Sepatah Dua Kata

Khamis, November 11, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 12



RUANG tamu rumah papan dua tingkat itu sunyi-sepi. Hajah Sarifah sudah tersandar di atas sofa. Wajahnya keruh. Seringkali dia mengurut dada. Shafiq pula sejak tadi tidak lekang memandang wajah ayahnya yang sudah merona merah. Jelas kelihatan urat-urat hijau yang timbul di dahi ayahnya yang sudah mula ditumbuhi rerambut putih di kepala. Pasti membuak-buak rasa marah yang dipendam.
Halaman rumah juga hening. Tiada lagi kedengaran suara berbual yang meriuhkan. Yang kedengaran hanya sesekali bunyi desiran dedaun rambutan yang diterpa bayu. Shafiq tidak tahu mahu melakukan apa bagi mententeramkan ayahnya yang seperti singa kelaparan itu. Dia faham akan perasaan yang bergelora dalam jiwa ayah dan emaknya.
Malu. Rasanya sudah tidak mampu ditahan lagi. Ternyata anak ketua kampung sudah mencoreng arang di muka keluarga sendiri. Shafiq tidak menjangka akan tindakan Ramzan. Adiknya terlalu berani. Memang tidak terlintas di fikiran masing-masing akan perbuatan Ramzan. Haji Haziq sekali lagi membaca bait-bait kata yang dicoret pada helaian kertas ditangan kanannya itu. Dia mahu memastikan sekali lagi, yang matanya tidak menipu.

Ayah, emak.
Terlebih dulu Zan nak minta maaf banyak-banyak. Zan tahu apa yang Zan buat ni salah tapi Zan tak boleh bertunang dengan Dalila. Kami harus berkahwin. Dalila... Mengandungkan anak Zan. Kami terlanjur.
Zan minta sangat ayah dan emak faham yang Zan tak boleh biarkan Dalila keseorangan. Kami masih ada setahun lagi untuk tamatkan pengajian. Zan tak nak Dalila terpaksa berhenti sebab mengandung anak luar nikah. Jika kami berkahwin, Dalila tak perlu berhenti tetapi boleh menangguhkan pengajian.
Zan minta maaf sekali lagi. Zan tahu Zan dah buat ayah dan emak malu tapi Zan terpaksa. Zan tersepit dengan keadaan. Tak kisahlah ayah dan emak nak anggap Zan pengecut atau anak derhaka. Zan sedar Zan dah terlalu jauh melangkah. Zan tak boleh patah balik lagi.
Zan harapkan ayah dan emak doakan kebahagiaan kami. Halalkan segala makan minum Zan selama ini. Zan tahu, mulai detik ini, Zan bukan anak ayah dan emak lagi. Anak yang memalit lumpur pada muka keluarga sendiri.
Maafkan Zan dan Ila.

Surat tersebut direnyukkan. Haji Haziq terasa mahu menyiat-nyiat wajah Ramzan dan Dalila jika mereka berada di hadapan matanya saat ini. Anak yang ditatang bagai minyak penuh, telah mengkhianati segala kasih sayang yang dicurah. Susu yang diberi, tuba yang dibalas.
Tiba-tiba Haji Haziq terjelepok. Tidak mampu menahan amarah yang menggunung. Dadanya seperti dicucuk ribuan jarum tajam. Perlahan-lahan, dia rebah.
“Ayah!” jerit Shafiq.

*  *  *  *  *

MATANYA dipejamkan. Fikirannya kosong kala ini walau dalam hati, perasaannya sarat berperang sesama sendiri. Ada gelisah, ada lega. Ada gundah, ada reda. Entahlah, dia sudah penat mahu berfikir. Diserahkan segalanya pada kekasih hati yang sedang membuang pandang ke luar jendela bas ekpress yang sedang menuju ke Kelantan itu. Di tempat duduk belakang, ada Adi dan Hazwani yang sudah ralit dibuai mimpi.
Tiga jam berlalu sejak dia berada di dalam perut bas ini. Semuanya dirasakan terlalu pantas berlaku. Sepertinya dia sekarang bermimpi Cuma tidak tahu bila dia akan terjaga dari mimpinya itu. Ingatannya kembali berputar pada peristiwa yang berlaku pagi tadi.
Jam di dinding menunjukkan pukul 3.30 pagi. Dalila terjengket-jengket keluar dari bilik dengan membawa beg pakaiannya. Dia mengintai di sebalik pintu bilik Mak Som. Dilihat wanita itu sedang lena beradu. Pantas dia berlari ke arah pintu utama. Perlahan-lahan dia membuka kunci dan menarik pintu. Seboleh mungkin dia tidak mahu pintu itu berkeriuk. Bimbang jika Mak Som tersedar.
Sejurus pintu dirapatkan, Dalila berpaling dan hampir menjerit dia melihat Ramzan sudah bersandar di tiang rumah, merenung tajam ke arahnya. Kus semangat... Mujur jantungnya tidak gugur.
“Dah sedia?”
“Ayah dan emak Zan macam mana?” Dalila tidak menjawab soalan Ramzan tadi.
“Semuanya tengah tidur. Letih sangat agaknya. Dah, jom!” balas Ramzan sambil mencapai bagai di sebelahnya lalu mula melangkah.
“Err...” Dalila tidak mampu meneruskan kata.
Ramzan terhenti apabila terdengar suara Dalila. Wajah gadis itu dipandang. Apakah Dalila masih ragu-ragu lagi? Mengapa sukar benar gadis itu mahu memahami bahawa apa yang sedang dia lakukan ini adalah untuk kebaikan gadis itu?
Sebuah keluhan dilepaskan. Kededengaran berat sekali. Dalila menundukkan wajah. Beg pakaian digenggam erat. Dia berjalan ke arah teman lelakinya.
“Marilah, nanti lambat pula sampai ke sana,” ujar Dalila.
Ramzan mengukir senyum. Tangannya mengusap lembut ubun-ubun kekasih hatinya itu. Dalila dapat rasakan limpahan kasih Ramzan padanya. Ya, dia tidak sepatutnya ragu-ragu lagi. Bukankah lelaki ini sentiasa ada di sisinya? Dia harus yakin!
Mereka mengambil teksi ke bandar lalu menaiki bas ke Kuala Lumpur. Di stesen bas Puduraya, Adi dan Hazwani sudah setia menanti. Mereka berempat akan ke selatan Thailand untuk melangsungkan pernikahan. Ya, hanya cara itu yang mereka ada sekarang ini. Hanya cara itu sahaja yang boleh meleraikan segala kekusutan yang melanda. Walau bukan untuk jangkamasa panjang, tetapi cukuplah meredakan sedikit beban yang ditanggung.
Urusan pasport dan proses nikah sudah diuruskan oleh Adi. Dalila tidak tahu yang kawan baik kepada Ramzan itu punya pengetahuan tentang kahwin lari ini. Kata Ramzan, sampai di Narrathiwat nanti, sudah ada orang yang akan menunggu untuk prosedur seterusnya. Dalila tidak mahu bertanya lanjut. Diserahkan bulat-bulat pada Ramzan dan Adi. Hazwani pula diminta jadi peneman dan saksi mereka bernikah kelak.
“Tidurlah, lama lagi nak sampai...” teguran dari Ramzan menyentakkan lamunan Dalila.
Ada senyuman yang menguntum di bibir gadis itu. Perlahan-lahan, Dalila melentokkan kepalanya di bahu Ramzan. Terasa selesa dan dilindungi. Ramzan hanya membiarkan. Ada gembira yang bertunas di hati. Tangannya merangkul bahu Dalila, utuh, seakan tidak mahu melepaskan.
“Maafkan Ila...”
Ramzan agak terkejut mendengar ungkapan yang terbit dari bibir mungil milik Dalila itu tetapi tidak ditanya pula mengapa gadis itu berkata demikian. Biarlah Dalila meluahkan apa yang dirasa. Mungkin dengan cara itu, derita perasannya akan terurai sedikit.
“Maafkan Ila sebab dah jadikan Ramzan anak derhaka,” sambung Dalila lagi. Tanpa sedar, setitis air matanya gugur jua.
Ramzan pantas menyeka air mata yang mengalir di pipi pujaan hatinya itu. Dia tidak mahu melihat gadis itu mengalirkan air mata kesayuan lagi. Sakit hatinya melihat wajah Dalila yang mendung. Kalau boleh, dia mahu wajah ayu itu sentiasa mengukir senyum.
“Sudahlah, jangan difikirkan lagi. Yang penting sekarang kita harus terus melangkah ke hadapan. Hidup perlu diteruskan. Zan yakin, marah ayah dan emak tu tak lama. Mungkin mengambil masa tapi Zan dah nekad. Zan tak mungkin jumpa mereka lagi setelah Zan sakitkan hati mereka. Apa yang Zan mampu lakukan hanyalah mendoakan kesejahteraan mereka sahaja,”
Air mata Dalila semakin laju mencurah. Dia tahu dia anak yatim piatu tetapi Ramzan masih punya ayah dan emak dan dia telah merampas ayah dan emak Ramzan dalam hidup lelaki itu. Betapa besarnya pengorbanan Ramzan. Jauh di sudut hati Dalila bersyukur, sangat bersyukur kerana dikurniakan lelaki sebaik Ramzan. Jika Ramzan meninggalkannya, tidak mustahil dia sendiri akan menamatkan nyawanya dengan tangan sendiri. Untuk apa lagi hidup tanpa orang yang disayangi berada di sisi.
‘Nauzubillah...’ Dalila melekapkan tangan kanan ke dadanya.
Sudahlah melakukan dosa dengan berzina, mahu lagi menambah dosa dengan membunuh diri? Ya Tuhan, tunjukkan aku jalan pulang...
::bersambung::

3 ulasan :

epy elina berkata...

wah.....
x sngka....
hrp2 mrka tbah mnghdpi khdpn akn dtg....
bkn sng nak bhgia tnp rstu kuarga....

Leya berkata...

apa nak jadilah budak 2 org tu. itulah, ikut kata hati sangat!

Rizai Reeani berkata...

epy elina: Harap=harap begitulah...

Leya: Kadang-kadang kata hati boleh digunapakai juga asalkan tahu bezakan mana yang baik mana yang buruk, kan...:)