Sepatah Dua Kata

Sabtu, November 06, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 11



HALAMAN rumah Haji Haziq riuh dengan suara penduduk kampung yang datang membantu membuat persiapan untuk majlis pertunangan pada esok hari. Dingin malam sedikit pun tidak menganggu kerjasama sesama mereka. Ada yang ligat mengupas bawang dan memotong nenas. Ada juga yang sedang menggosok periuk besar serta membasuh pinggan mangkuk. Tidak kurang juga yang menyusun meja dan kerusi. Hidup di kampung, beginilah, masih tebal semangat gotong-royong dalam diri masing-masing. Lain benar dengan di bandar. Masing-masing seperti enau dalam belukar. Pucuk dilepas ikut suka hati sahaja tanpa mementingkan keadaan sekitar.
Ramzan yang baru sahaja pulang dari menghantar Dalila ke rumah Mak Som, tidak pula mahu turut serta dengan keriuhan di halaman. Sebaliknya dia mengambil keputusan naik ke biliknya. Penat berjalan jauh masih terasa. Apatah lagi esok merupakan hari yang besar untuknya.
Dia tidak terus ke katil sebaliknya mencapai bagasi hitam yang diletakkan di tepi almari kayu yang menyimpan pakaian. Sebuah buku catatan dikeluarkan lalu dia melangkah ke meja tulis yang berada di sebelah kepala katil. Laci meja ditarik lalu tangannya meraba-raba mencari pena mata bulat berdakwat biru. Perlahan-lahan, nafasnya ditarik dan pena di tangan kanannya mula menari-nari, mencoret kata baris demi baris di dalam buku catatannya itu.
Hampir sepuluh minit menulis, pena tersebut akhirnya dilepaskan dari genggaman tangan. Kini matanya pula mengambil peranan untuk membaca apa yang dinukil sebentar tadi. Setelah berpuas hati, dia mengoyak kemas helaian kertas yang ditulisnya lalu dilipat dua.
Ramzan bingkas bangun. Helaian kertas itu dimasukkan ke dalam laci meja. Kakinya diarahkan ke jendela. Wajahnya didongak ke langit. Malam itu bulan terang. Kerdipan bintang-bintang juga terang. Sejak terlibat dalam masalah yang melanda dia dan Dalila, Ramzan selalu merenung langit malam.
Betapa dia berharap masalah yang ada mampu dibuang jauh ke kaki langit nan luas. Tapi Ramzan tahu, langit itu sukar untuk digapai. Beberapa ketika kemudian, terdengar pintu biliknya diketuk. Terjengul wajah abang sulungnya di muka pintu yang sememangnya tidak bertutup itu.
“Boleh along masuk?” pinta Shafiq.
“Apa tak bolehnya pula. Masuklah long...” pelawa Ramzan lalu berjalan ke katil semula.
Punggungnya direbahkan ke atas tilam empuk sementara abangnya menarik kerusi meja tulis dan duduk di situ. Ramzan seakan dapat meneka apa yang bakal abangnya itu perkatakan tetapi biarlah abangnya sendiri yang membuka mulut terlebih dahulu. Mana tahu, mungkin anggapannya silap.
“Tak tidur lagi?” soal Shafiq sekadar berbasa-basi.
“Belum lagi along. Mungkin kejap lagi,” Ramzan membalas seraya mengerling pada jam di dindng. Sudah hampir pukul 11 malam.
“Ni... Along nak tanya sikit. Sejak bila ada hubungan dengan budak perempuan tu? Along tak pernah tahu pun,”
Sengihan jelas kelihatan di bibir Ramzan. Memang seperti apa yang dijangkanya tadi. Sedangkan ayah dan emaknya dulu pun terkejut sewaktu dia memperkenalkan Dalila pada mereka, apatah lagi abangnya yang jarang ketemu itu.
“Sejak Zan masuk belajar lagi. Kenapa?”
“Tak adalah, mak ada cakap yang mulanya kau orang berdua nak kahwin, bukan bertunang. Along pelik juga. Yalah, hujan tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba saja nak kahwin,”
Terdengar keluhan dari mulut Ramzan. Shafiq cuba mentafsirkan riak wajah adiknya saat itu. Nyata, ada sesuatu yang disembunyikan. Wajarkah jika dia mendesak Ramzan untuk berterus-terang?
“Bukan apa long, fikir Zan, kalau kami dah kahwin nanti, senanglah sikit. Tak ada orang nak mengata dan boleh elakkan maksiat. Lagipun dah jadi trend zaman sekarang orang kahwin awal. Nak bina masjid, takkan salah kot,” Ramzan meluahkan rasa hatinya.
“Memang tak salah, tapi cara kau tu tak kena. Kau kan masih belajar. Banyak tanggungjawab yang perlu dipikul lepas kau orang dah jadi suami isteri. Tahu?”
“Zan tahu long, sebab tu Zan bersedia nak kahwin. Lagipun tempoh  pengajian Zan tinggal lebih kurang setahun lagi. Lepas habis belajar, Zan boleh cari kerja,” bidas Ramzan.
Kali ini giliran Shafiq pula yang mengeluh. Anak-anak muda sekarang, perangai dan pemikirannya lain macam. Berbeza dengannya dahulu. Hendak cari pasangan pun kena fikir dua tiga kali. Bimbang tidak boleh beri komitmen sepenuhnya.
Terkejut juga dia apabila Ramzan mengatakan yang dia sudah bersedia. Tidakkah Ramzan tahu perkahwinan itu bukanlah sesatu yang mudah dan boleh dibawa bergurau? Banyak perkara yang perlu dititik-beratkan. Kalau boleh, biarlah sudah ada kedudukan kewangan yang stabil, barulah terfikir ke arah itu.
Bukanlah dia cemburu, tidak. Jauh sekali berasa iri hati. Walau sehingga kini dia masih belum punya pasangan, sekurang-kurangnya dia punya pekerjaan yang dapat menjamin masa hadapan. Shafiq tahu, ajal-maut, jodoh-pertemuan, semua di tangan Tuhan. Dan atas Qada dan Qadir, dia cuba membuka mindanya. Mungkin sudah ditakdirkan jodoh adiknya lebih cepat berbanding dengan dirinya. Shafiq faham, setiap kejadian yang berlaku itu punya hikmah tersendiri.
“Along cuma harap Zan tak buat keputusan berdasarkan kepentingan diri Zan saja. Lagipun along tahu apa yang emak dan ayah buat ni untuk kebaikan Zan juga. Bertunang dahulu lebih baik. Bila dah dapat kerja nanti, barulah fikirkan rancangan perkahwinan. Waktu tu along yakin, tak ada siapa nak menghalang. Along harap Zan faham. Jangan pula fikirkan yang ayah dan emak tak benarkan Zan kahwin,” panjang bicara Shafiq.
Ramzan hanya mampu menangguk. Dia sedar akan kerisauan abangnya itu. Tetapi abangnya tidak tahu, mengapa dia beria-ia benar mahu kahwin. Entah bagaimana reaksi keluarganya kalau mengetahui yang Dalila sedang mengandung dan anak dalam kandungan itu adalah anaknya. Dia buat semua ni pun kerana fikirkan maruah keluarga.
“Dahlah, baik kau berehat. Esok hari penting kau. Tidur biar cukup, baru nampak segar,” ujar Shafiq lantas bangun dan menuju ke muka pintu.
“Yalah long. Zan tidur dulu.” ujar Ramzan.
“Assalammualaikum,” ucap Shafiq lalu menarik daun pintu, tutup.
“Waalaikumussalam,” jawab Ramzan acuh tak acuh.

*  *  *  *  *

AZAN Subuh yang berkumandang di surau berdekatan mengejutkan Haji Haziq dari lena. Bingkas dia menarik gebar. Hajah Sarifah tiada di sisi. Sudah ada di dapur menyiapkan sarapan barangkali. Haji Haziq bangun lalu melangkah keluar dari bilik. Dalam perjalanan ke bilik mandi di tingkat bawah, dia terserempak dengan Shafiq yang baru keluar dari biliknya. Salam dan ucapan selamat pagi diucapkan oleh anak sulungnya itu lalu dijawab seadanya.
Shafiq menyapa emaknya yang sedang meletakkan cerek di atas dapur. Haji Haziq sudah masuk ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Shafiq melangkah ke meja kayu yang mempunyai enam buah kerusi itu. Dicapainya gelas yang terlangkup yang diletakkan di atas dulang kecil di bahagian tengah meja lalu gelas tersebut diisi dengan air masak dari jag sederhana besar di hadapannya. Perlahan-lahan, air masak itu diteguk. Shafiq teringat pesan arwah datuknya sewaktu dia masih kecil. Jika bangun pagi, minum segelas air dahulu untuk mudah menyingkirkan toksik yang ada dalam badan semasa tidur semalaman.
“Pergi kejutkan adik kamu tu Fiq. Kita jemaah sama-sama,” arah Hajah Sarifah yang sedang membuka tingkap dapur.
Deru angin pagi menerpa masuk, menghantar nyaman. Shafiq meletakkan semula gelas yang diminum tadi di atas meja seraya melangkah semula ke tingkat atas. Rumah papan dua tingkat itu ada empat buah bilik. Bilik ayah dan emak serta adiknya di tingkat atas sementara biliknya di tingkat bawah dengan sebuah lagi bilik tetamu.
Anak tangga didaki perlahan. Sampai di hadapan bilik adiknya, dia mengetuk pintu sambil melaung nama Ramzan beberapa kali. Tiada sahutan. Ah, adiknya itu kalau sudah tidur, bom meletup pun belum tentu sedar. Lantas Shafiq memulas tombol pintu lalu memetik suis lampu yang berada di dinding bersebelahan dengan pintu bilik.
Jelas tubuh adiknya yang sedang membungkus tubuh dengan selimut di atas katil. Ramzan mengelengkan kepala. Tiba-tiba timbul idea nakal dalam kepalanya. Dia berlari anak ke ruang tamu di tempat simpanan kunci. Sebuah wisel dicapai. Wisel tersebut dimiliki oleh ayahnya yang seminggu sekali akan meronda di sekitar kampung kala malam hari bersama-sama dengan rukun tetangga yang lain.
Shafiq kembali semula ke bilik adiknya lalu terjengkit-jengkit berjalan ke arah adiknya yang sedang lena itu. Didekatkan wisel tadi ke kepala Ramzan. Shafiq mengira sehingga tiga di dalam hati dan kemudian meniup wisel tersebut dengan harapan adiknya akan terkejut.
Aneh, tiada sebarang reaksi. Shafiq meniup wisel sekali lagi. Keadaan tetap hening. Pantas dia menguak selimut yang membaluti tubuh adiknya. Shafiq ternganga! Bukan tubuh Ramzan di bawah selimut itu tetapi bantal peluk!
Pantas anak matanya meliar ke segenap inci bilik Ramzan dan akhirnya mata Shafiq tertancap pada helaian kertas putih di atas meja tulis. Segera dia meluru ke arah kertas tersebut lalu membuka lipatannya. Surat dari Ramzan!
Peluh mula merenik di dahi tatkala Shafiq selesai membaca isi kandungan surat tersebut. Menggigil lututnya. Apakah dia sedang bermimpi atau sememangnya adiknya itu sudah hilang akal?
“Kenapa lama sangat kejut adik kamu tu?” teguran dari Hajah Sarifah mengejutkan Shafiq dari lamunan lalu dia berpaling melihat wajah emaknya.
Dahi Hajah Sarifah berkerut melihat riak muka Shafiq yang pucat lesi itu. Seperti baru nampak hantu lagaknya. Namun surat di tangan Shafiq menarik perhatiannya dan perlahan-lahan matanya dihalakan ke katil tempat anak bongsunya beradu.
“Mana Ramzan?”
Shafiq kelu!
::bersambung::

7 ulasan :

Bayu Kenangan berkata...

aduh! kenduri sedang berlangsung Ramzan larikan diri?

datul berkata...

ah, sudah! konflik dah mari..

firda berkata...

uish, ramzan mmang sengaja cari nahas.. sambung3x..

epy elina berkata...

adeh.......
napa la ramzan bt mcm 2....
kcian kuarga dia...

Tanpa Nama berkata...

nilah namenyer xde penyakit cari penyakit. yg jadi mangsanya dalila.

firda berkata...

ramzan, ramzan.. pendek akal betul.

Rizai Reeani berkata...

Benarlah kata orang dulu-dulu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Hmm...

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi ulasan... (^_^)