah yang menampar hatinya. Bila fikirkan semula, rancangan yang akan dijalankan boleh dikatakan bakal mengundang padah. Namun tekad telah dipasang. Walau sehebat mana pun gelora yang akan ditempuh, dia sudah bersedia.
Pemandangan sekitar kolej petang itu tampak suram. Selalunya, ramai pelajar akan beriadah kala petang begini. Mungkin kerana hujan, rata-rata lebih gemar berselimut. Ramzan berhenti seketika di depan gazebo kecil yang dibina berjajar di taman berhampiran bangunan fakultinya. Nafasnya ditarik panjang lalu dilepaskan perlahan-lahan. Terasa sedikit segar.
Kebelakangan ini kepalanya terasa berat. Pelbagai perkara berselirat membuatkan kepalanya serasa mahu pecah. Memang diakui silapnya yang menjadi masalah besar begini terjadi. Semua kerana kealpaan dirinya yang terlalu mengikut perasaan seronok. Benarlah kata orang, setiap yang dilakukan itu biarlah berpada-pada. Ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Terdetik di hati Ramzan, bila agaknya dia akan bebas dari segala belenggu yang meletihkan ini? Apakah dia perlu terus berlari dan berlari di atas jalan berliku yang penuh onak dan ranjau sehingga kakinya benar-benar sudah tidak mampu untuk melangkah? Entahlah, dia tidak punya jawapan untuk itu. Lagipun, sehebat mana pun dia merancang, Tuhan yang akan menentukan.
Ramzan tersentak. Tuhan... Pantas diraup wajahnya lalu rambutnya dikuak ke belakang dengan kedua belah tangan. Tuhan... Terasa diri semakin jauh pada Pencipta langit dan bumi. Dulu, sebelum menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi, dia terasa sangat dekat dengan Maha Pencipta. Kedua ibu dan bapanya tidak pernah lekang memberi didikan dan mengingatkannya tentang Tuhan yang Maha Esa.
Namun sejak melangkah ke dunia luar yang lebih luas, dia tersesat haluan. Pergaulan dengan rakan-rakan apatah lagi dengan yang bukan muhrim, membuatkan hatinya dilanda rasa teruja. Seronok dengan hiburan dunia. Ditambah pula dengan tekanan pelajaran, dia perlu mencari sesuatu untuk melunaskan tekanan tersebut agar terasa lega sedikit kekusutan yang ada.
Kesannya, dia semakin jauh. Jauh dari ingatan pada Tuhan yang tidak sekalipun pernah melupakan hamba-NYA. Di bawah pengawasan ibu dan ayah, solatnya cukup lima waktu sehari semalam. Di bawah pemerhatian ibu dan ayah, puasanya dijaga rapi. Tapi kini, waktu solatnya tunggang-terbalik. Subuh ditunai pada waktu Asar. Asar dikerjakan pada waktu Isya’. Semua dek kerana kesibukan mengejar tuntutan duniawi. Puasa tidak usah diceritakan. Sesuka hati mahu puasa atau tidak. Kadang-kadang tanpa segan-silu dia makan dan minum di hadapan kawan-kawan yang bukan seagama. Mereka juga kelihatan tidak kisah. Atas dasar hormat pada hak peribadi kononnya.
Ramzan mengeluh. Ya, dia sudah terlalu jauh melangkah. Mungkin tidak boleh berpatah balik lagi. Alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Dan kala itu, syaitan yang menghuni hatinya bersorak riang. Seorang lagi keturunan Adam telah putus asa dengan hidupnya. Ramzan terlupa, Tuhan itu Maha Penyayang, lagi Maha Mengasihani.

*  *  *  *  *
JUMAAT, penghulu segala hari kini tiba. Usai kuliah pukul empat petang hari itu, Ramzan dan Dalila bertolak ke Seremban. Esok, mereka akan menghadiri majlis pertunangan. Dalila, sejak pulang dari rumahnya seminggu lepas tidak banyak berbicara. Gadis itu seringkali dilihat melayan angan. Ramzan tahu Dalila sudah putus harapan. Dia sudah menyerahkan segalanya pada takdir.
“Zan yakin dengan keputusan Zan?” tiba-tiba Dalila bersuara setelah agak lama membisu.
Bas Transnasional rona coklat itu bergerak laju membelah lebuh raya utara-selatan. Kenderaan bertali-arus tidak kira di sebelah kanan atau sebelah kiri jalan. Masing-masing mungkin punya tujuan yang sama dengan Ramzan dan Dalila. Mahu pulang bercuti hujung minggu ke kampung halaman.
“Ila masih ragu-ragu?” pertanyaan Dalila dibalas dengan soalan oleh Ramzan.
“Terus-terang, ya. Ila tak rasa rancangan Zan ni akan bawa kebaikan pada masalah kita. Ini bukan jalan penyelesaian yang baik Zan,” luah Dalila.
“Zan tahu. Tapi hanya cara ini saja yang ada untuk selamatkan Ila dari dibuang kolej. Pasal ayah dan emak, Ila tak perlu risau. Mereka ibu dan ayah Zan. Pandailah Zan cakap dengan mereka nanti,”
Dalila membuang pandang ke luar tingkap. Sejak mengetahui akan rancangan Ramzan, tidurnya tidak pernah lena. Seringkali dia gelisah berbaur resah. Ikutkan hati, dia tidak pernah bersetuju dengan rancangan teman lelakinya itu. Namun, mengenangkan ada nyawa yang perlu dia lindungi dalam tubuhnya itu, dia akhirnya mengalah. Dia sudah tidak mampu berfikir dengan rasional lagi. Hitam kata Ramzan, hitamlah. Dia patuh sahaja. Sudah tidak larat berfikir baik dan buruknya lagi. Mungkin benar kata Ramzan, itu jalan penyelesaian yang terbaik untuk mereka.
“Ila jangan risau. Semuanya akan kembali pulih macam biasa. Zan tak akan tinggalkan Ila. Dahlah, lebih baik Ila tidur. Nanti dah sampai Zan kejutkan,” ujar Ramzan seraya menarik kepala Dalila singgah ke bahunya.
Tanpa sedar, setitis air mata Dalila luruh jua. Dia benar-benar terseksa. Sungguh dia amat perlukan sokongan. Mujur Ramzan lelaki yang bertanggungjawab. Kalau ditinggalkan dia bersendirian, entah apa yang akan dia lakukan.
Jauh di sudut hati, Dalila bersyukur kerana dikurniakan teman lelaki sebaik Ramzan. Perlahan-lahan matanya dipejam. Desah nafas Ramzan yang hangat menyentuh ubun-ubunnya terasa nyaman. Dan seketika kemudian, dia sudah lena, mengharap agar ada mimpi indah yang muncul, menyenangkan hatinya.

*  *  *  *  *

SAMPAI sahaja di halaman rumah, mata Ramzan dan Dalila melihat sudah ada dua kanopi besar di bahagian kanan dan kiri. Serta-merta kedua-duanya dilanda debar. Sepertinya bukan mahu melangsungkan majlis pertunangan tetapi majlis perkahwinan saja lagaknya. Dari tingkap rumah, Hajah Sarifah sudah melambai-lambai tatkala melihat tetamu yang dinanti sudah tiba.
Dalila memegang erat tali beg galas yang disandang di belakangnya. Bila difikirkan esok harinya, terasa seperti tubuh tidak jejak ke tanah. Mahu saja dia pengsan kala itu juga namun melihat kelibat emak Ramzan yang menghampiri, seakan memberi sedikit kekuatan buat dirinya untuk terus teguh berdiri.
“Dah sampai pun kamu Zan...” ujar Hajah Sarifah sejurus tiba di hadapan anaknya.
Ramzan tunduk menyalami emaknya diikuti dengan Dalila. Terasa tangannya terketar sewaktu menjabat tangan wanita yang berbaju kurung kosong rona hijau muda itu.
“Macam nak sambut menantu je mak,” usik Ramzan.
“Memanglah nak sambut menantu pun. Kamu ni...”
“Ala, kan Zan kata, buat kecil-kecilan pun dah cukup. Bukannya kami nak kahwin dalam masa terdekat ni,” balas Ramzan.
Dalila yang mendengar mengutuk di dalam hati. Pandai betul teman lelakinya itu berlakon. Tampak yakin sekali seakan tiada masalah yang dihadapi. Tetapi tidak dinafikan kata-kata Ramzan tadi. Sewajarnya majlis berlangsung secara kecil-kecilan. Jika begini lagaknya, mahu semua penduduk kampung hadir.
“Lah... Dah sampai pun kau. Kenapa tak telefon along? Boleh along ambil dekat stesen bas tadi,” sampuk seorang jejaka bertubuh tinggi-lampai yang tiba-tiba muncul di sebelah Hajah Sarifah.
Dalila melihat susuk tubuh lelaki itu dari atas hingga bawah sekilas. Memang ada iras wajah Ramzan Cuma tampak lebih matang dengan kumis nipis dan janggut sejemput. Kulit wajahnya agak gelap sedikit. Rambutnya pula dipotong pendek dan kemas. Penampilan lelaki itu sederhana dengan T-shirt putih tanpa corak dan seluar track-bottom warna hitam. Yang tampak ketara bezanya adalah lelaki itu bercermin mata.
“Zan tak tahu pun along balik. Kalau tahu dah lama Zan telefon. Oh ya, kenalkan ini Dalila, bakal tunang Zan. Ila, ni abang sulung Zan, Shafiq,” ujar Ramzan.
Dalila menundukkan sedikit wajahnya tanda hormat sementara Syafiq mengukir senyum mesra. Ini kali pertama Dalila bertentang mata dengan abang sulung Ramzan. Seingat Dalila, abang Ramzan berumur 27 tahun dan bekerja sebagai seorang jurutera pembinaan di Kuala Lumpur. Itu yang Ramzan pernah katakan padanya.
“Mak terlupa nak beritahu abang kamu balik. Dia pun muncul mengejut semalam,” terang Hajah Sarifah.
“Tak apalah mak, dah sampai pun. Jomlah, naik. Dah nak Maghrib ni,” kata Ramzan seraya menarik bagasinya menuju ke tangga rumah.
Dalila hanya mengekori langkah teman lelakinya itu. Hajah Sarifah dan Syafiq berpandangan sesama sendiri sebelum masing-masing turut melangkah masuk. Entah apa yang terlintas di fikiran masing-masing, tidak pula diketahui.
::bersambung::

5 ulasan :

Leya berkata...

adoi rizai, apalah rancangan budak dua orang ni. sila sambung esok ya!

epy elina berkata...

saspen lak...
adeh...
mmg rizai ni suka bt kjutan...
pe la rncngn dorng bt ni....
mls dah mau brfkr....

Rizai Reeani berkata...

Leya: Hehehe... Maaf, tak dapat sambung esok tapi saya akan cuba sambung secepat mungkin. :)

Epy: Hehehe... Sama-samalah kita tunggu. Sengaja masukkan elemen thriller sikit. ;)

daphne berkata...

mmg mdebarkan. ak tahulah apa rancangan diaorang. kesian dalila tu

Rizai Reeani berkata...

daphne: Sama-sama kita tunggu ya. :)